Está en la página 1de 26

UNDANG-UNDANG PERANCANGAN BANDAR DI SEMENANJUNG MALAYSIA, PELAKSANAAN DAN

KEBERKESANNANNYA

Abdul Rasyid Bin Zainal


SPACE
Universiti Teknologi Malaysia
Kuala Lumpur

1.0 FALSAFAH DAN KONSEP PERANCANGAN BANDAR DAN DESA

Suatu masa dahulu tuan punya tanah bebas mengerjakan tanah-tanah mereka untuk kegunaan
masing-masing. Sekatan yang ada hanyalah pada undang-undang lazim (common law) atau adat ke
atas hakmilik tanah seperti hak laluan dan sekatan kepentingan di atas tanah itu. Umumnya, pemilik
tanah bebas menggunakan tanah mereka dengan apa cara pun yang berfaedah dan ekonomik. Pihak
berkuasa tidak ada kuasa untuk masuk campur dalam urusan penggunaan dan pembangunan tanah
pemilik itu.

Kebebasan ini telah menimbulkan beberapa masalah kepada penguasa tempatan yang hendak
mentadbir dan memajukan kawasan di bawah pentadbirannya. Masalah yang ketara wujud ialah
Penggunaan dan pembangunan tanah yang tidak teratur dan Tiada panduan kepada penggunaan
dan pembangunan tanah untuk meningkatkan kualiti persekitaran fizikal. Keadaan ini telah
menerbitkan keperluan supaya hak kebebasan individu ke atas penggunaan dan pembangunan
tanah dikawal demi kepentingan awam. Dengan lain perkataan perancangan fizikal atau
perancangan bandar dan desa telah menerbitkan kepentingan awam yang dapat mengatasi
kepentingan individu.

Umumnya aktiviti merancang bandar dan desa bertujuan untuk :

a. Menyelesaikan berbagai masalah permintaan bagi penggunaan tanah supaya mencapai


suatu susunan gunatanah yang konsisten, seimbang dan teratur.
b. Mewujud dan mempertingkatkan persekitaran fizikal yang baik, bagi menggalakkan
penghidupan yang sihat dan bertamadun.
c. Menyediakan asas ke arah kehidupan masyarakat moden dan mempertingkatkan
taraf sosial dan ekonomi rakyat.
2.0 KEPENTINGAN MERANCANG BANDAR

Perancangan bandar adalah amat penting di dalam mewujudkan persekitaran yang lestari ataupun
manpan. Antara kepentingan utama bidang perancangan bandar adalah :

a) untuk mewujudkan suasana kehidupan manusia yang berkualiti dan mampan melalui gabungan
alam bina dan alam sekitar yang harmoni;
b) mengawal pembangunan dari segi kegunaan tanah, alam sekitar dan sebagainya;
c) Melalui perancangan yang baik dan sempurna sekaligus dapat melahirkan suatu masyarakat
yang harmoni dan bertamadun.

3.0 PERANCANGAN BANDAR DI SISI PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Aktiviti perancangan bandar dan desa diletakkan di dalam Jadual Kesembilan di bawah Senarai
Bersama dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini bermakna kedua-dua kerajaan persekutuan dan
kerajaan negeri sama-sama bertanggungjawab ke arah mempastikan pemeliharaan, pemantauan
dan penggunaan tanah dan bangunan yang teratur, sihat dan selamat untuk kesejahteran rakyat di
seluruh Semenanjung Malaysia.

Bagi tujuan penyelarasan kuasa dan tanggungjawab pula Perlembagaan Persekutuan menetapkan
Parlimen selaku badan perundangan di peringkat persekutuan boleh membuat undang-undang bagi
maksud memberi kuasa eksekutif dalam hal ehwal perancangan bandar dan desa kepada badan
pemerintah di peringkat persekutuan.

Di peringkat persekutuan Menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal perancangan bandar dan desa
ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Selaku ahli Jemaah Menteri beliau juga
bertanggungjawab dalam dasar berkaitan dengan pemeliharaan, penggunaan dan pemajuan tanah
dan bangunan seluruh negara.

Ringkasnya Menteri mempunyai peranan untuk memastikan Pihak Berkuasa Negeri dan pihak
berkuasa perancang tempatan (PBPT) menjalankan tanggungjawab masing-masing di bawah Akta
serta memberi pihak berkuasa perancang tempatan dan semua pihak yang terlibat dalam aktiviti
pembangunan, panduan berhubung pemeliharaan, penggunaan dan pemajuan tanah dan bangunan
melalui kenyataan-kenyataan dasar kerajaan.
Di peringkat negeri pula badan perundangan negeri boleh mengadakan undang-undang bagi
perancangan bandar dan desa untuk negeri itu. Walau bagaimanapun, Perlembagaan Persekutuan
menetapkan jika terdapat percanggahan undang-undang di antara Kerajaan Persekutuan dan
Kerajaan Negeri, maka undang-undang yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan hendaklah mengatasi
setakat yang bercanggah itu.

Bagi Sabah dan Sarawak ia mempunyai undang-undang perancangannya sendiri. Manakala bagi
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 (Akta 267)
adalah terpakai baginya.
Majlis Negara Kerajaan Tempatan

Kementerian Perumahan Dan


Kerajaan Tempatan

Jabatan Perancangan Bandar dan


Desa Semenanjung Malaysia.

Jawatankuasa Perancang Negeri

Jabatan Perancangan Bandar dan


Desa Negeri

Pihak Berkuasa Tempatan

Rajah 1.0 : Carta aliran Sistem Perancangan Bandar


4.0 AKTA 172

Aktiviti perancangan bandar di Malaysia adalah berlandaskan


kepada Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan
tanggungjawab perancangan Bandar dan desa hendaklah dijalankan
bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri . Digubal
oleh Parlimen di bawah Perkara 74(1), 76(4) dan 80(2)
Perlembagaan Persekutuan. Ianya merupakan suatu akta bagi
pengawalan dan pengawal seliaan mengenai perancangan bandar
dan desa di Semenanjung Malaysia. Pada awalnya Akta Perancangan
Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) digubal menurut Perkara 76(4)
Perlembagaan Persekutuan untuk mempastikan persamaan undang-
undang dan dasar dan peraturan yang sempurna bagi perancangan
bandar dan desa dalam kawasan-kawasan pihak berkuasa tempatan
dalam Negeri-negeri di Semananjung Malaysia.

a) Akta Perancangan Bandar Dan Desa, 1976 (Akta 172) digubal bagi mewujudkan satu sistem
kawalan dan peraturan perancangan yang teratur serta seragam di dalam mengawal
pembangunan di setiap kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT) di
Semenanjung Malaysia.
b) Memberikan tanggungjawab yang besar kepada PBPT di dalam mentadbir sistem pengawalan
perancangan dan seterusnya meluluskan permohonan-permohonan pembangunan berdasarkan
prosedur kebenaran merancang (KM).

Akta 172 juga dibuat atas beberapa tujuan yang penting bagi membantu para perancang bandar
dalam pelaksanaan sistem perancangan yang efesyen di Semenanjung Malaysia. Antaranya
bertujuan :

a) untuk mengekalkan hubungan yang baik yang sedia wujud antara Kerajaan Persekutuan dan
Kerajaan Negeri dalam hal ehwal perancangan bandar dan desa.
b) untuk memperseimbangkan kuasa antara Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri.
c) untuk memantap dan meningkatkan keberkesanan tindakan pemeliharaan, penggunaan dan
pemajuan semua tanah dan bangunan.
d) untuk sesuatu aktiviti pembangunan itu mendapat pandangan yang menyeluruh sebelum
dibenar untuk dilaksanakan.

Peruntukan secara langsung mengenai perancangan Bandar ini jelas dinyatakan dalam Akta
Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) Terdapat juga peruntukan undang-undang lain yang
berkaitan dengan perancangan bandar bagi menyokong dan membantu aktiviti perancangan bandar
agar berjalan dengan lebih berkesan . Bidang dan aktiviti perancangan adalah sesuatu yang luas dan
bersifat menyeluruh. Undang-undang sokongan bagi perancangan bandar ini adalah penting dalam
menjalankan sesuatu tindakan undang-undang ke atas sesuatu perkara .

Peruntukan undang-undang lain ini hanya berbentuk am terhadap perancangan bandar. Bagi aktiviti
perancangan bandar yang sebenar perlulah merujuk sepenuhnya kepada Akta 172 Akta Perancangan
Bandar dan Desa 1976 (Akta 172). Akta 172 diluluskan oleh Parlimen Kerajaan Malaysia pada tahun
1976 bertujuan mengadakan kawalan dan peraturan yang sempurna bagi perancangan bandar
Sepanjang tahun tersebut hingga kini, Akta 172 telah menempuhi beberapa pindaan dan
pengubahsuaian. Pindaan ini dilakukan bagi memperbaiki dan mengemaskini agar selaras dengan
keadaan masa. Akta 172 secara ringkasnya adalah peruntukan undang-undang yang mengandungi
perkara berkaitan perancangan bandar dan desa mengenai siapa yang berperanan dan
bertanggungjawab, bidang tugas yang terkandung, kesalahan dalam perancangan bandar dan lain-
lain perkara
5.0 SEJARAH PENUBUHAN

Perkhidmatan perancangan bandar di malaysia telah melalui satu laluan kronologi yang panjang iaitu
seawal tahun 1801 dan mula diperkenalkan di Pulau Pinang. Berikut adalah kronologi penubuhan
sistem perancangan bandar di Semenanjung Malaysia :

a) Perkhidmatan terawal perancangan bandar di Tanah Melayu

Tahun 1801 - Penubuhan Jawatankuasa Penilai (Committee of Assessors) di Pulau Pinang bagi
menjalankan perkhidmatan awal perancangan Bandar. Telah menyusun atur bandar kepada keadaan
yang paling sesuai untuk keadaan penduduk. Merupakan rekod-rekod terawal untuk
memperkenalkan aktiviti perancangan bandar di negara ini.

b) Keperluan perkhidmatan perancangan bandar

Tahun 1912 - W.F. Nutt memohon Majlis Persekutuan (Federal Council) Negeri-negeri Melayu
Bersekutu (F.M.S) mengambil tindakan terhadap pembangunan dan perluasan perbandaran yang
tidak terancang. Tahun 1913 - Satu perundangan perancangan bandar disediakan supaya bandar
tersebut dapat disusun aturkan mengikut kawasan perkedaian dan lain-lain aktiviti (Federal Council),
1913) di Kuala Lumpur. E.L. Brockman (Chief Secretary) telah mengumumkan penubuhan
Jawatankuasa Perancang Bandar yang berkuatkuasa bagi kawasan Kuala Lumpur dengan bertujuan
untuk menjalankan perkhidmatan perancangan bandar.

c) Permulaan sistem perancangan secara formal

3 September 1920 - Kerajaan British di Tanah Melayu memohon supaya Government Town Planner,
Charles Reade dari Kerajaan Australia Selatan datang ke Tanah Melayu 18 Januari 1921 - Pejabat
pertama terletak di bangunan Secretariat, Kuala Lumpur Dari 1921 hingga 1927 Reade telah dibantu
oleh pegawai-pegawai Juru Ukur dan Jurutera Awam yang dipinjam dari Jabatan Ukur dan Jabatan
Kerja Raya. Pegawai Tadbir dari Pejabat Tanah juga telah dilibatkan dalam mentadbir aktiviti
perancangan semula dan agihan lot sebagai Town Planning Administrator. Tahun 1923 -
Penggubalan Enakmen Perancangan Bandar yang memperkenalkan General Town Plans dan
menjalankan aktiviti penyusunan semula lot-lot (replanning and redistribution) di Kuala Lumpur dan
di beberapa pekan di F.M.S. Susunatur bandar baru pertama telah disediakan di Kuala Kubu Baru
pada tahun 1924 bagi menempatkan semula pekan lama di Ampang Pechah yang sering dilanda
banjir. Enakmen Perancang Bandar 1927 telah digubal mengganti Enakmen 1923 di mana
Jawatankuasa Perancang Bandar telah dimansuhkan dan aktiviti perancangan telah diperkukuhkan
Pada penghujung tahun 1929, jabatan telah mempunyai lima pegawai perancang bertauliah dari
Britain dan ditempatkan di F.M.S. Dengan persaraan Reade pada 1929, R.P Davis menjadi ketua
jabatan. Semua pegawai perancang bandar telah ditamatkan perkhidmatan. Tahun 1933 - Khidmat
Perancangan berpusat di Kuala Lumpur di mana tugas-tugas perancangan hanya meliputi Negeri-
Negeri Melayu Bersekutu.

d) Senario ketika perang dunia kedua

Tahun 1941, jabatan terpaksa ditutup akibat Perang Dunia Kedua dan dibuka semula di bawah
pentadbiran Jepun. Dibuka semula pada 3 Mei 1944 sebagai sebahagian daripada Jabatan Kerja Raya
sehingga T.H.H. Hancock seorang Arkitek dan Jururancang, tiba pada September 1946.

e) Senario selepas perang dunia kedua

Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, aktiviti jabatan diperluaskan merangkumi kawasan-kawasan
Lembaga Bandaran dan Majlis Bandaran di dalam Malayan Union dan jawatan pegawai perancang
dikenali sebagai Pegawai Perancang Bandar Malayan Union. Selepas T.H.H. Hancock, T.A.L
Concannon telah mengambil alih dan di antara tahun 1955 hingga 1956 beliau telah menubuhkan
tiga pejabat wilayah iaitu di Johor Bahru, Ipoh dan di Pulau Pinang. Pejabat di Kuala Lumpur kekal
sebagai ibu pejabat di samping menjalankan tugas-tugas perancangan bagi Negeri Selangor, Negeri
Sembilan dan Pahang. Pelan susun atur perumahan FELDA dan bandar baru Petaling Jaya diletak di
bawah penyeliaan T.A.L. Concannon sehingga seorang jurutera kanan diperolehi pada penghujung
tahun 1954 iaitu Francis McWilliams (yang kemudiannya menjadi Datuk Bandar London dari 1992-
1993).

f) Senario bidang perancangan selepas merdeka

Sistem perkhidmatan perancangan telah dijalankan berdasar kepada dua peringkat iaitu
Persekutuan dan Negeri di bawah "senarai bersama" (concurrent list) Perlembagaan Persekutuan.
Selaras dengan ini, organisasi jabatan telah disusun semula dengan mengadakan pejabat-pejabat di
peringkat negeri di seluruh Semenanjung Malaysia. Ini telah dilaksanakan secara berperingkat mulai
tahun 1958. Dato' Rosli Buyong menjadi Ketua Pengarah pada tahun 1970. Unit Landskap
ditubuhkan pada tahun 1981 (kemudian menjadi Jabatan Landskap Negara pada tahun 1996).

g) Perancangan Bandar di sekitar tahun Tahun 1990an

Sekitar tahun 1990an, Rancangan Tempatan rancak disediakan oleh pejabat-pejabat cawangan
rancangan pembangunan. Pelan Susunatur Putrajaya dan Cyberjaya telah dirancang pada awal tahun
90an. Pindaan Akta Perancangan Bandar dan Desa telah dibuat menyentuh aspek-aspek
pemeliharaan alam sekitar, fizikal, topografi, landskap dan pemeliharaan pokok (Akta A933) dan Akta
Perancangan Bandar (Akta 538) juga digubal untuk mengawal mutu profesionalisme para pengamal
perancang bandar. Pada tahun 1990an tumpuan juga diberikan kepada perancangan mapan melalui
penyediaan Doktrin Perancangan Sejagat dan juga pelbagai Garis Panduan Perancangan bagi rujukan
dan panduan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Perancangan kawasan-kawasan sensitif alam sekitar
(KSAS) telah dijalankan melalui pewujudan garis panduan Kawasan Sensitif Alam Sekitar. Negeri
Selangor telah mempelopori dengan mengambil inisiatif dengan melaksanakan Agenda 21, Strategi
Pembangunan Mapan Selangor. Teknologi Sistem Maklumat Geografi (GIS) telah diterapkan dalam
penyediaan rancangan pemajuan. Penyelidikan indikator bandar mapan melalui program Malaysia
Urban Indicator Network (MURNInet) telah dijalankan pada penghujung 90an dan diperkembangkan
pada tahun-tahun berikutnya.

h) Tahun 2000 sehingga 2010

Pada tahun 2001, Akta Perancang Bandar telah dipinda bagi mengimbangi kuasa kerajaan
persekutuan dengan kerajaan negeri dalam hal ehwal perancangan bandar dan desa. Antara perkara
baru ialah kewujudan Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN), Jawatankuasa Perancang Wilayah,
Rancangan Fizikal Negara, kewajipan untuk berunding, nasihat MPFN tentang (a) pembangunan
bandar baru lebih dari 10 000 penduduk atau lebih dari 100 hektar (b) pembangunan di puncak atau
lereng bukit dalam kawasan sensitif alam sekitar, dan (c) pembinaan apa-apa infrastruktur atau
kemudahan utama. Rekabentuk dan penilaian opsyen-opsyen pembangunan telah dilaksanakan
menggunakan teknik-teknik sains pemutusan (decision science) dan GIS. Contoh teknik ialah multi-
criteria decision making (MCDM).
Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976 (Akta 172) telah dipinda lagi pada tahun 2007 dan dikenali
dengan nama Akta A1313. Akta ini dipinda dengan memasukkan peruntukan berhubung dengan
pengurusan sisa pepejal terkawal dan pembersihan awam.

Tujuan meminda Subseksyen 22(2) Akta 172 ialah untuk membolehkan pihak berkuasa perancang
tempatan mengambil kira peruntukan Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007
[Akta 672] semasa menguruskan sesuatu permohonan untuk mendapatkan kebenaran merancang.
Akta 672 ini telah diwartakan pada 30 Ogos 2007.

Ringkasan kronologi penubuhan jabatan dan perundangan perancangan

1921 - Jabatan Perancang Bandar di Kuala Lumpur ( 18 Januari 1921 )


1923 - Enakmen Perancang Bandar
1925 - Cawangan Jabatan Perancangan Bandar di Ipoh (16 Februari 1925 )
1927 - Enakmen Perancang Bandar (ganti 1923)
1937 - Enakmen Lembaga Bandaran (CAP 137)
1947 - Perang Dunia Kedua, semua pejabat ditutup
1956 - Pejabat-pejabat wilayah di Johor Bahru, Ipoh dan Pulau Pinang
1958 - Jabatan Perancangan Bandar Negeri Perak
1958 - Jabatan Perancangan Bandar Negeri Johor
1958 - Jabatan Perancangan Bandar Negeri Selangor
1959 - Jabatan Perancangan Bandar Negeri P.Pinang
1960 - Jabatan Perancangan Bandar Negeri Pahang
1963 - Jabatan Perancangan Bandar Negeri Kelantan
1965 - Jabatan Perancangan Bandar Negeri Kedah
1969 - Jabatan Perancangan Bandar Negeri Terengganu
1974 - Unit Perancangan Bandar-Bandar Baru di Kuantan
1976 - Akta Perancangan Bandar dan Desa
1977 - Jabatan Perancangan Bandar Negeri Melaka
1978 - Jabatan Perancangan Bandar Negeri Perlis
1981 - Unit Landskap ditubuhkan di Ibu Pejabat
1987 - Pejabat-Pejabat Cawangan Rancangan Pembangunan di Alor Setar, Kuala Lumpur, Melaka dan
Kuantan
1990 - Bhg. Penyelarasan dan Pengawasan Taman-Taman Awam ditubuhkan di Ibu Pejabat
1995 – Pindaan Akta Perancang Bandar (Akta 538)
1996 - Akta Perancangan Bandar dan Desa (Pindaan) 1995 (Akta A933)
1996 - Jabatan Landskap Negara
2001 - Akta Perancangan Bandar dan Desa (Pindaan) 2001 (Akta A1129)
2007 - Akta Perancangan Bandar Dan Desa (Pindaan) 2007 (Akta A1313)

6.0 PELAKSANAAN AKTA 172

Pada peringkat perlaksanaan ini setiap agensi kerajaan yang bertanggungjawab menyediakan
rancangan pembangunan secara automatik ditugaskan untuk melaksanakan rancangan tersebut.
Pelaksaan rancangan merupakan kegiatan untuk menjalankan kerja-kerja bagi menyiapkan program
atau projek tertentu. Banyak usaha perancangan tertumpu pada peingkat ibu pejabat kementerian,
jabatan dan perbadanan awam. Tumpuan kegiatan pelaksanaan pula adalah di peringkat cawangan
agensi di negeri, daerah, mukim dan kampung. Sungguhpun demikian ibu pejabat jabatan dan
perbadanan awam bertanggungjawab bagi mengawasi segala kegiatan pelaksanaan yang dijalankan
oleh cawangan masing-masing. Sekiranya cawangan menghadapi masalah yang tidak dapat
diselesaikannya masalah-masalah tersebut akan dikemukakan kepada pihak ibu pejabat.

6.1 pelaksanaan di peringkat persekutuan

Pada peringkat perlaksanaan ini, antara rancangan pembangunan yang disediakan adalah
Rancangan Fizikal Negara.

a) Rancangan Fizikal Negara

Rancangan Fizikal Negara (RFN) adalah merupakan suatu pernyataan bertulis yang
merumuskan dasar-dasar strategik bagi menentukan arah tuju pemajuan fizikal dan
pemuliharaan bagi seluruh Semenanjung Malaysia. Rancangan Fizikal Negara telah
diluluskan oleh Majlis Perancang Fizikal Negara pada 26 April 2005. Kelulusan ini bermakna,
Rancangan Fizikal Negara kini perlu dijadikan panduan perancangan fizikal dan dilaksanakan
di peringkat persekutuan dan Negeri di seluruh Semenanjung Malaysia, dan seterusnya:
a) Dasar-dasar Rancangan Fizikal Negara perlu diselaraskan dengan dasardasar sektoral
lain yang berkaitan.
b) Cadangan-cadangan Rancangan Fizikal Negara perlu diperincikan di peringkat
Rancangan Struktur Negeri dan Rancangan Tempatan bagi menjadi asas
pembangunan semua negeri, dan
c) Cadangan-cadangan Rancangan Fizikal Negara perlu dijadikan panduan oleh agensi
persekutuan dan negeri dalam pembentukan program dan projek Rancangan
Malaysia Lima Tahun.

Rancangan Fizikal Negara berfungsi dalam mengukuhkan perancangan negara melalui


dimensi reruang dalam polisi ekonomi negara, menyelaras agensi sektoral melalui
penyediaan peruntukan reruang dalam polisi sektoral, membentuk rangka kerja untuk
perancangan di peringkat negeri dan tempatan dan membentuk polisi perancangan fizikal.
Selain daripada itu antara tema Rancangan Fizikal Negara ialah :

a) Pembentukan kerangka spatial negara.


b) Peningkatan daya saing ekonomi negara. Pemodenan sektor pertanian.
c) Pengukuhan pembangunan pelancongan. Pengurusan petempatan
d) manusia. Pemuliharaan sumber semulajadi dan alam sekitar.
e) Penyepaduan rangkaian pengangkutan negara.
f) Penyediaan infrastruktur yang bersesuaian

Rancangan Fizikal Negara hendaklah dikaji semula setiap lima tahun seiring dengan kajian
semula Rancangan Pembangunan Lima Tahun Negara, atau jika dan apabila diarahkan oleh
Majlis Perancang Fizikal Negara.

6.2 Pelaksanaan di peringkat kerajaan negeri

Dalam sistem perancangan di peringkat negeri ianya adalah serupa dengan sistem yang
terdapat di peringkat persekutuan di mana ianya melibatkan aspek penggubalan dasar,
perancangan, pelaksanaan, penyelarasan dan penilaian. Adalah menjadi kebiasaan bahawa
pihak kerajaan negeri mengambilkira dasar-dasar yang wujud di peringkat persekutuan
sebelum sesuatu dasar negeri dibentuk. Dalam konteks ini, Dasar Ekonomi Baru merupakan
asas yang penting yang menjadi panduan utama pembentukan dasar peringkat negeri.

Pembentukan dasar-dasar awam negeri dilakukan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
yang para anggotanya terdiri daripada ahli-ahli Dewan Undangan Negeri serta dibantu oleh
beberapa orang pegawai kanan kerajaan, iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri. Namun begitu
sebelum sesuatu dasar itu dibentuk, Kerajaan Negeri juga menubuhkan jawatankuasa-
jawatankuasa tertentu untuk mengkaji sesuatu dasar sebelum dikemukakan kepada Majlis
Mesyuarat Kerajaan Negeri. Untuk rancangan lima tahun, Unit Perancang Ekonomi, di
Jabatan Perdana Menteri merupakan penggerak utama yang mengambil inisiatif
mengumpulkan maklumatmaklumat yang dikehendaki dari semua negeri. Unit ini akan
menghubungi semua Kerajaan Negeri melalui Setiausaha Kerajaan Negeri dan memberitahu
bahawa tiap-tiap negeri supaya menyediakan kertas-kertas tertentu bagi menyatakan
projek-projek pembangunan dan keperluan-keperluan lain yang perlu dimasukkan ke dalam
Rancangan Malaysia Lima Tahun itu. Di peringkat Negeri pula, setiausaha Kerajaan Negeri
akan memberi arahan kepada semua Pegawai Daerah bagi negeri itu supaya membuat
rundingan dan mengemukakan projek-projek pembangunan yang dikehendaki dalam
sesebuah daerah atau jajahan. Di peringkat Daerah pula, pegawai daerah selaku Pegerusi
Jawatankuasa Pembangunan dan tindakan Daerah dan Jawatankuasa Kerja Perancangan
Daerah akan meminta setiap ketua jabatan yang ada diperingkat daerah supaya supaya
mengemukakan projek-projek pembangunan sebagai projek jabatan itu.

Pada lazimnya, sesebuah jabatan itu akan mengemukakan kertas kerja untuk menyebutkan
projek-projek yang dikehendaki, anggaran harganya dan tempat pembinaannya. Kertas kerja
yang disiapkan itu akan dibincangkan oleh ketua-ketua jabatan dan pegawai daerah yang
semuanya menjadi ahli kepada kedua-dua awatankuasa tersebut. Segala keputusan dan
kertas kerja yang berkaitan akan diserahkan dan kertas kerja yang berkaitan akan diserahkan
kepada Pegawai Kemajuan Negeri.

Pegawai Kemajuan Negeri seterusnya akan meneliti semula perakuan-perakuan yang


diperolehi daripada semua daerah dan akan membawanya ke dalam perbincangan yang
akan diadakan di peringkat negeri. Badan peringkat negeri yang akan membincangkan
permohonan projek-projek itu ialah, Jawatankuasa Pembangunan Negeri yang
mempengerusikan oleh Menteri Besar Besar atau Ketua Menteri. Setiausaha Kerajaan
Negeri berfungsi selaku Timbalan Pengerusi dan Pegawai Kemajuan Negeri pula menjadi
setaiusaha jawatankuasa tersebut. Ketua-ketua Jabatan di peringkat negeri serta beberapa
orang wakil rakyat menjadi anggota jawatankuasa ini. Segala perakuan mengenai
pembangunan di peringkat negeri itu akan diserahkan kepada Perbendaharaan dan Unit
Penyelarasan Perlaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.

Pendekatan perancangan yang kerap diamalkan ialah perancangan dari bawah iaitu bahawa
rakyat melalui wakil rakyat, ketua kampung dan pegawai di peringkat daerah, diberi peluang
mengemukakan kehendak pembangunan yang sesuai dengan keperluan daerah. Perakuan
menyeluruh yang menyatupadukan kehendak-kehendak itu akan dikemukakan pula ke
peringkat persekutuan iaitu kepada Bahagian Perancang Ekonomi. Walaubagaimanapun,
mengikut amalannya, kedua-dua pendekatan perancangan dari bawah dan perancangan dari
atas di amalkan di negara ini. Ini bermakna kedua-dua peringkat kerajaan persekutuan dan
negeri memainkan peranan penting dalam perancangan dan pembangunan sesebuah negeri
itu. Di peringkat negeri, kerajaan negeri dapat menentukan daerah atau wilayah manakah di
dalam sesuatu negeri itu yang patut diberi keutamaan berdasarkan kepada kedudukan
mundur majunya sesebuah daerah itu. Di peringkat negeri, Kerajaan Negeri dapat
menentukan daerah atau wilayah yang patut dan sesuai menerima sesuatu projek
pembangunan tertentu dengan mengambilkira kepentingan negara sebagai asas untuk
perancangan.

6.2.1 Jawatankuasa Perancang Negeri

Apabila Akta PBD 1976 diterimapakai di sesebuah negeri, suatu Jawatankuasa Perancang
Negeri (JPN) hendaklah ditubuhkan (s. 4(1)). JPN mengandungi anggota-anggota berikut:

i. Pengerusi (Mentri Besar atau Ketua Menteri negeri tertentu);


ii. Timbalan Pengerusi (seorang Ahli Majlis Mesyuarat Negeri, EXCO yang dilantik oleh
PBN);
iii. Setiausaha Kerajaan Negeri;
iv. Pengarah Perancang Bandar dan Desa Negeri (yang menjadi Setiausaha JPN);
v. Pengarah Tanah dan Galian Negeri;
vi. Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri atau pegawai yang bertanggungjawab jika
tiada jawatan pengarah negeri;
vii. Pengarah Kerja Raya Negeri;
viii. Penasihat Undang-Undang Negeri;
ix. Pegawai Kewangan Negeri;
x. Pegawai Kemajuan Negeri;
xi. Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri;
xii. Tidak lebih dari 4 ahli lain yang dilantik oleh PBN.

Ahli-ahli (ix) hingga (xi) telah ditambahkan melalui Akta Perancang Bandar dan Desa
(Pindaan) 1995. Sekurang-kurangnya 2 Ahli JPN adalah Ahli EXCO, iaitu ahli politik yang telah
bertanding dan menang dalam pilihanraya umum. Sembilan Ahli JPN adalah pegawai
kerajaan. Empat ahli lain boleh dilantik atas budibicara Pihakberkuasa Negeri. Jelaslah
bahawa keanggotaan JPN berat sebelah kepada pegawai-pegawai perkhidmatan awam
peringkat negeri. Akta 172 tidak menyatakan bagaimana JPN patut bertindak atau membuat
keputusan. Andaiannya ialah setiap ahli mempunyai kuasa yang sama dan mengikut amalan
biasa JPN akan membuat keputusan melalui konsensus atau secara mengundi. Sebagai
perbandingan, Pengerusi Lembaga Rayuan yang ditubuhkan di bawah Akta PBD 1976
mempunyai kuasa luarbiasa dan boleh membuat keputusan yang bertentangan dengan
pendapat ahli-ahli lain.

Bidang kuasa setiap JPN terhad kepada kawasan negeri masing-masing. Jelaslah wujudnya
suatu kuasa berasingan untuk perancangan diperingkat negeri. Perhatikan bahawa cadangan
asal dalam draf Akta Perancangan Bandardan Desa 1972 ialah penubuhan suatu Pihak
Berkuasa Perancangan Negeri dengan Pengerusi yang tidak semestinya Menteri Besar atau
Ketua Menteri. Secara bandingan, kuasa perancangan di peringkat tempatan telah
dikekalkan dengan pihak berkuasa tempatan.

a) Tugas Jawatankuasa Perancang Negeri

Berdasarkan Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976 (s.4(3)) tugas-tugas JPN ini ialah :

i) menggalakkan pemeliharaan, penggunaan dan pemajuan tanah;


ii) menasihatkan Kerajaan Negeri mengenai perkara dalam (i) di atas; dan
iii) mengusaha, membantu dan menggalakkan maklumat dan metodologi
iv) berhubung dengan perancangan bandar.
b) Kuasa Jawatankuasa Perancang Negeri

i) memberi arahan kepada pihak berkuasa perancang tempatan (PBPT) dan arahan itu
mesti dipatuhi (s. 4(5));
ii) mengarahkan supaya diadakan suatu penyiasatan atau pendengaran tempatan (s. 4(7));
iii) tugas-tugas lain untuk melaksanakan Akta PBD 1976 (s. 4(6)).

Peruntukan ini amat luas. Misalnya, JPN nampaknya boleh peruntukan ini untuk
menjalankan suatu kajian dan seterusnya sediakan sesuatu Rancangan Pembangunan untuk
peringkat Negeri dan rancangan ini dijadikan dokumen yang mengandungi dasar negeri
untuk pemajuan tanah. Kekurangannya ialah proses "perancangan" itu mungkin tertutup
dan tidak terbuka untuk menelitian dan penyertaan awam. Rancangan Pembangunan Negeri
ini juga mungkin diklasifikasikan sebagai SULIT ataupun tidak dibuka untuk pemeriksaan
orang ramai.

c) Rancangan Pemajuan

Untuk memastikan bahawa PBPT mematuhi dasar kerajaan negeri bagi penggunaan tanah,
JPN boleh :

i) Menetapkan tempoh masa untuk PBPT menyediakan draf rancangan struktur (s. 8(1)),
ii) Mengarahkan pemeriksaan baru dijalankan (s. 7(2)), iaitu sebagai asas untuk mengkaji
semula rancangan struktur yang telah diluluskan,
iii) Meluluskan, menolak, atau mengubahsuaikan draf rancangan struktur (s.10(1)) yang
dikemukakan kepada JPN untuk kelulusan,
iv) Mengarahkan perubahan kepada rancangan struktur yang telah diluluskan dan
berkuatkuasa (s. 11(1)).
v) Mengarahkan PBPT menyediakan rancangan tempatan (s. 12(6) & (8)) walaupun
penyediaan rancangan tempatan tidak diwajibkan dan boleh disediakan atas budibicara
PBPT. Dalam hal ini, JPN perlu bincang arahan ini dengan PBPT berkenaan terlebih
dahulu.
vi) Mengarahkan PBPT mengubah, memansuh, menggantikan rancangan tempatan (s.
16(2)).
6.2.2 Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa Negeri

Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa Negeri adalah berbeza mengikut negeri tertentu,
jabatan ini juga bertanggungjawab dalam menyediakan Rancangan Struktur Negeri,
Rancangan Tempatan Daerah dan Rancangan Kawasan Khas. Antara fungsi jabatan ini
adalah;

a) Bertindak sebagai penasihat utama kepada kerajaan negeri dalam semua hal
perancangan, termasuk penggunaan dan pembangunan tanah;
b) Berfungsi sebagai Setiausaha bagi Jawatankuasa Perancang Negeri yang ditubuhkan di
bawah Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976 (Akta 172),
c) Menasihati Pihak Berkuasa Tempatan berhubung dengan dasar dan kawalan
perancangan tanah dan bangunan,
d) Bertindak sebagai penasihat kepada pihak berkuasa tempatan mengenai perancangan
bandar dan desa, serta pemajuan dan penggunaan tanah
e) Mengawal pembangunan dalam negeri termasuklah kelulusan dan kawal selia ke atas
pelaksanaan rancangan pemajuan;
f) Membantu dalam penyediaan tataatur bagi projek khas yang dikendalikan kerajaan
negeri; dan
g) Mengendalikan kajian dan penyelidikan berkenaan penggunaan dan pembangunan
tanah.
h) Melaksana dan menyelaras penyeragaman pelaksanaan sepenuhnya Akta Perancangan
Bandar dan Desa 1976 ( Akta 172 ) di semua pihak berkuasa perancang tempatan.
i) Melaksana dan menyelaras penyediaan Rancangan Pemajuan iaitu Rancangan Struktur
Negeri, Rancangan Tempatan dan Rancangan Kawasan Khas serta kajian/projek khas
sama ada yang diarahkan atau atas inisiatif jabatan,
j) Menjalankan fungsi Urusetia Lembaga Rayuan,
k) Memberi khidmat nasihat kepada jabatan / agensi lain mengenai perancangan bandar
dan desa.
Terdapat beberapa dokumen atau laporan yang menjadi panduan dan asas pengawalan
perancangan di peringkat Negeri iaitu :

i) Rancangan Struktur

Rancangan struktur merupakan sistem perancangan diperingkat negeri yang mana ianya
mengandungi suatu pernyataan bertulis yang menerangkan dasar dan cadangan-cadangan
strategik negeri berkenaan dengan pemajuan dan penggunaan tanah dalam kawasan bandar
dan desa, termasuklah langkahlangkah untuk.;

 Memperelokkan lagi alam sekitar dari segi fizikal;


 Memperelokkan lagi perhubungan dan untuk menguruskan lalulintas;
 Pembaikan tahap sosio-ekonomi, penggalakkan pertumbuhan ekonomi;
 Mempertingkatkan perancangan luar bandar dan rancangan desa; dan
 Memudahkan pembangunan secara mampan.

Kaedah penyediaannya juga adalah berdasarkan kepada peruntukan Seksyen 8, Akta


Perancangan Bandar Dan Desa 1976(Akta 172) dan Akta Pindaan 2001 (Akta A 1129), RS
juga hendaklah mengandungi gambar rajah, gambaran-gambaran dan lakaran-lakaran yang
sesuai untuk menjelaskan dasar-dasar atau cadangancadangan yang dikemukakan. Antara
fungsi Rancangan Struktur ialah;

 Mentafsirkan dasar negara dan wilayah


 Menentukan matlamat, polisi dan cadangan umum
 Menyediakan rangka kerja untuk penyediaan RT
 Menyediakan garis panduan untuk kawalan pembangunan
 Menyediakan asas untuk penyelarasan segala keputusan
 Menyediakan asas panduan dan menggalakkan pembangunan
 Membentang isu-isu dan keputusan-keputusan.

ii) Rancangan Tempatan Daerah.

Rancangan Tempatan(RT) adalah merupakan satu dokumen penerangan yang mana ianya
mengandungi Peta cadangan dan pernyataan bertulis beserta Garis Panduan Perlaksanaan
ianya juga merupakan satu dokumen rasmi yang mentafsirkan dasar-dasar dan cadangan-
cadangan umum yang terkandung di dalam RS kepada bentuk fizikal yang lebih terperinci
dan praktikal. Rancangan Tempatan di sediakan bagi kawasan-kawasan yang dikenalpasti di
dalam kawasan Pihak Berkuasa Tempatan. Ia merupakan pelan terperinci yang
menterjemahkan polisi-polisi dan cadangan-cadangan am yang terkandung dalam
Rancangan Struktur.

Rancangan Tempatan ini disediakan mengikut peruntukan Seksyen 12 hingga 16, Akta
Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) oleh Pihak Berkuasa Perancangan Tempatan
(PBPT) . Antara fungsi Rancangan Tempatan ini adalah;

a) Melaksanakan serta menterjemah strategi yang telah digariskan oleh Rancangan


Struktur Negeri dengan lebih terperinci.
b) Memperincikan dasar kawalan perancangan bandar sebagai panduan
pembangunan.
c) Menyediakan garis panduan bagi kawalan pembangunan. Pelan-pelan tempatan
akan menjadi garis panduan bagi urusan mengatur dan mengawal pembangunan di
kawasan yang diliputi oleh pelan-pelan tersebut.
d) Dasar-dasar dan cadangan dalam RT akan digunakan sebagai asas untuk
menyelaraskan keputusan-keputusan, aturcara pembangunan, perbelanjaan awam
dan persendirian terhadap kawasan yang diliputi oleh RT.
e) Mengemukakan isu-isu dan cadangan yang terperinci kepada orang awam.

iii) Rancangan Kawasan Khas.

Rancangan Kawasan Khas (RKK) adalah merupakan satu pelan cadangan terperinci yang
mana terdahulunya ianya dikenali sebagai Pelan Tindakan RKK mengandungi cadangan bagi
memaju, memajukan semula, memperelok, memulihara dan menguruskan keseluruhan atau
sebahagian kawasan tersebut. Penyediaan RKK adalah bertujuan untuk penyelesaian kepada
masalah setempat secara sistematik serta panduan bagi membangunkan kawasan dengan
lebih cekap . Selaras dengan peruntukan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta
172), penyediaan RKK adalah salah satu Rancangan Pemajuan yang memperincikan tindakan
pembangunan setiap lot.
Rancangan Pemajuan pada peringkat yang lebih tinggi telah menformulasi dasar dan garis
panduan pembangunan bagi sesuatu kawasan. RKK pula berfungsi menterjemahkan
pembangunan secara terperinci dan tepat di dalam bentuk spatial ke atas lot-lot tanah yang
berkenaan. Berdasarkan kepada peruntukan Seksyen 16B, Akta Perancangan Bandar dan
Desa 1976 (Akta 172), kaedah penyediaan Rancangan Tempatan. RKK adalah disediakan
diperingkat Pihak Berkuasa Perancangan Tempatan bagi kawasan pentadbirannya.

6.3 Peringkat Kerajaan Tempatan

Menurut Phang Siew Nooi dalam bukunya yang bertajuk, Sistem Kerajaan Tempatan Di
Malaysia, hanya Malcolm W. Norris (1980) yang dapat memberi definisi yang lebih tepat
iaitu:

“kerajaan tempatan dalam konteks Semenanjung Malaysia bermaksud kerajaan di kawasan-


kawasan Bandar, luar Bandar atau gabungan kedua-dua kawasan ini dan di bawah kuasa
kerajaan negeri masing-masing. Kerajaan tempatan mempunyai kedudukan yang sah dan
berdaulat daripada kerajaan tertinggi itu. Kerajaan tempatan ialah peringkat ketiga dalam
struktur Persekutuan Malaysia.”

Akta 172 memperuntukkan bahawa taip-taip pihak berkuasa tempatan (kerajaan tempatan)
hendaklah menjadi pihak berkuasa perancang tempatan (PBPT) bagi kawasan pihak
berkuasa tempatan itu (s. 5(1)). Walaupun ini bermakna pihak berkuasa tempatan secara
automatik menjadi PBPT, ada dua tindakan yang perlu diambil sebelum peruntukan ini
berkuatkuasa. Pertama, Yang Di Pertua dan Ahli-Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan
hendaklah dilantik terlebih dahulu oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN) mengikut s. 10(1) Akta
Kerajaan Tempatan 1976. Kedua, PBN hendaklah menetapkan kawasan-kawasan PBPT yang
akan menerima-pakai Akta PBD 1976.

Dengan tindakan-tindakan ini, Yang Di Pertua (atau Datuk Bandar) bersama Ahli-Ahli Majlis
pihak berkuasa tempatan juga akan menjadi anggota pihak berkuasa perancang tempatan.
PBN boleh mengistiharkan mana-mana kawasan yang tidak menjadi sebahagian daripada
kawasan mana-mana PBPT sebagai suatu kawasan pihak berkuasa perancang tempatan (s.
5(2)). Di kawasan-kawasan ini, PBN boleh melantik seorang atau beberapa orang sebagai
PBPT (s. 5(3)). Kuasa ini telah digunakan di Johor Barat dengan perlantikan Pegawai-Pegawai
Daerah berkenaan sebagai PBPT untuk kawasan di luar kawasan Majlis-Majlis Bandaran.

Kuasa ini juga telah digunakan untuk melantik Datuk Zainuddin Mohamed merangkap Ketua
Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia sebagai PBPT untuk
Putrajaya (1995/96) yang masih belum dibangunkan (pada masa itu) dan belum mempunyai
pihak berkuasa tempatan. Dari segi undang-undang pihak berkuasa tempatan dan PBPT
adalah dua badan atau pertubuhan yang berasingan walaupun ia biasa berfungsi dalam
suatu jentera pentadbiran yang sama. Misalnya, pihak berkuasa tempatan apabila
mengambil tindakan perancangan (seperti mempertimbangkan permohonan kebenaran
merancang) ia bertindak sebagai suatu PBPT bukan sebagai pihak berkuasa tempatan.
Disebaliknya PBPT tidak boleh bertindak sebagai pihak berkuasa tempatan (seperti mengutip
cukai, memungut sampah, mengawal kesihatan bandar, dll). Biasanya, PBPT tidak
mengambil gelaran yang berasingan tetapi mengguna nama pihak berkuasa tempatan.

6.3.1 Tugas dan Kuasa PBPT

Akta PBD 1976 menetapkan dua tugas utama PBPT iaitu, perancangan dan penyebaran
maklumat berkenaan dengan perancangan. Disamping itu, PBPT juga wajib menjalankan
sebarang tugas yang diarahkan oleh PBN atau JPN. Secara terperinci s. 6(1) Akta PBD 1976
menyatakan bahawa PBPT hendaklah :

a) mengatur, mengawal, dan merancang pemajuan dan penggunaan semua tanah dan
bangunan dalam kawasannya;
b) mengusaha, membantu dan menggalakkan pemungutan, penyenggaraan, dan
penyiaran perangkaan, buletin, dan monograf, dan lain-lain siaran yang berhubung
dengan perancangan bandar dan desa dan metodologinya; dan
c) melaksanakan apa-apa tugas lain yang ditanggungkan ke atasnya dari masa
kesemasa oleh Pihak Berkuasa Negeri atau oleh Jawatankuasa Perancang Negeri.

PBPT juga perlu sentiasa memberi perhatian kepada syarat-syarat yang dinyatakan dalam
surat hakmilik tanah terutamanya apabila mempertimbangkan permohonan kebenaran
merancang. Contohnya, jika kategori hakmilik tanah ialah pertanian, PBPT tidak akan
membenarkan pembangunan walaupun rancangan struktur menetapkan bahawa tanah
berkenaan boleh dibangunan untuk perumahan atau kegunaan lain yang bertentangan
dengan kategori tanah. Pemaju atau pemohon perlu melalui proses tukar syarat (ia itu, ubah
kategori kegunaan tanah) dahulu sebelum kebenaran merancang boleh diberi. Disebaliknya
pula, jika PBN telah tukar syarat sesuatu tanah dari pertanian kepada bangunan, PBPT
terpaksa anggap ini sebagai penukaran dasar kerajaan negeri yang perlu dipatuhi walaupun
tanah tersebut ditunjukkan sebagai kawasan pertanian dalam rancangan struktur yang telah
diluluskan oleh JPN.

a) Rancangan Pemajuan

Akta PBD 1976 juga menyatakan beberapa tindakan yang perlu diambil oleh PBPT berkenaan
dengan rancangan pemajuan, khususnya :

a) Memulakan pemeriksaan terhadap perkara-perkara yang mungkin menyentuh


pemajuan atau perancangan pemajuan (s. 7(1)). Walaupun PBPT hanya dikehendaki
menjalankan pemeriksaan di kawasannya ia juga dibenarkan memeriksa kawasan
yang berhampiran jika perlu. Pemeriksaan ini menjadi asas untuk perancangan
kawasan PBPT.
b) Menyampaikan Laporan Pemeriksaan dan draf rancangan struktur untuk kelulusan
JPN (s. 8(1)).
c) Memberi perhatian kepada dasar sosial dan ekonomi negara dan negeri semasa
membentukkan dasar penggunaan tanah dalam rancangan struktur (s. 8(4)).
d) Mewartakan penerimaan draf rancangan tempatan dalam WARTA Negeri dan 2
akhbar (s. 15(4)). Walaupun PBPT tidak perlu mendapat kelulusan JPN bagi
rancangan tempatan tetapi ia mesti gazetkan penerimaan sesuatu rancangan
tempatan.

b) Kawalan Perancangan

Kuasa PBPT berkenaan dengan kawalan perancangan diberi melalui s.19(1) Akta PBD 1976
yang menyatakan bahawa semua orang kecuali PBPT mesti mendapat kebenaran
merancang. Permohonan untuk kebenaran merancang hendaklah dibuat kepada PBPT (s.
21(1)).
7.0 KEBERKESANAN PELAKSANAAN AKTA 172

Penyelarasan antara kesemua peringkat di dalam sistem perancangan di Malaysia adalah


merupakan peringkat yang penting yang dapat menentukan kejayaan dan kegagalan sesuatu
program yang dilaksanakan oleh kerajaan. Penyelerasan adalah kegiatan yang bertujuan
untuk mengadakan perhubungan dan pertalian yang licin antara pelbagai agensi yang
terlibat di dalam pelaksanaan sesuatu program dan projek pembangunan. Diperingkat negeri
Setiausaha Kerajaan Negeri, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri dan pegawai utama
negeri yang lain akan menjalankan penyelarasan ke atas cawangan agensi-agensi
persekutuan dengan mengadakan perhubungan dan kerjasama yang rapat.

Aspek ini adalah perlu untuk mengetahui kesan pelaksaan sesuatu program atau projek
pembangunan terhadap golongan masyarakat yang menjadi sasaran. Semua kesan ini perlu
diketahui untuk membolehkan pegawai perancang mengadakan perancangan yang lebih
baik untuk menjamin kejayaan yang lebih besar bagi projek-projek kerajaan yang akan
datang.

Kawalan pembangunan seharusnya berperanan untuk memastikan keseimbangan terhadap


sebarang perubahan dan kawalan bagi meningkatkan kualiti persekitaran, mengekalkan
tahap penerimaan terhadap penggunaan yang telah dibenarkan ke atas kegunaan tanah dan
menyelesaikan konflik. Penguatkuasaan Akta 172 akan mewujudkan satu Sistem kawalan
pembangunan yang lebih cekap sekiranya terdapat pelan pembangunan kawasan yang
boleh dijadikan petunjuk dan memandu arah pembangunan oleh PBT. Kawalan yang
bersistematik akan memberikan kesan positif kepada kaedah perancangan. Ini dapat dilihat
dalam :

a) Semua kawalan pembangunan yang di buat diperingkat PBT dan JPN adalah berhubung
kait dengan Rancangan Pembangunan yang telah digariskan di dalam Akta 172

b) Akta 172 juga menekankan fungsi perancangan sebagai satu disiplin yang
mengendalikan sumber alam dan memberi perhatian terhadap ciri-ciri alam sekitar dan
komuniti secara keseluruhannya. Kawalan memainkan peranan yang penting bagi
melancarkan pembangunan kawasan berdasarkan kepada garis panduan daripada akta
dan piawaian.
c) Akta 172 juga mengariskan proses yang mengehendakinya PBPT dan kerajaan negeri
menggunakan undang-undang bagi mengawal kesemua pembangunan agar sejajar
dengan kehendak pelan pembangunan. Ketiadaan kawalan pembangunan di bawah
kuasa PBPT akan mewujudkan satu keadaan bebas yang mana boleh mengakibatkan
kesan perancangan yang tidak optimum.

d) Akta 172 juga membantu proses pembangunan dan memelihara penduduk daripada
implikasi pembangunan perancangan yang tidak efektif dan mungkin memudaratkan
penduduk sekitarnya.

Keberkesanan penyediaan dan pelaksanaan Akta 172 juga dapat dilihat dari pengwartaan
rancangan struktur dan rancangan tempatan bergantung kepada kesungguhan pihak
berkuasa perancang tempatan itu sendiri. Di Semenanjung Malaysia, 97 pihak berkuasa
tempatan disediakan dengan rancangan struktur yang mana 73 daripadanya diwartakan,
manakala selebihnya dalam proses diwartakan. Namun, ada juga pihak berkuasa tempatan
yang belum membuat keputusan untuk mewartakan rancangan struktur walaupun
mendapat kelulusan pihak berkuasa negeri. Keupayaan rancangan struktur mempunyai
dasar perancangan yang menyeluruh serta dapat menangani masalah utama pembangunan
bagi menghadapi pembangunan masa depan yang sentiasa berubah-ubah, mampu menjadi
landasan bagi mencapai objektif perancangan negara dan negeri di peringkat tempatan.
8.0 KESIMPULAN

Secara kesimpulannya sistem pentadbiran perancangan bandar adalah dibahagikan kepada


tiga peringkat iaitu peringkat kerajaan persekutuan, peringkat kerajaan negeri dan peringkat
kerajaan tempatan. Dalam peringkat kerajaan persekutuan ianya mempunyai pelbagai
peringkat dan ianya termasuklah peggubalan dasar, perancangan, pelaksanaan,
penyelarasan dan penilaian. Antara peringkat jabatan kerajaan yang terletak diperingkat ini
ialah Majlis Negara Kerajaan Tempatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan,
dan Jabatan Perancangan bandar dan Desa Semenanjung Malaysia. Rancangan pemajuan
yang terlibat di peringkat ini adalah Rancangan Fizikal Negara.

Pada peringkat kerajaan negeri ianya berperanan dalam membuat rancangan pemajuan
seperti Rancangan Struktur, Rancangan Tempatan dan Rancangan Kawasan Khas. Jabatan-
jabatan yang terlibat dalam peringkat ini ialah Jawatankuasa Perancang Negeri dan Jabatan
Perancangan Bandar dan Desa Negeri. Manakala pada peringkat kerajaan tempatan ianya
menerangkan kuasa pihak berkuasa perancang tempatan. Di mana pihak berkuasa ini
memainkan peranan utama dalam rancangan pemajuan dan kawalan perancangan.
SUMBER RUJUKAN

1. Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976(Akta 172), International Law Book Services.
2. Ensiklopedia Undang-undang dan pentadbiran perancangan bandar dan desa
3. Halmi b. Zainol, Pendahuluan Kepada Perancangan Fizikal, Biroteks Universiti Teknologi
Mara, Shah Alam.
4. http://www.townplan.gov.my

También podría gustarte