Está en la página 1de 2

Koperasi Sebagai Gedung Ilmu

BAGI Koperasi SMK To’ Uban Berhad, Pasir Mas, Kelantan, keperluan menimba ilmu tidak hanya
diletakkan kepada pihak sekolah semata-mata. Tugas dan tanggungjawab tersebut turut digalas oleh
koperasi sebagai melengkapkan prinsip Jati Diri Koperasi ke lima iaitu sebuah koperasi yang baik perlulah
menyediakan pendidikan dan latihan untuk anggotanya.

“Kami amat menghargai peranan ANGKASA dalam memberi input dan maklumat berguna kepada kami
khususnya pelajar-pelajar sekolah ini. Ia juga merupakan satu sumber penting berkaitan koperasi buat kami
yang berada jauh di Pantai Timur ini,” ujar Bendahari, Puan Norhayati Wan Ahmad.

Kenyataan tersebut ada benarnya. Sewaktu kunjungan wakil PELANCAR ke sekolah berkenaan, beberapa
keluaran majalah PELANCAR diletakkan di pondok rehat berhampiran kedai koperasi untuk bacaan
pelajar. Inisiatif tersebut banyak membantu perkembangan yang positif di kedai koperasi, penglibatan
pelajar dalam kuiz Hari Koperasi Sekolah (HKS) dan juga permainan petanq.

Kesesuaian lokasi dan keselesaan yang diperolehi anggota di pondok rehat ini turut menarik minat mereka
untuk membaca di sini. Secara tidak langsung, masa rehat mereka terisi dengan pembacaan yang berfaedah.
Idea untuk meletakkan majalah PELANCAR di pondok rehat ini mendapat sambutan baik daripada pihak
pengurusan sekolah terutamanya Pengetua, Haji Raub Tengah. Para petugas jualan dan pengawas kedai
koperasi dipertanggungjawabkan memantau dan mengutip semula majalah-majalah tersebut setelah tamat
waktu persekolahan ataupun ketika hujan.

Koperasi yang mempunyai sebuah kedai dilengkapi dengan peralatan pembelajaran seperti alatulis, buku-
buku, pakaian sukan sekolah dan sebagainya ini turut mendapat restu Pengetua untuk menjual makanan
ringan yang pelbagai. Malah, mengikut tahap jualan dan permintaan yang tinggi, Pengetua mencadangkan
agar koperasi menambahkan lagi jenis jualannya khususnya makanan dan minuman ringan.

Menurut Puan Norhayati lagi, lokasi sekolah yang agak berjauhan daripada bandar menyebabkan segala
yang dijual di kedai koperasi mendapat sambutan. Pelajar-pelajar juga gembira dengan kesungguhan guru-
guru ALK yang setiap masa berusaha memenuhi permintaan mereka seperti menjual biskut-biskut yang
pelbagai jenis selain makanan ringan biasa.

Beliau percaya satu ketika nanti, hasrat koperasi untuk mengadakan ruangniaganya sendiri akan tercapai
sekiranya prestasi jualan dikekal dan ditingkatkan lagi. Difahamkan juga, pihak koperasi ini juga bercadang
untuk menawarkan jual beli secara kredit barangan elektrik dan perabot terpilih kepada para guru yang
menjadi anggota koperasi ini.

“Barangan elektrik dan perabot dianggap sesuai dan menjadi minat kebanyakan guru setelah dibuat tinjauan
secara rambang. Koperasi akan membelinya secara tunai dari pihak ketiga dan dijual semula kepada guru
dalam bentuk kredit tanpa faedah. Sistem ’kutu’ juga diterima sekiranya guru-guru ini tidak mahu
menanggung beban hutang yang lama,” jelasnya mengenai perancangan jangka masa panjang koperasi ini.

Koperasi yang disertai 848 orang anggota ini nyata lebih mementingkan hal pendidikan dan kebajikan
anggotanya. Bagi anggota terdiri daripada pelajar, bahan-bahan berinfomasi yang disediakan koperasi ini
amat menarik dan besar manfaatnya dalam proses pembelajaran mereka seharian.

Kesanggupan koperasi melaksanakan beberapa agenda ini jelas melambangkan komitmen terbaik bagi
kebajikan anggota seluruhnya. Penerapan nilai-nilai murni seperti tanggungjawab menimba ilmu juga tidak
diabaikan begitu sahaja sesuai dengan peredaran masa dan perkembangan teknologi moden kini.
Koperasi SMK To’ Uban Berhad, d/a SMK To’ Uban, 17050 Pasir Mas, Kelantan Darul Naim. Tel.: 09-
7942117.

– NORLAILI MANSOR