Está en la página 1de 34

Syeikh Daud al-Fathoni Koleksi Tulisan Allahyarham: WAN MOHD.

SHAGHIR ABDULLAH NAMA penuh beliau ialah al-Alim Allamah al-Arif ar-Rabbani Syeikh Wan Daud bin Syeikh Wan Abdullah bin Syeikh Wan Idris (juga dikatakan Wan Senik) alFatani. Ibunya bernama Wan Fathimah anak Wan Salamah bin Tok Banda Wan Su bin Tok Kaya Rakna Diraja bin Andi (Faqih) Ali Datok Maharajalela bin Mustafa Datu Jambu (Sultan Abdul Hamid Syah) bin Sultan Muzaffar Waliullah bin Sultan Abu Abdullah Umdatuddin. Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Syeikh Daud Patani ini mempunyai lima beradik iaitu Syeikh Wan Abdul Qadir, Syeikh Wan Abdul Rasyid, Syeikh Wan Idris dan seorang adik perempuan namanya Siti Khadijah bin Abdullah al-Fathani. Syeikh Daud al-Fathani adalah keturunan Faqih Ali. Rujukan asal yang mengatakan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani berketurunan Faqih Ali diperolehi tulisan Nik Mahmud Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan iaitu: Syahdan dan pada suatu masa bulan sedang mengambang di tepi langit, tersebutlah cerita anak raja Bugis lari daripada saudaranya menumpang sebuah bahtera sampai ke Johor dan tumpang duduk berkirim diri rumah Laksamana Kota Tinggi, dipanggil Andik Ali. Tatkala Laksamana memandang kepadanya berasalah kasihan belas dan dipeliharanya sebagai anak angkatnya sendiri. Tidak berapa tahun kemudian diperjodohkan dengan anaknya Wan Tija. Tidak berapa lama selepas itu Andik Ali serta dengan isterinya pun beredar ke Patani menumpang di rumah Mekong Damit Kampung Bira pada tahun 1049 H. Maka kerana lemah lembut tingkah lakunya dan berpelajaran orang di Patani memanggilnya Faqih Ali. Di situ ia beristeri kepada Ce Dewi anak Sri Biji Diraja. Baginda sampai di Patani kira-kira tahun 1637 M. Berbalik kepada Syeikh Daud al-Fathani, beliau dilahirkan di Kampung Parit Marhum, Kerisek, Patani. Kota Kerisek ini terkenal dalam sejarah kerana di sinilah Maulana Malik Ibrahim iaitu salah seorang Wali Songo pernah tinggal dan mengajar, sebelum berpindah ke Jawa Timur. Tahun kelahirannya tidak dapat dipastikan kerana terdapat perselisihan pendapat di kalangan penyelidik mengenainya. Dalam catatan-catatan beberapa keluarga penulis yang ada hubungan dengan beliau, ada yang mencatat tahun 1133 H, 1153 H dan tahun 1183 H. Sheikh Daud dan ilmu pengetahuan Ayah Sheikh Daud iaitu Sheikh Wan Abdullah dan datuknya Sheikh Wan Idris adalah ulama besar untuk zamannya. Sejak kecil Sheikh Daud al-Fathani ditanam dan dididik dengan ajaran Islam oleh datuk dan ayahnya. Tambahan pula menjadi tradisi zaman itu di Patani sentiasa diperkenalkan Islam sejak kanak-kanak lagi. Anak-anak yang berumur lima atau enam tahun dipaksa supaya menghafal pengetahuan mengenal Allah (ilmu tauhid), dan seterusnya

diberi pelajaran nahwu dan sharaf juga secara menghafal. Syeikh Daud al-Fathani telah melalui kesemua sistem pendidikan tradisional yang ada di Patani pada ketika itu. Pada peringkat awalnya Syeikh Daud berguru dengan kaum keluarganya sendiri yang memang terkenal alim. Seorang daripada mereka ialah bapa saudaranya, Sheikh Shafiyuddin. Ada yang berpendapat bahawa Sheikh Daud al-Fathani menerima pelajaran asasnya di Patani selama lima tahun, kemudian ke Aceh belajar dengan Sheikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi selama dua tahun. Sheikh Muhammad Zain al-Asyi adalah seorang ulama terkemuka di Kesultanan Aceh. Namun yang dapat dipercayai bahawa Sheikh Daud al-Fathani dan kawankawannya telah belajar di Mekah selama 30 tahun dan lima tahun di Madinah. Disebabkan masa belajar yang lama itu beliau digelar al-Alim Allamah al-Arif arRabbani. Setelah demikian lama beliau menuntut ilmu pengetahuan, maka beliau pulang ke Patani untuk menyebarkan ilmu pengetahuan di negeri tumpah darah sendiri. Namun timbul krisis peperangan antara Patani dengan Siam pada ketika itu. Diriwayatkan bahawa beliau melibatkan diri dalam peperangan itu, terjun secara langsung di gelanggang jihad fi sabilillah. Apabila terjadi peperangan tersebut, akhirnya beliau kembali ke Mekah bersamasama beberapa pelarian politik. Sampai di Mekah, beliau dilantik menjadi Ketua Sheikh Haji dan beliau adalah orang pertama dilantik secara langsung sebagai ketua. Beliau juga melibatkan diri dengan penulisan yang merupakan hobi beliau, di samping mengajar di Masjidil Haram. Karangannya dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Arab. Karangan beliau dalam bahasa Arab tidak banyak tersebar di Asia Tenggara. Adapun dengan bahasa Melayu tersebar secara meluas, walaupun di zamannya masih merupakan kitab tulisan tangan sahaja kerana belum ada yang bercetak. Dalam beberapa karyanya, beliau mengupas masalah-masalah keilmuan. Antara lain tulisan beliau: Maka lazimkan olehmu hai saudaraku dengan menuntut ilmu yang fardu ain yang wajib atasmu. Belajar akan dia pada syarak supaya engkau dapat sahkan iktikad kamu dan ibadat kamu. Dan supaya sejahtera daripada seksanya. Dan supaya engkau akan dapat pahala, keredaan dan kasihnya. Pada mukadimah karyanya Bughyatuth Thullab, beliau menulis, ertinya Dan adapun kemudian daripada itu maka bahawasanya beberapa nafas yang cerdikcerdik yang menuntut bagi beberapa martabat yang tinggi-tinggi sentiasa perangainya itu di dalam menghasilkan beberapa ilmu syarak. Beliau juga membuat penafsiran dalam beberapa hadis. Antaranya hadis berikut, Sedikit Fiqhi itu lebih baik daripada banyak ibadat yang ertinya: Barang siapa belajar ilmu dan tiada berkehendak dengan dia akan wajah Allah s.w.t., tiada kerana-Nya melainkan supaya mengena dengan dia akan kehendaknya daripada dunia tiada akan bilik syurga yang ke atas pada hari kiamat.

Beliau mengulas tentang hadis-hadis tersebut dalam Bughyatuth Thullab seperti berikut: Maka dapat difahami hadis ini, tiada dipuji daripada kelebihan ilmu itu melainkan jikalau ada qasadnya dan tuntutnya itu berkehendak dengan dia akan wajah Allah s.w.t. dan berkehendak ia mengeluarkan dirinya daripada kelam kabut jahilnya kepada Nur ilmu. Maka jika ada qasadnya akan dunia seperti harta atau kebesaran atau gelaran atau kemegahan atau masyhur atau melengkapi muka manusia kepadanya dan lainnya maka iaitu dicela seperti barang yang tersebut pada hadis itu. Menurut beliau lagi: Maka tatkala adalah kelebihan ilmu demikian itu maka sebenarnya bahawa tiap-tiap orang yang kasih bagi dirinya kebajikan maka hendaklah ia ijtihad atas qadar kuasa pada menghasilkan dia, kadang-kadang mengaji, kadang-kadang mengajar, kadang-kadang menunjukkan orang yang jahil satu bab daripada masalah memberi manfaat pada agama istimewa pula jikalau lebih lagi. Daripada kalimat-kalimat beliau itu dapatlah kita fahami bahawa seseorang Islam yang bertanggungjawab adalah terlebih dahulu memberikan pendidikan agama Islam kepada anak-anaknya. Ini adalah merupakan kewajipan agama Islam. Adapun pendapat Sheikh Daud al-Fathani bahkan ulama-ulama di zaman lampau lebih terikat dan menitikberatkan pendidikan Islam berbanding pendidikan lainnya. Menurut Islam, yang utama dipelajari ialah belajar akan memberi faham dua kalimah syahadat, wajib taharah (bersuci), solat, puasa, hukum zakat, hukum berjual-beli menurut Islam dan lain-lainnya, semuanya telah diatur dalam fikah Islam. Sheikh Daud al-Fathani dalam Bughyatuth Thullab berkata: Selagi seseorang masih tidak mengerti akan seluk belok tentang keIslaman, maka seseorang itu tetap masih jahil, walau pengetahuan lain masih dikuasai demikian rupa. Kewafatan Sheikh Daud al-Fathani wafat dan dimakamkan di Taif. Kuburnya bersampingan dengan kubur Saidina Abdullah bin Abbas iaitu sepupu Rasulullah s.a.w.. Tahun kewafatannya juga belum diketahui dengan pasti. Tetapi ada yang berpendapat beliau wafat sekitar tahun 1847 M, juga ada yang menyebut tahun 1265 H. Menurut cerita ibu penulis Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani, beliau mendengar daripada ibunya, Hajah Wan Siti Saudah binti Abdullah bahawa jenazah beliau telah dipindahkan oleh Sheikh Nik Mat Kecik al-Fathani ke Mekah, ditanam di bawah pohon Bedara di rumahnya. Hal ini disebabkan pada zaman itu pihak Wahabi akan membongkar semua kubur yang dikeramatkan termasuk kubur Sheikh Daud al-Fathani. Bagi penulis, walaupun beliau telah lama meninggal dunia namun jenazahnya tidak hancur, darah masih berjalan kecuali nafas sahaja yang tiada.

Tok Wan Din al-Fathani - Penyalin karya Syeikh Daud al-Fathani Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH DUA orang adik beradik beliau telah diperkenalkan dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, yang terdahulu daripada ini, kedua-duanya ialah: Syeikh `Abdul Qadir al-Fathani @ Tok Bendang Daya II dan Syeikh Abdul Lathif alFathani. Yang sulung di antara mereka ialah Tok Wan Din, nama yang sebenar ialah Syeikh Wan Muhammad Zainal Abidin al-Fathani, kemudian disingkat dengan Syeikh Muhammad Zain saja. Lahir dalam tahun 1233 Hijrah/1817 Masehi di Kampung Sena Janjar, Patani. Ulama dan tokoh ini selain mendapat pendidikan dari orang tuanya Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani (Tok Bendang Daya I), seterusnya Tok Wan Din mendapat pendidikan langsung dari ulama besar yang terkenal, iaitu Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani di Mekah. Setelah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani wafat, Tok Wan Din al-Fathani mengikuti pengajian-pengajian yang dijalankan oleh Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki dan Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan yang kedua-duanya ulama bangsa Arab yang sebaya umur dengan beliau. AKTIVITI Aktiviti sepanjang hayatnya ialah mengajar di Pondok Sena Janjar dan Pondok Bendang Daya kemudian mengajar pula di Mekah. Tok Wan Din al-Fathani merupakan orang pertama mengambil inisiatif menganjurkan penyalinan kitabkitab Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani secara besar-besaran dan teratur. Selain aktiviti di Mekah, beliau mengasaskan Dewan Tok Bendang Daya di Pondok Bendang Daya. Di Dewan Tok Bendang Daya itulah dikumpulkan pelbagai kitab dan sekali gus dilakukan pekerjaan penyalinan pelbagai kitab. Penyalinan selain dilakukan sendiri juga dilakukan oleh beberapa orang muridnya yang dapat dipercayai keilmuannya. Di antara yang terbanyak membuat salinan pelbagai kitab ialah Haji Muhammad Husein bin Abdul Lathif Kelaba Beris al-Fathani (Tok Kelaba). Salah sebuah khazanah penting yang membicarakan Melayu dan Islam hasil usaha Tok Wan Din al-Fathani ialah salinan Tarikh Patani. Karya tersebut adalah susunan Syeikh Faqih Ali bin Wan Muhammad bin Safiuddin. Naskhah yang asli sudah tidak dapat dikesan lagi. Yang dapat dikesan hanyalah karya tersebut pernah disalin oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam tahun 1228 Hijrah/1813 Masehi. Salinan oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga tidak dijumpai lagi. Naskhah yang ada sekarang hanyalah dua buah salinan Tok Wan Din al-Fathani yang beliau salin dari salinan Syeikh Daud bin Abdullah alFathani. Dua buah naskhah salinan Tok Wan Din al-Fathani ialah: Sebuah pernah dimiliki oleh Dr. Sya'rani Madakakul (berasal dari Menara, Patani). Setelah beliau menyalinnya, naskhah salinan Tok Wan Din al-Fathani musnah, kerana tanpa disedarinya naskhah itu dibakar oleh salah seorang anaknya. Yang sebuah lagi adalah koleksi penulis. Dari naskhah yang saya miliki dan dibanding

dengan salinan Dr. Sya'rani Madakakul itulah Tarikh Patani oleh Syeikh Faqih Ali al-Fathani versi salinan Tok Wan Din al-Fathani telah diperbanyak berupa transliterasi dari tulisan Melayu/Jawi kepada tulisan Latin/ Rumi. Selain salinan Tarikh Patani karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang pernah beliau salin ialah Manhalus Shafi fi Bayani Ramzi Ahlis Shufi. Manhalus Shafi termasuk kitab Melayu/Jawi tentang tasawuf yang banyak ditemui salinannya, tetapi kebanyakan salinan tidak terdapat nama Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani sebagai pengarangnya. Walau bagaimanapun salinan Tok Wan Din al-Fathani adalah karangan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Karangan ulama-ulama yang berasal dari Aceh juga tidak luput dari perhatian Tok Wan Din al-Fathani. Di antara kitab karangan ulama Aceh yang pernah beliau salin ialah Bidayatul Hidayah karangan Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi. Kitab ini juga sangat banyak ditemui salinan, namun yang ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani untuk dicetak ialah berasal dari salinan Tok Wan Din al-Fathani (ayah kepada Syeikh Ahmad al-Fathani). Bidayatul Hidayah yang sudah ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani itulah yang beredar berupa cetakan sejak tahun 1303 Hijrah hingga sekarang 1426 Hijrah/2005 Masehi. Bidayatul Hidayah yang tersebut ialah ilmu akidah yang tertua yang masih berada di pasaran kitab (selesai ditulis tahun 1170 H). Ada pun kitab akidah yang lebih awal atau pun yang berdekatan tahun selesai penulisan dengannya sudah tidak diterbitkan lagi. Perlu juga saya sentuh di sini bahawa Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Aceh itu menurut keterangan ibu saya Hajah Wan Zainab bin Syeikh Ahmad al-Fathani masih ada pertalian kekeluargaan dengan Syeikh Muhammad Zain al-Fathani (Tok Wan Din alFathani). Kedua-duanya serupa nama bukanlah satu kebetulan tetapi ada riwayat yang tersendiri. Selain karya salinan, Tok Wan Din al-Fathani juga meninggalkan beberapa buah karangan sendiri di antaranya sebuah bahasan perkara haji dan sebuah lagi membicarakan Thariqat Syathariyah. KETURUNAN DAN MURID Tok Wan Din al-Fathani berkahwin dengan Hajah Wan Cik binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani bin Abdul Lathif al-Fathani salah seorang keturunan Syeikh Safiuddin al-Abbasi (Tok Raja Faqih). Tok Raja Faqih inilah yang diriwayatkan mengIslamkan Raja Antira, iaitu Raja Patani. Dari riwayat ini bererti, Tok Wan Din al-Fathani berbiras dengan Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani, kerana adik Hajah Wan Cik bernama Hajah Wan Aisyah kahwin dengan ulama yang berasal dari Kelantan itu. Perkahwinan Tok Wan Din al-Fathani dengan Hajah Wan Cik memperoleh anak bernama Syeikh Wan Ahmad al-Fathani. Syeikh Ahmad al-Fathani memperoleh beberapa orang anak, tetapi yang meninggalkan keturunan hanya tiga orang saja. Anak beliau yang pertama ialah Qadhi Haji Wan Ismail al-Fathani yang pernah diperkenalkan dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, terbitan Isnin, 31 Ogos 2004. Hingga artikel ini saya tulis masih ramai keturunan Tok Wan Din alFathani yang bergerak dalam kepentingan Islam, masih ada yang menjadi ulama.

Murid Tok Wan Din al-Fathani yang menjadi ulama dan tokoh yang terkenal yang dapat dikesan juga ramai, sebagai contoh dalam artikel ini saya sebut beberapa orang di antara mereka, ialah: Pertama; Datuk Abdullah bin Musa (1279 Hijrah/1863 Masehi - 1325 Hijrah/1907 Masehi). Datuk Abdullah bin Musa pernah menjadi Mufti dan Hakim Besar Kerajaan Johor (1889-1907 M). Murid Tok Wan Din al-Fathani yang kedua, ialah Haji Ismail bin Mustafa al-Fathani atau lebih dikenali dengan Cik Doi Kedah (Cik Dol). Beliau inilah yang mengasas Pondok Gajah Mati, Pendang, Kedah yang pondok tersebut kemudian diserahkan kepada menantu beliau Syeikh Wan Ibrahim/Pak Cu Him (anak saudara Tok Wan Din al-Fathani). Salah seorang anak Cik Doi Kedah (Cik Dol) yang sangat terkenal ialah Tuan Guru Haji Husein Cik Dui. Pusat pendidikan beliau ialah Pondok Guar Cempedak, Kedah. Murid Tok Wan Din al-Fathani yang ketiga, ialah Haji Muhammad Husein bin Abdul Lathif al-Fathani/Tok Kelaba (1280 Hijrah/1863 Masehi - l367 Hijrah/1948 Masehi). Beliau ini menghasilkan beberapa buah karya. Salah seorang murid beliau yang berasal dari Terengganu ialah Tuan Guru Haji Abdul Hamid bin Fadhlullah (tok kepada Datuk Idris Yusuf, Menteri Besar, Terengganu sekarang). Murid Tok Wan Din al-Fathani yang keempat, ialah Qadhi Haji Muhammad Sa'id Umar Kedah, pengarang Tafsir Nur al-Ihsan. Ulama yang berasal dari Kedah ini dimuat dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, hari Isnin, 13 Disember 2004. Murid Tok Wan Din al-Fathani yang kelima, ialah adik beliau yang bongsu, bernama Syeikh Daud bin Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani atau lebih dikenali dengan nama Tok Cik Wan Daud al-Fathani. Beliau ini termasuk ulama besar Mekah pada zamannya, sangat ramai ulama dunia Melayu adalah murid beliau. Ulama-ulama Mekah yang bukan bermazhab Syafie seumpama Syeikh Ali al-Maliki dalam membicarakan fiqh Syafie selalu merujuk kepada Tok Cik Wan Daud al-Fathani. 100 TAHUN KEWAFATAN Beliau wafat seminggu setelah kewafatan anak beliau, iaitu Syeikh Ahmad alFathani. Syeikh Ahmad al-Fathani wafat pada 11 Zulhijjah 1325 Hijrah/14 Januari 1908 Masehi. Tok Wan Din wafat pada 18 Zulhijjah 1325 Hijrah/21 Januari 1908 Masehi. Secara kebetulan sekurang-kurangnya ada 4 orang keluarga ini wafat pada bulan Zulhijjah. Yang dua orang lagi ialah Tok Bendang Daya II wafat pada hari Ahad, 16 Zulhijjah 1312 Hijrah/10 Jun 1895 Masehi dan yang bongsu Syeikh Daud bin Mustafa al-Fathani (Tok Cik Wan Daud) di Mekah pada hari Selasa, 23 Zulhijjah 1354 Hijrah/17 Mac 1936 Masehi). Beliau ini juga seorang ulama besar di Mekah pada zamannya. Oleh sebab Tok Wan Din alFathani dan anak beliau Syeikh Ahmad al-Fathani sama-sama wafat pada bulan Zulhijjah 1325 Hijrah maka pada bulan Zulhijjah 1425 Hijrah yang baru berlalu genap 100 tahun. Syeikh Ahmad al-Fathani adalah seorang tokoh pemikir yang besar, sama ada peringkat dunia Melayu atau pun antarabangsa, maka akan diadakan pelbagai bentuk peringatan 100 tahun kewafatan beliau. Pemikiran lengkap pelbagai aspek dapat dalam 3 jilid buku berjudul, Syeikh Ahmad al-Fathani Pemikir

Agung Melayu dan Islam. Buku tersebut diterbitkan oleh Khazanah Fathaniyah, dan Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara yang akan dilancarkan pada tarikh 5 Mac 2005 dalam ``Wacana Syeikh Ahmad Al-Fathani Pemikir Agung Melayu Dan Islam'' di Wisma Sejarah, Persatuan Sejarah Malaysia. Wacana ini adalah anjuran bersama Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) dan Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara (PENGKAJI). Selanjutnya pihak PENGKAJI akan bergerak aktif dalam peringatan ``100 Tahun Kewafatan Syeikh Ahmad Al-Fathani Pemikir Agung Melayu Dan Islam'' yang akan dilaksanakan sepanjang tahun 1426 Hijrah/2005 Masehi di beberapa tempat serta bekerja sama dengan pelbagai pihak. Pada 25 Jun 2005 akan diadakan di Kota Bharu, Kelantan. Manakala pada April 2005 di Mempawah dan Pontianak, Kalimantan Barat. Pada 23 - 25 September 2005 Nadwah Ulama Nusantara III: Ketokohan dan Sumbangan Ulama Tanah Melayu (Sempena Memperingati 100 Tahun Kewafatan Syeikh Ahmad Al-Fathani) Fakulti Pengajian Islam (UKM) akan melaksanakan satu seminar peringkat antarabangsa. Dan lain-lain PENGKAJI sedang menyusun jadual pelaksanaan dan masih menunggu permintaan pihak-pihak yang berminat kepada kegiatan tersebut di atas. Artikel ini ditutup dengan bait ke-27 puisi Syeikh Ahmad al- Fathani untuk Sultan Zainal Abidin III, Terengganu, terjemahannya: ``Ayuhai segala cerdik pandai ! Hidupkan sejarah bangsa mu ! Dengan itu, kamu akan disebut dalam sejarah dan namamu akan harum sepanjang masa.'' Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp? y=2005&dt=0221&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm# ixzz2CgWXCJKD Utusan Melayu (M) Bhd

Syeikh Abdul Qadir al-Fathani - Khalifah Syeikh Daud al-Fathani Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah Kedudukan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani dari sudut ilmu pengetahuan adalah setaraf dengan ulama-ulama besar yang berada di Mekah dan Madinah pada zaman itu. Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani menjalankan tugas ulama dengan aktiviti pengajarannya di Masjidil Haram, Mekah dan di rumahnya sendiri.

SYEIKH Ahmad al-Fathani menyebut bahawa ayahnya, Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani lahir dalam tahun 1233 H/1817 M. Diriwayatkan bahawa Syeikh Abdul Qadir al-Fathani itu lebih tua daripada Syeikh Muhammad Zain alFathani. Riwayat lain menyebut bahawa usia Syeikh Abdul Qadir al-Fathani lebih tua sekitar lima tahun daripada Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani. Jadi bererti Syeikh Abdul Qadir al-Fathani lahir dalam tahun 1228 H/1813 M. Diriwayatkan pula bahawa Syeikh Abdul Qadir al-Fathani lebih tua daripada Syeikh Nawawi al-Bantani (Imam Nawawi Tsani). Syeikh Nawawi al-Bantani lahir dalam tahun 1230 H/1814 M. Kedua-dua ulama yang berasal dari Patani dan Banten itu bersahabat ketika kedua-duanya belajar di Mekah. Kedua-duanya menerima bai`ah Thariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah daripada Syeikh Ahmad Khatib Sambas (1217 H/1802 M-1289 H/1872 M). Dalam beberapa hal Syeikh Nawawi Banten belajar kepada Syeikh Abdul Qadir al-Fathani, di antaranya ilmu qiraah. Dan demikian sebaliknya dalam beberapa hal Syeikh Abdul Qadir al-Fathani belajar pula kepada Syeikh Nawawi alBantani. Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani telah menyelamatkan cukup banyak karya yang masih dalam bentuk tulisan tangan (manuskrip) yang dikarang oleh ulama dunia Melayu, terutama sekali karya-karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Selain memelihara manuskrip dengan rapi, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani pula telah melakukan pentahqiqan dan pentashhihan beberapa buah kitab yang dianggap penting, yang secara tradisinya banyak diajarkan dari sebelum hingga zaman beliau. Pertubuhan Daripada khazanah simpanan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani itulah menimbulkan ilham bagi Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani sehingga beliau mengasaskan suatu pertubuhan pentashhihan di Mesir, Mekah dan Turki. Munculnya istilah tashhih dan mushahhih bermula dari sini. Pendek kata Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani ini sangat penting bagi orang-orang Melayu yang berada di Mekah pada zamannya. Beliau adalah guru bagi seluruh ulama Asia Tenggara, pakar tempat rujukan dalam semua bidang keilmuan keislaman. Ada beberapa ulama besar yang berasal dari Patani yang bernama Syeikh Abdul Qadir al-Fathani. Di antara mereka yang sangat terkenal ialah Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani yang dibicarakan ini. Menjalankan aktivitinya di Mekah, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani, lebih dikenali de-

ngan nama Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas, Terengganu, kerana menjalankan aktivitinya di Bukit Bayas Terengganu, Syeikh Abdul Qadir bin Mushthafa alFathani lebih dikenali dengan nama Tok Bendang Daya, kerana menjalankan aktivitinya di Bendang Daya Patani. Ketiga-tiga ulama besar Patani itu satu sama lainnya sempat bertemu, yang lebih tua menjadi guru kepada yang muncul kemudiannya. Ketiga-tiga mereka masih ada kaitan keluarga pertalian nasab yang dekat, yang bersumber daripada satu datuk nenek yang sama. Syeikh Abdul Qadir al-Fathani bin Abdur Rahman adalah cucu saudara bagi Syeikh Daud bin Abdullah alFathani, dan dalam sebuah manuskrip ada dinyatakan bahawa beliau merupakan Khalifah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Pendidikan dan Keluarga Nama lengkapnya, Syeikh Wan Abdul Qadir bin Wan Abdur Rahman bin Wan Utsman bin Tok Wan Su bin Tok Wan Abu Bakar bin Tok Kaya Wan Pandak bin Tok Wan Faqih Ali. Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani adalah peringkat murid kepada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim Bukit Bayas Terengganu dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Beliau mendapat pendidikan asas dimulai daripada beberapa pondok di Patani, tetapi yang lebih lama tempatnya memondok adalah di Pondok Pauh Bok Patani, iaitu sebuah pondok pengajian yang pernah mendidik ramai ulama, di antaranya termasuk Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Syeikh Daud bin Abdullah alFathani dan ramai lagi. Pada zaman itu hampir semua pondok di Patani yang menjadi Tok Guru adalah di kalangan keluarga mereka. Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani terganggu pendidikannya di Patani kerana terjadinya satu peperangan besar antara Patani dengan Siam (1828 M-1830 M). Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani termasuk keluarga besar ulama Patani Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim Terengganu yang turut berhijrah ke Pulau Duyung Kecil Terengganu. Dalam peristiwa penghijrahan itu diriwayatkan bahawa beliau baru berusia sekitar belasan tahun saja. Walau pun hijrah yang penuh darurat itu dilakukan, namun belajar kitab terus juga dilaksanakan, masa tidak boleh dibuang dan diabaikan. Dipercayai di Pulau Duyung Kecil itu beliau belajar kepada kedua-dua ulama yang telah disebutkan di atas. Lebih kurang empat puluh hari setelah kelahiran saudara sepupunya, iaitu Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani/Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani keluarga besar ulama Patani tersebut, termasuk Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani meneruskan perjalanan ke Mekah dan sepupunya bayi yang baru dilahirkan juga dibawa bersama-sama.

Yang tinggal di Pulau Duyung Kecil itu hanya sebahagian kecil termasuk Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani. Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani saya katakan sepupu dengan Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani/Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani kerana ibunya adik beradik/saudara kandung. Ibu Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman bernama Wan Fathimah binti Syeikh Wan Idris al-Fathani, ibu Syeikh Nik Mat Kecik bernama Wan Zainab binti Syeikh Wan Idris al-Fathani. Ada pun Syeikh Wan Idris al-Fathani tersebut, nama lengkapnya ialah Syeikh Wan Idris bin Syeikh Wan Abdullah bin Syeikh Wan Idris bin Syeikh Senik al-Karisiqi al-Fathan. Syeikh Wan Idris bin Syeikh Wan Abdullah adalah saudara kandung Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Jadi dengan demikian Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani juga sempat belajar kepada datuknya, Syeikh Wan Idris bin Abdullah al-Fathani yang tersebut. Diriwayatkan bahawa ayahnya, Syeikh Abdur Rahman bin Utsman, juga termasuk ulama. Dipercayai Syeikh Abdul Qadir juga belajar kepada ayahnya itu. Selain belajar di lingkungan kaum keluarga sendiri Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani juga pernah belajar kepada Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki (1233 H.-1335 H), Syeikh Muhammad Haqqi Nazili (wafat di Mekah 1301 H/1884 M), Syeikh Ahmad As'ad ad-Dihan (1222 H1294 H), Saiyid Muhammad Amin Ridhwan dan ramai lagi. Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani merupakan kader Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, oleh itu manakala Syeikh Daud bin Abdullah alFathani meninggal dunia, beliau menjadi rujukan utama ulama-ulama yang berasal dari dunia Melayu, yang berada di Mekah. Hal ini kerana beliau adalah seorang ulama yang menguasai ilmu pengetahuan keislaman dalam berbagaibagai bidang. Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani adalah seorang ulama ahli syariat dan haqiqat. Pengaruh Telah disebutkan bahawa Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani adalah keluarga dekat kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, maka Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani inilah yang pertama mengambil tempat kemasyhuran Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani setelah beliau meninggal dunia. Pengetahuan Islam dan predikat ulama pada peribadi Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani tidak pernah diragukan oleh para ulama yang sezaman dengan beliau. Kedudukan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani dari sudut ilmu pengetahuan adalah setaraf dengan ulama-ulama besar yang berada di Mekah dan Madinah pada zaman itu. Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani menjalankan tugas ulama dengan aktiviti pe-

ngajarannya di Masjidil Haram, Mekah dan di rumahnya sendiri. Beliau mengajar kitab yang tinggi-tinggi dalam bahasa Arab, juga kitab-kitab Melayu/Jawi yang dikarang oleh ulama-ulama yang berasal dari dunia Melayu yang terkenal. Murid beliau sangat ramai. Di antaranya yang terkenal mengarang dan menterjemah kitab-kitab ialah Syeikh Utsman bin Syeikh Syihabuddin al-Funtiani (Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia). Muridnya ini banyak meninggalkan karangan. Di antara kitab yang diterjemahkannya berjudul Tajul `Arus). Syeikh Ahmad alFathani juga termasuk salah seorang murid Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, iaitu kader yang bersambung dan berhubung dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani hingga sampai kepada kegiatan datuk nenek mereka, iaitu ulama-ulama Patani yang telah berhasil sebagai patriot-patriot penyebar ilmu pengetahuan Islam di dunia Melayu khususnya, dan dunia umumnya. Suatu hal yang menarik disebut di sini bahawa Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani adalah seorang ulama yang besar pengaruhnya di kalangan Thariqat Syathariyah. Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani adalah seorang Mursyid dalam Thariqat Syathariyah tersebut. Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani menerima Thariqat Syathariyah adalah secara langsung kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Oleh sebab Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani telah diperbolehkan mentawajjuh, membai'ah, dan mengijazahkan Thariqat Syathariyah tersebut, maka pengaruh beliau lebih besar di kalangan masyarakat pengamal sufi Islami. Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani dipercayai telah menerima Thariqat Syathariyah daripada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani kerana ulama yang berasal dari Kelantan itu tidak bertemu ketika dewasa dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Selain Syeikh Wan Ali Kutan, murid Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman alFathani yang menjadi ulama pula, yang menerima bai`ah Thariqat Syathariyah kepadanya di antara mereka ialah Syeikh Muhammad Shalih bin Syeikh Zainal Abidin al-Fathani, Syeikh Muhammad Zain bin Muhammad al-Fathani Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, Syeikh Muhammad bin Ismai/Nik Mat Kecik al-Fathani dan ramai lagi. Bagi orang yang belajar ilmu tasawuf yang mempergunakan kitab Siyarus Salikin karangan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani pada masa dahulu, nama Syeikh

Abdul Qadir bin Abdur Rahman al- Fathani ini tidak asing lagi bagi mereka. Kitab tersebut cetakan asalnya kemudian masih beredar sampai sekarang adalah berasal daripada naskhah tulisan, tashhih dan bekas Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani mengajarnya. Penulisan Syeikh Abdul Qadir al-Fathani bin Abdur Rahman al-Fathani sekurangkurangnya telah menghasilkan 14 buah karangan, namun kerana kekurangan ruangan perbicaraan tentangnya terpaksa ditangguhkan. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp? y=2005&dt=0711&pub=utusan_malaysia&sec=bicara %5Fagama&pg=ba_01.htm&arc=hive#ixzz2CgWpNo1Z Utusan Melayu (M) Bhd

Tok Selehor Kelantani - Berdakwah lewat puisi Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah TOK Selehor atau Tok Selehong, nama lengkapnya ialah Abdur Rahman bin Utsman bin Senik. Ulama yang berasal dari Kelantan ini lahir di Kampung Lubuk Jong, tahun 1289 H/1872 M, wafat malam Khamis, 18 Zulkaedah 1353 H/20 Februari 1935 M. Beliau adalah sahabat Tok Kenali, yang juga berasal dari Kelantan dan lebih tua sedikit daripada Tok Selehor. Tok Kenali lahir pada tahun 1287 H/1871 M, wafat pada hari Ahad, 2 Syaaban 1352 H/19 November 1933 M. Sahabatnya pula ialah Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh al-Islam Selangor (lahir di Ban Sim Dip, Bangkok, tahun 1293 H/1876 M, wafat di Mekah al-Mukarramah, hari Rabu, 6 Rabiulawal 1376 H/10 Oktober 1956 M), Utsman bin Haji Muhammad bin Haji Abdul Wahhab atau Tok Bacok (lahir tahun 1277 H/1860 M, wafat pada malam Ahad, 15 Zulkaedah 1372 H/27 Julai 1953 M), dan ramai lagi yang belum dibicarakan dalam artikel ini. Tok Selehor memulai jihad keilmuannya belajar kepada Tuan Guru Haji Abdul Malik, Sungai Pinang Kelantan. Kemudian memondok di Patani selama tujuh tahun, belajar kepada Tuan Guru Haji Abdur Rasyid di Kuala Bekah dan Tuan Guru Haji Abdulah di Tok Jum. Tok Selehor belajar di Mekah selama 18 tahun. Di antara gurunya ialah Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Setelah Syeikh Ahmad al-Fathani wafat, beliau masih tetap belajar kepada ayah saudara Syeikh Wan Ahmad al-Fathani, iaitu Syeikh Wan Daud bin Mustafa alFathani (Tok Cik Wan Daud al-Fathani), mendalami ilmu-ilmu alat Arabiyah, ilmu fikah Mazhab Syafie, dan ilmu qiraat yang berbagai-bagai. Tok Selehor

mulai membuka pengajian pondok tahun 1340 H/1921 M. TOK SELEHOR DAN KITAB HIKAM Salah sebuah kitab ilmu tasawuf yang diajar oleh Tok Selehor ialah Kitab alHikam. Sebelum membicarakan keterlibatan Tok Selehor dalam pengajaran Kitab al-Hikam karya Syeikh Ibnu Atha'ullah as-Sakandari yang sangat terkenal itu, saya dulukan cerita tentang Kitab al-Hikam terlebih dulu, bahawa terdapat dua buah Kitab al- Hikam versi bahasa Melayu, yang sebuah dalam bentuk matan dan yang sebuah lagi dalam bentuk syarah. Penerbitan awal kedua-dua versi dalam bahasa Melayu itu ditashih dan diusahakan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Selain yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, Kitab al-Hikam yang dalam bahasa Arab pula terdapat berbagai-bagai syarah. Syeikh Ahmad al-Fathani dipercayai telah mengajar kitab tersebut kepada murid-muridnya, sama ada di rumahnya di Mekah mahu pun di Masjid al-Haram. Menurut Syeikh Ahmad alFathani dalam Hadiqah al-Azhar wa ar-Rayahin, istilah `hikam', beliau takrifkan sebagai jamak daripada perkataan `hikmah', yakni `perkataan yang diteguhkan'. Ada pun istilah hikmah/hikmat mengandungi pengertian yang berbagai-bagai, di antaranya ialah: `pandai menyurat/menulis, ilmu yang dapat melahirkan sesuatu yang luar biasa/menyalahi adat kebiasaan, kata-kata nasihat yang mantap, dan lain-lain lagi. Tok Kelaba al-Fathani menyebut bahawa perkataan `hikmah', ditafsir oleh Ibnu Abbas r.a. yang terdapat dalam al-Quran ialah, ``dengan belajar halal dan haram''. Yang lain berpendapat, ``ditinjau dari segi lughah ialah ilmu serta amal''. Pendapat yang lain, ``hikmah itu diambil faedah daripadanya, iaitu yang sebenar pada diri pekerjaan dengan sekira-kira kuasa manusia''. Pendapat yang lain, ``tiap-tiap kalam yang muafakat akan hak, maka iaitu hikmah''. Sanad Jika kita jejak sanad pengajian Kitab al-Hikam mulai pengarangnya, iaitu Syeikh Ibnu `Atha'ullah as-Sakandari hingga turun sampai kepada Tok Selehor, ialah Tok Selehor merupakan yang ke-17. Untuk lebih jelasnya dapat diperhatikan sanad sebagai berikut: 1. Tok Selehor, Kelantan, belajar kepada (2) 2. Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, belajar kepada (3) 3. Saiyid Abi Bakri Syatha, belajar kepada (4) 4. Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan, belajar kepada(5) 5. Syeikh Utsman bin Hasan ad-Dimyathi, belajar kepada (6) 6. Syeikh Abdullah bin Hijazi asy-Syarqawi, beliau telah menulis syarah kitab

yang dibicarakan ini. Syeikh Abdullah bin Hijazi asy-Syarqawi belajar kepada (7) 7. Syeikh asy-Syamsu Muhammad bin Salim al-Hifni, belajar kepada (8) 8. Syeikh `Id an-Namrisi, belajar kepada (9) 9. Syeikh `Abdullah bin Salim al-Bashri, belajar kepada (10) 10. Syeikh Muhammad bin `Ala' al-Babli, belajar kepada (11) 11. Syeikh Abi an-Naja Salim bin Ahmad as-Sanhuri, belajar kepada (12) 12. Saiyid an-Naju Muhammad bin Ahmad al-Ghaithi, belajar kepada (13) 13. Syeikh al-Islam Zakaria al-Anshari, belajar kepada (14) 14. Saiyid al-'Izzu Abdur Rahim bin al-Farrat, belajar kepada (15) 15. Syeikh at-Taju `Abdul Wahhab bin `Ali bin `Abdul Kafi, belajar kepada ayahnya (16) 16. Syeikh at-Taqiy `Ali bin `Abdul Kafi as-Subki, belajar kepada (17) 17. Syeikh al-Imam Tajuddin Ahmad bin Muhammad bin `Abdul Karim bin Ibnu `Atha'ullah as-Sakandari atau disingkat namanya dengan Ibnu `Atha'ullah asSakandari, iaitu pengarang Kitab al-Hikam yang sedang dibicarakan ini. Ulama yang aktif beramal dengan Thariqat asy-Syaziliyah ini menghasilkan beberapa buah kitab, selain Kitab al-Hikam ialah Tajul `Arus fil Washaya wal Mawa'izh, Lathaiful Minan fi Manaqib al-Mursi wa Abi al-Hasan, dan lain-lain. Syeikh Ibnu Atha'ullah as-Sakandari, ulama besar sufi yang sangat besar pengaruhnya di seluruh dunia Islam, termasuk dunia Melayu, tersebut wafat di Kaherah, tahun 709 H/1309 M. Ustaz Ismail Awang, dalam majalah Pengasuh menyebut: ``Tok Selehor mempunyai kebolehan dalam berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan, tetapi yang sangat diminatinya ialah bidang tasawuf. Kitab Hikam oleh Ibnu Ataillah merupakan kitab paling suka diajarkan kepada orang ramai, mungkin kerana kitab ini mendorong manusia membaiki diri dan mendampingi diri kepada Allah, serta menjauhi sifat-sifat terkeji seperti sombong, hasad dengki, riak, sum`ah dan sebagainya.'' Oleh sebab Tok Selehor adalah murid Syeikh Ahmad alFathani, maka bererti sanad Tok Selehor dan murid-murid beliau dalam pengajian Kitab al-Hikam dan kitab-kitab lain karangan Syeikh Ibnu `Atha'ullah as-Sakandari dapat disambung seperti sanad yang telah disebutkan di atas. Tasawuf Kitab pengetahuan tasawuf selain Kitab al-Hikam secara umum juga dipelajari di

seluruh dunia Melayu, termasuk dalam pondok yang diasaskan oleh Tok Selehor. Keseluruhan karangan Imam al-Ghazali, dalam hal ini yang paling ditekankan dan dimantapkan di antaranya ialah Minhajul Abidin dan Ihya' Ulumid Din. Sanad yang sampai kepada Imam al-Ghazali mulai nombor 1 sampai nombor 7 (Syeikh asy-Syamsu Muhammad bin Salim al-Hifni) pada sanad Kitab al- Hikam adalah sama, tetapi untuk sampai kepada Imam al-Ghazali adalah belajar kepada (8) 8. Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Budairi, belajar kepada (9) 9. Syeikh Mullah Ibrahim al-Kuarni, belajar kepada (10) 10. Syeikh Muhammad Syarif, belajar kepada (11) 11. Syeikh Abi Ishaq at-Tanukhi, belajar kepada (13) 13. At-Taqiy Sulaiman bin Hamzah, belajar kepada (14) 14. Syeikh `Umar bin Karam ad-Dainuri, belajar kepada (15) 15. Syeikh al-Hafiz Abi al-Faraj `Abdul Khaliq bin Ahmad bin Yusuf al-Baghdadi, belajar kepada (16) 16. Al-Imam Hujjah al-Islam Abi Hamid bin Muhammad bin al-Ghazali yang disingkatkan panggilan dengan Imam al-Ghazali saja. Sebagaimana yang tertulis dalam sanad yang tersebut di atas jelaslah bahawa ulama dunia Melayu yang diriwayatkan ini adalah sanadnya bersambung sampai kepada pengarang Minhajul `Abidin dan Ihya' Ulumid Din, iaitu Imam al-Ghazali yang sangat masyhur namanya itu. BERZANJI DAN BURDAH Ustaz Ismail Awang menulis, ``Tok Selehor pernah mengadakan Maulid an-Nabi secara besar-besaran dan dialah ulama Kelantan yang mempelopori perayaan itu. Berzanji dibaca dengan penuh perasaan. Perarakan besar-besaran di adakan. Pernah berpuluh-puluh ribu orang datang ke majlis perayaan Maulid Nabi anjurannya. Hal ini pernah dikritik oleh akhbar-akhbar pada zaman itu, tetapi beliau tidak juga berhenti kerana beliau ingin menanam rasa cinta umat kepada Rasulullah s.a.w. yang penuh tenaganya berjuang menyebarkan Islam. Dengan cara itu anak-anak pondok lebih cepat bermesra dengan Rasulullah s.a.w. daripada hanya menyampaikan kisah tanpa diadakan gerak kerja.'' Praktik memperingati Maulid Nabi, membaca Barzanji, dan lain-lain sejenisnya, sama ada dalam dunia Arab sendiri, mahu pun dalam dunia Melayu telah berjalan sejak lama, oleh itu yang dilakukan oleh Tok Selehor seperti yang tercatat di atas adalah tidak dapat dimasukkan dalam klasifikasi bidaah dhalalah seperti yang pernah dilemparkan oleh hanya sekelompok kecil orang. Kitab

Berzanji yang disyarah dalam bahasa Arab banyak dilakukan oleh ulama. Ulama yang berasal dari dunia Melayu yang mensyarah kitab Maulid Nabi pernah dilakukan oleh Syeikh Nawawi al-Bantani. Beliau termasuk salah seorang guru kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Yang bererti ada pertalian keilmuan dengan murid-murid Syeikh Ahmad al-Fathani termasuk Tok Kenali, Tok Selehor dan lain-lain. Lima Syeikh Nawawi al-Bantani telah menulis tentang Maulid Nabi dalam lima judul karyanya, bahkan mengenai Maulid Nabi merupakan karyanya yang terawal. Karya tersebut ialah Targhibul Musytaqin li Bayani Manzhumatis Saiyid Barzanji Zainal `Abidin fi Maulidil Awwalin wal Akhirin, yang diselesaikan pada hari Jumaat, 13 Jumadilakhir 1284 H. Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 23 Rejab 1311 H. Semua karya Syeikh Nawawi al-Bantani dengan juduljudul yang lain adalah ditulis kemudian daripada kitab mengenai Maulid Nabi yang tersebut. Syeikh Ahmad al-Fathani juga memulakan penulisannya mengenai Maulid Nabi ketika beliau berusia 15 tahun, ditulis dalam bentuk puisi. Karya Syeikh Ahmad al-Fathani yang pertama itu diberi judul Nazham Nuril Anam, diselesaikan pada hari Rabu, 15 Syaaban 1287 H/10 Oktober 1870 M. Transliterasi lengkap dapat dibaca dalam buku Syeikh Ahmad Al-Fathani Pemikir Agung Melayu dan Islam, jilid 2, Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, lihat hlm. 3 - 46. Kitab Berzanji dapat dikategorikan dalam bidang sastera Arab, demikian juga Burdah Bushiri. Burdah Bushiri pernah diterjemah oleh Tok Kenali, sahabat Tok Selehor, yang diberi judul Risalatud Durril Mantsur, selesai beliau tulis pada bulan Jumadilakhir 1310 H/Disember 1892 M. Kandungannya merupakan terjemahan dan penjelasan fadilat Burdah Bushiri. Dicetak dalam bentuk huruf batu/litografi oleh Syeikh Abdullah Mujallid, Meah, Jumadilakhir 1310 H. Selain itu juga oleh guru kedua-duanya, iaitu Syeikh Wan Ali Kutan yang diberi judul Risalah Majma' al-Qashaid wa al-'Awaid yang selesai ditulis pada bulan Zulkaedah 1320 H/ Februari 1903 M. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp? y=2005&dt=0627&pub=utusan_malaysia&sec=bicara %5Fagama&pg=ba_01.htm&arc=hive#ixzz2CgWx5aer Utusan Melayu (M) Bhd

Sultan Zainal Abidin III - Umara bertaraf dunia Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

SULTAN Zainal Abidin III, Sultan Terengganu, diakui oleh beberapa orang ulama Mekah dan para cerdik cendekiawan bahawa baginda adalah di antara Sultan Melayu yang paling alim dan ahlil ilmi pada zamannya. Dua ulama yang berasal dari dunia Melayu di Mekah yang paling dekat dan menjadi rujukan pelbagai masalah baginda, ialah Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani (Syeikh Nik Mat Kecik) dan Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Sesuatu permasalahan yang sukar diselesaikan oleh Sultan Zainal Abidin III akan sentiasa dirujuk kepada kedua-dua ulama di Mekah itu. Kadang-kadang dengan cara mengirim surat atau adakalanya mengirim utusan yang khusus. Sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani datang ke Kota Bharu, Kelantan, Sultan Zainal Abidin III berserta beberapa pembesar Terengganu datang menjemput beliau supaya sudi mengunjungi Kuala Terengganu. Syeikh Ahmad al-Fathani telah menggubah puisi 33 bait dalam bahasa Arab yang bercorak memuji Sultan Zainal Abidin III yang diiringi dengan pengharapan agar baginda memperkukuh kedudukan agama Islam, bahasa dan bangsa Melayu, diiringi pula sejarah bangsa Melayu yang lengkap. Sultan Zainal Abidin III yang dibicarakan ini lahir pada 1281 H/1865 M dan mangkat hari Selasa, 22 Safar 1337 H/26 November 1918 M. Sekurang-kurangnya terdapat dua buah puisi mengenai Sultan Zainal Abidin III. Satu lagi ialah dalam judul Syair Tuan Hampris karya Hajah Wok Aisyah binti alHaji Nik Idris Terengganu yang dikarang jauh kemudian daripada puisi Syeikh Ahmad al-Fathani. Pada beberapa bait ada persamaan maksudnya. Sebagai contoh beberapa bait untuk perbandingan dapat disemak di bawah ini: Puisi Syeikh Ahmad al-Fathani ``Itulah Sultan Terengganu, Raja yang berani Bermurah, dan bertuah.'' (bait yang ke-11) Syair Tuan Hampris pula, ``Negeri khabarnya itu seorang raja memerintah tentu adil dan murah bukan suatu sangatlah alim paduka ratu.'' (bait yang ke-18) ``Perangainya halim tangannya murah sekalian kasih memandang wajah ... `` (bait yang ke-22, dua baris awal) Kesimpulannya daripada petikan kedua-dua puisi di atas ialah memunculkan watak Sultan Zainal Abidin III itu sebagai seorang yang pemurah. Mengenai sifat

pemurah itu disebut oleh Syeikh Ahmad al-Fathani pada bait yang lain, iaitu bait yang ke-8, katanya, ``Bagaikan laut, pemurah tiada tepi Bagaikan hujan, penolong tiada beza Memberi sebelum diminta.'' Watak seorang sultan yang berilmu pengetahuan juga terdapat pada Syair Tuan Hampris, disebut juga oleh Syeikh Ahmad al-Fathani pada bait ke-12 dan 13, katanya, ``Raja yang agung lagi bijaksana Pandai mentadbir Banyak berilmu Petunjuk jalan bahagia. Kemuncak usahanya ialah menggali ilmu, menyelami makrifah menunjuk jalan hidayah.'' Pada Syair Tuan Hampris yang sama maksudnya dengan puisi di atas terdapat pada bait yang ke-20, 21 dan 22, iaitu: ``Rajanya alim lagi jauhari kitab Quran sangat pelajari alimnya tidak lagi terperi termasyhurlah khabar ke sana ke mari. Saleh dan warak lagi pendeta bijak laksana jangan lagi dikata masyhurlah khabar di dalam warta di alam Melayu sekalian rata. Perangainya halim tangannya murah sekalian kasih memandang wajah

cukup fahamnya ilmu Arabiyah baginda nan gemar ilmu falakiah.'' Setelah kita membandingkan beberapa contoh di atas yang perlu diberi ulasan ialah pada Bahagian II. Bahagian ini merupakan pujian khusus untuk Sultan Zainal Abidin III, kerana ia mengandungi unsur sejarah dan asal-usul Sultan Terengganu. Ada tiga bait yang perlu dibicarakan di sini, iaitu pada bait yang ke18, 19 dan 20 ialah: ``Baginda adalah orang yang mulia, bahkan kemuliaan itu, warisan daripada datuk neneknya keturunan mulia dari dahulu sampai sekarang. Memang raja putera raja Keturunan yang mempunyai rantai kemuliaan yang tiada pernah putusnya Keturunan Saidina Ali Saiyid anak Saiyid Keturunan yang tak melahirkan, kecuali hanya kemuliaan.'' Pada bait yang ke-18 dan 19, Syeikh Ahmad al-Fathani menyatakan bahawa baginda adalah seorang raja yang mulia yang diwarisi daripada datuk neneknya. Yang diriwayatkan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani ini adalah benar, namun walau bagaimana pun silsilah yang telah ditemui masih terdapat perbezaan pendapat. Yang disebut oleh Syeikh Ahmad al-Fathani pada bait di atas relevan dengan tulisan Haji Muhammad Salleh bin Haji Awang (MISBAHA) dalam bukunya, Mengkaji Sejarah Terengganu, jilid ke-2, beliau menulis, ``... maka Tun Zainal Abidin Paduka Maharaja ialah Sultan yang pertama dilantik bagi negeri Terengganu, keturunan beliaulah Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan Terengganu memerintah hingga ke hari ini bagi negeri Terengganu dan jajahan takluknya. Yang demikian jadinya keturunan Sultan Zainal Abidin itu KerabatKerabat Diraja Terengganu kiranya disusuli sehingga kepada Bendahara Melaka yang pertama Tun Perpatih Besar (bapa saudara Sultan Muhammad Syah) sudah turun temurun dari semenjak kurun Masihi yang keempat belas lagi. Sultan Zainal Abidin ini adalah seorang daripada putera Bendahara Paduka Raja Abdul Majid Bendahara Padang Saujana, Bendahara Johor yang kesembilan belas, lahir di Johor kira-kira pada tahun 1089 Hijrah ...'' Puisi Syeikh Ahmad al-Fathani pada bait yang ke-25 dan ke-26 adalah penting

untuk ditafsirkan. Namun di sini saya mulai daripada bait yang ke-24, maksudnya ialah: ``Dan yang lebih besar lagi, aku berharap, semoga baginda berkenan menyuruh ulama dan cendekiawan yang memahami petunjuk Agar mereka dapat membukukan bahasa Melayu Kerana aku bimbang ia akan hilang atau dirosak oleh perubahan yang berlaku dari masa ke masa Begitu pula hendaklah mereka itu mengarang Sejarah Melayu yang meliputi segala perihal Melayu Kalau tidak, mereka nanti akan hilang, dalam lipatan sejarah.'' BUDI BAHASA Surat menyurat antara Sultan Zainal Abidin III dengan Syeikh Ahmad al-Fathani sesuai dijadikan contoh `budi bahasa' untuk persuratan. Setelah Syeikh Ahmad al-Fathani menerima sepucuk surat daripada Sultan Zainal Abidin III lalu beliau menjawabnya. Di antara kalimat-kalimat yang halus, lunak dan berkesan, kata beliau, ``Bahawasa marqum yang mulia, yang Hadhrat Duli Tuanku kurnia kepada patik itu, telah patik sambuti akan dia, serta junjung ihtiram dan syukur''. Maksud-nya bahawa surat daripada sultan itu adalah surat mulia, oleh itu Syeikh Ahmad al-Fathani memandang perlu mencurahkan rasa hormat (ihtiram) dan rasa terima kasih terhadap sultan, itulah maksud perkataannya ``serta junjung ihtiram dan syukur''. Syeikh Ahmad al-Fathani membangsakan surat Sultan Zainal Abidin III kepada beliau itu sebagai `nuran lil bashar wa syifa-an lima fish sadhri', mengandungi maksud `cahaya bagi pandangan mata dan ubat bagi penyakit yang tersembunyi di dalam hati'. Sepintas kilas jika kita perhatikan kalimat Syeikh Ahmad alFathani nampaknya beliau merendah diri, namun dalam masa yang sama ada sasaran untuk kepentingan memartabatkan Islam dan bangsa Melayu sebagaimana kata beliau, ``Dan dilimpahi dengan nikmat, dan rahmat, dan kekayaan, yang ada padanya berkat yang memberi manfaat bagi agama Islam. Dan terangkat dengan dia oleh sebutan jenis Melayu''. Jika kita tafsirkan sepotong pertama kalimatnya, iaitu ``... dan kekayaan, yang ada padanya berkat yang memberi manfaat bagi agama Islam''. Walau pun surat Syeikh Ahmad al-Fathani itu ditujukan kepada Sultan Zainal Abidin III tetapi sasarannya boleh saja kepada semua sultan, semua pemimpin yang beragama Islam, semua orang Islam (Muslim/ Muslimat) yang memiliki `kekayaan'. Pada pandangan Syeikh Ahmad al-Fathani, `kekayaan' tiada bererti

sekiranya pemiliknya tiada memanfaatkannya untuk kepentingan agama Islam. Jika menggunakan perkataan yang kasar atau `tidak berbudi bahasa', bahawa `Raja atau pemimpin yang beragama Islam yang memiliki kekayaan, yang kekayaan itu tiada manfaat bagi agama Islam, maka raja atau pemimpin itu adalah tidak bertanggungjawab terhadap Islam'. Kalimat ini pun masih lunak, kerana masih banyak bahasa yang lebih kasar daripada itu, boleh saja dianggap sebagai `bakhil', `kedekut' dan lain-lain sejenisnya. Pada sepotong kalimat keduanya pula, iaitu ``Dan terangkat dengan dia oleh sebutan jenis Melayu''. Kalimat ini jelas berbicara tentang Melayu. Tafsirannya juga sama, jika kita menggunakan perkataan yang kasar atau `tidak berbudi bahasa', bahawa ``Raja atau pemimpin Melayu, yang tiada manfaat bagi bangsa Melayu, maka raja atau pemimpin itu adalah pengkhianat terhadap bangsa Melayu, bangsanya sendiri.'' Daripada contoh di atas terbuktilah bahawa ulama perlu bijak dan `berbudi bahasa' dalam menyampaikan dakwah dan pendidikan melalui surat terhadap golongan tinggi seperti tersebut di atas. Sebaliknya umara (pemerintah) yang bijak perlu mendekati ulama ikhlas dan jujur. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp? y=2005&dt=0228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm #ixzz2CgX2D1GF Utusan Melayu (M) Bhd

Ensiklopedia Nusantara: Bidayah al-Hidayah banyak petik tulisan al-Ghazali Oleh Wan Mohd Shaghir Abdullah RAMAI berpendapat bahawa kitab Bidayah al-Hidayah dalam bahasa Melayu adalah Hidayah as-Salikin oleh Syeikh 'Abdus Samad al-Falimbani. Karya Syeikh 'Abdus Samad al-Falimbani yang tersebar sangat luas itu disebut Bidayah alHidayah Melayu yang pertama. Kitab yang diberi judul Tarjamah Kitab ash-Shalihin karya Syeikh 'Abdul Ghafur bin 'Abbas al-Maduri (Madura) hanya ditemui sebuah manuskrip, belum ditemui berupa cetakan. Karya ulama Madura ini disebut Bidayah al-Hidayah Melayu yang kedua. Hal ini kerana beberapa faktor, antaranya sangat banyak petikan daripada Bidayah alHidayah karya Imam al-Ghazali. Ia sama juga dengan Hidayah as-Salikin oleh Syeikh 'Abdus Samad al-Falimbani, yang petikan asas adalah karangan Imam alGhazali walaupun banyak lagi kitab lain yang dirujuk. Tarjamah Kitab ash-Shalihin diselesaikan oleh Syeikh 'Abdul Ghafur bin 'Abbas

al-Maduri pada 1200 Hijrah/1785 Masihi, tahun yang sama dengan penulisan Ad-Durr an-Nafis oleh Syeikh Muhammad Nafis al- Banjari. Hal ini bererti kedua-dua kitab itu lebih kurang tujuh tahun terkemudian daripada Hidayah asSalikin. Perlu disimpulkan bahawa ketiga-tiga ulama itu hidup sezaman dan seperguruan di Makkah. Manuskrip Tarjamah Kitab ash-Shalihin yang dijumpai tidak lengkap, hanya 220 halaman. Muka sebenar belum diketahui kerana beberapa halaman bahagian akhir tidak dijumpai. Ukuran manuskrip 19 kali 15.8 sentimeter. Purata 17 baris setiap halaman. Kandungan, pada mukadimah pengarangnya menulis: "Ada pun kemudian daripada itu, lagi akan berkata faqir yang berkehendak kepada rahmat-Nya yang kuasa, iaitu asy-Syeikh 'Abdul Ghafur yang 'Abbasi, Mandura nama asal negerinya, dan Syafi'ie mazhabnya, dan Khalwati thariqatnya, dan asy-Syeikh Samman itu syeikhnya dan gurunya. Tatkala adalah hijrah an-Nabi SAW genap seribu dua ratus (1200 H/1785 M), dan kelebihan akan zaman telah berubah, dan segala manusia daripada jalan yang benar telah berpaling membelakangkan dia. Ertinya seperti firman, "Telah nyatalah kebinasaan dalam daratan dan lautan dengan suatu yang diperbuat akan dia oleh segala tangan manusia.?br> Daripada mukadimah itu disimpulkan bahawa mazhab Syafiie, Thariqat Khalwatiyah dan gurunya bernama Syeikh Muhammad Samman tiada bezanya dengan pengakuan Syeikh 'Abdus Samad dan Syeikh Muhammad Nafis. Perbezaan hanya nama negeri asal saja iaitu Palembang, Banjar dan Madura. Selanjutnya Syeikh 'Abdul Ghafur bin 'Abbas al-Maduri menulis: "Tergeraklah bagiku khathir, bahawa hendak ku terjemahkan kitab yang bernama shShalihin?.. iaitu karangan asy-syeikh yang alim, lagi banyak ilmunya, yang mentahqiqkan segala masalah, lagi halus pada fahamnya, lagi 'arif dengan Allah Ta'ala, iaitu asy-Syeikh 'Abdullah yang anak asy-Syeikh 'Abdul 'Aziz. Memberi manfaat kiranya akan kami oleh Allah dengan dia dan dengan segala ilmunya dan segala Muslimin." Sesudah mukadimah langsung membicarakan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah. Kemudian dilanjutkan dengan Fasal Pada Menyatakan Kelebihan Orang Alim Dan Kelebihan Orang Yang Menuntut Ilmu. Mengenai fasal ini dimulakan dengan hadis riwayat Saidina Ali tertulis: "Bahawasanya dia berkata, "Telahku dengar Rasulullah "... ertinya: "Bermula menilik kepada muka orang yang alim itu menjadi ibadat, dan menjadi cahaya pada badan dan menjadi cahaya dalam hati." Fasal yang paling panjang dibicarakan oleh Syeikh 'Abdul Ghafur bin 'Abbasi Madura adalah mengenai sembahyang yang disentuh pelbagai aspek. Fasal yang berikutnya diberi judul Fasal Pada Menyatakan Puasa. Mengenai ini nampaknya hanya sebagai pelengkap saja, huraian yang diberikan sangat singkat, tidak seperti mengenai sembahyang. Diikuti Fasal Pada Menyatakan Zakat. Huraian mengenai zakat lebih panjang

daripada huraian mengenai puasa. Sebagai penutup huraian zakat Syeikh 'Abdul Ghafur bin 'Abbasi Madura menegaskan: "Syahdan wajib menunaikan zakat dengan bersegera apabila diperoleh dengan dia, seperti ada harta hadir atau sudah kering buah-buahannya daripada dapat dia atau lainnya..." Syeikh 'Abdul Ghafur bin 'Abbasi Madura juga memandang penting adab golongan perempuan, maka sesudah Fasal Pada Menyatakan Zakat diikuti dengan Fasal Pada Menyatakan Segala Perempuan Dan Bersama-sama Dengan Dia. Sesudahnya diikuti dengan Fasal Pada Menyatakan Adab/Sopan Santun Serta IbuBapa. Termasuk bahagian terpenting Tarjamah Kitab ash-Shalihin ialah membicarakan perkara maksiat zahir dan maksiat batin. Sesudah itu dilanjutkan Fasal Pada Menyatakan Hukum Zina. Pada fasal ini terjadi penggabungan pentafsiran ayat al-Quran, hukum fiqh Syafi'iyah dan hadis targhib (kabar gembira) dan hadis tarhib (kabar takut). Syeikh 'Abdul Ghafur bin 'Abbasi Madura memulakan perkara ini dengan katanya: "Ketahui olehmu bahawa zina itu, iaitu dosa besar, tiada di bawah kufur dan menyekutui Allah daripada dosa yang terlebih besar daripada zina. Hingga direjam yang berbuat dia ..." Fasal mengenai ini sekali gus disentuh juga mengenai ancaman memakan harta riba dan zalim tidak menjalankan hukum menurut yang sebenar yang diperintah oleh Allah. -- dipetik dari Berita Harian, 9. Ogos. 2005

Ensiklopedia Nusantara: Ad-Durr al-Mantsur bukti Tok Kenali pernah menulis kitab terjemahan Arab Bersama Wan Mohd Shaghir Abdullah TOK Kenali dari Kelantan adalah nama paling terkenal dalam dunia pengajian Islam di Malaysia. Beliau juga terkenal di seluruh alam Melayu. Namun, tidak kurang pula orang menyesali kerana mereka beranggapan Tok Kenali tidak menghasilkan penulisan. Anggapan demikian adalah penilaian yang keliru. Justeru, Ensiklopedia Nusantara kali ini memperkenalkan sebuah karya nadir yang dihasilkan oleh Tok Kenali yang judul lengkapnya Ad-Durr al-Mantsur Pada Menyatakan Burdah Yang Masyhur. Nama lengkap penterjemah pada halaman bahagian depan adalah Syeikh Yusuf Ahmad Kalantani. Nama Yusuf Ahmad Kalantani, itulah nama Tok Kenali sebenar yang digunakan pada setiap karangan beliau. Ad-Durr al-Mantsur selesai penulisannya di Makkah, pada Jamadilakhir 1310 Hijrah/Disember 1892. Dicetak dalam bentuk huruf batu/litografi oleh Syeikh 'Abdullah Mujallid, Makkah, Jamadilakhir 1310 Hijrah. Hanya sebuah kitab ini saya peroleh iaitu di Ketapang, Kalimantan Barat, Indonesia. Hingga tulisan ini,

belum diketahui naskhah selainnya. Kandungannya adalah terjemahan dan penjelasan fadilat Burdah al-Bushiri. Kandungan terjemahan puisi Burdah al-Bushiri yang lengkap lafaz Arabnya diletakkan pada bahagian dalam dan huraian diletakkan pada bahagian tepi kitab. Pada mukadimah (bahagian tepi) Tok Kenali menulis: "Maka berkata hamba yang hina, tatkala adalah beberapa qasidah pada hak Nabi kita Muhammad SAW itu, banyak dan sabitlah bagi setengahnya itu beberapa faedah dan beberapa kelebihan dan beberapa khasiat. Aku tentukan sebagai tentu Qasidah Burdah yang masyhur dalam sekalian negeri yang sabit antara Masyriq (Timur) dan Maghrib (Barat) yang dinazamkan dia bagi Imam Bushiri dan Qasidah Madhriyah yang melengkapi bagi sekalian Shalawat Dalail yang mula baginya pula. Dan sabitlah baginya pula beberapa kelebihan yang banyak telah membilang akan dia oleh Abu Sa'id Muhammad al-Khadimi di dalam syarahnya atas hingga sampai ia lima puluh tiga... Oleh sebab qasidah, nazam, syair dan sejenisnya, termasuk dalam bidang kesusasteraan dan kesenian Islam yang bersepadu dengan amalan sesuatu thariqah shufiyah, dapat disimpulkan bahawa Tok Kenali adalah penggemar amalan tradisi yang diamalkan beberapa ulama seperti yang disebut di atas. Selain qasidah, Tok Kenali dalam terjemahannya itu menyebut Qasidah Maimunah karya Imam Abu Hanifah. Tok Kenali menulis selanjutnya: ... kemudian berkata seorang, yang mengarang akan ini kitab dengan bahasa Arab, yang hamba terjemahkan dia dengan bahasa Jawi. Telah memintalah daripadaku oleh sesetengah daripada sekalian orang yang rindukan Rasulullah SAW akan bahawa aku himpunkan sekalian qahidah ... Hingga kalimat ini, naskhah itu tidak dapat dibaca kerana koyak pada bahagian bawah (halaman pertama dan halaman 2). Selain halaman pertama dan dua, semuanya dapat dibaca kecuali halaman 17 juga koyak pada bahagian bawah. Memperhatikan tarikh selesai penulisan (Jamadilakhir 1310/ Disember 1892) bererti karya Tok Kenali ini mendahului sekitar 10 tahun karya guru beliau iaitu Syeikh Wan 'Ali bin 'Abdur Rahman Kutan yang berjudul Risalah Majma' alQashaid wa al-'Awaid. Karya ini selesai ditulis pada Zulkaedah 1320/Februari 1903. Kedua-dua kitab itu walaupun membicarakan Burdah al-Bushiri, namun perbahasannya dalam bentuk berbeza. Dalam karya Syeikh Wan 'Ali Kutan tidak ada terjemahan qasidah yang disebut itu kerana yang lebih diutamakan adalah kelebihan membaca atau mengamalkan Burdah al-Bushiri. Dalam karya Tok Kenali pula, pada halaman pertama terlebih dulu adalah

salinan lafaz Burdah dalam bahasa Arab dari bait ke bait. Setiap bait pada bahagian bawahnya diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Contoh gaya bahasa terjemahan Tok Kenali, tiga bait antaranya saya transliterasi sebagai berikut di bawah ini: - Adakah kerana ingat akan keluarga, yang pada tempat yang mempunyai kayu salam Engkau campurkan air mata, yang liar ia daripada biji mata dengan darah? - Atau kerana berhembus anginkah, daripada pihak negeri yang bernama Kazhimah? Dan cemerlang kilat dalam kelam daripada bukit yang bernama Adhim? - Maka adakah bagi dua matamu itu, jika engkau kata bagi kedua-duanya : Berhenti olehmu, nescaya mengeluar kedua-duanya akan airnya. Dan mengapakah bagi hatimu itu, jika engkau kata baginya: Minum olehmu, nescaya ia gila. Daripada semua yang dipaparkan di atas dapat diambil kesimpulan bahawa Syeikh Yusuf Ahmad al-Kalantani atau Tok Kenali ialah ulama yang menghasilkan karangan. Beliau mampu menulis dalam bentuk prosa dan puisi. Tok Kenali juga menulis dalam bahasa Melayu dan menghasilkan sekurangkurangnya dua karangan dalam bahasa Arab iaitu Madkhal Kamil fi 'Ilmis Sharfi yang selesai penulisannya pada 15 Rabiulawal 1351. Satu lagi, Mulhiq li Miftahit Ta'allum, selesai penulisan pada 29 Syaaban 1354. -Dinukil daripada Berita Harian, Selasa, 12 Julai. 2005.

Ensiklopedia Nusantara: Ad-Durrah an-Nafisah bahasan tasawuf, guna bahasa beradab Bersama Wan Mohd Shaghir Abdullah Kitab dipercayai dikarang Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari SEBUAH kitab tasawuf peringkat tinggi yang cukup terkenal di dunia Melayu yang banyak kali dicetak adalah Ad-Durr an-Nafis karya Syeikh Muhammad Nafis bin Husein al-Banjari. Kitab ini ditulis pada 1200 hijrah/1785 masihi dan dicetak pertama kalinya seratus tahun kemudian iaitu pada 1300 hijrah/1882. Cetakan pertama ditashhih oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Kitab yang saya perkenalkan dalam artikel ini bukan Ad-Durr an-Nafis, tetapi Ad-Durrah an-Nafisah fi Bayan Wahdah fi al-Af'al wa al-Asma' wa ash-Shifat wa az-Zat al-Muqaddasah yang ditulis kira-kira 39 tahun selepas Ad-Durr an-Nafis.

Tarikh tepat penulisan mulai waktu Dhuha, Jumaat, 15 Rabiulakhir 1239/19 Disember 1823. Ia selesai ditulis pada tengah malam Isnin, 9 Muharam 1240/3 September 1824. Kitab ini belum pernah diterbitkan dalam bahan cetakan. Manuskrip yang ada hanya sebuah dan ada dalam simpanan saya. Sungguhpun tidak ada nama pengarang, dapat diduga ia adalah karangan Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari. Ia adlah syarah kitab beliau yang berjudul Ad-Durr an-Nafis. Jadi, manuskrip yang sekarang menjadi koleksi peribadi saya adalah asli tulisan tangan Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari. Sebelum memasuki kandungan Ad-Durrah an-Nafisah, sebagai mukadimah Syeikh Muhammad Nafis bin Husein al-Banjari memperkenalkan dua karya ringkas mengenai tasawuf. Sebuah 18 muka dan satu lagi 14 halaman. Keduaduanya tanpa judul. Sebuah tanpa tahun dan sebuah lagi selesai penulisan pada malam, 30 Jamadilawal 1235/16 Januari 1820. Pada mukadimah risalah yang pertama, Syeikh Muhammad Nafis bin Husein alBanjari menyebut mengenai diri ada empat jenis. Kata beliau: Pertama, diri yang berdiri, iaitu diri jasad atau tubuh badan. Kedua: diri yang terperi. Ketiga, diri yang nyata pada ilmu Allah. Keempat, diri yang sebenar-benar diri. Keempat-empat diri dihuraikan dengan agak panjang menurut kaedah dalam ilmu tasawuf. Kedua-dua risalah yang dianggap sebagai mukadimah Ad-Durrah an-Nafisah, saya tinggalkan dan langsung saja kepada manuskrip yang sedang diperkenalkan. Syeikh Muhammad Nafis bin Husein al-Banjari memulakan bicara dengan katanya: Aku memulai akan risalah ini pada hijrah Nabi SAW seribu dua ratus tiga puluh sembilan tahun, pada tahun Alif, pada lima belas hari bulan Rabiulakhir, yaum al-Jumah, waktu Dhuha, jam pukul dulapan (maksudnya: Jumaat, jam 8 pada 15 Rabiulakhir 1239 pen:) Sebab beliau menulis kitab itu juga dinyatakan dalam mukadimah pada halaman berikutnya. Kata beliau: Kemudian daripada itu, maka tatkala adalah tahun seribu dua ratus tiga puluh lima tahun, daripada tahun hijrah, pada hari yang ketiga puluh cukup, daripada bulan Jamadilawal, (maksudnya: pada 30 Jamadilawal 1235, pen:). Selanjutnya beliau jelaskan: Sanya memintalah kepadaku setengah daripada saudaraku yang telah dibukakan [oleh] Allah hatiku dan hatinya dengan cahaya terang musyahadah, yakni cahaya terang memandang dan mengenal. Beliau jelaskan selanjutnya: "Bahawa itu aku perbuatkan baginya akan suatu risalah

yang simpan (maksudnya: yang ringkas) perkataannya dengan bahasa JawiMelayu yang lemah lembut... Barangkali oleh kerana kandungan keseluruhan Ad-Durrah an-Nafisah adalah tasawuf peringkat tinggi, maka diperlukan bahasa yang beradab. Itulah yang dimaksudkannya dengan bahasa Jawi-Melayu yang lemah lembut bukan bahasa Melayu yang kasar, yang tiada beradab atau tiada berakhlak atau boleh juga dikatakan tiada berbudi bahasa. Sebelum memasuki bahasan tasawuf, Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari terlebih dulu membicarakan mazhab dalam akidah. Megenai perkara ini ada yang beliau bicarakan dalam Ad-Durr an-Nafis. Tetapi, selepas dibanding ternyata dalam manuskrip Ad-Durrah an-Nafisah penambahan dan bahasan jauh lebih banyak serta perbicaraan jauh lebih luas dan mendalam. Mengenai dua mazhab iaitu Qadariyah dan Jabariyah tidak banyak tambahan, tetapi mengenai mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam Ad-Durrah an-Nafisah ada tambahan yang sangat banyak. Dalil mengenai mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah, beliau jelaskan ketika turun ayat al-Quran mengenai kaum yang kasih kepada Allah salah seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah. Nabi menjawab dan menunjuk sahabat Baginda, Abu Musa al-Asy'ari. Manakala muncul keturunan beliau, iaitu Imam Abu Hasan al-Asy'ari, maka sepakatlah ulama bahawa Imam Abu Hasan al-Asy'ari R.A adalah imam mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah. Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari menyebut pula, mazhab yang berpegang kepada iktikad Imam al-Asy'ari ini, iaitu Imam Malik ibnu Anas dan Imam Muhammad anak Idris Syafie. Maka, mazhab Imam Abu Hanifah ibnu Tsabit dan Imam Ahmad ibnu Hanbal itu adalah mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah yang pada iktikad itu, iaitu Imam Abu Manshur Maturidi. Selepas membicarakan tiga mazhab di atas, Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari membahas pula mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah golongan Ahl al-Kasyaf dan Musyahadah. Walaupun karya Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari judul Ad-Durr an-Nafis yang pernah dicetak berlaku kontroversi dengan beberapa tokoh ahli zahir, namun bagi saya Ad-Durrah an-Nafisah yang juga syarah Ad-Durr an-Nafis mesti diperkenalkan. Kedua-dua kandungan kitab itu tidak salah menurut ulama ahli sufi. - dipetik dari Berita Harian, Selasa 27hb. Disember. 2005.

Penulisan puisi oleh ulama Asia Tenggara

TIADA dapat dinafikan bahawa apabila kita membicarakan syair dan nazam di Asia Tenggara, sebahagian besar para sarjana sastera berpendapat telah dimulai oleh Sheikh Hamzah al-Fansuri. Sama ada pada satu sudut lain, ada pihak yang memandang beliau sebagai seorang zindiq kerana faham wihdah al-wujudnya, mahupun golongan pengkagum melihat bahawa beliau adalah seorang siddiq. Bagi yang pro atau kontra kepadanya, mereka turut bersependapat bahawa beliau adalah seorang cerdik cendekiawan Islam-Melayu, atau dengan perkataan lain, Hamzah alFansuri adalah seorang ulama sufi. Peranan para ulama silam Melayu di bidang penulisan dalam bentuk prosa ataupun puisi memang terbukti dengan peninggalan-peninggalan mereka yang cukup banyak dan sangat berpengaruh terhadap rumpun Melayu. Karya-karya mereka dalam bentuk prosa di sana sini telah diperkenalkan, akan tetapi mengenai senarai nama para ulama dan puisi-puisi Melayu (terutama genre syair dan nazam) gubahan ulama kita secara lengkap belum pernah diperkenalkan. Kumpulan puisi Raja Ali Haji telah diusahakan oleh Abu Hassan Sham yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Kumpulan puisi Sheikh Ahmad alFathani pula telah selesai penyusunannya oleh penulis sendiri, yang dapat dirujuk buku berjudul Sheikh Ahmad al-Fathani: Pemikir Agung Melayu dan Islam, Jilid 2, yang diterbitkan oleh Khazanah Fathaniyah. Umum mengetahui bahawa Raja Ali Haji dan Sheikh Ahmad al-Fathani adalah ulama. Apabila kita kaji dengan teliti bahawa puisi Melayu ada yang digubah oleh ulama dan ada pula yang digubah oleh orang biasa. Di antara mereka pula ada yang kita ketahui identitinya sebagai seorang ulama, tetapi tidak kurang pula yang tidak dapat dikesan. Adakah dia seorang ulama ataupun bukan, walaupun sesetengah namanya diketahui. Artikel kali ini cuba memperkenalkan beberapa nama penggubah syair/nazam Melayu yang telah dikenalpasti identitinya sebagai seorang ulama. Ulama penggubah puisi abad 16-17 Sebagaimana disebutkan di atas bahawa penggubah syair pertama dalam bahasa Melayu adalah Sheikh Hamzah al-Fansuri. Tokoh ini sangat banyak diminati oleh para pengkaji/sarjana, baik pengkaji/sarjana tempatan mahupun dunia luar terutama orang Barat. Sungguhpun demikian masih dianggap sukar mendapatkan karya-karya Sheikh Hamzah al-Fansuri dalam bentuk tulisan Melayu/Jawi, sama ada dalam bentuk

manuskrip mahupun berupa bahan cetakan. Bagi penulis, menemukan atau mengesan manuskrip karyanya lebih mudah berbanding karya-karya dalam bentuk cetakan Melayu/Jawi. Sampai sekarang keseluruhan puisi Hamzah Fansuri yang terkumpul dalam sebuah buku yang lengkap belum ditemui, walaupun sebuah buku yang padat membicarakan pelbagai aspek Hamzah al-Fansuri telah ditulis oleh Syed M. Naquib al-Attas. Ulama penggubah puisi abad ke-18 Ulama yang sezaman dengan Hamzah al-Fansuri mahupun sesudahnya seperti Sheikh Syamsuddin al-Sumatra-i, Sheikh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri dan lainlain walaupun diketahui banyak menghasilkan karya dalam corak prosa, tetapi tidak dapat dikesan karya mereka yang bercorak puisi. Hingga abad ke-18, zaman kemunculan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, beliau ini banyak menghasilkan karya bercorak prosa, tetapi hanya sedikit saja menghasilkan karya bercorak puisi. Karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang bercorak puisi dari awal karya hingga akhir hanya sebuah sahaja, iaitu yang diberi judul 'Iqdu al-Jawahir, berupa syair mengenai akidah. Syair ini beliau syarah sendiri sehingga menghasilkan sebuah kitab yang besar diberi judul Ward al-Zawahir bi Alfaz 'Iqdi al-Jawahir. Di sini ada perbezaan dengan Ruba'i Hamzah Fansuri, tidak disyarah oleh Hamzah al-Fansuri sendiri tetapi disyarah oleh Sheikh Syamsuddin Sumatra-i. Selain itu, dari karyanya yang bercorak prosa hanya banyak terdapat dalam Jam'u al-Fawaid saja. Di beberapa tempat lain pula terdapat sisipan beberapa puisi mengenai shalawat dan lain-lain. Selain Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, ulama yang seangkatan dengan beliau juga tidak dapat dikesan sebagai penggubah puisi, sehingga muncul peringkat murid beliau, ialah Raja Ali Haji, pujangga bahasa Melayu yang terkenal. Sewaktu Raja Ali Haji bersama ayahnya ke Mekah tahun 1243 H/1827 M, beliau sempat belajar daripada Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Jika dibandingkan beberapa baris bahagian mukadimah Gurindam Dua Belas Raja Ali Haji, terdapat persamaan maksudnya dengan mukadimah syair Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam 'Iqdu al-Jawahir. Bagaimanapun, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani lebih banyak dibicarakan pada sektor ketokohannya sebagai ulama, sedang Raja Ali Haji lebih banyak dibicarakan sebagai tokoh bahasa Melayu.

Sebagaimana Sheikh Hamzah al-Fansuri, demikianlah Raja Ali Haji sudah cukup banyak dibicarakan. Setiap kali seminar bahasa, terlalu banyak orang membicarakan tentang ulama dan tokoh besar golongan bangsawan yang berasal dari Riau itu. Pengumpulan puisi yang dimuat dalam satu buku khas nampaknya Raja Ali Haji mendahului tokoh-tokoh lainnya. Buku tersebut diberi judul Puisi-puisi Raja Ali Haji, oleh Abu Hassan Sham, merupakan penerbitan pertama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tahun 1993. Buku tersebut juga merupakan salah satu projek Bahagian Sastera DBP. Buku yang tebalnya 803 halaman termasuk halaman Bibliografi dan Indeks itu mungkin buku pertama hasil usaha pengumpulan hasil puisi Melayu yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh sasterawan kita yang terkenal. Demikian nama Raja Ali Haji menjulang tinggi sejak beliau hidup, hingga masih segar di ingatan para pencinta sastera klasik dunia Melayu pada zaman moden sehingga kini. Sezaman dengan Raja Ali Haji ialah Saiyid Muhammad bin Zainal Abidin alAidrus (1795 - 1878 M) yang berasal dari Terengganu. Beliau ini juga sempat belajar kepada Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani di Mekah. Datuk Misbaha dalam tulisannya menyebut bahawa Saiyid Muhammad al-Aidrus adalah sebagai 'Pelopor dan Bapa Kesusasteraan Melayu Terengganu' (majalah Pesaka, 1983:87). Selanjutnya digelar juga dengan Tukku Tuan Besar. Beliau adalah seorang ulama yang mengarang dalam bentuk prosa dan puisi. Mengenai puisinya yang paling popular dan berpengaruh ialah berjudul Kanzil Ula. Harun Mat Piah dalam bukunya Puisi Melayu Tradisional (1989) telah membahas kandungan Kanzil Ula dan Jauharus Saniyah secara ilmiah dan panjang lebar, kedua-dua judul itu dikategorikan karya tersebut sebagai nazam. Kedua-dua ulama penggubah puisi peringkat murid Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani itu, Raja Ali Haji (Riau) lebih banyak mendapat liputan penulisan antarabangsa dan dunia Melayu jika dibandingkan dengan Tukku Tuan Besar (Terengganu) yang masih baru diperkenalkan oleh para sarjana dan pengkaji. Ulama-ulama penggubah puisi abad ke-19 Pada abad ke-19, barulah ramai ulama dunia Melayu menyerlahkan diri mereka yang berperanan aktif sebagai penggubah puisi Arab dan Melayu.

lSheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, lSheikh Muhammad Zainuddin al-Sumbawi, lSheikh Ismail bin Abdul Mutalib al-Asyi (Aceh), lSheikh Muhammad Azhari bin Abdullah al-Falimbani, lSheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga (Riau), lSheikh 'Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani (Pontianak), lSheikh Muhammad Tahir Jalaluddin al-Minkabawi, lHaji Muhammad Husein bin Abdul Latif al-Fathani, lHaji Abdur Rauf Melaka, lSheikh Muhammad Shalih al-Fathani lRaja Haji Muhammad Sa'id Riau. Maklumat beberapa puisi yang telah dihasilkan oleh ulama-ulama yang tersebut diringkaskan sebagai yang tersebut di bawah ini: Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani Hamzah al-Fansuri dan Raja Ali Haji kedua-duanya adalah ulama Melayu merupakan lambang terbesar penggubah puisi Melayu pada zamannya. Maka demikian halnya Sheikh Ahmad al-Fathani adalah lambang terbesar dalam hal yang sama pada abadnya. Bahkan ketiga-tiga ulama dan tokoh yang tersebut memang merupakan penggubah puisi Melayu yang produktif, meninggalkan hasil gubahan puisi yang terbanyak jika dibandingkan dengan semua tokoh Melayu setiap zaman dari dulu hingga kini. Bezanya hanyalah Hamzah al-Fansuri dan Raja Ali Haji telah banyak diperkenalkan, sedang Sheikh Ahmad al-Fathani belum begitu banyak. Ada pun khas mengenai sejarah hidup serta puisi-puisi gubahan Sheikh Ahmad al-Fathani telah penulis kumpulkan dan dimuat dalam buku Sheikh Ahmad alFathani: Pemikir Agung Melayu dan Islam, Jilid 1 dan 2. Dengan diterbitkan buku tersebut, bererti merupakan buku yang kedua kumpulan puisi Melayu sesudah buku Puisi-puisi Raja Ali Haji yang telah

disebutkan di atas. Raja Ali Haji hidup antara tahun 1809 - 1870 M, manakala Sheikh Ahmad alFathani pula hidup antara tahun 1272 H/1856 M - 1325 H/1908 M. Ini bererti sewaktu Raja Ali Haji wafat, Sheikh Ahmad al-Fathani berusia sekitar 14 tahun. Dengan demikian, secara tidak langsung Sheikh Ahmad al-Fathani merupakan penyambung aktiviti bahasa dan sastera yang dijalankan oleh Raja Ali Haji. Ini bererti bahawa dunia Melayu tidak pernah kekeringan tokoh penyair atau penggubah puisi. Puisi Sheikh Ahmad al-Fathani yang pertama dalam bahasa Melayu bercorak nazam ditulis dalam usia 15 tahun, pada tahun 1287 H, diberi judul Nazam Nuril Anam ditulis sewaktu berada di dalam Masjidil Haram, Mekah. Karya puisi beliau yang pertama dalam bahasa Arab ialah Jumanat at-Tauhid (diselesaikan di Mesir, 1293 H/ 1876 M), ditulis dalam Masjid Jamik Al-Azhar, Mesir. Nazam Nuril Anam ditinjau dari segi genre nazam banyak persamaan model susunan dan gaya bahasanya dengan Kanzil Ula karya Tukku Tuan Besar Terengganu, tetapi jika ditinjau dari segi kandungan maka Nazam Nuril Anam jauh lebih lengkap daripada Kanz al-'Ula. Nazam Nuril Anam Sheikh Ahmad alFathani membicarakan mulai kelahiran Nabi Muhammad SAW dan menyentuh hampir keseluruhan aspek Islam, sedangkan Kanzil Ula Tukku Tuan Besar Terengganu yang dibicarakan hanya di persekitaran riwayat kelahiran Nabi Muhammad SAW saja. Keseluruhan puisi Sheikh Ahmad al-Fathani, baik berbahasa Arab mahupun bahasa Melayu yang banyak disiarkan dalam hampir semua kitab yang ditashihnya, diletakkan di bahagian depan ataupun di bahagian belakang penerbitan itu. Selain itu ada pula yang masih dalam bentuk manuskrip. Sheikh Muhammad Zainuddin al-Sumbawi Beliau ini adalah seorang ulama yang berasal dari Sumbawa (Indonesia) yang tinggal di Mekah dan mengajar di Masjid al-Haram, Mekah. Ditinjau dari segi sejarah perkembangan Islam di Asia Tenggara beliau adalah termasuk ulama dan tokoh penting, tetapi ditinjau dari segi seorang penyair tidaklah begitu menonjol. Hanya sedikit puisinya dapat disemak dalam sebuah karyanya yang berjudul Sirajul Huda. Sheikh Ismail bin Abdul Mutalib al-Asyi Beliau adalah seorang ulama yang berasal dari Aceh. Kurang begitu jelas apakah ada dua orang yang bernama Sheikh Ismail bin Abdul Mutalib itu, kerana selain disebutkan berasal dari Aceh ada pula yang di hujung namanya memakai nama

"al-Minankabawi". Baik yang memakai nama "al-Asyi" (pada semua kitab karyanya), mahupun yang memakai "al-Minankabawi" (dalam surat menyurat. Nama sama, tetapi di hujung berlainan. Namun kedua-duanya ada hubungan dengan aktiviti Sheikh Ahmad al-Fathani. Ulama bernama Sheikh Ismail bin Abdul Mutalib al-Asyi (di Mekah) dilantik oleh Sheikh Ahmad al-Fathani sebagai pentashih kitab Melayu/Jawi pada saksi yang dikarang oleh ulama-ulama Aceh. Pada kitab-kitab yang ditashihnya itulah kita dapat mengenal beberapa puisi Sheikh Ismail bin Abdul Mutalib al-Asyi. Bagi yang memakai nama "alMinankabawi", di hujung nama pula ditugaskan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani sebagai Rais Thalabah (Mahasiswa) Melayu di Mesir. Namun penulis lebih cenderung beranggap bahawa Sheikh Ismail bin Abdul Mutalib yang berasal dari Jawi itu hanya satu orang sahaja, walaupun di hujung nama berbeza. Puisi-puisi Sheikh Ismail bin Abdul Mutalib al-Asyi terdapat pada cetakan Jam'u Jawami' al-Musannafat, cetakan Taj al-Muluk, cetakan Muqadimat al-Mubtadiin dan lain-lain. Sheikh Muhammad Azhari bin Abdullah al-Falimbani Beliau adalah ulama yang berasal dari Palembang, merupakan ulama produktif dalam penulisan sesudah Sheikh Abdus Samad al-Falimbani yang terkenal itu. Sheikh Abdus Samad al-Falimbani juga menghasilkan puisi sama ada bahasa Melayu, mahupun bahasa Arab, berbeza dengan Sheikh Muhammad Azhari alFalimbani bahawa beliau menghasilkan puisi dalam bahasa Melayu saja. Puisi-puisi Sheikh Muhammad Azhari al-Falimbani terdapat dalam karyanya Badi'uz Zaman. Puisi-puisi tersebut telah penulis transliterasi dan dimuat dalam buku Sheikh Abdus Shamad Al-Falimbani: Shufi dan Jihad Dunia Melayu (cetakan 1995). Sheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga Ulama yang berasal dari Riau ini adalah seorang tokoh bahasa Melayu yang cukup terkenal di Mekah pada zamannya sehingga beliau digelar 'Qus Bahasa Melayu'. Beliau menghasilkan beberapa buah karangan dalam bentuk prosa, dan puisipuisinya. Hampir semua karyanya dalam bentuk prosa ada dalam simpanan penulis, tetapi belum ditemui yang berupa puisi, sungguhpun dikatakan beliau banyak menghasilkan karangan berbentuk puisi.

Sheikh 'Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani Beliau adalah murid Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, yang banyak menghasilkan karya. Puisi-puisi Sheikh 'Utsman al-Funtiani ditemui dalam karyanya yang berjudul Fath al-Makkah. Ada yang merupakan terjemahan dari bahasa Arab ke bahasa Melayu, tetapi sajak pada rima akhir setiap puisi tetap dikekalkan. Ada pula merupakan ciptaan sendiri bukan terjemah. Keterbatasan ruangan ini mengehadkan perbicaraan ini dibicarakan sepenuhnya. Maka ia dilanjutkan pada ruangan akan datang dengan memperkenalkan pula ulama-ulama lain yang turut terlibat dalam penulisan puisi di Asia Tenggara. Selebihnya yang akan dibicarakan adalah Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin al-Minkabawi, Haji Muhammad Husein bin Abdul Latif al-Fathani, Haji Abdur Rauf Melaka, Sheikh Muhammad Shalih al-Fathani dan Raja Haji Muhammad Sa'id Riau. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp? y=2009&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm #ixzz2CgYgDijR Utusan Melayu (M) Bhd

También podría gustarte