Está en la página 1de 2

BEG PLASTIK

Tahukah anda apakah jenis sisa pepejal yang paling banyak dibuang setiap

hari? Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Datuk

Nadzri Yahaya, rakyat Malaysia menghasilkan lebih 19,000 tan sisa pepejal setiap

tahun dan 24 peratus daripada jumlah itu adalah plastik. Dianggarkan seorang

individu menggunakan hampir 8 beg plastik seminggu.

Mengapa persoalan plastik yang dianggap remeh oleh sesetengah pihak ini

boleh dianggap sebagai ancaman kepada alam sekitar? Ini kerana, bagaikan

menjadi kebiasaan bagi masyarakat kita yang tetap mahukan beg plastik walaupun

hanya membeli satu barang sahaja. Seperti yang kita ketahui, plastik mengambil

masa kira-kira 100 hingga 500 tahun untuk dilupuskan secara semulajadi.

Oleh itu, usaha pihak-pihak tertentu seperti pihak berkuasa tempatan (PBT)

yang telah melancarkan Hari Tanpa Beg Plastik (HTBP) amat dialu-alukan. Di

Selangor, HTBP dilangsungkan pada hari Sabtu, manakala di Pulau Pinang ia

dilangsungkan selama tiga hari iaitu Isnin, Selasa dan Rabu. Di negeri lain juga

mungkin ada menganjurkan kempen seumpama ini, tetapi tidaklah dikenali dengan

nama tersebut. Sebenarnya, kempen mengurangkan penggunaan plastik seperti

program 3R iaitu “Reduce, reuse, recycle” sudah lama diadakan tetapi kurang

mendapat sambutan.

Justeru itu, kempen HTBP ini amat memerlukan sokongan masyarakat.

Kempen ini sedikit sebanyak dapat memberi kesedaran kepada masyarakat tentang

pemuliharaan alam sekitar dan menyeru masyarakat untuk turut serta membantu

usaha murni kerajaan dalam meningkatkan kualiti alam sekitar. Tanpa kerjasama

pengguna, program ini tidak akan ke mana. Peranan utama bagi menjayakan

program ini sudah tentu terletak di atas bahu pihak yang bertanggungjawab

menyediakan beg plastik iaitu pusat membeli-belah termasuk pasaraya besar.


Sehubungan itu, pengguna digalakkan membawa beg sendiri kerana beg

plastik tidak akan dibekalkan kepada pengguna di kedai atau pasaraya yang

mengambil bahagian dalam kempen ini. Bagaimanapun, bagi mereka yang tidak

membawa beg sendiri, mereka diberikan pilihan untuk membeli setiap beg plastik

dengan harga serendah 20 sen. Walaupun bayaran yang dikenakan adalah untuk

disalurkan kepada kebajikan, ia sedikit sebanyak menjejaskan matlamat kempen

HTBP. Ini kerana pengguna masih diberi pilihan menggunakannya seperti biasa

pada hari kempen berlangsung. Ini hanya menampakkan kempen HTBP ini sekadar

melepaskan batu di tangga. Apalah ertinya jika 'tangan kanan' tidak memberi beg

plastik tetapi 'tangan kiri' pula menjualnya.

Sedikit ketidakadilan (atau boleh dikatakan penipuan) juga boleh terjadi

dalam situasi ini. Misalnya, katakanlah, seorang pengguna dari negeri lain

(contohnya, Kelantan) datang membeli-belah di Selangor pada hari Sabtu, mereka

akhirnya terpaksa membayar untuk beg plastik bagi membawa barang-barang yang

telah dibeli sedangkan dia tidak tahu menahu langsung mengenai kempen tersebut.

Persoalan juga timbul apabila beg yang dijual adalah beg plastik, bukankah

lebih elok sekiranya penjualan beg plastik digantikan dengan penjualan beg kertas

yang lebih ‘mesra alam’? Di Jepun contohnya, penggunaan beg kertas bukan

sesuatu yang luar biasa.

Kesimpulannya, bersamalah kita renung-renungkan sejauh manakah

keberkesanan kempen ini. Kita tidak mahu kempen ini akhirnya menjadi ‘suam-

suam kuku’ seperti kempen ‘Tak Nak Merokok’ di mana jumlah perokok tetap

meningkat walaupun harga rokok meningkat saban tahun. Bahkan terdapat pula

pusat membeli-belah yang menyediakan tempat khas untuk perokok. Bersamalah

kita renung-renung dan fikir-fikirkan tentang kempen-kempen sebegini.

Disediakan Oleh : FARIZA BINTI HAKIM ( SMK JINJANG )