Está en la página 1de 6

Fenomena Al-Quran Keuntungan kepada Manusia

Bulan Ramadan, bulan al-Quran dimakmurkan. Di bulan ini, al-Quran dibaca tidak kira siang dan malam. Di penghujung bulan, jutaan umat Islam seluruh dunia akan khatam al-Quran sekali lagi, pada tahun ini. Begitulah, al-Quran telah menimbulkan satu fenomena sejak ia diturunkan. Jika ada sebuah buku yang dibaca dengan begitu pesat oleh jutaan pembaca, maka tentulah buku itu adalah al-Quran. 6236 baris ayat dan beratus ribu perkataannya dibaca, dihafaz dan dipelajari oleh manusia seluruh dunia. Sempena dengan hari Nuzul al-Quran, Black & Brown ingin berkongsi dengan pembaca mengenai fenomena yang menarik ini, iaitu fenomena al-Quran: keuntungan buat manusia. Allah SWT berfirman bermaksud: Bulan Ramadan, yang diturunkan al-Quran di dalamnya, yang menjadi petunjuk kepada umat manusia, dan merupakan keterangan bagi petunjuk itu. Al-Baqarah 2:185 Pada zaman serba materialistik pada hari ini, tidaklah menghairankan jika manusia memandang keuntungan itu hanya dari segi kebendaan sahaja. Justeru, ada juga yang menganggap al-Quran itu sebagai perkara yang kurang penting di dalam hidup mereka. Ini mungkin kerana kurang mengenal alQuran yang merupakan anugerah Allah SWT yang terbesar kepada umat ini. Justeru, ada keperluannya kita mengupas sedikit mengenai al-Quran. Keuntungan Al-Quran Kepada Manusia Al-Quran diturunkan dengan membawa keuntungan kepada hidup manusia. Al-Quran diturunkan bukan untuk manusia menjadi merana. Firman Allah SWT bermaksud: Taha. Kami tidak menurunkan alQuran kepadamu agar kamu menjadi susah. Taha 20:1-2. Al-Quran memberitahu mengenai makna sebuah kehidupan. Hidup ini bukan kosong, sia-sia tanpa tujuan. Alangkah kosong dan sunyinya hidup ini, jika terumbang ambing tanpa mengetahui untuk apa kita hidup di dunia. Kekosongan makna dalam hidup ini membuatkan ramai manusia memusnahkan dirinya dengan keseronokan palsu yang menghancurkan, seperti dadah, arak, seks rambang atau membunuh diri sebagaimana yang berleluasa di dunia sekarang. Kehidupan tanpa makna membawa kemusnahan. Kehidupan yang terisi makna membawa keselamatan dan kebahagiaan. Kehidupan yang bermakna mempunyai matlamat. Kehidupan itu menjadi bermakna jika kita menyedari bahawa kita dan alam ini tuan pemilik, iaitu Allah SWT. Kewujudan kita di sini adalah membawa amanah memakmurkan dunia, dan menyediakan diri kita untuk kehidupan yang abadi. Semakin lanjut usia, akan semakin terasa benar kekosongan ini. Justeru, amat penting hidup ini dengan makna. Makna kehidupan itu kita perolehi jika kita beriman. Firman Allah SWT yang bermaksud: Maka orang yang beriman kepadanya (Rasul), memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (al-Quran), itulah orang-orang yang beruntung. Al-Araf:157 Manusia itu tetap manusia. Ia bukan haiwan atau mesin. Kebahagiaan seorang insan terletak kepada keseimbangan ia mengisi aspek rohani dan fizikal. Jika seseorang tidak dapat mencapai kejayaan kebendaan di dunia, jangan sampai ia mengabaikan kejayaan dari aspek keimanan dan akhiratnya. Dalam konteks ini, Rasulullah s.a.w. memuji seorang kaya yang beriman. Sebaik baik harta itu ialah harta yang halal di tangan seorang yang saleh. Setiap orang ingin agar harta bendanya kekal. Taqwa yang ada pada diri seseorang akan menjadikan harta yang ada padanya menjadi berkat, bertambah dan berpanjangan. Malah, kebaikan yang diperolehi dari pengurusan harta yang baik itu akan berpanjangan

hingga ke akhirat. Firman Allah SWT bermaksud: Sesiapa yang taqwa kepada Allah akan diberikan kepadanya jalan keluar, dan diberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka olehnya. At-Talaq: 2&3 Al-Quran membawa sistem yang memandu pelbagai aspek kehidupan dan budaya kita. Al-Quran menjernihkan konsep pemikiran dan menyediakan acuan asas bagi pembinaan budaya yang baik. Sistem zakat, waqaf, infaq, sedekah, hibah (pemberian) dan lain-lain lagi mengatur keseimbangan harta kepada semua lapisan masarakat sehingga harta dalam sesebuah negeri tidak dimonopoli oleh satu golongan sahaja. Firman Allah SWT bermaksud: Agar tidak ada pengumpulan harta di kalangan golongan kaya sahaja. Keseimbangan ini penting dalam mewujudkan harapan dan ketenangan di kalangan masyarakat yang berpendapatan rendah. Melalui sistem yang diatur ini, keamanan dan keharmonian dapat diwujudkan dalam sesebuah negara. Kepuasan oleh golongan yang kurang berupaya mengelak mereka dari mengambil hak golongan kaya tanpa kebenaran. Secara tidak langsung, harta milik golongan berada akan selamat dan terpelihara. Bukankah keamanan diri dan harta benda adalah paling berharga? Adakah boleh ditukar ganti dengan wang ringgit? Dalam hubungan perniagaan pula perlu ada reda meredai di antara dua belah pihak. Prinsip ini sekaligus menolak sebarang prinsip ekonomi yang menimbulkan keperitan, kesempitan, keterpaksaan, penindasan dan kezaliman bagi pihak pengguna sebagaimana yang diamalkan dalam sistem kewangan ribawi yang ada pada hari ini. Dalam melahirkan dunia yang aman dan sejahtera, Al-Quran menegaskan prinsip rahmat, bukan kepada manusia sahaja, tetapi kepada haiwan, tumbuhan dan kuasa alam seperti air, udara, tanah dan sebagainya. Adakah kelembutan dan kebaikan yang lebih besar dari berbuat baik kepada sesama makhluk Allah dibumi selain daripada ini? Firman Allah SWT bermaksud: Dan berbuat ihsanlah kamu (kepada sesiapa dan apa sahaja), sebagaimana Allah berbuat baik kepada kamu, Allah suka kepada yang berbuat ihsan. Samudera Ilmu Dari Al-Quran Al-Quran memang diturunkan dalam bahasa Arab, namun ia tidak dikhususkan kepada umat Arab sahaja sebagai mana wahyu terdahulu seperti Injil dalam bahasa Suryani (Aramic) kepada umat Nabi Isa a.s. dan Taurat dalam bahasa Ibrani (Hebrew) kepada umat Musa a.s. sahaja, yang keduanya dari rumpun keturunan Bani Israel. (anak cucu Nabi Yaakob a.s.) Mengapa al-Quran wahyu Allah pada zaman ini diturunkan dalam bahasa Arab? Mungkin kerana al-Quran adalah wahyu terakhir, kepada Nabi terakhir, diturunkan pada zaman terakhir dan kepada seluruh umat manusia, maka bahasa yang dipilih haruslah mampu mengandung pelbagai tuntutan maksud dan makna yang hendak disampaikan. Firman Allah SWT bermaksud: Sesungguhnya Kami telah mempermudahkan al-Quran untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran? al-Qamar 54:40. Bahasa Arab mempunyai kekuatan akar kata yang terbanyak berbanding bahasa lain di dunia. Bahasa Arab mempunyai 16,000 akar kata berbanding bahasa Saxon 1000 akar kata dan latin yang hanya mempunyai 700 akar kata sahaja. Satu kajian akademik oleh Prof. Dr. Tahiyyah Abdul Aziz mendapati bahasa Arab merupakan sumber asal usul semua bahasa yang ada di dunia. Ia berpadanan dengan bahasa Inggeris, Perancis, Jerman, latin, Hyroglypha, Anglo-Saxon, Itali, Yunani, Eropah kuno, Sanskrit dan beberapa lagi. Bahasa yang kekurangan kata akan meminjam kekuatan bahasa yang kuat seperti bahasa Arab. Bahasa Arab telah mencipta berbagai istilah dalam bidang sains, kedoktoran, seni bina, astronomi dan lain-lain. Satu perkataan dalam bahasa Arab juga boleh diertikan dengan banyak makna, dari sudut dan konteks yang berbeza. Justeru, dari satu ungkapan perkataan dalam al-Quran, maka kita dapat

menimba berbagai ilmu, hasil daripada analisa dan penimbaan makna yang terhasil daripada perkataanperkataannya. Al-Quran juga berinteraksi dengan roh manusia. Roh kita telah mengenal Allah SWT sejak dari azali lagi. Roh kita pernah mendengar Kalam Allah sebelum dilahirkan di dunia. Jika tidak kerana nafsu yang menutup sinaran hati, pasti kita akan dapat memahami makna yang disampaikan melalui bacaan kitab suci al-Quran. Apatah lagi al-Quran itu mempunyai gaya susunan bahasa yang tersendiri yang berinteraksi dengan jiwa dan psikologi manusia. Susun atur hurufnya, sebutan dan intonasinya, panjang pendeknya, semua bagai irama yang tersusun, harmoni dan sedap didengar. Tidak hairan bacaan yang baik akan menusuk ke hati, walaupun kita tidak memahami keseluruhan isi kandungan ayat yang dibaca. Ramai di kalangan saudara kita yang terpikat dan memeluk agama Allah hanya dengan cinta pendengaran pertama. Bacaan Nabi Muhammad s.a.w jugalah yang telah menarik perhatian penentangnya untuk mencuri dengar bacaan Nabi di luar pengetahuan rakan kongsinya. Maryam Jameelah, atau Margaret Marcus sebagi contoh adalah seorang pemudi berbangsa Yahudi pada zaman ini yang terpanggil menyahut seruan Allah SWT hanya setelah membaca dan mendengar bacaan alQuran. Contoh seperti ini amat banyak berlaku di hadapan mata. Menurut Imam al-Ghazali, al-Quran itu setelah dipelajari atau difahami tafsirnya, sama ada dari segi makna harfiah (literal), konteks maknanya dan dari konteks penurunannya, ia juga mempunyai nur yang memberikan sentuhan ilmu yang halus dan seni kepada sesiapa yang memiliki hati yang bersih. Firman Allah SWT bermaksud: Tidak akan menyentuhnya, melainkan mereka (malaikat dan lain-lain) yang dibersihkan. Tetapi dengan syarat, ia tidak membelakangkan makna dalam konteks ilmu tafsir, dan tidak mengatakan bahawa ilmu yang diilhamkan oleh Allah SWT di dalam hatinya melalui pembacaan al-Quran itu adalah satu-satunya maksud sebenar ayat tersebut. Menurut al-Ghazali dan ulama seperti Ibnu Atha-illah berpendapat pembukaan ilmu setelah memahami tafsir tidak termasuk di dalam mempersenda al-Quran dan kategori mentafsirkan al-Quran menurut akal fikiran semata-mata. (Rujuk Ihya Bab Rahsia Al-Quran dan al-Lathaif oleh Ibni Atha-illah). Al-Quran adalah Kalam Allah yang menciptakan alam ini. Ia bagaikan manual yang mengandungi rahsia kejadian alam ini. Justeru, tidak hairanlah jika Dr Maurice Buchaille (pengkaji dari barat) dalam kajiannya Quran, Bible & Science menyatakan bahawa al-Quran sarat mengandungi fakta-fakta saintifik yang tidak dapat disangkal. Ia adalah fakta yang ada sejak 1400 tahun silam. Jika Muhammad itu bukan pengarangnya kerana ia tidak tahu membaca huruf (Ummi), jadi, siapakah yang mengarang al-Quran? Di sini kebenaran al-Quran itu mula berputik di dalam hati pada ramai pengkaji bukan Islam sepertinya. Dari satu perspektif, al-Quran itu umpama kod yang harus ditafsir dan dipecahkan mengikut bidang keilmuan masing-masing. Al-Quran berinteraksi dengan geologis dalam bahasa geologi. Al-Quran berbahasa dengan ahli fizik dan matematik menurut bahasa mereka. Begitulah al-Quran berbahasa kepada cerdik pandai dalam pelbagai bidang menurut bahasa dan kod istilah ilmu yang tepat dan boleh diterima oleh rasional. Firman Allah SWT bermaksud: Apakah yang menciptakan itu tidak mengetahui mengenai apa yang ia ciptakan? al-Mulk 67: 14 Al-Quran sarat mengandung nilai dan prinsip-prinsip yang boleh ditimba oleh sesiapa sahaja untuk kebaikan hidupnya. Dengan kepandaian memindah prinsip atau Qiyas, prinsip-prinsip yang terdapat di dalam al-Quran boleh dikeluarkan dan dimanfaatkan untuk menjadi panduan di dalam bidang

profesional seperti pengurusan, pentadbiran, penggubalan sistem, seni bina, seni halus, kejuruteraan dan berbagai bidang lagi. Cuma, perkara ini masih baru dan masih ada ruang yang begitu luas untuk dibincang, dikaji dan dikeluarkan prinsip-prinsip yang hebat daripada al-Quran. Mungkin juga ini satu lagi cabaran al-Quran kepada cerdik pandai Islam di seluruh dunia untuk mengeluarkan konsep, idea, gagasan, formula, strategi dan perkara-perkara lain yang baru dari al-Quran dalam usaha memakmurkan dunia pada hari ini. Ini bukan khayalan, tetapi kenyataan yang telah dibuktikan oleh saintis Islam yang berilmu, warak dan menguasai ilmu al-Quran. Dari mana ledakan ilmu yang luarbiasa yang melahirkan pelopor dalam berbagai bidang keilmuan zaman dahulu, jika tidak dari al-Quran? Adakah kehebatan ini khusus untuk mereka sahaja, atau masih terbentang luas untuk cendekiawan pada hari ini juga? Jawabnya, al-Quran itu untuk pelopor hari ini dan akan datang. Mungkin kerana kita tidak mengenal al-Quran sebagaimana adanya dan kita meninggalkan al-Quran sebagai sumber al-Kautsar ilmu yang melimpah ruah, maka kita ketinggalan dalam penghasilan ilmu baru. Mungkin inilah masa umat Islam kembali merasa mulia dengan anugerah al-Quran. Jika ini disedari, tidak mustahil akan lahir satu era al-Quran itu dimakmurkan dalam segenap segi. Jika hari ini, kita hanya mendapati al-Quran di masjid, di pentas Tilawah dan di pusat pengajian Islam, percayalah, esok al-Quran itu mungkin menjadi paksi kepada segenap sendi kehidupan manusia. Dengan syarat, Huda al-Quran itu difahami, diyakini, dikaji dan diaplikasi dalam bentuk yang realiti. Fiqh Al-Quran Perkara yang disebutkan ini bukan perkara baru. Ia adalah satu konsep yang dinamakan di dalam artikel ini sebagai Fiqh al-Quran. Fiqh al-Quran bermaksud penimbaan hidayah al-Quran dalam memakmurkan dunia dan akhirat, yang dimanfaatkan hidayahnya dalam segenap segi keperluan manusia, sama ada kejiwaan, keimnan, psikologi, fisiologi, terapi, profesional, industri, ekonomi, sosial, politik dan segenap sendi kehidupan serta budaya manusia. Saidina Ali berkata: Tidak dirahsiakan oleh Rasulullah s.a.w. kepadaku sesuatu yang disembunyikan dari manusia lain (dalam konteks Nabi tidak bercakap melainkan dengan mentaliti dan persediaan ilmu mengikut taraf intelektual seseorang-bukan menyembunyikan ilmu-ilmu yang wajib diketahui umatnya) melainkan didatangkan oleh Allah Azza Wajalla seorang hamba yang memahami (fiqh) KitabNya. Sahabat Nabi, Ibnu Masud pula menegaskan : Sesiapa yang ingin memiliki ilmu pengetahuan orang terdahulu dan orang kemudian, hendaklah ia membincang pengertian al-Quran. Yang terbesar dari ilmu al-Quran itu ialah di bawah Nama-nama Allah Azza Wajalla dan sifat-sifat-Nya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Diberikan al-Hikmah kepada sesiapa yang Allah kehendak. Sesiapa yang Allah berikan alHikmah sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Al-Hikmah yang terbesar adalah alQuran yang merupakan mukjizat sepanjang zaman sebagaimana di sebutkan dalam surah Ya Sin: Ya Sin. Demi al-Quran yang Hakim (mengandungi hikmah kebijaksanaan). Ya Sin 56 1&2. Apa itu Al-Quran? Hampir semua umat Islam mengenali al-Quran. Al-Quran adalah Kalam Allah, yakni Firman Tuhan yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dalam hampir 23 tahun. Firman ini dicatat dan dibukukan, dan dinamakan sebagai kitab suci al-Quran atau mushaf al-Quran. Mungkin ramai juga di kalangan para pengkaji bukan Islam yang mengenali al-Quran dari aspek ini. Firman pertama Iqra telah meledakkan budaya al-Quran yang diamalkan oleh umat Islam dari satu zaman ke satu zaman, iaitu membaca, menghafaz dan menyalin (menulis) al-Quran.

Kita amat digalakkan membaca al-Quran. Orang yang baru mempelajari bacaan al-Quran, kurang lancar tetapi meneruskan bacaan diberi ganjaran dua kali ganda pahala kerana kesabaran dan kesungguhannya. Membaca al-Quran adalah satu ibadah yang besar ganjarannya. Nabi bersabda maksudnya: Sesiapa yang membaca al-Quran seolah-olah diangkat baginya satu darjat kenabian, melainkan ia tidak diturunkan wahyu. Seorang yang membaca al-Quran dan ia menyangka ada orang lain yang diberikan kebaikan lebih daripada kebaikan yang diberikan kepadanya, maka ia telah memperkecilkan sesuatu yang Allah anugerahkan kepadanya. Hadis riwayat al-Tabarani. Menurut hadis sahih, satu huruf yang dibaca menyamai 10 pahala kebajikan. Bayangkan jika seseorang menyebut Basmalah yang mempunyai 19 huruf, atau membaca al-Fatihah, surah, juz demi juz hingga khatam al-Quran. Mampukah kira menghitung kebaikan dari bacaan alQuran? Al-Quran itu umpama matair al-Kautsar di dunia yang tidak habis kebaikannya kepada kita. Rugi seruginya bagi mereka yang memandang remeh anugerah al-Quran ini semasa tempoh hidupnya yang singkat ini. Firman Allah SWT bermaksud: Maka apakah kamu menganggap remeh sahaja alQuran ini? Kamu membalas rezeki Allah dengan pengingkaran? Al-Waqiah 56: 81 & 82. Kita percaya dan mengamalkan kebaikan membaca al-Quran. Namun, ada persoalan yang harus dijawab oleh kita. Untuk apakah al-Quran itu diturunkan? Kunci kepada turnnya al-Quran pada akhir zaman ini tidak lain ialah untuk diambil Huda (petunjuk) darinya. Firman Allah SWT bermaksud: Alif Lam Mim. Kitab itu, tiada keraguan di dalamnya, menjadi petunjuk kepada orang yang Taqwa. Dalam surah al-Baqarah ayat 157 Allah menyatakan al-Quran iatu menjadi petunjuk yang boleh dimanfaatkan oleh umat manusia. Perintah agar al-Quran dibaca, ialah supaya kita membaca al-Quran dan mengambil pelajaran dari hidayah al-Quran. Dengan membaca dan menimba mesej-mesej yang disampaikan oleh Allah SWT kepada kita, maka di situ kita akan mendapat petunjuk, bimbingan, ilmu dan pencerahan dalam diri kita. Justeru, wahyu Iqra itu bermaksud agar umat Islam memahami dan menimba khazanah hikmah, ilmu kebijaksanaan dan makrifah yang terkandung di dada al-Quran. Orang yang beriman tidak syak lagi akan mendapat manfaat yang banyak daripada al-Quran seperti pembersihan hati, peningkatan ruhani, pendekatan kepada Ilahi, pembukaan ilmu, pahala dan keredaan Allah SWT yang akan dibawa sehingga kepada dimensi kehidupan yang satu lagi dan kebaikankebaikan di dunia. Namun, adakah manusia yang bukan Islam juga dapat menimba kebaikan-kebaikan dari al-Quran? Jawabnya boleh. Al-Quran itu diturunkan di dunia, dan ditujukan kepada seluruh umat manusia. Bagi yang beriman akan mendapat dua kebaikan , iaitu kebaikan di dunia dan di akhirat. Bagi yang tidak beriman, ia boleh mengambil manfaat dan kebaikan al-Quran untuk digunakan dalam kehidupannya di dunia. Al-Quran itu cahaya. Menurut Imam al-Ghazali al-Quran itu diumpamakan sebagai matahari. Sepertimana matahari menerangi bumi, seperti itulah al-Quran menerangi bumi dan hati, akal, budi serta hidup manusia. Ia diturunkan untuk memberi cahaya kepada kehidupan manusia sehingga akhir zaman. Setiap hurufnya adalah cahaya. Ia bukan cahaya fisikal, tetapi cahaya maknawi yang menghidupkan hati yang mati, bagai hujan yang membasah bumi dan menghidupkan tumbuh-tumbuhan yang hijau.

Al-Quran itu Kalam Allah SWT Yang Maha Pengasih dan bersifat dengan Maha Bersyukur terhadap hamba-hamba-Nya. Setiap lintasan niat dan kebaikan, satupun tidak akan dipersia-siakan, malah diberi kebaikan yang tidak dapat kita bayangkan. Namun, al-Quran itu diturunkan di dunia. Kebaikan darinya hendaklah dimanfaatkan di dunia, dalam tempoh kita berada di atas bumi ini. Rugi jika umur kita dihabiskan, tetapi tidak sedikitpun diperuntukkan untuk memperolehi walaupun secebis keuntungan dari al-Quran. Penolakan manusia adalah bukti kebenaran al-Quran. Al-Quran umpama cermin yang menunjukkan wajah kita yang sebenarnya. Bagi yang tidak melakukan kesalahan besar, ia tidak akan memusuhi alQuran. Orang yang lari daripada al-Quran ialah orang ada membuat kesalahan sebagaimana yang dilarang di dalam al-Quran. Bukankah seorang yang melakukan kesalahan trafik, akan merasa kecut hatinya apabila ternampak sahaja kereta peronda trafik di jalanraya? Begitulah perumpamaan kita. Maka, penolakan manusia terhadap al-Quran adalah bukti kebenarannya. Al-Quran itu tempat kita merujuk. Manusia tidak selalunya benar. Malah kita selalu tersalah. Justeru, orang yang berfikiran waras akan lebih mendekati al-Quran, walaupun teguran dalam al-Quran kadang-kadang mengguris perasaan halusnya. Bukankah ubat itu pahit? Kupasan yang ringkas dan serba sederhana ini, sedikit sebanyak telah menjelaskan kepada kita bahawa al-Quran itu lautan yang tidak mampu diduga seluruhnya oleh kita. Namun, jika tidak dipecahkan ruyungnya, manakan kita mendapat sagunya? Justeru, kita berkewajipan untuk memulakan usaha menyelami rahsia yang terkandung di dada al-Quran. Firman Allah SWT bermaksud: Jika lautan itu menjadi tinta untuk mencatat kalimat-kalimat Tuhanku, pasti akan kering lautan itu sebelum habis tercatat kalimat-kalimat Tuhanku, walau dibawa tinta lain seperti lautan itu. Wallahu Alam.