Está en la página 1de 12

ASK3022-ANYAMAN

(Tugasan 1)

Shahrin Azwan Bin Mokhter

D20081032458

Kumpulan: B

Pensyarah: Puan Siti Salwa binti Jamaldin


PENDAHULUAN

Anyaman merupakan seni yang mempengaruhi kehidupan dan kebudayaan masyarakat Melayu.
Menganyam adalah satu cabang kerajinan yang telah lama kewujudannya. Menganyam
merupakan suatu kegiatan menjalin bahan yang berbentuk pita sehingga satu sama lainnya saling
kuat dan membentuk motif-motif tertentu. Menganyam bermaksud proses menjaringkan atau
menyilangkan bahan-bahan daripada tumbuh-tumbuhan untuk dijadikan satu rumpun yang kuat
dan boleh digunakan. Bahan tumbuh-tumbuhan yang boleh dianyam ialah lidi, rotan, akar, bilah,
pandan, mengkuang dan beberapa bahan tumbuhan lain yang dikeringkan.

Corak anyaman mempunyai rupa bentuk yang bentuk yang bernilai seni. Ragam hias
pada anyaman mengkuang dan pada pandan misalnya, merupakan ciptaan daripada motif-motif
tertentu yang dimanifestasikan daripada keindahan semula jadi. Seni anyaman mencipta istilah
kelarai. Kelerai merupakan sejenis anyaman yang mementingkan ragam hias atau corak. Di
negeri Terengganu Darul Iman, anyaman pandan dipanggil kelerai. Di negeri Perlis pula kelerai
bermaksud anyaman buluh.

Anyaman pandan dan mengkuang merupakan bahan anyaman turun-temurun dalam


masyarakat Melayu. Anyaman jenis ini terkenal di negeri Terengganu Darul Iman, Pahang Darul
Makmur, Kelantan Darul Naim, Negeri Sembilan Darul Khusus Perak Darul Ridzuan, Sarawak
Bumi Kenyalang dan beberapa buah negeri lain.
PENGENALAN ANYAMAN

Seni anyaman merupakan kegiatan masyarakat Melayu yang masih dikagumi dan digemari
sehingga hari ini. Kegiatan seni anyaman ini telah bermula sejak zaman dahulu yakni dilihat
pada rumah-rumah masyarakat zaman dahulu di mana dinding rumah mereka dianyam dengan
buluh dan kehalusan seni anyaman itu masih bertahan sehingga ke hari ini. Rumah yang
berdinding dan beratapkan nipah tidak panas kerana lapisan daun nipah yang tebal menebat
pengaliran haba.

Seni anyaman dipercayai bermula dan berkembang tanpa menerima pengaruh luar.
Penggunaan tali, akar dan rotan merupakan asas pertama dalam penciptaan kraftangan anyaman
yang telah menjadi usaha tradisi sejak berabad-abad lalu. Bahan-bahan asas tumbuhan ini
tumbuh meliar di hutan-hutan, paya-paya, kampung-kampung dan kawasan di sekitar pasir
pantai.

Pelbagai rupabentuk kraftangan dapat dihasilkan melalui proses dan teknik anyaman dari
jenis tumbuhan pandanus (pandan dan mengkuang). Bentuk-bentuk anyaman dibuat didasarkan
kepada fungsinya. Misalnya bagi masyarakat petani atau nelayan, kerja-kerja anyaman dibentuk
menjadi bakul, topi, tudung saji, tikar dan aneka rupa bentuk yang digunakan sehari-harian.

Selain daripada tumbuhan jenis pandanus, bahan asas lain yang sering digunakan ialah
daripada tumbuhan bertam, jenis palma engeissona tritis dan nipah. Berdasarkan bahan dan rupa
bentuk anyaman yang dihasilkan, seni anyaman ini merupakan daya cipta dari kelompok
masyarakat luar istana yang lebih mengutamakan nilai gunaannya. Walau bagaimanapun pada
sekitar tahun 1756 hingga1794 telah terdapat penggunaan tikar Raja yang diperbuat daripada
rotan tawar dan anyaman daripada bemban.

Proses menganyam disebut juga sebagai "menaja". Proses menganyam yang baik
ialah pada sebelah pagi atau malam. Dalam keadaan cuaca yang redup atau dingin, daun-daun
lebih lembut dan mudah dibentuk tanpa meninggalkan kesan-kesan pecah. Biasanya beberapa
orang melakukan anyaman ini berkelompok di halaman rumah atau beranda rumah pada waktu
malam, petang atau waktu-waktu senggang pada sebelah pagi (jika kelapangan, kerana waktu
pagi biasanya dipenuhi dengan kerja-kerja tertentu).

Rupa bentuk anyaman tradisi yang masih kekal penciptaan dan fungsinya hingga kini
ialah tikar. Selain tikar yang datar dengan sifat dua dimensi, terdapat rupa bentuk anyaman tiga
dimensi. Bentuk-bentuk anyaman begini biasanya digunakan oleh masyarakat pada masa dahulu
untuk mengisi atau menyimpan bahan-bahan keperluan hidup dan kegunaan seharian. Beberapa
daripada rupa bentuk ini ialah bakul, kampit,tudung saji, kembal (rombong) dan sebagainya.

Terdapat dua ciri-ciri penting dalam ragam hias anyaman, iaitu penciptaan kelarai (motif)
dan corak. Istilah kelarai dikhususkan kepada motif yang "berbentuk" ( unsur alam) sementara
corak dimaksudkan kepada susunan warna tanpa memperlihatkan kepada susunan warna dan
bentuk motif. Anyaman tanpa kelarai disebut sebagai "gadas". Terdapat kira-kira 51 jenis kelarai
yang berdasarkan unsur-unsur alam semulajadi seperti unsur-unsur tumbuhan dan binatang.

Di sesetengah tempat kelarai dimaksudkan kepada anyaman yang diperbuat daripada


buluh dan digunakan sebagai dinding atau penyekat ruang rumah. Sementara di sesetengah
tempat lain anyaman seperti ini diperbuat daripada bahan bertam yang disebut sebagai tupas.
Ciptaan kelarai atau tupas lebih kukuh, tegas dan kasar bersesuaian dengan fungsinya sebagai
penyekat ruang. Tiada bukti yang jelas untuk menetapkan tarikh bermulanya penciptaan
kelarai. Melalui kajian yang dibuat dapat dikatakan bahawa penciptaan kelarai dalam anyaman
merupakan satu perlakuan yang telah lama berlaku.

Bunga sulam merupakan satu teknik yang terdapat dalam ragam hias anyaman di mana ia
akan mencantikkan lagi hasil yang telah dibentuk. Teknik sulam adalah teknik susun susup.
Kesan bentuk bunga yang dibuat lebih merupakan kesan geometri asas seperti susunan bentuk
tiga, segi empat, potong wajik dan sebagainya lagi.

Seni kerja tangan anyaman adalah sesuatu yang unik lagi rumit buatannya. Namun
begitu, usaha untuk mempertahankan keunikan seni ini haruslah diteruskan agar tidak ditelan
peredaran zaman. Budaya negara bukan sahaja dicerminkan melalui bahasa pertuturan dan adat
resam bangsanya tetapi juga dicerminkan melalui kehalusan kerja tangan bermutu tinggi. Seni
warisan yang unik ini wajar diberi perhatian, sokongan dan bantuan supaya dapat terus dipelihara
dan dimanfaatkan bersama.

SEJARAH ANYAMAN

Seni anyaman sesuatu yang tidak dapat dipisahkan daripada cara hidup tradisional masyarakat di
nusantara. Daripada tikar hingga kepada dinding pelindung kediaman, hasil kerja menganyam
membentuk persekitaran hidup yang boleh dilihat di mana-mana. Ini tidak menghairankan kerana
tumbuh-tumbuhan tropika banyak yang sesuai untuk dijadikan bahan anyaman. Keseluruhannya,
kemahiran asas dalam seni anyaman tidak banyak berbeza, cuma bergantung kepada jenis
tumbuhan yang dijadikan bahan anyaman. Antara tumbuh-tumbuhan yang paling banyak
digunakan dalam seni anyaman ialah buluh, mengkuang, rotan, ribu-ribu dan lidi. Perbezaan ciri
tumbuh-tumbuhan ini menghasilkan pelbagai bentuk dan barangan seni anyaman.

Pada zaman dahulu, aktiviti menganyam dilakukan oleh wanita untuk mengisi masa
lapang dam bukan sebagai mata pencarian utama. Menganyam bermaksud satu proses
menjaringkan helaian atau jaluran daun, lidi, rotan, akar, buluh dan beberapa jenis tumbuhan lain
dengan cara menyusupkannya antara satu sama lain. Bahan-bahan dari jenis tumbuhan atau
sebagai bahan asas ini perlu dikeringkan dan dibentuk secara memanjang, halus dan nipis
terlebih dahulu sebelum proses anyaman dimulakan.

Kraftangan anyaman dipercayai bermula dan berkembang tanpa menerima pengaruh luar.
Kepandaian mencipta bentuk-bentuk rotan dan tali-tali dari tumbuh-tumbuhan yang dianyam.
Beberapa alatan senjata dan keperluan lain juga disempurnakan lagi dengan lilitan akar, rotan
dan berbagai-bagai jenis ikatan dari bahan tumbuhan.

Penggunaan bahan-bahan seperti tali, akar dan rotan ini merupakan asas pertama dalam
penciptaan kraftangan yang telah diwarisi sejak berabad-abad lamanya. Bahan-bahan asas
tumbuhan seperti akar, dan rotan ini tumbuh meliar di sekitar hutan, di paya-paya, di kampung-
kampung dan kawasan di sekitar persisiran pantai. Bahan-bahan ini digunakan untuk hiasan
seperti gelang, cincin, rantai dan sebagainya.

Anyaman yang berasal dari tumbuhan pandan mengkuang atau dikenali sebagai pandanus
boleh didapati banyak di kawasan serata Asia. Tumbuhan jenis ini didapati bermula dari kawasan
Mauritius di Lautan India, India Selatan, Siam, Indo- China, Tanah Melayu hingga sepanjang
Kepulauan Pasifik.

Tumbuhan Pandanus ini boleh dhasilkan berbagai reka bentuk kraftangan melalui proses
dan teknik anyaman. Biasanya kraftangan yang direka bentuk mempunyai fungsi masing-masing
merujuk kepada sosioekonomi sesuatu masyarakat tertentu. Contohnya hasil anyaman seperti
bakul, topi, tudung saji, tikar dan aneka rupabentuk yang digunakan dalam kehidupan seharian
bagi petani dan nelayan.

Selain dari tumbuhan jenis Pandanus, bahan asas yang lain yang seriang digunakan ialah
tumbuhan bertam, yakni sejenis palma engeissona tritis dan nipah, nipa fruticans. Bahagian daun
dari tumbuhan ini biasanya dijadikan sebagai atap.

Seni kraf tangan dijadikan alat untuk kegunaan sendiri atau sebagai hadiah untuk sanak
saudara atau sahabat andai. Seseorang wanita dianggap tidak mempunyai sifat kewanitaan yang
sempurna jika tidak mahir dalam seni anyaman. Walaupun proses menganyam biasanya
dilakukan oleh kaum wanita, kaum lelaki juga sering terlibat sama dalam aktiviti mengambil dan
memproses daun. Perusahaan menganyam biasanya dilakukan secara individu dan secara kecil-
kecilan yang merupakan satu usaha industri desa. Kini terdapat organisasi dan perbadanan yang
mengusahakan indusri ini dengan skala yang besar seperti cawangan-cawangan Perbadanan
Kemajuan Kraf Tangan Malaysia, Persatuan Gerakan Wanita Felda, Pusat Kraf Tangan Felda
dan sebagainya.

Hasil seni anyaman tidak terhad pada bentuk tradisional sahaja. Ciptaan dimensi baru
dari segi rupa dan bentuk, warna dan corak, teknik dan bahan sering diubah suai mengikut
peredaran masa dan cita rasa pelanggan. Hasil anyaman yang bermutu tinggi bukan saja popular
di kalangan masyarakat tempatan, malahan digemari oleh pelancong-pelancong luar.
TOKOH-TOKOH ANYAMAN

Hajah Aminah Binti Ahmad

Hajah Aminah merupakan seorang pakar dalam bidang anyaman. Beliau dilahirkan pada 1928 di
Tanjung Keling, Melaka. Beliau merupakan seorang pembuat kraf anyaman rombong yang
terkenal. Hajah Aminah melibatkan diri dalam bidang pembuatan kraf rombong bermula pada
usia 12 tahun. Ilmu membuat barangan kraf ini diperolehi daripada ibunya. Pada mulanya beliau
hanya memasarkan barangan rombong melalui orang tengah berbangsa Cina. Lama-kelamaan
Hajah Aminah membuat pasaran sendiri melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.
Barangan rombong juga mula dipelbagaikan.

Bermula daripada barangan mengisi pakaian, beliau mula mereka cipta bekas telur untuk
majlis perkahwinan, bekas menyimpan barang kemas dan sebagainya. Beliau juga mengajar
penduduk setempat membuat anyaman rombong tanpa mengambil sebarang bayaran. Sehingga
hari ini, beliau telah berjaya melahirkan beberapa orang yang mahir membuat barangan anyaman
rombong. Selain daripada mengajar, orang perseorangan Hajah Aminah juga mengajar pelajar-
pelajar sekolah sekitar negeri Melaka.

Beliau telah berjaya menghasilkan teknik pemprosesan bahan mentah dan teknik
menganyam yang lebih mudah. Kejayaan beliau mendidik penduduk tempatan telah
menyebabkan berlakunya peningkatan pengeluaran barangan. Perbadanan Kemajuan Kraftangan
Malaysia telah memilih beliau sebagai Tokoh Adiguru pada tahun 1988.

Puan Aminah Binti Ali

Puan Aminah dilahirkan pada tahun 1944. Berasal dari Rusila Terengganu Darul Iman, iaitu
tempat penghasilan kraftangan anyaman yang terkenal. Puan Aminah merupakan tokoh kraf
anyaman yang telah dipilih oleh Lembaga Kraftangan Malaysia. Pada tahun 1982, beliau
memenangi tempat pertama dalam Pertandingan Pertukangan Tangan Sezaman anjuran muzium
negara. Hingga kini beliau massif aktif sebagai seorang ahli kraftangan anyaman.

Lain-lain tokoh yang telah mencipta motif anyaman :

i) Cik Siah Binti Jumaat berasal dari negeri Terengganu mencipta Kelerai Sambas.
ii) Hajah Asiah Binti Salleh dari negeri Terengganu mencipta Kelerai Tapak Harimau.
iii) Hajah Semek dari negeri Terengganu mencipta Kelerai Mak Mek.
iv) Esah Binti Said dari negeri Kelantan mencipta Kelerai Sisik Kelah.
v) Dayang Aisah Binti Awang Hussein dari Sabah mencipta Kelerai Bunga.

JENIS-JENIS ANYAMAN

Jenis Anyaman Bahan Hasil Anyaman

Anyaman Mengkuang Daun mengkuang Tikar, tudung saji, bekas


pakaian dan lain-lain.

Anyaman Pandan Daun pandan duri Tikar sembahyang, hiasan


dinding.

Anyaman Buluh Buluh Bakul, bekas pakaian, nyiru,


beg dan lain-lain.

Anyaman Rotan Rotan Bakul, bekas pakaian, tempat


buaian dan lain-lain.

Anyaman Lidi Lidi kelapa Lekar, bekas buah, bekas telur.

Anyaman Ribu-Ribu Paku pakis ribu-ribu Tempat tembakau, bekas sirih,


terbus,bakul, bekas seba guna
dan lain-lain.

Anyaman Mengkuang

Memproses Bahan
Daun-daun yang cukup tua ditetak di pangkalnya sehelai demi sehelai, bermula di bahagian umbi
pokok. Tujuh atau lapan helai daun muda di keliling umbut pokok tidak ditetak tetapi
ditinggalkan untuk tuaian seterusnya serta untuk memastikan pokok itu terus hidup dan
mengeluarkan daun-daun baru. Menetak daun dilakukan dengan berhati-hati kerana pandan dan
mengkuang berduri-duri, sedangkan tanah dikeliling perdunya lazimnya berair dan licin atau
mudah perlus. Daun-daun yang sudah ditetak kemudian dipangkas hujungnya untuk membuang
bahagian yang tirus dan tidak dapat dibelah, serta supaya semua daun itu hampir sama panjang.
Seterusnya, daun-daun tersebut dilayur di atas bara unggun api kecil hingga layu.

Kadangkala daun-daun itu tidak dilayur tetapi dijemur hingga benar-benar kering dan layu.
Tujuannya ialah mematikan sel daun dan menyingkirkan air yang terdapat di dalamnya. Setelah
daun-daun itu layu, duri yang terdapat pada tulang belakang dan sayap mengkuang dibuang
dengan sautas serat sabut yang diregangkan ibu jari dan jari telunjuk. Apabila duri belakang daun
dibuang, dengan sendirinya daun terbelah menjadi dua. Belahan itu kemudian dibelah lagi
mengikut kelebaran yang dikehendaki dengan alat yang dipanggil jangka. Belahan-belahan yang
siap dijangka dikumpulkan dan diikat sebesar betis dengan jarak kira-kira satu kaki dari satu
ikatan ke satu ikatan lain. Belahan yang berikat itu dititik atau dipukul dengan alu supaya lembut
dan mudah dilurut.

Melurut melembutkan belah dan melicinkan permukaannya. Belah yang sudah dilurut dilipat
tetapi tidak sampai patah lalu diikat dan direndam di dalam air selama dua atau tiga hari. Dalam
tempoh itu, air rendaman digantikan sekurang-kurangnya dua kali supaya bilah-bilah itu tidak
lebam dan berbau busuk.

Pada hari ketiga atau keempat, bilah-bilah itu dikeluarkan dan dibasuh dan dibilas hingga bersih
sebelum dijemur. Bilah yang cukup kering akan bertukar menjadi putih. Seterusnya, bilah itu
bolehlah diwarnakan jika mahu. Bilah-bilah mengkuang atau pandan diwarnakan dengan cara
mencelup, iaitu merebusnya bersama bahan celup pewarna selama beberapa minit. Dahulu, cuma
tiga warna yang popular iaitu merah, hijau dan kuning kerana bahan celup warna-warna tersebut
mudah diperolehi. Warna merah daripada pokok kesumba, hijau daripada daun bemban, dan
kuning daripada daun kunyit. Tetapi, sekarang bahan celup pelbagai warna dijual dengan meluas.
Apabila sudah dicelup dan dijemur hingga kering, bilah-bilah dilurut bagi kali terakhir supaya
lebih licin dan lembut.

Melalui pengalaman penulis cara memproses adalah berbeza dari apa yang telah didapati
melalui pembacaan. Proses penghasilan anyaman yang biasa di baca adalah memgambil daun
mengkuang, melayur, menjengka, melurut , merendam , mewarna dan menganyam. Menurut
pengamatan yang dilakukan di kawasan Sungai Besar, Selangor, proses penghasilan ada sedikit
berbeza. Proses yang di lihat oleh penulis adalah mengambil daun mengkuang, melayur,
mengjengka, memukul, merendam, menjemur, mewarna, melurut dan menganyam.

Proses mengambil daun mengkuang hingga menjengka adalah sama dengan proses yang
dapat dalam buku. Proses keempat adalah memukul dilakukan dengan daun mengkuang yang
telah dijengka diikat sebesar kira-kira berdiameter 4 inci hingga 5 inci. Kemudian daun
mengkuang yang telah diikat, dipukul dengan sederhana kuat. Ia bertujuan untuk melembutkan
daun mengkuang.

Setelah daun mengkuang selesai dipukul, daun mengkuang yang dalam kedudukan diikat,
direndam selama seminggu. Proses merendam ini dilakukan dengan air ditukar setiap 2 hari
sekali. Ia bertujuan untuk memastikan daun mengkuang lebih tahan lama.

Seterusnya adalah proses menjemur daun mengkuang ditengah panas. Proses ini
mengambil masa antara seminggu hingga dua minggu bergantung kepada keadaan cuaca. Proses
ini bertujuan membuang kandungan air yang ada pada daun mengkuang.

Seterusnya adalah proses mewarna. Proses ini dilakukan sekiranya diperlukan. Proses
terakhir sebelum menganyam adalah proses melurut. Melurut dilakukan dengan menggunakan
alat pelurut yang diperbuat dari kepingan buluh berukuran 2 inci x 5 inci. Proses ini dilakukan
untuk meluruskan daun mengkuang. Kebiasaannya semasa proses menjemur daun mengkuang
akan tergulung. Maka menjengka ini akan meluruskan daun mengkuang untuk memudahkan
proses menganyam.

Menganyam
Cara anyaman dimulakan bergantung pada jenis benda yang ingin dihasilkan serta corak hiasan
yang dipilih. Anyaman tikar misalnya, boleh dimulakan di tengah-tengah ataupun di bucu.
Tetapi, bagi tudung saji, anyaman mesti dimulakan di puncaknya yang berbentuk kon. Kon
puncak itu boleh digantungkan atau diketengahkan untuk meneruskan anyaman tudung saji.

Corak anyaman umumnya disebut kelarai. Bagaimanapun, khususnya untuk tikar mengkuang,
kelarainya dirujuk sebagai ragi. Kelarai dibuat dalam pelbagai motif dan peranannya sama
seperti corak bunga dalam tenunan, iaitu sebagai suatu ciri perhiasan. Anyaman kelarai disusun
secara tunggal dan lepas (menyeluruh) atau disusun di dalam ruang tertentu. Susunan menegak
disebut kelarai berdiri dan susunan sendeng, kelarai serong. Untuk hiasan pinggir atau birai pula
terdapat satu kelarai khusus iaitu kelarai pucuk rebung.

Semua jenis kelarai berunsurkan alam semula jadi. Di kalangan masyarakat Melayu, motif
tumbuhan menjadi pilihan utama. Daripada bentuk bunga, terdapat kelarai bunga atur,
berembang, cengkih dan cengkih beranak, bunga cina, bunga durian, bunga kundur, bunga pecah
lapan, bunga tanjung, bunga telur, dan bunga rumput. Unsur-unsur tumbuhan yang lain termasuk
akar, pucuk (rebung) dan tampuk (jantung pisang, manggis, pinang). Daripada unsur fauna pula,
ada motif anggota haiwan, seperti siput, kepala gajah, mata berkait, tapak anjing dan tapak
harimau. Juga kelarai dengan bentuk-bentuk bahagian tertentu ikan, serangga dan unggas.
Antaranya ialah anak ikan, belalang cucuk, jari kedidi, mata ketitir, pusat belanak, siku keluang,
sisik kelah dan tulang ikan.

Akhir sekali, terdapat bentuk bebas, seperti kelarai belah ketupat, kelarai kisar mengiri, kelarai
beras patah dan kelarai madu manis. Dalam membuat kelarai, perkara utama yang diperhatikan
ialah jumlah mata atau langkah daripada bilah daun yang digunakan. Jumlah mata menentukan
saiz satu-satu corak. Untuk menyerlahkan kelarai, bilah-bilah dicelupkan dua warna yang
bertentangan atau berkontras. Misalnya, kuning dan hijau, merah dan ungu, atau putih dan
perang. Kadangkala warna ketiga digunakan sebagai tanah atau latar corak. Bilah-bilah berwarna
yang dianyam tindih-menindih dan berselang-seli ini akan menyerikan hasil anyaman
mengkuang dan pandan.

También podría gustarte