Está en la página 1de 13

1

PERKEMBANGAN PERSONALITI REMAJA MENURUT ISLAM 1. PENGENALAN Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Negara Malaysia sering dilanda pelbagai masalah dalaman seperti masalah sosial dalam masyarakat serta masalah mendapatkan peluang pekerjaan oleh mahasiswa mahasiswi tempatan. Masalah sosial dalam masyarakat khususnya yang melibatkan para remaja umumnya dikaitkan dengan kegagalan pihak ibubapa, guru dan masyarakat dalam mendidik mereka menjadi individu yang berguna. Kurangnya didikan akhlak oleh ibubapa merupakan salah satu faktor yang menyebabkan para remaja mudah terjerumus ke dalam gejala tidak sihat. Begitu juga dalam masalah mendapatkan peluang pekerjaan oleh para mahasiswa dan mahasiswi walaupun telah memperoleh ijazah kelas pertama. Jika difikirkan dan dikaji, kedua-dua masalah ini ada kaitannya dengan personaliti. Remaja yang tidak dibentuk dengan personaliti yang baik akan membina personaliti mereka sendiri melalui hubungan mereka dengan rakan sebaya. Ahli psikologi Barat, Ericson ada mengemukakan 8 tahap perkembangan psikososial. Menurutnya, pada tahap 5 iaitu tahap identiti lawan kecelaruan peranan, para remaja yang berumur dalam lingkungan 12 hingga 18 tahun mula mencari-cari identiti yang sesuai dengan mereka. Justeru, tidak hairanlah jika remaja mudah terpengaruh dengan rakan sebaya mereka lebih-lebih lagi mereka tidak didampingi oleh ibubapa yang sibuk dengan urusan kerja. Mereka rasakan bahawa rakan merekalah yang paling memahami diri mereka. Tanpa bimbingan akhlak dan nilai murni, terlalu mudahlah untuk mereka terjebak dengan gejala yang tidak sihat. Berbalik semula kepada soal kegagalan mahasiswa mendapatkan peluang pekerjaan pula, hubungan personaliti amat ketara dalam aspek ini. Kebanyakan pelajar samada di peringkat sekolah atau pun institusi pengajian tinggi, mereka lebih didedahkan dengan pendidikan yang hanya berfokus kepada pembinaan intelek sahaja. Namun, tanpa mereka sedari, mereka telah terlepas pandang terhadap satu lagi aspek penting yang mampu memberi kelebihan kepada diri mereka pada masa akan datang, iaitu aspek personaliti. Kebanyakan mereka gagal ditemuduga kerana mereka tidak mempunyai kemahiran berkomunikasi, takut mengeluarkan pandangan serta tidak berkeyakinan. Sektor pekerjaan pada masa kini menuntut para pekerja memiliki kemahiran berkomunikasi dan interpersonal yang tinggi untuk bersaing. Kemahiran-kemahiran ini adalah rangkuman daripada nilai-nilai personaliti.

Namun, apa yang ingin dikupas dalam perbincangan ini ialah personaliti yang dibentuk dan dikembangkan seharusnya selaras dengan ajaran Islam. Hal ini kerana, personaliti yang berteraskan Islam sahaja yang mampu membantu para remaja mendepani cabaran semasa dengan lebih yakin. Ahli-ahli psikologi Barat telah mengemukakan banyak teori tentang manusia seperti personaliti dan tingkah laku, yang mana ada di antaranya yang bertentangan dengan Islam. Disiplin psikologi Barat telah mengenepikan paradigma Tuhan, sebaliknya lebih memusatkan paradigma hidup yang tidak mementingkan pengertian dan kualiti spiritual. Konsep manusia yang terdapat dalam disiplin psikologi dari perspektif Islam bukanlah bererti bahawa disiplin dari barat ditolak secara total tetapi apa yang seharusnya dilakukan adalah menyerapkan nilai-nilai spiritual pada konsep-konsep manusia khususnya dalam bidang psikologi berkenaan dengan personaliti yang terdapat dalam teori tersebut. Hal ini lebih utama untuk diterapkan dalam diri remaja kerana perjalanan dalam memperkembangkan personaliti remaja akan memberi kesan dan pengaruh kepada mereka apabila mereka sudah dewasa kelak. Oleh itu, adalah wajar sekiranya kita membincangkan tajuk yang berkenaan dengan perkembangan personaliti remaja menurut Islam.

2. KONSEP DAN PENDEFINISIAN

2.1

Perkembangan

Menurut Shaffer (1999), perkembangan merupakan suatu proses perubahan yang kompleks. Proses perubahan yang dilalui itu adalah bersifat kuatitatif dan kualitatif. Menurut Lee (1994), perkembangan kuantitatif merupakan perubahan fizikal yang berkuantiti iaitu dapat diukur dan diperhatikan dengan nyata. Beliau merumuskan bahawa perkembangan merupakan proses perubahan yang mana individu menyesuaikan diri terhadap persekitaran. Oleh yang demikian, proses itu mencakupi pertumbuhan, pematangan dan pembelajaran. Oleh itu, perkembangan bukan hanya membawa perubahan fizikal badan tetapi juga disertai dengan kemajuan dalam kemahiran manipulatif, aktiviti jasmani, keupayaan mental dan rohani. Dengan kata lain, perkembangan merupakan perubahan yang berkualiti iaitu ia sukar diukur secara kuantiti tetapi boleh diperhatikan dengan membandingkan sifat yang terdahulu dengan sifat yang sedang terbentuk. Imam al-Ghazali menyatakan bahawa manusia mengalami beberapa peringkat perkembangan. Peringkat pertama ialah al-janin, iaitu peringkat anak berada di dalam kandungan ibunya. Peringkat kedua ialah al-tifl, iaitu peringkat pada usia awal kanak-kanak. Ketiga ialah peringkat al-tamyiz iaitu peringkat anak-anak yang telah dapat membezakan mana yang baik dan buruk. Pada peringkat ini jugalah akal mereka telah mula berkembang dan dapat memahami sesuatu ilmu. Peringkat keempat ialah peringkat al-auliya dan al-anbiya. Peringkat remaja juga merupakan satu tahap perkembangan dalam diri manusia kerana keremajaan itu sendiri diertikan sebagai proses membesar atau meningkat dewasa. 2.2 Personaliti

Dari perspektif Islam, personaliti merujuk kepada perkataan Arab sahsiah atau akhlak yang dimiliki oleh seseorang. Perkataan akhlak berasal daripada bahasa Arab yang membawa maksud budi pekerti, perangai, tingkahlaku (tabiat) dan adat kebiasaan (M. Ali Hassan 1984: 10). Akhlak terbahagi kepada 2 bahagian iatu akhlak terpuji dan akhlak tercela. Akhlak inilah yang menentukan ketrampilan dan sikap individu itu sendiri. Menurut Kamus Dewan edisi ketiga, personaliti bermaksud keperibadian dan perwatakan. Personaliti berasal daripada perkataan Latin iaitu persona atau personalitas yang bermaksud topeng.

Encyclopedia Dictionary of Pcychology menyebut personaliti sebagai satu konsep yang global yang mempunyai beberapa makna. Pertama ia merujuk kepada tingkahlaku dan perangai yang biasanya ada pada setiap individu. Kedua ia merujuk kepada cantuman kesedaran diri atau ego.Ketiga ia adalah topeng bagi sosial. 2.3 Remaja

Zaman remaja digambarkan sebagai zaman yang penuh dengan tekanan dan kecelaruan emosi akibat pelbagai perubahan pada diri, mental dan nilai konflik. Peringkat remaja juga adalah peringkat percubaan untuk mengenal, mengetahui, belajar dan akhirnya membina sikap, pendirian, watak dan tingkah laku, perangai dan juga kebiasaan terhadap sesuatu perkara atau amalan. Dalam Islam, remaja dibahagikan kepada 2 peringkat iaitu peringkat pertama adalah peringkat selepas bermimpi yang usianya bermula daripada 12 tahun atau 13 tahun sehingga ke 21 tahun. Peringkat yang kedua pula adalah peringkat kematangan yang mana bermula daripada usia 22 tahun hingga 30 tahun. Dalam Islam, peringkat pertama dianggap remaja, iaitu bermula daripada baligh hingga ke usia 21 tahun (Abdullah Nasih Ulwan 1989 : 47). Peringkat awal remaja bermula kira 12 tahun hinggalah 15 tahun. Sungguhpun begitu, peringkat remaja perlu dilihat sebagai suatu proses bukannya sebagai satu jangka masa (Jas Laile Suzanar, 2000). 2.4 Perkembangan Personaliti Remaja Menurut Islam

Secara konseptualnya, Perkembangan Personaliti Remaja Menurut Islam bolehlah didefinisikan sebagaisuatu proses perubahan peribadi, tingkah laku, akhlak, persepsi dan cara seseorang remaja ke arah yang lebih baik selari dengan ajaran Islam.

3. PERKEMBANGAN PERSONALITI REMAJA MENURUT ISLAM

Islam telah membahagikan tahap kedewasaan manusia itu kepada 3 bahagian. Rasulullah s.a.w. menyatakan dalam hadisnya bahawa seseorang anak itu adalah tuan sampai usia 7 tahun, kemudia dia akan menjadi budak dalam 7 tahun kedua serta akan menjadi wazir di 7 tahun yang ketiga. Jika karakter atau sikap yang terbentuk setelah 21 tahun itu disukai oleh ibubapanya, maka itu adalah kebaikan dan jika sebaliknya, itu bererti ibubapanya telah mendapat uzur daripada Allah. Apa yang ingin diterangkan di sini adalah, dalam peringkat remaja, terdapat 2 peringkat perkembangan setelah dia bergelar remaja iaitu pada peringkat 7 tahun kedua dan ketiga. Peringkat 7 tahun kedua dipanggil peringkat awal remaja dan 7 tahun ketiga adalah peringkat akhir remaja. 3.1 Peringkat Awal Remaja

Peringkat awal remaja adalah peringkat seseorang remaja itu berumur kira-kira 7 hingga 14 tahun yang mana secara fizikal dan kecerdasannya telah dianggap matang. Ia sudah boleh membezakan antara perkara-perkara yang baik dengan yang buruk dan secara intelektualnya, ia telah bersedia untuk memulakan proses pembelajaran dan pembinaan . Pembelajaran dan pembinaan di sini dimaksudkan sebagai pembelajaran bersifat akademik dan pembinaan watak dan peribadi. Pembelajaran bersifat akademik seperti membaca, menulis dan mengira boleh la dipelajari secara formal di sekolah kerana pada peringkat ini, mereka sudah dikira bersedia untuk menempuhi alam persekolahan. Melalui persekolahan ini jugalah mereka akan berjinakjinak membina hubungan persahabatan dan ia juga sebagai peringkat awal dalam pembinaan sikap dan watak. Peringkat ini adalah peringkat yang penting dalam mendidik golongan ini kerana pada peringkat ini mereka mudah dididik. Mereka seharusnya dibiasakan dalam melakukan perkara-perkara yang baik dan meninggalkan perkara-perkara yang buruk. Hal ini kerana, pembiasaan melakukan kebaikan bermula dari peringkat awal akan menjadikan perkara baik itu sebagai tabiat atau sikap dimasa hadapan kelak.

Kemudian, menurut Kamarulzaman Kamaruddin (2009 :117) dalam bukunya yang bertajuk Psikologi Perkembangan, beliau telah mengatakan bahawa pada peringkat ini, remaja

akan mengalami 6 peringkat perkembangan iaitu fizikal, kognitif, emosi, sosioemosi, bahasa dan sosial. Jika dilihat dari perspektif Islam, setiap peringkat perkembangan ini mempunyai pengaruhnya yang tersendiri dalam pembinaan personaliti seseorang remaja dan padanya terdapat kaedah-kaedah didikan yang telah digariskan oleh Islam. Sebagai contoh, pada peringkat perkembangan emosi, selalunya remaja pada peringkat ini sukar ditelah. Mereka mengalami pelbagai konflik dalam diri mereka sendiri seterusnya akan menyebabkan mereka mudah marah dan memberontak. Islam menganjurkan umatnya untuk menjadikan sifat sabar itu sebagai pakaian. Oleh hal yang demikian, ibubapa atau pun guru perlu mendidik dan menasihati mereka agar bersabar dengan setiap kesulitan. Apabila sikap ini dibiasakan, golongan remaja ini akan membentuk satu personaliti baik yang mana personliti ini diungkapkan sebagai akhlak yang baik dalam Islam. 3.2 Peringkat Akhir Remaja

Peringkat akhir remaja didefinisikan sebagai suatu peringkat yang mana para remaja tersebut berumur dalam lingkungan 14 hingga 20 tahun. Pada peringkat ini, tidak kiralah samada remaja lelaki atau pun perempuan sudah hampir menyerupai orang dewasa dan sudah jauh berbeza daripada ciri kanak-kanak yang dipunyainya dahulu. Tahap ini merupaka tahap yang genting untuk seseorang remaja itu mempelajari dan membentuk sebuah personaliti yang diingininya. Peringkat ini juga merupakan peringkat yang mana golongan remaja ini akan mempraktikkan secara terus segala apa yang telah dipelajari dan dididik oleh orang tua mereka sewaktu di peringkat kanak-kanak dan awal remaja. Watak dan sikap yang terbentuk hasil didikan tersebut akan lahir sebagai personaliti. Namun, personaliti ini tidak akan statik begitu sahaja kerana pada peringkat ini, remaja masih lagi tercari-cari personaliti yang bagaimana mahu mereka sesuaikan dengan diri mereka. Menurut Imam al-Ghazali, proses pembentukan akhlak (personaliti) berlaku secara beransur-ansur dan berkembang sehingga menuju kesempurnaan.

Selain itu, sesetengah daripada golongan ini menganggap mereka tidak boleh lagi diperbudakkan kerana telah menjadi seorang yang mempunyai kematangan dari segi rohani, jasmani, intelek dan sosial. Kematangan tersebut menyebabkan mereka ingin mendapatkan kebebasan yang sebanyak mungkin, dan seterusnya menunjukkan identiti yang tersendiri. Oleh

hal yang demikian, Islam menyarankan agar remaja tersebut hendaklah sentiasa diberi nasihat, bimbingan dan anjuran sebagai alat pendidikan dalam rangka membina keperibadian atau personaliti mereka selaras dengan ajaran Islam. 3.3 Faktor-faktor Yang Mempengaruhi Perkembangan Personaliti Remaja

Sememangnya, perkembangan personaliti seseorang remaja adalah dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Namun, antara faktor-faktor tersebut, ada beberapa daripadanya yang boleh dianggap penting. Faktor-faktor tersebut ialah rohani, keluarga, pendidikan, pengalaman dan bidang pekerjaan. 3.3.1 Keluarga

Keluarga boleh diandaikan sebagai wadah utama dalam pembinaan sesebuah masyarakat. Keluarga juga merupakan langkah pertama untuk melahirkan individu-individu yang mampu membawa seribu satu kebaikan di atas bumi Allah ini. Kajian-kajian psikologi dan pendidikan telah sepakat mengatakan bahawa rumah tangga dan keluarga merupakan ejen utama dalam pembentukan peribadi dan perlakuan seseorang dalam kehidupan. Oleh hal yang demikian, penting untuk sesebuah keluarga itu menerapkan nilai-nilai Islam dan mendidik rohani para ahli keluarganya agar hidup selaras dengan acuan yang telah ditetapkan oleh Islam. Remaja yang dibesarkan daripada keluarga acuan Islam akan berbeza daripada remaja yang dibesarkan daripada keluarga yang berlatarbelakangkan pendidikan Barat semata-mata. Hal ini boleh diperhatikan secara zahir dari aspek ketrampilan, cara bergaul, perwatakan dan sebagainya. Iklim keluarga amat mempengaruhi pembentukan dan personality remaja. Sebagai contoh, iklim keluarga yang mementingkan disiplin akan melahirkan remaja yang menepati masa, tidak melanggar peraturan dan mampu melakukan sesuatu itu mengikut prosedur yang ditetapkan tanpa sebarang bantahan dan rungutan.

Selain itu, sikap dan peribadi ahli keluarga amat mempengaruhi remaja. Seperti yang telah dibincangkan, peringkat remaja ialah peringkat yang mana para remaja ini berusaha untuk mencari identiti. Mereka akan mencari contoh teladan untuk diikuti. Justeru, ibubapa seharusnya menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak-anak. Pepatah Melayu ada menyebut tentang hal ini seperti, Bapa borek, anak rintik serta Di mana tumpahnya kuah

kalau tidak ke nasi. Peribahasa-peribahasa ini juga melambangkan bahawa pengaruh ibibapa adalah kuat kepada anak-anaknya khususnya kepada anak-anak yang sedang meningkat remaja. Hal ini jelaslh bahawa, keluarga memainkan peranan yang penting dalam perkembangan personality seseorang remaja. 3.3.2 Rohani

Islam memandang bahawa personaliti adalah akhlak yang lahir daripada rohani yang diisi dengan ajaran Islam. Justeru, rohani memainkan peranan yang besar dalam melahirkan remaja Islam yang berpersonaliti. Remaja yang mempunyai didikan ataupun asas rohani yang kuat pasti akan berpersonaliti menarik selaras dengan ajaran Islam seperti bersopan santun, menutup aurat, tidak bersikap mazmumah dan sebagainya. Personaliti-personaliti ini datangnya daripada rohani yang sihat. Rohani yang sihat ini akan secara tidak langsung terjemah dalam setiap perbuatan dan tingkahlaku seterusnya menjadi kebiasaan yang sukar diubah dan akhirnya ia lahir sebagai satu personaliti. Rohani yang penuh dengan nilai-nilai Islam secara tidak langsung akan membentuk diri remaja itu dengan personaliti tersendiri. Sesungguhnya, akhlak ataupun personality yang baik datangnya daripada sumber yang baik. Sumber akhlak dalam Islam ialah al-Quran dan al-Sunnah. Kedua-dua sumber ini menjadi dasar dalam Islam termasuk akhlak. Al-Quran dijadikan sebagai sumber akhlak dan personality kerana ia bukanlah hasil kajian atau pemerhatian manusia, tatapi adalah firman Allah Yang Maha Bijaksana. Sebagai contoh, didikan akhlak dan personality yang baik ini telah difirmankan oleh Allah dalam Surah al-Hujurat 49:12 yang berbunyi:

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengah yang lain.

Selain al-Quran, Hadis Nabi juga adalah sumber akhlak dan personaliti yang kedua selepas al-Quran. Rasulullah ada menyatakan dalam hadisnya bahawa akhlak adalah salah satu pengukur samada sempuna atau tidak iman seseorang. Nabi s.a.w. bersabda:


Maksudnya: Orang mukmin yang sempurna imannya adalah yang terbaik akhlaknya. Berpandukan segala keterangan di atas, jelaslah bahawa rohani yang didasari dengan iman yang kukuh akan melahirkan akhlak dan personaliti unggul sepertimana yang telah disarankan dalam Islam. 3.3.3 Pendidikan

Selain keluarga dan unsur rohani, aspek pendidikan juga memainkan peranannya yang tersendiri dalam membantu perkembangan personaliti seseorang remaja. Menurut Imam alGhazali, remaja akan melalui perkembangan kognisi, emosi dan social. Perkembanganperkembangan ini amat berkait rapat dengan tahap pendidikan yang ada pada seseorang remaja. Pendidikan yang tinggi mampu menjadikan seseorang remaja itu berbeza daripada remaja yang mempunyai tahap pendidikan yang rendah. Hal ini dapat dilihat daripada cara remaja itu bercakap, mengungkap dan menyuarakan pendapat, cara berfikir dan sebagainya. Remaja yang berpendidikan biasanya akan mengeluarkan sesuatu pendapat dengan lancar dan berkesan di samping disokong dengan fakta dan hujah-hujah yang bernas. Dalam membicarakan hal ini, jenis pendidikan yang diterima oleh remaja itu juga mempengaruhi personaliti dan pemikiran mereka. Contohnya, remaja yang diasuh dan dididik denga terbiyah Islam akan bercakap dan berpendapat mengikut pandangan Islam dan ditambah dengan ilmu-ilmu fardhu kifayah yang lain. Hal ini berbeza pula dengan remaja yang berpendidikan Barat semata-mata. Mereka adakalanya melanggar etika dan menyalahi syarak ketika berhujah lantaran menurut nafsu dan logik akal sahaja. Jelaslah di sini bahawa pendidikan juga merupakan wadah perkembangan personaliti seseorang remaja. 3.3.4 Bidang Yang Diceburi

10

Tidak dapat dinafikan bahawa sesuatu bidang pekerjaan yang diceburi itu amat mempengaruhi personaliti seseorang. Konteks ini bolehlah diungkapkan dengan jelas melalui 2 situasi kehidupan remaja. Remaja yang menceburkan diri dalam bidang yang berprofesion akan lebih berketrampilan yakin dan kemas. Hal ini dapat dilihat dari cara mereka berpakaian, bercakap dan berjalan. Mungkin yang membentuk personaliti mereka ini adalah berpunca daripada etika-etika yang telah digariskan dalam bidang yeng mereka ceburi. Sebagai contoh, profesion perguruan menuntut para guru berpakaian kemas dan segak, sopan dan sebagainnya. Hal ini berlainan dengan remaja yang menceburkan diri dalam bidang seni. Pelukis contohnya, akan berketrampilan santai dan kurang kemas. Penampilan ini adalah lahir dari perspektif dan penilaian terhadap seni itu sendiri. Artis pula lebih cenderung berketrampilan bergaya dan mengikut arus fesyen semasa. Bidang hiburan tidak begitu menekankan aspek etika dalam berpakaian. Oleh hal yang demikian, bagi yang kurang ditarbiyah dengan ajaran Islam, mereka bebas berpakaian mengikut citarasa tanpa memikirkan jenis pakaian yang mereka kenakan. 3.3.5 Pengalaman

Pembentukan dan perkembangan personaliti seseorang remaja turut dipengaruhi oleh pengalaman yang telah mereka lalui samada pengalaman berbentuk yang negatif ataupun yang berbentuk positif. Hal ini kerana, manusia menjadikan pengalaman itu sebagai suatu pembelajaran di dalam kehidupan. Remaja yang mempunyai pengalaman hidup yang sukar biasanya akan lahir sebagai remaja yang tabah dan kuat menghadapi mehnah hidup. Mereka mempelajari erti ketabahan itu melalui liku-liku yang mereka tempuhi untuk terus hidup seperti orang lain. Pengalamanpengalaman yang pahit biasanya dijadikan pengajaran pada masa hadapan manakala pengalaman-pengalaman yang baik dijadikan inspirasi dan motivasi bagi mendapatkan hidup yang lebih bermakna di kemudian hari. Remaja yang pernah mengalami pengalaman pahit seperti didera ketika kecil akan membesar dengan personaliti pasif dan tidak berkeyakinan. Mereka cenderung berdiam diri, ketakutan dan mudah beranggapan buruk terhadap orang lain. Hal ini kerana, kesan penderaan tersebut memberi pengajaran kepada mereka bahawa mereka perlu sentiasa berwaspada dan

11

beranggapan bahawa setiap orang akan melakukan perkara tidak baik terhadap mereka. Mereka turut menjadi manusia yang tidak bersemangat dan sensitif. Hal ini berlawanan pula dengan remaja yang membesar dalam suasana yang membina. Remaja yang mempunyai pengalaman berpidato akan tampil dalam personaliti yang berkeyakinan. Kejayaan-kejayaan yang pernah mereka capai dijadikan pembakar semangat serta motivasi yang mana secara tidak langsung membentuk personaliti yang baik dalam diri mereka.

4. KESIMPULAN Setiap remaja akan melalui peringkat perkembangan mereka. Perkembangan personaliti mereka juga akan berlaku secara berperingkat selari dengan perjalanan kehidupan mereka menuju kedewasaan. Perkembangan personaliti yang didasari mengikut lunas-lunas Islam akan melahirkan generasi remaja Muslim unggul yang mana mampu menjulang maruah bangsa, agama dan negara ke mercu kegemilangan. Perspektif Islam menekankan bahawa perkembangan personaliti itu perlu diasaskan dengan pembinaan akidah yang mantap dalam diri golongan

12

remaja. Personaliti yang baik akan lahir selari dengan pembentukan jiwa Muslim yang sebenarnya. Islam menganjurkan kita membina personaliti berpandukan al-Quran dan Sunnah di samping mengambil kira pandangan ahli-ahli psikologi Barat berkenaan dengan hal personaliti ini. Sebagai umat Islam, kita tidak boleh berpeluk tubuh dengan perkembangan ilmu yang pesat termasuk bidang psikologi personaliti. Sarjana-sarjana Islam perlu menggali ilmu-ilmu Islam dan mengetengahkannya ke dunia akademik untuk dikaji dan dibahaskan. Lebih penting, ilmu-ilmu Islam yang berteraskan wahyu dan bersifat abadi bukan sahaja mampu dijadikan alternative kepada ilmu-ilmu Barat malah ia sesuai dengan fitrah manusia.

RUJUKAN Al-Quran Shahabuddin Hashim & Rohizani Yaakub. 2007. Teori Personaliti Dari Perspektif Islam, Timur Dan Barat. Kuala Lumpur: Penerbit PTS Profesional. Sidek Baba. 2010. Remaja Islam Kembali Pada Pemikiran Al-Quran & Sunah. Shah Alam: Penerbit Alaf 21 Sdn Bhd. Ab. Aziz Mohd Zin. 1999. Psikologi Dakwah. Kuala Lumpur: Penerbit Jabatan KemajuanIslam Malaysia.

13

Fariza Md Sham, Salasiah Hanin Hamjah & Mohd Jurairi Sharifudin. 2008. Personaliti Dari Perspektif Al-Ghazali. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Kamarulzaman Kamaruddin. 2009. Psikologi Perkembangan. Tanjong Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris. Muhammad Jamaluddin Ali Mahfuzh. 1996. Psikologi Anak Dan Remaja Muslim. Kuala Lumpur: Penerbit Darulfikir. Fariza Md. Sham, Siti Rugayah Hj, Tibek & Othman Hj. Talib. 2006. Dakwah Dan Kaunseling Di Malaysia. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Razali Saaran. 2010. Hebatnya Cara Rasullullah Mendidik. Kuala Lumpur: Penerbit MUST READ SDN BHD. Ibrahim Amini. 2006. Agar Tak Salah Mendidik. Jakarta: Penerbit Al-Huda

También podría gustarte