Está en la página 1de 3

"Sebuah Cerpen Kehidupan...

Jalan di situ berlopak-lopak besar,terhinjut-hinjut toyota ini dilambung graviti. Ery duduk
disebelah sudah berapa kali bangun tidur, dengkurnya makin menjadi. Siaran radio
sekejap berbunyi, bercampur-campur. Sekejap radio perak, sekejap kedah mengikut
lambungan kereta lagaknya. Aku terpaksa memperlahankan kereta melalui satu
perkampungan nelayan yang kotor, beberapa budak-budak kecil dengan muka yang
comot dan hingus kering di muka berlari-lari. Seorang daripadanya tidak berseluar
langsung,geli. Ada orang tua berbasikal mengangkat tangan
memberi salam. Aku menaikkan cermin kereta, melepaskan rengusan garang.

Ery sudah bangun, mengesat-ngesat mata, menggeliat kasar. Mengeluarkan bunyi seperti
kerbau. Perempuan spt Ery, sopannya cuma didepan jantan,tersipu-sipu dan bersimpuh
malu. Hipokrit ini cuma tahu bersolek dan
berdandan bila mahu keluar, di rumah dia seperti perempuan baru beranak,t-shirt goboh
dengan kain pelekat senteng dan rambut usai seperti orang gila, mengeluarkan bau hapak
dan masam.

Ada sebuah jeti buruk disitu. Beberapa nelayan baru sampai dari laut di sambut peraih-
peraih buncit. Memunggah ikan. Ery sudah separuh menggelepar diluar meliar mata
mencari shafik, tunangnya. Aku duduk sahaja di dalam kereta, aku bencikan pantai hanyir
seperti ini. Beberapa gadis bertudung
labuh lalu dengan menaiki basikal dan memberi senyuman. Aku hempas pintu serta
merta. Memang benar. Perempuan kolot seperti mereka itu, patut dijerukkan saja di
tempat busuk ini.Tolol!

Kemudian, datang seorang tua menghampiri tingkap belakang. Aku sedikit marah,
mengetap bibir.

"Nak apa?!"

Dia terketar terkejut, sedikit berundur.

" Assalammualaikum Nak, pakcik ambil upah cuci kereta.."

Dia bercakap dengan pandangan yang tumpah ke kakinya, tertib dan seperti takut. Di
tangannya ada satu baldi buruk air sabun dengan tuala koyak di bahu. Baju kemeja kusam
koyak di poket, cuma dibutang dua menampakkan
dadanya yang leper ditolak tulang selangka. Seluar hijau pudar senteng.Tidak berkasut
dengan kuku hitam dan kaki yang reput. Menjijikkan.

" Basuh sajalah, tapi, awas. Kalau calar kereta aku. Tahulah macamana aku nak ajar kau."

Berkata sambil meliarkan mata pada Ery. Tengah tersengih-sengih meramas-ramas tangan
dengan tunangnya itu. Duduk pula bersimpuh,membelai-belai rambut. Boleh pula kaki
yang asyik duduk terbuka di rumah itu di tutup rapat.

Orang tua itu tertunduk-tunduk mengucap terima kasih. Ah, miskin seperti ini tunduk-
tunduk meminta simpati, tiada maruah. Terus saja dia menggosok satu demi satu tayar
kereta. Memberus sambil terbatuk-batuk, meludahkan
kahak hijau. Pengotor, sial! Aku mengalihkan mata ke pantai. Peraih berdekah ketawa
menepuk-nepuk belakang nelayan kurus itu. Menyerahkan beberapa ringgit. Nelayan itu
tersenyum pahit. Menyelitkannya di celah kopiah. Itulah, siapa suruh kecil-kecil tidak
mahu belajar pandai-pandai,
masuk universiti dan kerja besar. Tidaklah hidup susah seperti itu. Bodoh!

" Sudah nak?" Pakcik itu datang setelah 20 minit. Aku sudah malas hendak tengok, dan
bagi sahaja RM 5. Aku rasa itu sudah cukup lumayan untuk fakir seperti dia. Cepat-
cepatlah dia pergi. Tapi, sebaliknya dia memegang lama duit itu. Tunduk dan menangis
tersedu-sedu. Menambahkan kerut dan mengelap mata dengan hujung kemeja. "Kenapa
ni? Gila?!"

" Nak, seumur hidup pakcik hidup susah ini, pakcik kerja memetik kelapa,mencuci tandas
di restoran, kemudian mencuci kereta, belum pernah pakcik terima upah sebanyak ini.
Paling banyak pun seringgit." Dia bersungguh-sungguh melihat ke dalam mata aku.

Timbul pula sedikit simpati, sedikit sayu. Rasa yang tidak pernah bertakung dalam hati
keras aku selama 25 tahun ini. Dia melipat kecil wang itu diikat simpul di dalam sapu
tangan biru muda. Pergi dengan terhinggut menangis dengan baldi buruk ke arah
sekumpulan nelayan. Aku pandang sahaja dengan kosong. Ini warna kemiskinan, aku
tidak pernah lihat. Aku membesar dalam hutan batu, di kota lumpur. Keras diselaput
wang kemewahan, kemudian keluar
dengan segulung ijazah. Bekerja seperti orang gila untuk duit. Biarlah,kalau aku mahu
bantu, ramai lagi diluar sana. Lupakan saja.

Ery memanggil aku dari sebuah kedai makan di situ. Hampir 10 minit ,melayan meluat-
melihat ery yang tersipu-sipu menggagau mee dengan sudu dan garfu. Kemudian, kelibat
orang tua itu melintasi kami, menjinjing dua beg besar hitam berisi barang. Hairan,
takkanlah dengan wang RM 5 dia boleh
membeli barang sebanyak itu. Mustahil. Atau dia memang ada duit tapi,berlagak seperti
fakir. Mungkin.

Dengan rasa ragu, aku menghampirinya. Dia memberi senyum lembut dan aku dengan
rasa curiga bertanya terus.

" eh, pakcik. Tadi saya bagi lima ringgit, takkan dapat beli barang banyak macam ini?" .

Bunyinya seperti meninggi. Pakcik itu seperti terkejut.

Dia diam dan tunduk seketika. Pahit menelan air liur. Meletakkan dua beg plastik di atas
tanah, membukanya satu satu, perlahan-lahan dan terketar.

Aku terkedu. Terkejut dan malu. Pakcik itu mengeluarkan sapu tangan tadi dan membuka
simpulannya.

Wang aku tadi, masih terlipat kemas.

" Nak, pakcik tahu. Kami ini orang susah, nak. Hidup seperti najis, dibuang dan ditolak-
tolak. Kalian pekup hidung melihat kami. Ambillah ini semula.Pakcik juga punya
maruah. Kadang-kadang maruah kami lebih tinggi dari kamu
orang kaya yang hidup berpura-pura, menipu orang. Harga diri kami masih kuat. Bila
anak menyoal pakcik seperti tadi, anak telah memijak harga diri pakcik. Anak seperti
menghukum pakcik sebagai orang tual sial yang
berpura-pura susah?Ambillah semula,nak."

Pakcik itu meletakkannya di atas tangan aku, dan aku menolak, berkali-kali.Aku sudah
menangis, meminta maaf, berkali-kali. Tidak mahu menyentuh langsung wang itu, hingga
jatuh di hujung kaki.

" Lihat, itulah tempat duit. Di tapak kaki. Duit itu perlu, tapi jangan sampai ia lebih tinggi
dari harga diri. Jangan sampai duit menjadikan kita angkuh dan bongkak. Pakcik ke sana
tadi, tempat nelayan memunggah ikan.Pakcik kutip ikan-ikan kembung pecah perut ini
yang sudah dibuang ke tepi.
Dengan bangkai busuk ini pakcik sambung hidup anak-anak pakcik, jangan sampai
kelaparan, jangan mati."

Mendatar sahaja suara orang tua itu berkisar-kisar dengan pukulan ombak.

Dia terbatuk-batuk berjalan, meninggalkan aku dengan wang lima ringgit di hujung kaki,
dua plasik berisi ikan busuk yang sudah mula dihurung lalat.Aku terduduk menangis
semahu-mahunya. Aku mempunyai wang yang boleh membeli
segala kemewahan dunia. Cuma aku belum mampu membeli sesuatu yang ada dalam diri
orang tua itu.

Harga diri.
---
MORAL of the story:
"Be Happy with your present life.It doesn't mean anything if you're able to be like your
idol.What's more important is to be yourself and be grateful with God's gifts to you.That's
the best way to appreciate life!Yesterday is history,tomorrow is mystery, today is a
gift......"

También podría gustarte