Está en la página 1de 11

1.

Pengenalan

Pendidikan seni visual dianggap sebagai mata pelajaran sampingan oleh sesetengah ibu bapa. Pandangan negatif ini sebenarnya adalah disebabkan oleh pemahaman cetek daripada sumber rujukan dan maklumat yang tidak tetap terhadap kepentingan mata Pelajaran Seni Visual. Kepentingan pendidikan seni adalah lebih penting dalam merealisasikan masyarakat ke arah kehidupan yang lebih sempurna sepertimana kepentingan mata pelajaran lain. Seni sebenarnya sudah lama memainkan peranan penting dalam dunia pendidikan. Namun, kepentingan itu tidak disedari. Sama ada disedari atau tidak, Pendidikan Seni Visual sudah disemai kepada semua generasi sejak dari awal kanak-kanak lagi sehingga ke peringkat dewasa. Seni bukan saja mengajar manusia menghayati keindahan, kecantikan atau sebagainya tetapi memupuk nilai-nilai estetika dan nilai-nilai kemuliaan dalam diri manusia. Seni harus dilihat sebagai subjek yang mampu mengubati permasalahan yang berlaku dalam jiwa manusia. Seni memainkan peranan penting dalam pembangunan manusia dan perubahan masyarakat. Seni wajar diletakkan pada landasan yang betul dalam arena pembangunan manusiawi. Kefahaman yang cetek yang mengatakan seni tidak menjanjikan kerjaya yang baik perlu dikikis. Pendidikan yang diterima oleh manusia sama ada kita sedari atau tidak sebenarnya telah kita meletakkan seni di tempat yang sewajarnya. Pendidikan seni itu sebenarnya telah bermula lebih awal lagi, iaitu di zaman kanak-kanak. Pendidikan yang diberikan itu berlaku secara tidak langsung dan tanpa disedari. Contohnya, ibu bapa telah mendidik anak-anak mereka mengenal alat-alat permainan. Mereka menunjukkan bentuk-bentuk permainan kepada kanakkanak. Pada alatan permainan tadi, terdapat pelbagai warna dan bereneka jenis rupa bentuknya. Apabila melihatnya, kanak-kanak itu akan meluahkan rasa hatinya. Apakah warna yang disukainya. Jenis-jenis permainan serta apa yang disayanginya. Selain gemar kepada barangan permainan, kanak-kanak juga suka menconteng. Apa sahaja yang boleh digunakan atau yang difikirkan sesuai, akan digunakan untuk menconteng. Kesempatan itu digunakan untuk melahirkan ideanya. Antara peranan Seni Visual dalam pendidikan pertama ialah memupuk kreativiti kanakkanak. Sifat semula jadi bagi seseorang kanak-kanak ialah memerlukan perhatian, belaian, sentuhan dan sebagainya. Tanpa kita sedari perkembangan seni tampak minda kanak-kanak berlaku dengan begitu pesat sekali. Sebelum meningkat remaja, kanak-kanak mengalami tiga

tahap perkembangan seni tampak. Peringkat manipulatif sekitar umur 2 hingga 5 tahun. Peringkat melakar simbol-simbol berumur 5 hingga 9 tahun dan peringkat pra-remaja iaitu sekitar umur 10 tahun hingga 13 tahun. Berdasarkan kajian oleh ahli-ahli psikologi barat, perkembangan seni ini berlaku pada setiap kanak-kanak. Perbezaan mungkin timbul ialah berdasarkan faktor persekitaran, bimbingan berterusan daripada keluarga atau latar belakang pendidikan.

1.1

Kepentingan Kreativiti

Melalui proses membentuk kreativiti, diri kanak-kanak itu akan terbina dengan baik (Laura Chapman, 1978). Peranan kedua memupuk dan mengembangkan sifat kreativiti dan inovatif para pelajar. Apabila mencapai umur remaja sekitar 10 hingga 15 tahun, tahap penguasaan ilmu yang berkaitan dengan seni mungkin telah bertambah. Seseorang pelajar itu sudah mulai menunjukkan kecenderungan untuk mencipta sesuatu bentuk dengan lebih baik. Pada peringkat ini, sekiranya pelajar diberi kesempatan dan bimbingan yang betul mengenai seni, maka tahap kematangan kreativitinya akan berkembang. Menurut Lowenfeld dan Lambert (1965) pada peringkat ini merupakan peringkat yang paling konflik dan genting. Pelajar akan mengalami tekanan untuk memilih bidang seni sebagai satu bidang utama dalam proses membesar mereka. Persaingan di kalangan pelajar berlaku peringkat ini. Pelajar yang lemah akan mengalami masalah yang dinyatakan tadi. Sekiranya dibimbing dan diberi penerangan yang betul, kemungkinan minatnya terhadap seni akan terkabur. Berbanding dengan pelajar yang diberi bimbingan atau nasihat yang positif. Mereka akan menjadi lebih berdisiplin, cekal dan berminat dengan subjek seni itu. Ketiga ialah melahirkan tenaga professional dalam pelbagai bidang. Sebagai sebuah negara yang sedang membangun, kita amat memerlukan ramai tenaga professional. Jurutera, arkitek, doktor, saintis dan penguam merupakan bidang kerjaya yang amat diperlukan oleh negara. Akibat kekurangan itu, kita terpaksa mengimport dari luar negara. Dalam bidang kerjaya, seni boleh memainkan peranan besar untuk membentuk generasi hari ini bagi memilih kerjaya yang sesuai dengan minat mereka. Selain untuk keperluan negara, pelajar yang memilih bidang ini boleh merancang untuk membentuk satu profesion baru. Menjadi seniman sepenuh masa

contohnya. Walaupun negara kita masih baru dalam bidang ini, namun telah terdapat ramai artis yang mampu hidup mewah dengan menjadikan seni sebagai satu profesion sepenuh masa. Keempat peranan seni visual dengan cara memupuk dan mendidik sifat kecintaan pada seni dan estetika. Negara perlu memikirkan satu kaedah yang berkesan bagaimana seni ini perlu dijadikan teras kepada pembentukan masyarakat. Seni boleh dijadikan satu formula membentuk masyarakat yang cinta kepada nilai-nilai keindahan. Pada hari ini melalui sebuah agensi kerajaan, kita melihat beberapa agenda penting disambut setiap tahun. Pelbagai aktiviti dan perayaan dianjurkan oleh kerajaan dengan pelbagai bentuk kebudayaan. Antaranya program Tahun Melawat Malaysia anjuran Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan. Selain daripada itu, ada pelbagai program lain yang dianjurkan bertujuan untuk menarik para pelancong. Program seperti ini wajar diadakan dan dipergiatkan lagi. Namun apa yang penting di sini ialah penglibatan masyarakat masih lagi tidak menyeluruh. Terutama sekali ialah kesan penghayatan masyarakat terhadap aktiviti yang dijalankan itu. Kelima memupuk perasaan sayang pada seni dan warisan dalam masyarakat. Masyarakat kita memang kaya dengan khazanah warisan budaya. Sebut sahaja keperluan harian yang digunakan di rumah kita. Pinggan mangkuk, peralatan memasak, ukiran kayu, seni batik dan tenunan atau tekstil, hamparan tikar mengkuang atau pandan, anyaman kelarai, seni binaan rumah kayu atau kampung dan seterus seni budaya sopan santun dan adat istiadat. Seni warisan ini sebenarnya semakin terpinggir dan hampir dilupakan. Tidak banyak lagi generasi hari ini yang mengamalkan menghulurkan tepak sirih apabila menyambut kedatangan tetamu. Kehidupan moden yang dialami hari ini telah melupuskan semua warisan itu. Seni itu wajar dipertahankan daripada hilang terus atau mengalami kepupusan. Terdapat banyak contoh yang boleh dijadikan rujukan. Seni kraftangan umpamanya seperti seni anyaman mengkuang dan seni anyaman kelerai. Seni tekat, tembikar dan banyak lagi contoh yang bileh diketengahkan. Boleh dikatakan kepentingan barangan kraf ini tidak lagi menjadi pilihan masyarakat kini.

1.2

Tahap Perkembangan Kreativiti

Berikut adalah antara beberapa pendapat yang menyatakan tentang tahap perkembangan kreativiti dalam proses kreativiti atau artistik. Pendapat pertama adalah dari Peter Mc Kellar (1967) menyatakan tahap perkembangan kreativiti sebagai peringkat iaitu persediaan,

pengeraman, penjelasan, penentuan dan pencernaan. Pendapat seterusnya, dari Viktor Lowenfeld (1969) menyatakannya sebagai tahap-tahap perlakuan dan tindakan, iaitu kepekaan, kelancaran, keanjalan, memberi makna dan pengertian baru, analisis, sintesis, kejelasan dan ketekalan mengorganisasi. Pendapat seterusnya, dari Poincar (1970) ianya menjelaskan peringkat-peringkat berikut sebagai proses kreativiti iaitu mengenalpasti, penjelasan, tidak pasti, pandang timbang dan rasionalisasi dan pendapat dari Laura H. Chapman iaitu menyatakan dalam bukunya berjudul Approaches to Art in Education, suatu kajian tentang teori-teori peringkat penghasilan kerja dan tahap kreativiti, menjelaskan bahawa proses artistik adalah merupakan fasa-fasa tidak semestinya sentiasa bersifat tekal dan sekuens. Buku ini menjelaskan bahawa tahap perkembangan kreativiti dan artistik dibahagikan kepada tiga fasa yang utama, iaitu perwujudan idea, perkembangan dan penghalusan idea dan kemahiran media.

2.0

Pengumpulan Data Dalam penghasilan tugasan ini, saya telah menjalankan kaedah pemerhatian terhadap

seorang guru Pendidikan Seni tahun 5 di sekolah saya sendiri. Beliau telah menjalankan tajuk penghasilan wau bulan pada ketika pemerhatian dilakukan. Sepanjang pemerhatian dijalankan, saya telah mencatitkan apa yang guru tersebut lakukan ketika mengajar, motivasi (memberi peneguhan) yang diberikan, pembelajaran para pelajar dan keseronokan para pelajar dalam menjalankan aktiviti. Setelah pemerhatian dijalankan, saya telah mengaitkan pengajaran dan pembelajaran tersebut dengan teori teori pembelajaran dan mengaitkannya juga dengan kaedah-kaedah seni dan peningkatan kreativiti serta imaginatif kanak kanak. Proses Penghasilan Seni Aktiviti Seni Dalam menjalankan pengajaran dan pembelajaran menghasilkan sebuah wau bulan mini, guru yang terbabit untuk pemerhatian telah menerangkan dan menggunakan unsur-unsur seni reka yang terdiri daripada enam elemen asas yang penting dalam penggubahan sesuatu karya seni visual iaitu garisan, rupa, bentuk, jalinan, ruang dan warna. - Garisan ialah cantuman dari satu titik ke titik yang lain dengan mempunyai jarak-jarak tertentu. Aplikasi berbagai jenis garisan dapat mencipta rupa, jalinan, ton, corak serta menimbulkan gambaran bentuk, ruang dan gerakan dalam seni visual.

3.0

- Rupa mesti mempunyai garisan luar (outline) dan sempadan yang mengelilinginya. Ianya dapat dikategorikan kepada rupa geometri dan organik. Rupa geometri lebih kepada rupa yang mempunyai sudut dan penjuru. Rupa organik pula yang mempunyai rupa bebas dan tidak terikat pada bentuk yang khusus. Rupa ialah sesuatu kawasan yang berbeza dari ruang di sekeliling dan bersifat 2-D (tidak berjisim). Merupakan hasil pertemuan antara penghujung garisan dan permulaannya. - Bentuk mempunyai struktur jisim dan isipadu. Terdapat 2 jenis bentuk iaitu bentuk konkrit dan bentuk ilusi. Bentuk dapat dihasilkan melalui lukisan, catan, arca, komputer dan kraf tradisi. Bentuk konkrit ialah bentuk sebenar yang bersifat 3 dimensi. Bentuk ilusi ialah bentuk yang dilihat melalui gambar atau ilustrasi. Ianya bersifat rata dan boleh dihasilkan melalui lakaran, catan dan lukisan berkomputer 3 dimensi. - Jalinan merujuk kepada kesan yang terdapat pada permukaan sesuatu objek. Ia dapat menunjukkan kesan rasa dan ekspresi sesuatu objek kepada kita. Jalinan terbahagi kepada dua iaitu; jalinan sentuh dan jalinan tampak. Jalinan sentuh ialah jalinan yang dapat dirasai melalui sentuhan, contohnya kulit buah durian (alam semula jadi) dan jahitan sulaman (alam buatan manusia). Jalinan tampak pula jenis jalinan yang hanya dapat dilihat tetapi tidak dapat dirasa melalui sentuhan. - Ruang merupakan kawasan yang dikelilingi oleh garisan, atau kawasan kosong di sekeliling objek, atau jarak antara dua objek. - Warna ialah pigmen pewarna kimia yang bertindak balas pada sesuatu permukaan. Warna terbahagi kepada tiga kumpulan utama iaitu warna asas, warna sekunder dan warna tertier. Warna asas terdiri daripada warna biru, merah dan kuning; dan ianya boleh menghasilkan warna sekunder dan warna tertier. Warna sekunder pula terdiri daripada warna hijau, jingga dan ungu; dan dapat dihasilkan daripada campuran dua warna asas. Sementara itu, warna tertier terhasil daripada percampuran warna asas dan sekunder. Kesemua unsur yang dinyatakan diatas telah digunakan oleh pelajar dalam menghasilkan karya wau bulan mini mereka.

4.0 4.1

Kreativiti Kanak kanak Pengertian Kreativiti Kreativiti berasal daripada perkataan Latin iaitu creare yang membawa maksud

membuat. Manakala daripada perkataan Greek pula creare bermaksud memenuhi. Kamus Dewan, (2002) mentakrifkan kreativiti sebagai satu kemampuan (kebolehan) mencipta daya kreatif, kekreatifan manakala kreatif pula sebagai mempunyai kebolehan mencipta, menghasilkan dan mengembangkan sesuatu idea baru dan asli. Kreativiti adalah kebolehan dan kemampuan seseorang menghasilkan sesuatu yang kreatif, baru dan asli. Ada juga pendapat yang mentakrifkan kreatif dan kreativiti sebagai penghasilan sesuatu yang tidak ada sebelumnya. Pandangan Tokoh tokoh Seni Visual Mengenai Kreativiti Ellis Paul Torrance atau lebih dikenali sebagai Paul Torrance merupakan penyelidik dan ahli akademik yang tersohor dalam bidang kreativiti. Kerja-kerja penyelidikannya di dalam mendalami bidang ini telah berjaya mengembangkan bidang kreativiti dan beliau telah diiktiraf dengan gelaran Bapa Kreativiti. June King McFee pula mentakrifkan kreativiti itu sebagai keupayaan seseorang mencipta sesuatu yang baru dan pada masa yang sama mampu untuk mengolah idea. Carl Rogers telah menggariskan lima faktor yang menjadi asas kepada individu yang sihat, yang dapat berfungsi dengan sepenuhnya dalam kehidupan. Kelima-lima faktor tersebut ialah keterbukaan kepada pengalaman, cuba menikmati kehidupan yang dialaminya, menghargai diri sendiri, mengamalkan kebebasan dan akhirnya menjadi individu kreatif. Beliau percaya bahawa individu yang bebas dan mempunyai rasa tanggungjawab akan cuba menyumbang kepada insan serta makhluk lain di persekitarannya. Sumbangan ini boleh dinyatakan dalam bentuk kreativiti di dalam bidang seni ataupun sains, Victor Lowenfeld menjelaskan bahawa kreativiti seseorang murid itu boleh diukur melalui empat komponen utama iaitu kelancaran, (secara spontan serta pantas), fleksibel, (mampu menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan dan situasi), keaslian (mencari idea baru dan asli) dan kepekaan (penggunaan deria pancaindera seperti melihat, merasa, mendengar, menghidu dan sentuhan digunakan secara sepenuhnya sebagi proses pengamatan dan merekod.)

4.2

4.3

Pendekatan Pengajaran Guru yang Diperhatikan Di dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual seorang guru yang

diperhatikan, pendekatan Behaviorisme telah dilaksanakan terhadap pelajar bagi membolehkan ia meresapi nilai intelektual mereka. Menurut pendekatan ini, semua gerak balas yang berlaku adalah disebabkan oleh rangsangan dan ianya boleh mempengaruhi tingkah laku pelajar. Pendekatan R-G (ransangan gerakbalas) ini telah dipelopori oleh Ivan Pavlov, Thorndike, Skinner dan John B. Watson. Jika dilihat contoh teori oleh Edward L. Thorndike, beliau memperkenalkan bahawa pembelajaran berlaku hasil gabungan S-R iaitu Stimulation (rangsangan) dan Responses (tindakbalas) dan ada perkaitannya dengan hukum pembelajaran kesediaan, latihan dan kesan. Hukum kesediaan ialah apabila seseorang itu bersedia untuk melakukan sesuatu maka tindakannya itu akan memberi kepuasan kepada dirinya sama ada dalam kesediaan psikomotor, afektif dan kognitif. Beliau memberi pandangan lagi dalam hukum latihan pula rangsangan dan tindakbalas akan bertambah kukuh sekirannya ada perulangan latihan. Manakala hukum kesan pula ia menjelaskan jika ada perubahan dari persekitaran dan menyeronokkan pula maka ia akan meningkatkan kesan pembelajaran itu sendiri dan begitulah juga sebaliknya. Pendekatan yang dijalankan tadi dapat membentuk rangsangan yang kekal bagi seseorang pelajar kerana adanya pembentukan fenomena yang menyeronokkan. Guru tersebut sangat kreatif dalam menyediakan perlaksanaan fenomena yang menyeronokkan. Penglibatan pengajaran yang menyentuh perasaan, kemahiran fizikal dan juga pemikiran dipertimbangkan dan dijalankan. Pendekatan pembelajaran secara pemikiran yang diketengahkan oleh Graham Wallas (1926) sebenarnya adalah di antara pendekatan yang baik bagi menimbulkan nilai kreativiti di kalangan pelajar yang berhubung kait dengan pemikiran mereka. Beliau telah mengelaskan kepada empat tahap yang perlu dilalui di antaranya ialah proses persediaan pelajar untuk mengenal pasti fakta dan maklumat. Pelajar lebih dimahirkan untuk mencari idea dan juga inti pati yang bakal diserapkan di dalam pengkaryaan mereka. Kemudian ialah proses Inkubasi (pengeraman) yang membolehkan pelajar untuk cuba mendapatkan ilham dalam beberapa waktu sebelum dicetuskan dalam proses iluminasi yakni terbentuknya idea-idea asli dan baru yang dapat menyelesaikan di dalam minda dan akhirnya kebolehan untuk proses verifikasi yang mana hasil pemikiran diserlahkan ke dalam bentuk karya dan penulisan. Ini telah dijalankan oleh guru

terbabit dalam menghasilkan sebuah karya seni pelajar beliau dalam menghasilkan sebuah wau bulan kertas. Menurut B.F. Skinner (1953) pula peneguhan kepada manusia akan menggalakkan satu ulangan perlakuan atau diperkuatkan. Dalam hal ini di dalam bilik darjah peneguhan yang positif akan meningkatkan tahap motivasi pelajar. Pelajar akan memperolehi satu bentuk secara berterusan seperti kata-kata pujian, menepuk bahu, memberi senyuman dan sebagainya yang membolehkan proses berkreativiti dalam diri pelajar berlaku secara positif. Dalam pengajaran dan pembelajaran yang diperhatikan, guru terbabit didapati mengamalkan motivasi kepada pelajar dengan memberi senyuman, pujian dan teguran membina kepada pelajar dalam menyiapkan hasilan seni mereka. Kita tahu peneguhan yang positiflah satu cara pendekatan yang menentukan mutu kerja pelajar berkualiti tinggi jika sekiranya disampaikan secara jelas dan bersistematik. Menurut Brophy (1981), ciri-ciri pujian yang memberi kesan di antaranya ialah memuji secara ikhlas, cepat, spesifik, usaha, tanpa pilih kasih dan respon yang spontan. Jelasnya kesungguhan guru terbabit untuk mengaplikasikan elemen seperti di atas merupakan satu titik tolak yang dapat memberi peneguhan yang positif kepada pencapaian pelajar. Justeru itu, bentuk persekitaran yang berlaku akan memberikan satu pengalaman baru untuk memajukan diri mereka bagi menghasilkan sebuah karya atau ciptaan dengan baik. Bentuk galakan ini termasuklah dengan memberi ganjaran dan juga pujian sekiranya mereka berjaya menghasilkan sesuatu karya yang kreatif dan unik dari yang lain.

5.0

Meningkatkan Daya Imaginatif Kanak-kanak Cara pengajaran pendidikan Pendidikan Seni Visual tidak sama dengan pengajaran

Matematik, Sains dan lain-lainnya, meskipun matlamatnya sama. Menurut Highet, G., (1968), pengertian pengajaran adalah tidak lengkap jika dianggap sebagai Sains sahaja. Sebaliknya, pengajaran boleh dianggap sebagai satu seni kerana ia melibatkan emosi dan nilai-nilai manusia. Pengajaran seni tidaklah sama dengan tindak balas kimia; ia lebih merupakan tindakan menghasilkan suatu lukisan, mencipta sesuatu yang baru (inovasi), memahami bahasa tampak, menghasilkan bahan kreatif dan pelbagai lagi, yang memerlukan kemantapan mental, kemahiran psikomotor berkualiti yang tidak boleh dicapai melalui teori atau formula sahaja. Seni adalah sesuatu yang subjektif dan infiniti, objektifnya luas, aktivitinya bebas (tapi terancang)

Kebolehan berkomunikasi secara terus dan telus menyebabkan guru akan mengetahui setakat mana kemampuan pelajar membuat penghasilan. Cara membetulkan kesilapan (contoh; melukis) seorang demi seorang pelajar akan membuatkan pelajar merasa diberi perhatian dan dihargai. Rangsangan dan motivasi seperti ini jarang terdapat dalam mata pelajaran lain, yang hanya membetulkan kesilapan diatas papan tulis lalu diikuti oleh semua pelajar. Ini telah dipraktikkan oleh guru terbabit dalam pemerhatian. Interaksi dua hala sangat diutamakan terutamanya dalam mata pelajaran PSV. Objektif pengajaran akan dapat dicapai dengan lebih mudah dan berkesan, yang mana diakhir pengajaran dan pembelajaran, guru dan pelajar akan berpuas hati dan bersedia untuk objektif yang seterusnya pada masa akan datang. Kanak-kanak perlu dibekalkan dengan alatan yang bersesuaian untuk dapat merangsang daya imaginasi mereka. Kreativiti dapat dihasilkan dengan memanipulasikan objek alam. Dalam meningkatkan kreativiti para pelajarnya, guru terbabit telah menggunakan pelbagai jenis alat dan media seperti:

(a)

Alatan Asas Alatan-alatan asas seperti kertas lukisan, berus, warna dan krayon.

(b)

Gambar Gambar-gambar foto ini bolehlah digunakan daripada imej yang pelbagai, contohnya

gambar pelbagai jenis bentuk wau bulan. Pelajar meniru imej di dalam foto untuk dimanifestasikan di dalam karya lukisan mereka.

(c)

Rakaman Video dan Penggunaan ICT Guru terbabit menggunakan rakaman video dan menayangkan kepada para pelajar di

bilik media atau bilik pandang dengar yang terdapat di sekolah-sekolah. Penggunaan ICT merujuk kepada penggunaan alatan digital dan elektronik dengan memanipulasikan perisianperisian yang ada. penggunaan komputer, pengimbas, kamera digital, pencetak dan Internet pembelajaran yang lebih kreatif dan menyeronokkan. Guru ini telah menunjukkan contoh-contoh karya wau bulan yang telah siap dalam bentuk persembahan Powerpoint kepada para pelajarnya.

6.0

Rumusan

Pendidikan Seni Visual adalah disiplin ilmu yang melibatkan ketiga-tiga domain manusia iaitu domain kognitif, afektif dan psikomotor yang boleh memberi sumbangan untuk membantu proses memajukan perkembangan dan pertumbuhan seseorang dari aspek jasmani, rohani, emosi dan intelektual. Melaluinya kita dapat memperkembangkan bakat, potensi, diri individu untuk menjadi anggota masyarakat yang memiliki nilai-nilai halus dan menggunakannya berlandaskan iman. Great creative energy exists in every child. This must find an outlet In expression or repression will result. Children should be allowed to draw what they wish, that they see in their minds, eyes, not that which others thik they ought to draw. Lanier : 1975:81. Adalah jelas menunjukkan bahawa keupayaan dan kesediaan kanak-kanak dalam menghasilkan kerja-kerja seni adalah berbeza antara satu sama lain berdasarkan umur, kebolehan fizikal, emosi dan kebolehan inteleknya. Kemahiran kanak-kanak amat bergantung kepada latar belakang pendidikan yang diterima menerusi corak pengajaran guru Pendidikan Seni Visual yang lepas. Menurut Gaitskell (1982), guru-guru yang mengamalkan kaedah diktator akan menghalang perkembangan kreativiti kanak-kanak berbanding dengan guru-guru yang mengamalkan kaedah yang lebih demokratik yang lebih berpusatkan kanak-kanak atau murid iaitu seperti kaedah orientasi murid berdasarkan tajuk, kaedah berorientasikan media, kaedah panduan fasilitator atau kaedah laissez-faire. Peranan guru adalah untuk membantu kanak-kanak berfikir untuk dirinya dan bukan mengarah kanak-kanak melakukan kerja-kerja untuk memenuhi kehendaknya. Mereka perlu menyediakan peluang yang lebih mencabar kepada kanak-kanak supaya pengalaman mereka bertambah dari masa ke semasa.

Rujukan

Boon Pong Ying & Ragbir Kaur. (1998). Psikologi II. Fajar Bakti Sdn.Bhd. Shah Alam.

Chapman, Laura, H. (1988). Approaches to Art in Education, Harcourt Brace Jovanovich Inc. New York

Christine Marme Thompson, (1995). The Visual Art and Early Childhood learning, The National Art Education, Association 1916 Association Drive, Reston Virginia.

Geoggry Petty.(1997). How to be better at Creativity. Kogan Page Limited. London.

Hassan Langgulung.(1997). Kreativiti Dan Pendidikan. Suatu Kajian Psikologi dan Falsafah. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Lansing, Kenneth, M. (1971). Art, Artist and Art Education. NY. Mc Graw Hill Book Co.

Ramlah Jantan & Mahani Razali.(2002). Psikologi Pendidikan. Pendekatan Kontemporari. Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Read, Herbert. (1996). (New Edition) Education Through Art, Faber and Faber, London.

Rod Taylor.(1986). Educating for Art. Critical response and development. Longman. Hong Kong.

Sharifah Alwiah Alsagoff. (1987). Psikologi Pendidikan 1. Konsep-konsep Asas Psikologi dan Psikologi Pendidikan, Psikologi Perkembangan. Longman.Selangor.

También podría gustarte