Está en la página 1de 16

Kaji pendidikan khas anak istimewa KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) kini sedang sibuk dengan transformasi pendidikan

dengan berusaha untuk mengurangkan mata pelajaran di sekolah rendah. Usaha KPM itu adalah tindakan yang amat baik yang selama ini ditunggu-tunggu oleh ibu bapa. Tidak timbul lagi masalah anak-anak kecil berada di Tahun Satu merengek mengheret beg pergi dan balik dari sekolah. Transformasi pendidikan ini melibatkan juga anak-anak yang berada di sekolah-sekolah dan program percantuman pendidikan khas. Apa yang berlaku sekarang, transformasi pendidikan tidak berlaku dalam sistem pendidikan khas, khususnya di kalangan anakanak bermasalah pembelajaran.Cuba bayangkan anak-anak istimewa kita terpaksa mengharungi lebih daripada 15 mata pelajaran dalam seminggu berbanding dengan mata pelajaran yang diajar kepada anak-anak di aliran perdana. Anak-anak di sekolah kebangsaan hanya belajar 11 mata pelajaran, sebaliknya anakanak berkeperluan khas belajar sebanyak 15 mata pelajaran. Mata pelajaran yang diikuti oleh anak-anak berkeperluan khas meliputi Pengurusan Diri, Pengurusan Tingkah Laku, Kemahiran Manipulatif, Bahasa Malaysia, Matematik, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Pendidikan Seni Visual, Pendidikan Muzik, Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan, Kemahiran Hidup Pertanian, Mencuci Kereta, Masakan, Mendobi dan Pertukangan. Berdasarkan sukatan yang telah digubal, semua murid berkeperluan khas perlu mengikuti semua mata pelajaran. Bila masa anak-anak khas dapat menguasai kemahiran sekiranya terlalu banyak mata pelajaran yang hendak disampaikan. Sebab itulah kita dapati anak-anak bermasalah pembelajaran tiada peningkatan daripada aspek proses pengajaran dan pembelajaran. Kita harus ingat bahawa anak-anak bermasalah pembelajaran adalah anak-anak yang terdiri daripada pelbagai kategori kecacatan yang dilonggokkan dalam satu kelas. Setiap individu anak-anak bermasalah pembelajaran memerlukan didikan yang selaras dengan kecacatan yang dihadapi.Keperluan anak-anak sindrom down adalah berbeza dengan keperluan anak-anak hiperaktif dan anak-anak lembam.

Sejauh manakah kurikulum untuk anak-anak bermasalah pembelajaran yang ada mampu memberi pendidikan kepada anak-anak bermasalah pembelajaran di sekolahsekolah masih diragui.Selaras dengan transformasi pendidikan, semua pihak yang terlibat dengan pendidikan untuk golongan bermasalah pembelajaran harus peka terhadap keperluan individu mereka. Sistem melonggokkan pelbagai kategori kecacatan dalam satu kelas seharusnya dikaji semula. Begitu juga dengan kurikulum yang hendak disampaikan kepada mereka agar matlamat pendidikan khas itu tercapai, bukan sekadar membina kurikulum yang berlambak tapi tidak mendatangkan menafaat kepada anak-anak kita yang berkeperluan khas. ARKIB : 07/12/2009 Kompleks PERMATApintar Oleh NIZAM YATIM pengarang@utusan.com.my BANGI 6 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan memperhebatkan pendidikan kanak-kanak yang mempunyai kecerdasan minda (IQ) dan kognitif luar biasa bagi memastikan mereka dapat memperkembangkan kebolehan masing-masing ke peringkat lebih tinggi. Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan telah memutuskan untuk membina Kompleks PERMATApintar Negara di dalam kawasan kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini bagi memberikan pendidikan khusus kepada kanak-kanak pintar berusia 16 tahun. Beliau berkata, sebagai permulaan sebanyak 150 kanak-kanak pelbagai kaum akan memulakan pengajian di kompleks terbabit pada 2011 dan jumlah itu akan ditambah sehingga 300 orang pada tahun-tahun akan datang. ''Langkah ini bersesuaian dengan hasrat kerajaan untuk melakukan transformasi sekali lagi terhadap negara kita dan membentuk model ekonomi baru bagi menjadikan Malaysia negara maju yang berpendapatan tinggi.

''Kita akan memperhebat lagi program ini dengan menambah bilangan yang terlibat dan meningkatkan kualiti pendidikan kerana jumlah yang pintar adalah ramai iaitu dengan anggaran tiga hingga lima peratus daripada keseluruhan kanak-kanak di negara ini," katanya. Beliau berucap merasmikan Perkhemahan Cuti Sekolah PERMATApintar 2009 di UKM di sini hari ini. Turut hadir isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Naib Canselor UKM, Tan Sri Profesor Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin. Sebelum itu, Najib turut menyempurnakan upacara pecah tanah kompleks seluas lapan hektar itu dan menanam kapsul masa untuk tempoh 25 tahun yang mengandungi catatan harapan beliau dan Rosmah terhadap program pendidikan pelajar pintar di negara ini. Pembinaan kompleks itu akan memberi peluang kepada pelajar pintar untuk merasai situasi pembelajaran di menara gading, sekali gus berpeluang mendekatkan diri dengan suasana berkonsepkan penyelidikan. Projek pembinaan dibahagikan kepada dua fasa dengan fasa pertama dijangka siap 2011 merangkumi bangunan pentadbiran, kelas pembelajaran, bangunan makmal, kafetaria dan dewan serbaguna manakala pembinaan fasa kedua membabitkan sebuah auditorium, dewan makan, asrama, bangunan kelas pembelajaran, makmal dan kolam renang. Selain menitikberatkan orientasi pembelajaran dalam bangunan, kompleks itu mengambil kira suasana pembelajaran kondusif meliputi interaksi sesama manusia dan alam semula jadi. Menurut Najib, langkah menyediakan pendidikan khusus untuk kanak-kanak pintar adalah bagi memenuhi ruang kosong yang wujud berikutan kerajaan kini hanya memberikan tumpuan kepada pelajar biasa dan mereka yang memerlukan pendidikan khas kerana cacat.

Menurut beliau, program kedua yang telah dibuat untuk pelajar pintar ialah mengadakan perkhemahan cuti sekolah dengan kerjasama Universiti John Hopkins, Amerika Syarikat di UKM yang melibatkan 405 kanak-kanak berusia sembilan hingga 15 tahun dari 30 November hingga 18 Disember ini. ''Saya lihat kanak-kanak yang menyertai program ini telah menunjukkan kebolehan memberangsangkan termasuk tahu memecah kod rahsia dan saya yakin mereka boleh menjadi saintis yang bekerja dalam perisikan tentera. ''Terdapat di kalangan mereka yang sudah tahu bagaimana hendak mereka bentuk 'roller coaster' robot dan juga mengkaji bagaimana taufan terhasil yang amat berguna bagi menghadapi fenomena perubahan cuaca,'' katanya. Kata beliau, bakat kanak-kanak berkenaan kalau dipupuk dan dikembangkan secara saintifik akan membolehkan lahir satu generasi baru rakyat Malaysia yang lebih berkemampuan dalam semua aspek. ''Langkah ini dibuat kerana kita sedar bahawa dalam membentuk sebuah tamadun yang gemilang, maka tiang seri mesti merupakan proses pembelajaran dan pengajaran yang boleh melahirkan masyarakat yang berteraskan ilmu. ''Kita juga sedar bahawa empayar yang boleh bertahan lama bukan yang menggunakan kekuasaan ketenteraan tetapi yang berasaskan kekuatan minda,'' ujarnya.

ARKIB : 13/11/2009 Sekolah khas mampu lahir bakat baru PUTRAJAYA - Kerjasama erat antara Kementerian Pelajaran Malaysia dengan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dilihat mampu meneroka bakat-bakat baru dalam arena sukan paralimpik tanah air.

Hubungan rapat itu selari dengan usaha kerajaan yang mahukan setiap penduduk di negara ini aktif bersukan tidak kira sama ada mereka insan normal atau kurang upaya (OKU). Mengulas lebih lanjut, Presiden MPM, Datuk Zainal Abu Zarin berkata, kerjasama yang terjalin dengan Kementerian pelajaran Malaysia menerusi sekolah-sekolah khas seluruh negara mampu memberikan kelebihan kepada sukan paralimpik. "Kami percaya banyak bakat-bakat baru berada di sekolah ini dan berharap kita mempunyai perancangan yang baik untuk membawa mereka ke tahap sepatutnya. "Malah, jika ia direalisasi, matlamat untuk mencipta atlet-atlet remaja dalam empat tahun akan datang bakal tercapai, khususnya penyertaan mereka dalam Sukan Paralimpik Remaja yang diadakan setiap empat tahun sekali itu," katanya. Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian cek bernilai RM120,000 oleh Yayasan Perniagaan dan Industri Jepun, Malaysia (Jactim), semalam. Jactim telah memberi sumbangan lapan tahun berturut-turut untuk tujuan pembelian peralatan dan kelengkapan sukan atlet-atlet paralimpik negara. Turut hadir, Pengerusi Jactim, Kenji Kojima; Menteri Kedutaan Jepun di Malaysia, Takashi Hoshiyama dan Pengarah Bahagian Pendidikan Khas, Bong Muk Shin. Dalam perkembangan sama, Zainal memberitahu, bantuan dana berterusan turut memberi ruang kepada MPM untuk meneroka sukan-sukan paralimpik baru. "Kita akan memperkenalkan sukan-sukan paralimpik baru jika mendapat kelengkapan yang sesuai dan baru. "Contohnya tahun lalu, kita mendapat tajaan untuk membeli kapal layar dan ini membuka ruang permulaan kepada atlet kita untuk meneroka sukan tersebut seterusnya bersaing mengharumkan nama negara." jelasnya.

ARKIB : 29/10/2009 Kumpul dana untuk pendidikan kanakkanak DALAM tempoh dua bulan yang akan datang, Procter & Gamble Malaysia (P&G) akan mengumpul dana bagi memanfaatkan keperluan pendidikan kanak-kanak istimewa. Kempen 'Beli Satu Pek, Sokongi Pendidikan' akan dilancarkan di semua kedai di seluruh negara, dan wang yang dijana melalui penjualan produk-produk P&G akan digunakan untuk bantuan pendidikan bagi kanak-kanak istimewa. Melalui program Open Minds, P&G akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menyalurkan dana kepada kanak-kanak istimewa terpilih di serata negara. Ketua Pegawai Eksekutif Negara P&G, Yuri Hermida, berkata kempen 'Beli Satu Pek, Sokongi Pendidikan' yang menjangkaui rantau ASEAN turut menandakan ulang tahun ke-10 program CSR Open Minds, yang komited ke arah membantu dan memperbaiki masa depan kanak-kanak istimewa di seluruh dunia. "Kempen oleh P&G ini adalah satu saluran untuk konsumer prihatin membawa perubahan ke dalam kehidupan kanak-kanak istimewa. "Sejak penubuhan program CSR Open Minds dalam tahun 1999, kami telah menyumbang lebih RM6 juta ke arah memperbaiki kehidupan lebih 5,000 orang kanakkanak istimewa di seluruh Malaysia," katanya. Beliau menambah bahawa kempen tersebut akan memanfaat kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran seperti autisme, disleksia dan dysaraphia. Keperluan pendidikan khas untuk kanakkanak kurang bernasib baik mendapat perhatian.

Kanak-kanak dengan masalah pembelajaran seringkali mengalami kitaran kegagalan akademik dan keyakinan diri yang rendah. Dan berbanding dengan hilang upaya fizikal, masalah pembelajaran seringkali 'tersembunyi', sekali gus menyukarkan proses untuk mengenalpasti jenis hilang upaya itu dan sokongan pendidikan yang diperlukan. "Kami berharap bahawa melalui kempen 'Beli Satu Pek, Sokongi Pendidikan', kami dapat meningkatkan kesedaran mengenai cabaran-cabaran yang dialami oleh kanakkanak istimewa yang mempunyai masalah pembelajaran. "Sokongan kami terhadap bantuan pendidikan bukan hanya merangkumi kurikulum sekolah, ia turut melibatkan aktiviti-aktiviti untuk membina dan membentuk keyakinan serta kebebasan kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran," katanya. Sepanjang bulan Oktober dan November, orang ramai juga boleh menyokong kempen dengan membeli produk-produk P&G di sebarang stor di Malaysia. Sumbangan tersebut akan membantu memperbaiki kehidupan kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran dengan memberikan mereka peluang pendidikan yang sepatutnya.

Kanak-kanak berkeperluan khas

RAMAI orang yang beranggapan bahawa orang kurang upaya (OKU) adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai kecacatan fizikal seperti terencat akal, cacat anggota, pekak , bisu dan buta. Tidak ramai yang mengetahui bahawa kanakkanak yang mengalami masalah pembelajaran adalah sebahagian daripada mereka yang dikategorikan sebagai OKU di bawah masalah pembelajaran. FAHAMI situasi kanak-kanak berkeperluan khas bagi mengelakkan mereka dibelenggu masalah dalam pelajaran di sekolah dan dalam kehidupan seharian.

Secara amnya, terdapat enam kategori keperluan khas di Malaysia yang layak didaftarkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapatkan kad OKU. Kategori tersebut ialah kurang upaya pendengaran, penglihatan dan fizikal, cerebral palsi, masalah pembelajaran dan lain-lain. Di bawah kategori masalah pembelajaran ini adalah kumpulan kanak-kanak yang mengalami lewat perkembangan (Global Developmental Delay) iaitu untuk kanak-kanak yang berusia kurang dari 3 tahun, kanak-kanak Sindrom Down, autisma, kurang tumpuan dan hiperaktif - lebih dikenali sebagai Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD), dan juga kanak-kanak terencat akal (Intellectual impairment) yang berumur lebih dari 3 tahun.

Selain itu masalah pembelajaran spesifik seperti dyslexia (kesukaran dalam menulis, mengeja dan membaca) dan dyscalculia (sukar mengira) juga termasuk dalam kategori keperluan khas. Kebiasaannya, guru-guru berhadapan dengan kanak-kanak yang sukar untuk mengikuti pembelajaran di sekolah dan sebahagian daripada mereka dilabelkan sebagai bodoh, dungu, lembab dan nakal kerana tingkahlaku mereka yang kadang-kala mengganggu kelas. Ramai pelajar yang masih gagal menulis nama sendiri, tidak mengenal warna dan bentuk, serta sering gagal melakukan kerja sekolah kerana tidak faham soalan dan sebagainya. Ramai yang beranggapan sekiranya kanak-kanak ini tidak dapat membaca, ianya adalah disebabkan mereka malas dan tidak minat belajar. Kebanyakan mereka akan diletakkan di kelas terakhir dan diajar oleh guru-guru pemulihan. Guru-guru akan membantu pelajar ini sedaya upaya agar mereka dapat belajar seperti pelajar lain. Sesungguhnya mengajar di kelas pemulihan memerlukan banyak kesabaran dan sedikit peningkatan dalam pembelajaran kanak-kanak ini adalah satu kepuasan bagi guru-guru ini. Pun begitu, ramai juga guru-guru yang kecewa setelah usaha mereka tidak menampakkan hasil. Ini adalah titik permulaan di mana pelajar-pelajar ini patut dirujuk kepada pakar psikiatri untuk penilaian seterusnya. Ramai yang tidak mengetahui dan ramai yang juga tertanya-tanya mengapa perlu dirujuk kepada pakar psikiatri sedangkan anak-anak mereka normal dan tidak mengalami penyakit mental. Sebenarnya masalah pembelajaran adalah salah satu masalah yang dilihat di klinik psikiatri. Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) adalah salah satu hospital yang memberikan perkhidmatan ini. Kebiasaannya, pelajar boleh dirujuk oleh guru-guru, ibu bapa ataupun oleh doktor dari mana-mana klinik terus ke Unit Bimbingan Kanak-kanak dan Remaja di Klinik Psikiatri. Penilaian asas oleh jururawat yang terlatih ke atas pelajar-pelajar ini akan dilakukan pada sesi pertama. Penilaian termasuklah ujian untuk mengetahui secara kasar IQ (Intelligent Quotient) pelajar dan beberapa set soal selidik berkaitan tingkah laku pelajar dan masalah pembelajaran. Seterusnya pelajar-pelajar ini akan diberikan tarikh temujanji untuk bertemu doktor. Kebiasaannya selepas penilaian dilakukan oleh doktor dan disokong oleh laporan akademik pelajar dari pihak sekolah, sekiranya ternyata mereka mempunyai masalah pembelajaran, pelajar ini akan dirujukkan ke JKM untuk pendaftaran OKU dan ke Jabatan Pendidikan Negeri untuk penempatan yang sesuai. Ini adalah amat perlu untuk

memastikan mereka mendapat pembelajaran yang lebih baik dalam konteks suasana belajar yang lebih selesa berbanding dengan kelas biasa di mana rakan-rakan yang lain adalah pelajar yang tidak mengalami masalah pembelajaran. Pada masa yang sama, penilaian dari segi emosi juga dilakukan kerana tidak dapat dielakkan pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran ini akan mengalami perasaan rendah diri atas kekurangan mereka dan kemungkinan mengalami tekanan emosi. Pun begitu, ada juga di kalangan ibu bapa yang kurang bersetuju dengan status OKU dan tidak mahu anak-anak mereka dirujukkan ke sekolah dengan pendidikan khas. Ini adalah antara masalah yang dihadapi oleh doktor dan kebiasaannya sebelum rujukan dibuat, perbincangan secara mendalam dengan ibu bapa dijalankan agar mereka tidak salah anggap dan faham mengapa kanak-kanak ini perlu dirujuk kepada pakar. Penting untuk doktor menerangkan tentang kelebihan pendaftaran OKU ini, lagipun pihak kerajaan telah memberi banyak peruntukan untuk OKU. Sementara itu, kanak-kanak ini akan dirujukkan ke unit pemulihan cara kerja untuk penilaian lanjut oleh jurupulih cara kerja di HUSM. Selepas penilaian, jurupulih cara kerja yang memang terlatih dengan masalah pembelajaran ini akan melakukan terapi yang bersesuaian kepada pelajar-pelajar ini. Kebiasaannya, mereka akan dikenalpasti mengalami masalah seperti sensori integrasi dan pengamatan yang menyebabkan mereka mengalami kesukaran dalam pembelajaran di dalam bilik darjah. Latihan di unit ini perlu dilakukan secara berkala untuk memastikan keberkesanan terapi. Pada masa yang sama, pelajar berkenaan akan dirujuk ke unit pertuturan sekiranya mempunyai masalah pertuturan dan unit-unit lain yang berkaitan sekiranya perlu. Ini adalah satu rawatan yang komprehensif untuk kanak-kanak dengan masalah pembelajaran. Di sini jelas menunjukkan bahawa masalah pembelajaran bukanlah satu masalah yang mudah tetapi ianya adalah satu masalah yang memerlukan kerjasama dari banyak pihak untuk memastikan pelajar ini mendapat peluang belajar sebagaimana pelajar normal yang lain. Adalah penting untuk ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang lemah dalam pembelajaran menghantar anak-anak mereka untuk penilaian lanjut. Begitu juga guruguru yang mengenalpasti pelajar-pelajar terutamanya mereka yang gagal dalam KIA 2M untuk menjalani penilaian lanjut agar diagnosis boleh dilakukan dan mereka mendapat tempat yang sepatutnya dalam sistem pendidikan.

ARKIB : 22/10/2009 Yayasan IJN bantu kanak-kanak SD Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA

MEREKA lahir sebagai kanak-kanak istimewa yang menuntut penjagaan dan perhatian lebih sedikit. Ini kerana gejala sindrom down (SD) yang dihidapi tidak membolehkan golongan ini menjalani kehidupan secara normal seperti kanak-kanak normal lain. SD merupakan penyakit konginetal apabila seseorang itu dilahirkan mempunyai tiga salinan kromosom 21. Sedangkan bagi seorang yang normal, mereka sepatutnya hanya mempunyai dua salinan kromosom ini. Kecacatan yang dihadapi ini merupakan masalah genetik paling utama yang menjadi penyebab masalah terencat akal. Kelemahan sistem pertahanan badan dan kekerapan jangkitan juga boleh berlaku dengan peratus lebih tinggi terhadap kanakkanak SD ini. Kelahiran kanak-kanak SD Malaysia adalah satu daripada 660 kelahiran hidup dan kadar ini sangat tinggi jika dibandingkan dengan Amerika Syarikat di mana satu daripada 1,000 bayi dilahirkan menghidap SD. sebilangan kanak-kanak SD turut mengalami masalah kesihatan lain seperti jantung berlubang. - Gambar hiasan

Selain kecacatan dari segi fizikal dan mental, sebilangan kanak-kanak SD juga kerap mengalami masalah kesihatan lain seperti jantung berlubang. Dalam hal ini, masih ramai ibu bapa atau masyarakat yang cetek pengetahuan tentang penyakit yang tidak boleh diubati itu dan bagaimana untuk mengendalikan kanak-kanak istimewa ini. Sehubungan itu, Yayasan Institut Jantung Negara (IJN) akan mengadakan seminar sehari bertajuk Beri Saya Peluang (Give Me A Chance) di Auditorium Institut Jantung Negara, di Kuala Lumpur. Menurut Pengurus Besarnya, Alawiyah Yussof, kebiasaannya kanak-kanak yang mengalami SD ini tidak tahu dikendalikan oleh ibu bapa malah segala keperluan mereka juga tidak dipenuhi. ''Seminar sehari ini sebenarnya menyasarkan kepada ibu bapa yang mempunyai anakanak sindrom down, tenaga pengajar serta bakal ibu bapa. ''Ia amat berguna kerana di seminar ini nanti kumpulan sasaran akan diberi peringatan, pengetahuan serta kesedaran akan keperluan dan keprihatinan terhadap anak-anak istimewa ini,'' ujarnya ketika ditemui Utusan Malaysia di Insitut Jantung Negara (IJN), baru-baru ini. Tambah beliau, seminar tersebut merupakan aktiviti yang kedua diadakan pada tahun ini dalam usaha mengumpul dana untuk membantu kanak-kanak istimewa ini menjalani rawatan di IJN. Jelasnya, biar pun kanak-kanak SD ini berbeza daripada kanak-kanak normal tetapi tidak bermakna mereka harus disisihkan seolah-olah tiada ruang di dunia ini untuk mereka. Mengulas lanjut mengenai seminar tersebut, Alawiyah berkata, ia akan diadakan pada 7 November ini bermula 9 pagi hingga 5 petang. Penceramah-penceramah yang dijemput untuk membentangkan kertas kerja merupakan penceramah yang pakar dalam bidang tersebut dan antara topik yang akan disentuh ialah berkaitan dengan pendidikan pembangunan kanak-kanak SD dan juga proses pembesaran dan keperluan kanak-kanak istimewa ini. Untuk itu, pihaknya menyasarkan kutipan RM25,000 hingga RM30,000 sepanjang seminar tersebut berlangsung. Ini kerana setiap tahun Yayasan IJN memerlukan sekitar RM2 juta hingga RM3.5 juta bantuan kewangan untuk menampung kos rawatan dan keadaan itu adalah disebabkan mereka (pesakit) terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.

Katanya, kos rawatan dan pembedahan yang tinggi menyebabkan mereka tidak mampu untuk menampung caj rawatan dan bil hospital sepenuhnya. ''Walaupun mereka telah mendapat sumbangan daripada kerajaan tetapi ia masih tidak mencukupi untuk menampung rawatan susulan selepas pembedahan dan rawatan lain,'' jelasnya. Tambah beliau, terdapat beberapa syarikat swasta yang menghulurkan dana secara tetap setiap tahun kepada yayasan itu manakala organisasi lain dan pihak individu pula akan menghulurkan sumbangan pada bila-bila masa. Antara syarikat dan organisasi yang menyumbang kepada yayasan itu ialah Pfizer Malaysia, AirAsia dan Yayasan Tenaga Nasional. Bantuan yang dihulurkan bukan sahaja berbentuk wang ringgit malah ada yang turut serta menjadi rakan kongsi pada setiap program yang dianjurkan. Yayasan IJN ditubuhkan pada tahun 1995 bertujuan mengumpul dana bagi memberi rawatan kepada pesakit-pesakit jantung di institut berkenaan. Alawiyah berkata, dengan bantuan seperti ini, yayasan tidak pernah mengalami masalah tidak cukup dana terutamanya apabila pesakit yang berkelayakan datang memohon bantuan daripada yayasan secara kecemasan. ''Pada asalnya yayasan ini untuk membantu pesakit miskin yang mengalami kes kecemasan, membiayai program penyelidikan di IJN serta latihan lanjut kepada para doktor dan paramedik lain. ''Untuk seminar ini, pihak kami menetapkan kutipan syiling sebanyak RM25 ribu dan keperluan ini dijangka bertambah memandangkan kos perubatan yang semakin meningkat,'' katanya. IJN merawat tiga golongan pesakit iaitu kakitangan atau pesara kerajaan, pesakit mampu bayar dan pesakit kurang mampu bukan kakitangan kerajaan seperti pesawah, nelayan dan sebagainya. Bagi mereka yang berminat untuk menyertai seminar ini atau individu serta syarikatsyarikat swasta yang ingin menyalurkan sumbangan bolehlah menghubungi pejabat Yayasan IJN di talian 03-26006219 (Siti). Yuran penyertaan sebanyak RM120 akan dikenakan untuk setiap penyertaan dan tempat duduk adalah terhad kepada 150 orang peserta.

Menangani anak-anak hiperaktif


Oleh ZUHAYATI YAZID

KANAK-KANAK lasak yang sukar duduk diam dan tidak mengikut arahan ibu bapa sering dilabelkan sebagai nakal. Mungkin ibu bapa akan pening kepala memikir bagaimana caranya menangani anak-anak yang terlalu aktif ini. Kebanyakan ibu bapa menganggap masalah ini akan beransur hilang seiring peningkatan usia mereka tanpa melakukan apa-apa.

kanak-kanak hiperaktif hanya mengalami ketidakseimbangan sistem neuro di dalam otak yang menjadikan mereka sukar mengawal diri.

Di sebalik kenakalan itu, kemungkinan besar tersembunyi masalah yang perlu dirujuk kepada pakar perubatan. Mereka mungkin berada dalam kelompok kanak-kanak hiperaktif atau mengalami gangguan kecelaruan tumpuan dan kelasakan (ADHD) Ia merupakan satu masalah tidak normal pada bahagian otak yang membuatkan kanakkanak itu bersikap aktif sejak lahir, berkelakuan mengikut gerak hati, perhatian mudah berubah serta sukar mengasingkan maklumat. Mengenali kanak-kanak hiperaktif dan memahami langkah menghadapi kesukaran sepanjang mengurus mereka akan membantu ibu bapa menyelesaikan masalah dengan baik.

Menurut Perunding Psikiatrik Kanak-kanak Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Subash Kumar Pillai, ADHD sukar dikesan dan ia tidak mudah didiagnosis disebabkan tiada simptom boleh dilihat seperti penyakit-penyakit lain namun tahap kenakalan kanak-kanak berkenaan berbeza dengan rakan seusia. Katanya, kebanyakan anak kecil yang mengalami masalah ini hanya dirujuk kepada pakar selepas usia enam hingga sembilan tahun. "Bukan mudah untuk diagnosis tanda masalah kerana dari mata kasar, kanak-kanak ADHD sama seperti rakan-rakan seusia yang lain. Pada usia itu mereka mula lasak dan nakal disebabkan rasa ingin tahu sesuatu yang baru.

"Perbezaan antara ADHD dengan nakal ialah tahap tingkah laku. Kanak-kanak nakal akan mendengar cakap tetapi bukan anak kecil yang mengalami ADHD. Mereka tidak mahu mendengar arahan atau belajar daripada kesilapan. Dia akan terus melakukan kesilapan berulang kali. "Jika anda meletakkan 10 budak nakal dan 10 kanak-kanak ADHD dalam satu kumpulan, anda masih tidak nampak kelainan. Cuma nakal biasa, mereka masih tidak boleh dikawal manakala ADHD amat susah dikendalikan sehinggakan kita menyangka mereka menghadapi masalah tingkah laku,'' ujarnya melalui laman web www.jomlayan.com. Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 1996 mendapati 333,000 kanak-kanak atau 4.3 peratus mengalami masalah ADHD. Jika tidak diberi rawatan lebih awal, 60 peratus daripada individu ini akan membesar sebagai orang dewasa bermasalah sehingga mendorong melakukan perkara yang menyalahi undang-undang. Disebabkan ADHD mempengaruhi genetik, seseorang bapa boleh mewariskan sindrom ini kepada anak lelaki mereka. Keadaan ini juga menjadikan kanak-kanak lebih cenderung mengalami ADHD sebanyak tiga kali ganda berbanding budak perempuan. Katanya, masalah ini boleh dipanggil penyakit yang tidak nampak kerana secara realiti, mereka sihat malah kebanyakan mempunyai tahap setara individu biasa dan lebih menakjubkan sebilangan besar mempunyai kebolehan serta bakat seni luar biasa. ''Kanak-kanak ini sebenarnya tidak sakit. Mereka hanya mengalami ketidakseimbangan sistem neuro di dalam otak menjadikan mereka sukar mengawal diri. Penyakit ini juga bukan berpunca daripada pemakanan, pengambilan gula berlebihan, alahan atau terpengaruh dengan televisyen.

''Hakikatnya semua bayi dilahirkan ke dunia ini mempunyai kebolehan untuk belajar, tetapi terpulang kepada ibubapa untuk mencorakkannya. Kurang pengetahuan atau tidak tahu masalah anak menyebabkan sesetengah kanak-kanak ini terbiar tanpa sebarang rawatan,'' katanya. Katanya, ADHD perlu dirawat segera sebaik disedari kerana ia menyebabkan beberapa masalah sampingan seperti perasaan rendah diri, kurang yakin dan lemah pencapaian akademik. "Dalam situasi ini, ibu bapa seharusnya tidak kecewa jika anak mereka didapati mengalami masalah ini, bawalah mereka bertemu pakar supaya tingkahlaku ini tidak terbawa-bawa ke alam dewasa. mereka masih berpotensi menjalani hidup normal seperti individu lain,'' katanya.

Di bawah ini, disenaraikan beberapa tip yang boleh digunapakai oleh ibu bapa sebagai panduan. Ia turut diperjelaskan menerusi laman web www.sabda.org. *Jangan menghukum kanak-kanak hiperaktif dengan memukul mereka. Ini kerana, kanak-kanak hiperaktif telah dilahirkan sedemikian dan mereka akan melalui fasa perubahan seperti kanak-kanak normal. *Jangan sesekali melabel anak hiperaktif sebagai anak yang nakal, malas atau bodoh kerana akhirnya mereka akan bersikap seperti apa yang anda *abelkan. *Dalam melatih atau mengajar kanak-kanak hiperaktif, jangan sesekali merasa bosan. Ini kerana, lama kelamaan kanak-kanak ini akan dapat menguasai apa yang anda ajarkan. *Jika kanak-kanak hiperaktif bertindak mencederakan diri dan orang lain, segera bertindak dengan menasihati atau memarahi mereka. Jika perkara tersebut berulang, minta pandangan doktor atau pakar terapi mengenai cara menanganinya. *Perbanyakkan berkomunikasi dengan kanak-kanak hiperaktif. Ini kerana, komunikasi yang bagus bakal menjadikan kanak-kanak tersebut lebih kreatif dan idealisme. *Sentiasa fokus dan berwaspada dengan segala tindakan kanak-kanak hiperaktif yang mungkin boleh mencederakan diri atau orang lain. *Ajar disiplin pada kanak-kanak hiperaktif agar pada masa hadapan, mereka dapat mengaturkan hidup dengan baik.

También podría gustarte