Está en la página 1de 5

MENINGKATKAN KEMAHIRAN DETIK DALAM METER LAZIM EMPATAN

MENGGUNAKAN KAEDAH MARBLE COME HOME DALAM KALANGAN MURID


TAHUN EMPAT

Muhammad Amir Zulhusni Bin Zulkiply


Abdul Razak Bin Abd Rahman
Jabatan Pendidikan Muzik
amirferrari94@gmail.com

ABSTRAK
Kemahiran memainkan detik dalam kalangan murid Tahun 4 Sejahtera adalah pada tahap yang
lemah. Hampir separuh tidak dapat menguasai kemahiran tersebut. Oleh itu, kajian ini dijalankan
untuk meningkatkan kemahiran memainkan detik dalam meter lazim empatan dengan
menggunakan kaedah Marble Come Home. Kaedah Marble Come Home dipilih berdasarkan
kaedah main dalam pembelajaran. Kaedah main ini sangat selari dengan jiwa kanak-kanak yang
gemar bermain. Oleh sebab itu kaedah Marble Come Home dipilih dalam manjalankan tindakan
ini. Seramai 10 orang murid telah dipilih sebagai peserta kajian. Kajian ini mengandungi satu
kitaran dan telah dijalankan selama tiga bulan. Beberapa instrumen pengumpulan data telah
digunakan sepanjang kajian ini berlangsung iaitu pemerhatian berstruktur, maklumat demografi,
ujian diagnostik, ujian pra dan pasca dan ujian formatif. Melalui perbandingan keputusan ujian pra
dan pasca, jumlah bilangan murid yang meningkat dalam kemahiran detik adalah seramai enam
orang mendapat tahap baik, tiga orang sederhana dan seorang sahaja yang lemah berbanding
ujian pra iaitu tiada seorang pun pada tahap baik, enam orang sederhana dan empat orang lemah.
Dapatan ini membuktikan bahawa kaedah Marble Come Home telah berjaya meningkatkan
kemahiran detik dalam meter lazim empatan bagi murid tahun 4 Sejahtera. Cadangan tindakan
susulan bagi kajian akan datang adalah menggunakan alat perkusi yang pelbagai dalam
memainkan detik. Tambahan pula, kemahiran detik boleh ditingkatkan kepada meter lazim duaan
dan tigaan juga selain meter lazim empatan.
Kata kunci : kemahiran detik, meter lazim empatan, main dalam pembelajaran

ABSTRACT
The skill of playing beat in pupils of Year 4 Sejahtera was at a weak level. Almost half of them
cannot master the skills. Therefore, this research was conducted to improve the skill of playing beat
in simple quadruple meter by using the 'Marble Come Home' method. The 'Marble Come Home'
method was selected based on the play-way method. This method was relevant for children that
loves to play. Therefore, the 'Marble Come Home' method was selected in this action. A total of 10
students were selected as participants for this research. The research contains one cycle and has
been conducted for three months. Some collected data were used throughout the research namely
structured observation, demographic information, diagnostic tests, pre and post test and formative
tests. By comparing the pre and post test results, the number of pupils increasing in the skills of
playing beat was six pupils getting a good level, three pupils moderate and one pupil less weak
compared to the pre test that nobody was at a good level, six pupils moderate and four pupils weak.
This finding demonstrates that the method of 'Marble Come Home' has succeeded by increasing
the skill of playing beat in simple quadruple meter for 4 Sejahtera. Proposed follow-up
recommendations for future research are by using multiples of music percussions in skill of playing
beat. Furthermore, the skill of playing beat can be increased to a simple duple meter and simple
triple meter as well as a simple quadruple meter.

Keywords : skill of playing beat, simple quadruple meter, play-way method


PENGENALAN
Menurut Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) yang telah dikeluarkan
oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), Kurikulum Pendidikan Muzik Tahap Dua
merupakan program pembelajaran untuk tiga tahun persekolahan iaitu dari Tahun Empat
hingga Tahun Enam di sekolah rendah. Kurikulum Pendidikan Muzik Tahap Dua memberi
tumpuan kepada perkembangan kognitif dan kemahiran murid dalam bidang muzik.
Dalam refleksi pengajaran dan pembelajaran, aktiviti yang dirancang adalah berkaitan
dengan permainan corak irama mudah dalam meter lazim empatan. Keseluruhan dapatan
yang diperoleh daripada sesi pengajaran tersebut lebih menjurus kepada kemahiran detik
kerana hampir kesemua murid tidak dapat memainkan corak irama mengikut tempo
perisian metronome. Antara sebab saya menjalankan kajian terhadap kemahiran detik
adalah kerana kemahiran detik merupakan salah satu elemen yang terkandung dalam
konsep irama Pendidikan Muzik. Menurut Kolb (2005) detik adalah unit denyutan yang
berulang dan berterusan. Dalam pendidikan Muzik, kemahiran detik merupakan
kemahiran yang asas yang terkandung dalam konsep irama. Harapan saya ialah
kemahiran memainkan detik dapat dipertingkatkan dengan melaksanakan kaedah Marble
Come Home dan mampu menarik minat murid untuk belajar Pendidikan Muzik.
Dalam pengumpulan data awal, saya telah menggunakan instrumen ujian diagnostik,
maklumat demografi, dan pemerhatian berstruktur. Menurut Alis Puteh (2010), pemilihan
kaedah yang sesuai untuk tinjauan dan pengumpulan data amatlah penting untuk
melaksanakan sesuatu kajian tindakan.Oleh itu, pengumpulan data awal telah dijalankan
dengan menggunakan tiga instrumen yang berbeza. Hasil dapatan menunjukkan murid 4
Sejahtera sangat lemah dalam kemahiran muzikal khususnya kemahiran detik.
Keputusan setiap instrumen telah membuktikan seramai 10 orang murid lemah dalam
kemahiran detik.
FOKUS KAJIAN
Murid-murid 4 Sejahtera mengalami masalah memainkan detik mengikut metronome.
Masalah ini telah menyebabkan kemahiran muzikal lain seperti corak irama, nyanyian dan
aktiviti pergerakan menjadi tergendala kerana saya terpaksa memberi fokus yang lebih
dalam kemahiran memainkan detik. Setelah aktiviti memainkan detik diulang beberapa
kali, murid berasa bosan dengan menunjukkan tingkah laku bermain-main dan
bersembang semasa aktiviti dijalankan. Kemahiran detik sangat perlu dikuasai terlebih
dahulu sebelum kemahiran lain. Kemahiran detik bagi murid tahun empat seharusnya
sudah pada tahap yang mahir kerana kemahiran ini sudah ditekankan pada Tahap Satu
dalam Dunia Muzik. Oleh sebab itu, saya ingin menjalankan penyelidikan terhadap
kemahiran ini supaya murid tidak tercicir dalam pembelajaran Pendidikan Muzik sekolah
rendah.
OBJEKTIF DAN SOALAN KAJIAN
Objektif Kajian :
1. Meningkatkan kemahiran memainkan detik dengan tepat dalam meter lazim
empatan dengan menggunakan kaedah Marble Come Home dalam kalangan
murid tahun empat.
2. Meningkatkan kemahiran memainkan detik dengan tepat dalam pelbagai tempo
meter lazim empatan menggunakan kaedah Marble Come Home dalam kalangan
murid tahun empat.
3. Meningkatkan kemahiran memainkan detik dengan tepat dalam pelbagai tempo
meter lazim empatan bagi permainan perkusi menggunakan kaedah Marble
Come Home dalam kalangan murid tahun empat.
Soalan Kajian :
1. Dapatkah kemahiran memainkan detik dengan tepat dalam meter lazim empatan
ditingkatkan dengan menggunakan kaedah Marble Come Home dalam kalangan
murid tahun empat?
2. Dapatkah kemahiran memainkan detik dengan tepat dalam pelbagai tempo meter
lazim empatan ditingkatkan dengan menggunakan kaedah Marble Come Home
dalam kalangan murid tahun empat?
3. Dapatkah kemahiran memainkan detik dengan tepat dalam pelbagai tempo meter
lazim empatan ditingkatkan dalam permainan perkusi dengan menggunakan
kaedah Marble Come Home dalam kalangan murid tahun empat?
PESERTA KAJIAN
Peserta kajian bagi kajian tindakan ini terdiri daripada 10 orang murid daripada 17 orang
murid Tahun 4 Sejahtera. Murid-murid yang terlibat dalam kajian ini adalah terdiri daripada
lapan orang lelaki dan dua orang perempuan. Hasil daripada perbincangan bersama guru
kelas 4 Sejahtera, kesemua murid kelas tersebut lemah dalam bidang akademik malah
ada empat orang murid yang sangat lemah dalam kemahiran membaca. Namun begitu,
terdapat dua orang murid yang melibatkan diri dalam kelas Muzik di luar sekolah. Hal ini
dapat dikenal pasti dengan bukti daripada borang maklumat demografi yang telah
diedarkan. Sepanjang menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di kelas
tersebut, saya mendapati terdapat seorang murid lelaki yang tidak menunjukkan minat
untuk belajar Pendidikan Muzik. Saya peroleh maklumat ini daripada makluman yang
disampaikan oleh guru kelas dan guru-guru bagi mata pelajaran lain juga. Murid tersebut
lebih suka menyendiri dan membuat kerja sendiri semasa guru sedang mengajar di
depan. Tambahan pula, aktiviti kumpulan muzikal yang dijalankan juga tidak mampu
menarik perhatian murid ini. Walaupun begitu, minat dan daya usaha yang ditunjukkan
dalam kelas Pendidikan Muzik oleh murid lain mampu meningkatkan semangat mereka
semua untuk belajar Pendidikan Muzik.
TINDAKAN YANG DIJALANKAN
Tindakan dijalankan selama empat minggu. Terdapat empat aktiviti yang telah dijalankan
bagi meningkatkan kemahiran detik murid 4 Sejahtera dengan menggunakan kaedah
Marble Come Home. Empat aktiviti ini adalah memainkan detik mengikut perisian
metronome dalam meter lazim empatan, memainkan detik mengikut perisian metronome
dalam pelbagai tempo meter lazim empatan, memainkan detik mengiringi lagu Budi
Bahasa dengan menggunakan alat perkusi kastenet dan memainkan detik mengiringi lagu
Budi Bahasa dengan menggunakan alat perkusi kastenet dalam pelbagai tempo.
Penyusunan aktiviti ini dibuat dengan cara semakin kompleks. Oleh itu, hal ini dapat
membantu murid meningkatkan kemahiran detik ke arah lebih baik.
Dalam mengumpul data murid, saya telah menggunakan tiga kaedah iaitu pemerhatian
berstruktur, ujian pra dan pasca dan ujian formatif. Pemilihan tiga kaedah mengumpul
data ini adalah yang palling sesuai kerana kemahiran detik diuji secara amali dan tidak
sesuai dilakukan secara bertulis. Hal ini kerana kemahiran detik lebih berkesan dinilai
secara amali.
Bagi penganalisisan data pula dibuat berdasarkan hasil dapatan data. Oleh itu, hasil
dapatan data adalah menjurus kepada kuantitatif kerana kebanyakan data dikumpul
dalam sistem numerik. Dengan penggunaan kaedah Marble Come Home, setiap
instrumen yang digunakan dalam menganalisis data telah menunjukkan bahawa murid 4
Sejahtera mendapat pencapaian yang semakin meningkat dan baik dalam kemahiran
detik. Walauopun masih ada murid yang lemah tetapi hasil dorongan rakan sekelas
mereka telah memotivasikan diri murid yang lemah. Mereka saling tolong-menolong
dalam memastikan rakan mereka berjaya menguasai sesuatu kemahiran yang diuji.
Semua instrumen analisis data menunjukkan bilangan murid yang lemah lebih sedikit
berbanding murid yang sederhana dan baik.
Selain itu, bagi cara menyemak data pula, saya telah menggunakan triangulasi data bagi
membuktikan bahawa kemahiran detik murid 4 Sejahtera benar-benar telah menunjukkan
peningkatan. Penggunaan kaedah Marble Come Home dalam meningkatkan kemahiran
detik murid sangat membantu. Di samping itu, pengaplikasian permainan perkusi kastenet
juga menjadi satu faktor berjayanya kemahiran detik dikuasai oleh murid. Kaedah Marble
Come Home jelas dapat meningkatkan kemahiran detik meter lazim empatan dalam
kalangan murid tahun empat.
DAPATAN KAJIAN
Pada akhir kajian yang telah dijalankan, saya mendapati bahawa ketiga-tiga persoalan
kajian telah dijawab. Hal ini dibuktikan dengan data-data yang telah dikumpul dan
dianalisis oleh instrumen yang sesuai. Bagi persoalan kajian yang pertama iaitu
kemahiran memainkan detik dalam meter lazim empatan telah dijawab dengan instrumen
pemerhatian berstruktur, ujian pra dan pasca dan ujian formatif. Bagi persoalan yang
kedua pula iaitu memainkan detik dalam pelbagai tempo meter lazim empatan telah
dijawab oleh instrumen ujian pra dan pasca dan ujian formatif. Bagi persoalan yang ketiga
iaitu memainkan detik dalam permainan perkusi telah dijawab oleh instrumen pemerhatian
berstruktur, ujian pra dan pasca dan ujian formatif. Dapat dijelaskan di sini bahawa,
penggunaan kaedah Marble Come Home sangat membantu murid dalam meningkatkan
kemahiran detik. Setiap persoalan tersebut juga telah menggunakan kaedah Marble
Come Home sebagai alat bagi membantu murid menguasai kemahiran detik.
REFLEKSI
Terdapat beberapa kelebihan dan kelemahan yang dapat dikenal pasti sepanjang
menjalankan kajian ini. Semasa menjalankan pengumpulan data awal, kelebihan yang
diperoleh adalah semangat murid untuk menjadi peserta kajian dalam kajian saya adalah
sangat baik. Perjalanan semasa mengutip data awal mudah dijalankan kerana murid
memberikan kerjasama yang baik. Kelemahan dalam menjalankan pengumpulan data
awal adalah saya kurang jelas cara pelaksanaan pengumpulan data awal dan
menyebabkan berlaku sedikit masalah dalam membuat analisis data awal.
Penambahbaikan yang boleh dibuat adalah saya perlu sentiasa merujuk kepada penyelia
agar masalah kurang jelas dengan pelaksanaan pengumpulan data awal diatasi.
Selain itu, pemilihan kaedah sangat sesuai dengan jiwa murid kerana saya menggunakan
kaedah yang dilaksanakan secara bermain. Murid-murid menunjukkian kesungguhan
dalam menggunakan kaedah Marble Come Home. Namun begitu, masalah yang dikenal
pasti adalah pembahagian masa saya agak lari kerana saya perlu menarik fokus murid
kembali untuk belajar walaupun sedang bermain. Murid sukar mendengar arahan yang
diberikan kerana terlalu seronok menggunakan Marble Come Home. Penambahbaikan
yang boleh dibuat adalah saya perlu menyediakan peraturan sebagai peringatan kepada
murid untuk terus kekal dalam mud belajar. Kanak-kanak harus menerima satu suasana
persekitaran yang kondusif untuk merangsang pembelajaran mereka (Ahmad Subki
Miskon dan Syed Ismail Syed Mustapa, 2013). Oleh itu, dalam bermain juga ada
diterapkan unsur ilmu kemahiran yang ingin dicapai.
Bagi perkembangan diri saya pula, kajian ini telah membantu saya dalam meningkatkan
pengetahuan dalam bidang detik. Hal ini kerana, saya telah banyak membuat rujukan
dalam kajian-kajian lepas, jurnal-jurnal dan buku-buku yang berkaitan dengan kemahiran
detik. Hal ini telah berjaya membantu saya meningkatkan pengetahuan saya bagi
kemahiran detik.
Tambahan pula, teknik pengajaran dalam bilik darjah juga dapat dipertingkatkan setelah
kajian ini dijalankan. Hal ini kerana penyusunan aktiviti yang telah dibuat dalam tindakan
sedikit sebanyak memberi idea kepada saya untuk menyediakan aktiviti yang pelbagai
dalam bilik darjah bagi menarik minat murid seterusnya meningkatkan kemahiran muzikal
murid. Dengan menjalankan kajian ini, diharapkan kemahiran detik dapat dipertingkatkan
dalam diri murid dan seterusnya dalam kemahiran muzikal yang lain juga.
CADANGAN TINDAKAN SUSULAN
Dalam pelaksanaan tindakan yang telah dijalankan, Marble Come Home telah banyak
membantu murid dalam meningkatkan kemahiran detik murid. Namun begitu, masih
terdapat seorang murid yang masih lemah dalam kemahiran detik. Cadangan tindakan
susulan yang boleh dibuat adalah dengan kaedah ini turut boleh digunakan dalam meter
lazim duaan dan meter lazim tigaan. Walaupun meter lazim empatan sering digunakan,
murid-murid juga seharusnya dilatih dengan memainkan detik bagi meter lazim tigaan dan
meter lazim duaan.
Dalam aktiviti tindakan yang dijalankan, saya hanya menggunakan alat perkusi kastenet
bagi memainkan detik. Cadangan tindakan susulan yang boleh dibuat adalah murid juga
didedahkan dengan alat perkusi yang pelbagai misalnya kayu tik-tok, loceng, blok kayu
dan lain-lain alat perkusi yang sesuai dengan tahap murid. Tujuan mempelbagaikan alat
perkusi adalah bagi memberikan pengalaman yang luas dalam permainan alat perkusi.
Kesimpulannya, saya berharap agar penggunaan kaedah Marble Come Home dapat
diperluaskan lagi dalam bidang muzikal kerana kaedah ini menggunakan kaedah bermain
dalam pembelajaran. Main merupakan aktiviti yang bermotivasi intrinsik dan dilaksanakan
semata-mata kepuasan (Mok, 2013). Oleh itu, wajarlah para pendidik Pendidikan Muzik
menggunakan kaedah bermain dalam pembelajaran dalam menyampaikan ilmu muzik
kepada murid. Kaedah main dalam pembelajaran seharusnya diaplikasikan dalam
Pendidikan Muzik bagi menarik minat murid untuk belajar Pendidikan Muzik.
RUJUKAN
Kolb, T. (2005). Music theory. Milwaukee, Wl: Hal Leonard.

Alis Puteh. (2010). Kajian Tindakan di Sekolah. Kedah Darul Aman: Pure Honey
Enterprise.
Ahmad Subki Miskon & Syed Ismail Syed Mustapa. (2013). Murid dan alam belajar. Kuala
Lumpur: Freemind Horizons Sdn. Bhd.
Kartini, A. M., Ahamad S. Y., Rosli S., Badrul H., A., O. (2012). Menguasai penyelidikan
tindakan: Untuk PISMP dan DPLI. Hulu Kinta, Perak: Insitut Pendidikan Guru
Kampus Ipoh.

También podría gustarte