Está en la página 1de 10

Pengenalan Bina Insan Guru

Program Bina Insan Guru berhasrat untuk membina insan guru yang
berakhlak mulia, bersemangat juang yang tinggi, mempunyai ketahanan fizikal,
mental, rohani dan bermanfaat kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara selaras
dengan nilai-nilai keguruan. Proses pembinaan insan guru dilihat dari aspek
kesedaran bahawa profesion perguruan adalah profesion yang mulia. Insan guru
adalah merupakan pembina generasi yang cemerlang, pembentukan jati diri
masyarakat dan role model kepada masyarakat. Di samping itu, insan guru juga
perlu mampu untuk menyesuaikan diri dan menangani pelbagai cabaran dalam
perubahan zaman era globalisasi ini.

Program ini mampu membentuk akhlak mulia, membina daya kepimpinan dan
memupuk sikap bertanggungjawab, berfikiran kritis dan kreatif serta menghayati misi
dan visi Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Kursus Bina Insan Guru (BIG)
merupakan suatu wahana ke arah pembinaan dan pembentukan kualiti insan guru
yang dihasratkan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dan
Falsafah Pendidikan Guru (FPG).

Program ini yang melibatkan semua pelajar Program Kursus Perguruan


Lepasan Ijazah (KPLI), KPLI SR LPBS, KPLI SR LPBS j-QAF,PISMP DAN PLKSP
yang direalisasikan melalui satu pakej aktiviti luar dan perkhemahan 4 hari 3 malam
dalam tempoh pengajian. Melalui aktiviti yang dirancang, pelajar dapat mengenal
diri (real-self) dan mampu mengaplikasikan pengetahuan dan pengalaman yang
diperolehi ke arah pembangunan diri sebagai insan guru secara berterusan. Program
ini diharap dapat melahirkan guru-guru yang memiliki kemantapan sahsiah dan
kuasa professional yang tinggi serta sentiasa bersedia dan mampu menangani
pelbagai cabaran pendidikan dan arus globalisasi.
Aktiviti Kembara

Hari : Isnin

Tarikh : 1 Mac 2010

Aktiviti pertama yang saya dan kawan-kawan jalani sewaktu Program Bina
Insan Guru (BIG) ialah kembara. Aktiviti ini memerlukan kami berjalan melalui
sebuah kawasan ladang kelapa sawit yang luas. Kami juga dikehendaki untuk
memasak dalam aktiviti ini. Taklimat telah diberikan sebelum kani memulakan aktiviti
supaya kami dapat menjalani aktiviti ini dengan baik. Kami telah dibekalkan dengan
peralatan memasah dan bahan-bahan yang akan digunakan untuk memasak.

Di sini, kita dapat lihat bahawa persediaan awal amat perlu sebelum
memulakan sesuatu. Kita sebagai seorang bakal guru haruslah membuat persediaan
terlebih dahulu sebelum mengajar murid-murid. Dalam aktiviti ini juga saya dapat
pelajari bahawa kita perlu sentiasa menghargai apa yang kita ada dan gunakan
benda tersebut sebaik mungkin. Contohnya, kami telah diberikan 3 batang mancis
untuk proses menghidupkan api. Oleh itu kami perlulah pandai untuk menggunakan
mancis tersebut kerana jika kami tidak pandai menggunakannya kami tidak akan
diberikan mancis lain sebagai ganti. Dalam kehidupan kita kita haruslah sentiasa
menghargai apa yang kita ada kerana jika kita merasakan kita kekurangan sesuatu
mungkin ada orang lain yang mengalami kekurangan atau kesusahan yang lebih
teruk dari kita.

Persinggahan kami adalah di suatu tempat yang agak lapang dan


berhampiran dengan tanah perkuburan. Apabila saya renungkan kembali, aktiviti
amatlah bermakna kerana di samping saya belajar cara untuk menguruskan
kehidupan kita di dunia, saya juga diberikan kesempatan untuk berfikir dan ingat
akan mati. Kubur itu mengingatkan saya dan rakan-rakan bahawa kita tidak selama-
lamanya hidup di dunia ini. Apabila tiba masanya semua orang akan mati. Oleh itu,
kita perlulah sentiasa mengingati mati supaya kita terbatas dan terpelihara daripada
melakukan sebarang kemungkaran.
Aktiviti Air (Kayak & Rakit)

Hari : Selasa

Tarikh : 2 Mac 2010

Dalam Program Bina Insan Guru, saya dan rakan-rakan telah menjalani dua
aktiviti air iaitu berkayak dan berakit. Melalui aktiviti yang telah dijalankan, saya
berpendapat bahawa kerjasama dalam kumpulan adalah amat penting. Sifat tolong-
menolong juga perlu supaya kerja yang diberikan dapat dilakukan dengan mudah
dan cepat. Sebagai seorang bakal guru, sifat ini amat perlu untuk ditanam dalam diri
saya kerana apabila saya dihantar untuk bertugas kelak, saya akan dapat
bekerjasama dengan baik dengan guru-guru senior yang telah lama berkhidmat
dalam bidang ini.

Aktiviti ini juga membuatkan saya menyedari bahawa kita tidak perlu menjadi
seorang yang sombong walaupun kita mempunyai kelebihan. Contohnya, walaupun
kita mahir dalam ikatan tali, kita masih tidak akan mampu untuk mengikat rakit
seorang diri tanpa pertolongan rakan-rakan yang lain. Begitu juga apabila kita
menjadi guru kelak. Tidak perlu kita menyombong diri hanya kerana kita lulusan
ijazah dan guru-guru senior tidak. Sebenarnya banyak pengalaman yang dimiliki
guru-guru senior yang perlu kita pelajari kerana mungkin sesetengahnya kita tidak
belajar sewaktu di maktab.

Aktiviti air ini juga turut menguji tahap ketahanan fizikal dan mental saya.
Untuk menjadi seorang guru yang baik, saya perlu sentiasa bersedia dari segi mental
dan fizikal dalam melayani karenah para pelajar dan juga masyarakat sekeliling.
Aspek keselamatan juga amat penting dalam menjalani aktiviti air seperti ini. Di sini,
saya dapat melihat bahawa para fasilitator amat menitikberatkan aspek keselamatan.
Ini bermakna, apabila bergelar sebagai seorang guru kelak, saya perlulah sentiasa
menjaga keselamatan murid dalam apa jua aktiviti yang dijalankan. Penerangan awal
dan langkah-langkah keselamatan perlu sentiasa menjadi aspek yang terpenting.
Pidato Spontan

Hari : Rabu

Tarikh : 3 Mac 2010

Aktiviti ini telah dijalankan pada hari terakhir saya dan rakan-rakan berada di
Kem Lanchang, Merlimau, Melaka. Setiap kumpulan telah diberikan satu tajuk dan
diminta untuk menyampaikan sebuah pidato. Kami telah diminta untuk bersetuju
dengan tajuk yang telah kami peroleh. Tajuk-tajuk yang diberikan amat mencabar
daya pemikiran kami. Ini kerana, tajuk yang diberikan kebanyakannya berkenaan
wanita dan kerjaya wanita itu sendiri.

Berdasarkan aktiviti ini, saya telah dapati bahawa saya masih lagi tidak
mempunyai kekuatan untuk bercakap di hadapan khalayak ramai. Inilah kelemahan
yang saya dapat kesan setelah menjalani aktiviti ini. Selain itu, aktiviti ini juga telah
dapat memberikan pengetahuan baru kepada saya. Adalah amat penting bagi
seorang guru untuk mengetahui isu-isu semasa negara lebih-lebih lagi isu0isu yang
berkaitan dengan pendidikan. Ini adalah untuk memastikan guru tersebut sentiasa
bergerak ke hadapan dan tidak ketinggalan.

Peserta-peserta yang menyampaikan pidato mereka telah berjaya


menyampaikan dengan jayanya walaupun ada sesetengah yang bercakap dengan
tidak lancar. Di sini, dapat saya ambil pengajaran ialah, sebagai seorang bakal guru,
saya perlu bercakap dan berkomunikasi dengan jelas. Ini adalah untuk mengelakkan
muri-murid yang akan saya ajar mengalami salah faham dan sebagainya. Saya juga
perlu berpegang teguh pada pendirian saya dan tidak mudah merasa tergugat
apabila terdapat suara-suara yang mengatakan perkara-perkara tidak baik kepada
saya. Sifat berpendirian teguh ini amat penting kepada seorang guru supaya dia
tidak akan diperlekeh dan dipergunakan oleh orang lain.

Daripada aktiviti juga saya telah pelajari bahawa sebagai seorang manusia,
kita perlulah menghormati pendapat dan pandangan orang lain. Mungkin apa yang
dikatakan oleh mereka tidak sama seperti yang kita fikirkan, oleh itu, kita perlulah
menerima pendapat mereka sebagai tanda kita menghormati pandangan mereka.
Sebagai contoh apabila menjadi seorang guru kelak, saya perlu menerima pendapat
dan teguran daripada rakan-rakan sejawat atau guru besar supaya orang lain juga
akan menerima pendapat dan teguran saya dengan terbuka.

Tazkirah

Tazkirah telah disampaikan oleh peserta BIG pada setiap waktu Subuh dan
waktu Maghrib. Pelbagai topik-topik agama telah dibincangkan dalam tazkirah
tersebut. Antaranya ialah berkenaan Solat Jamak dan Qasar, adab belajar,
kebersihan dalam solat dan sebagainya.

Dalam aktiviti ini, banyak ilmu yang telah saya pelajari. Segala masalah
berkenaan agama juga telah dapat saya selesaikan. Walaupun begitu, masih banyak
lagi perkara yang perlu saya pelajari mengenai agama. Pengetahuan mengenai
agama ini amat penting kepada seorang guru kerana guru merupakan tempat murid
bertanyakan sesuatu yang tidak mereka fahami. Guru juga perlu menunjukkan
contoh teladan yang baik kepada murid-murid. Apabila seseorang guru itu
mempunyai pengetahuan yang banyak mengenai agama, semestinya dia juga akan
berkelakuan baik kerana dia tahu kesan yang akan diterimanya sekiranya melakukan
perkara tidak baik. Jadi, apabila murid melihat tingkah laku guru mereka baik,
mereka juga akan cuba untuk menjadi seorang yang baik.

Melalui aktiviti ini juga, dapat saya simpulkan kepada diri saya bahawa, untuk
menyampaikan sesuatu ilmu, tidak kira ilmu agama atau ilmu apa sekalipun, kita
perlulah mendalami ilmu tersebut dengan mendalam terlebih dahulu. Ini kerana,
apabila murid atau sesiapa bertanya kepada kita, kita akan dapat menjawabnya
dengan yakin dan tanpa ragu-ragu. Kita juga perlu membuat persiapan sebelum
menyampaikan ilmu tersebut. Ini adalah untuk mengelakkan kita berasa gementar
dan gugup semasa menyampaikan ilmu. Sekiranya kita membuat persiapan terlebih
dahulu, kita akan berasa lebih yakin untuk menyampaikan ilmu itu.
Latihan Dalam Kumpulan (LDK)

Hari : Rabu

Tarikh : 3 Mac 2010

Aktiviti ini telah diadakan pada hari terakhir Program Bina Insan Guru. Aktiviti
Latihan Dalam Kumpulan (LDK) diadakan di Dewan Seri Kandi. Peserta-peserta BIG
telah diminta untuk berada dalam kumpulan masing-masing dan menjawab beberapa
soalan yang telah diberikan oleh kaunselor.

Disebabkan masa yang singkat, kaunselor tidak dapat mengupas dengan


lebih mendalam tentang soalan-soalan yang telah kami jawab. Sepanjang Program
Bina Insan Guru kali pertama ini, kami telah menjalani 3 aktiviti latihan dalam
kumpulan iaitu mengenali potensi diri, motivasi kepuasan kerjaya dan rahsia tarikh
lahir.

Dalam semua aktiviti tersebut, saya telah dapat mengenal potensi diri saya
dan juga kelemahan diri yang perlu saya baiki. Dalam ujian keyakinan diri, keputusan
yang saya peroleh ialah sangat rendah. Memang saya akui bahawa saya agak
kurang berkeyakinan terutama sekali untuk bercakap di hadapan khalayak ramai.
Setelah mengikuti program ini, saya dapat merasakan keyakinan diri saya sedikit
berubah berbanding sebelum ini dan saya akan berusaha untuk meningkatkan lagi
keyakinan diri saya supaya saya dapat menjadi seorang guru yang baik kelak.

Saya dan rakan-rakan juga telah diberi maklumat mengenai sifat-sifat individu
mengikut bulan kelahiran mengikut kajian Dr. Hj. Fadzilah Kamsah. Dalam aktiviti ini,
kami diminta untuk menanda sifat-sifat yang kami miliki. Mengikut apa yang saya
tandai dan rakan-rakan tanda memang terdapat banyak persamaan sifat kami
dengan sifat yang dinyatakan. Oleh itu, kita haruslah menerima diri kita seadanya.
Dengan sikap begini, kita dapat memberi penghargaan yang terbesar kepada diri kita
sendiri. Namun, setiap sikap yang ada pada diri kita tidak semestinya baik dan
mantap. Sehubungan dengan itu, kita perlulah bersedia untuk mengubah sikap kita
yang tidak baik kepada yang baik dan kita perlu menerima pandangan orang
sekeliling mengenai sikap kita kerana kadang-kadang kita tidak sedar bahawa sikap
kita itu tidak disenangi oleh orang lain.
Penilaian kendiri

Setelah menjalani Program Bina Insan Guru (BIG) selama 4hari saya telah
mendapat pelbagai ilmu baharu dan juga kemahiran-kemahiran yang tidak pernah
saya ketahui sebelum ini. Program Bina Insan Guru merupakan satu program yang
memberi banyak pengalaman dan input yang berguna kepada saya. Saya berasa
sangat bersyukur dan gembira kerana berpeluang mengikuti progam ini. Segala input
yang saya dapat ini sangat berguna dalam kehidupan seharian saya terutama
semasa bergelar seorang pendidik kelak.

Pertama sekali program ini telah mengajar saya bahawa dalam apa jua
rintangan dan cabaran yang kita alami kita perlu tabah dan sabar dalam
menghadapinya. Kita juga tidak boleh berputus asa dengan mudah dan perlu
mencari jalan penyelesaian yang baik kepada masalah yang kita hadapi. Sebagai
seorang bakal guru, sikap ini perlu diterapkan dalam diri saya supaya saya tidak
akan merasa tertekan dengan kerjaya saya dan tingkah laku murid-murid saya kelak.
Usaha yang gigih amat diperlukan untuk membolehkan murid-murid saya memahami
setiap apa yang saya ajar dan mengaplikasikannya ke dalam kehidupan mereka.

Yang kedua ialah sikap kerjasama. Dapat saya nyatakan di sini dalam setiap
aktiviti yang dijalankan memerlukan kerjasama yang baik antara ahli kumpulan.
Tanpa kerjasama yang baik sesebuah organisasi atau kumpulan tidak akan berjaya
melakukan sesuatu. Oleh itu, sebagai seorang bakal guru, saya perlu sentiasa
memberi kerjasama yang baik kepada masyarakat dan rakan sejawat agar apa yang
ingin dilakukan dapat berjalan dengan lancar dan jayanya. Sekiranya kita boleh
memberi kerjasama yang baik dengan orang lain, maka orang lain juga akan
memberikan kerjasama yang baik juga kepada kita.

Yang ketiga ialah saya mempelajari bahawa kita perlu mematuhi arahan
ketua. Ketua dilantik untuk mengetuai ahlinya. Namun tanpa kepercayaan dan
kesefahaman daripada ahli-ahli di bawahnya, ketua tersebut tidak akan berjaya
melaksanakan tugasnya sebagi seorang ketua. Sebagai contoh dalam aktiviti berakit,
pada mulanya kumpulan saya merupakan kumpulan yang terakhir sampai di tengah,
tetapi apabila berakit ke darat kumpulan merupakan kumpulan kedua yang berjaya
sampai. Ini menunjukkan betapa pentingnya kita untuk mematuhi dan percaya
kepada segala arahan ketua. Apabila bergelar seorang guru kelak, saya perlulah
sentiasa mematuhi arahan ketua saya agar segala kerja yang diserahkan kepada
saya dapat disiapkan dengan sempurna dan dapat memuaskan hati semua pihak.

Seterusnya ialah apa yang dapat saya pelajari melalui BIG ini adalah sikap
yang sentiasa ingin mencari ilmu. Semua benda yang berada di sekeliling kita
merupakan guru yang sentiasa memberi pelbagai ilmu kepada kita. Namun semua
ilmu itu tidak akan datang dengan petikan jari sahaja. Jadi tanggungjawab kita
adalah mencari dan menggali ilmu-ilmu tersebut. Ilmu sangat penting untuk
menghadapi apa jua rintangan yang tidak dapat kita duga. Manusia tanpa ilmu
merupakan manusia yang paling malang dan miskin dalam dunia ini. Seorang guru
memerlukan ilmu yang cukup. Ilmu yang harus ada pada seorang guru bukan sahaja
dari segi intelek, malah dari semua segi kehidupan ini. Ini kerana, guru merupakan
tempat rujukan kepada pelajar. Oleh itu, untuk menjadi seorang guru yang baik, saya
perlulah sentiasa menambah ilmu pengetahuan baik dari segi pendidikan dan ilmu-
ilmu kehidupan yang lain.

Kelemahan saya dan rakan-rakan sepanjang mengikuti program ini ialah kami
tidak menepati masa. Setiap aktiviti yang kami lakukan pasti ada sahaja yang
terlewat begitu juga saya. Ketepatan masa adalah amat penting kepada kita.
Sebagai seorang bakal guru, ketepatan masa adalah amat penting kerana sekiranya
kita terlewat masuk ke kelas dan pada waktu tersebut seorang murid mengalami
kecederaan atau tidak sihat, kita akan dipersalahkan dan kita perlu
bertanggungjawab di atas kelewatan dan kelalaian kita. Oleh itu, setelah menyedari
akan kelemahan ini, saya akan cuba untuk merubah dan berusaha untuk menepati
masa.

Sepanjang program ini juga, para fasilitator banyak menegur saya dan rakan-
rakan kerana kami terlalu banyak bercakap. Sebenarnya banyak bercakap adalah
baik sekiranya kita bercakap mengenai sesuatu yang berfaedah tetapi kami ditegur
kerana kami sering berbanyak pelbagai perkara walaupun sewaktu aktiviti atau
tazkirah dijalankan. Oleh itu, di sini dapat saya ambil pengajaran ialah saya perlu
gunakan sikap suka bercakap ini ke jalan yang betul dan kurangkan bercakap
apabila berada di dalam sesuatu majlis ilmu. Guru merupakan teladan yang baik
kepada pelajar. Disebabkan itu, saya perlu berubah supaya murid-murid saya kelak
tidak akan bercakap sewaktu majlis ilmu sedang berlangsung.
Penambahbaikan untuk diri saya ialah saya perlu meningkatkan lagi disipplin
dalam diri agar matlamat yang dirancangkan dapat dicapai dan dapat menepati
masa yang telah ditetapkan. Saya juga perlu menguasai semangat kepimpinan yang
tinggi supaya saya dapat menjadi barisan pendidik yang boleh memimpin generasi
akan datang dengan baik. Perancangan yang lebih awal juga amatlah perlu dan saya
perlu menguruskan masa saya dengan baik.

Cadangan saya untuk memastikan program ini dapat memberi kesan yang
mendalam kepada guru pelatih ialah banyakkan aktiviti yang memerlukan guru
pelatih tampil ke hadapan untuk bercakap kerana ini akan dapat memupuk
keyakinan guru pelatih. Di samping itu juga, aspek kerohanian seperti tazkirah,
Qiamullai dan sebagainya perlulah ditambah lagi agar guru pelatih dapat mendalami
agama dengan lebih mendalam. Aktiviti-aktiviti yang menguji tahap kecergasan
fizikal guru pelatih juga perlu ditambah supaya guru pelatih akan sentiasa cergas dan
mampu untuk menjadi seorang guru yang aktif dan kreatif dengan idea-idea baru.

Kesimpulannya, tugas seorang guru bukan hanya di dalam kelas tetapi guru
juga berperanan dalam kehidupan para pelajarnya dan mereka perlu membentuk
pelajar mereka untuk menjadi seorang insan yang berguna. Setiap apa yang
dilakukan oleh guru perlulah mulia dan berfaedah kerana guru merupakan role model
kepada pelajarnya. Guru diibaratkan sebagai seorang peniaga manakala pelajarnya
pula sebagai seorang pelanggan. Oleh itu, peniaga itu perlulah menjaga
pelanggannya dengan baik agar pelanggannya itu tidak lari dan pergi kepada
peniaga yang lain.

Seseorang guru yang sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan kualiti


pengajarannya dan sentiasa mementingkan kejayaan dan kebajikan murid-muridnya
dikatakan mempunyai "profesionaliti" yang tinggi. Dengan kata lain, guru itu melihat
perguruan dan tugasnya bukan semata-mata sebagai satu "pekerjaaan" tetapi
sebagai satu "profesion" yang bermatlamat melahirkan pelaja yang mampu berjaya
dengan baik dalam hidup mereka.

Program Bina Insan Guru ini amatlah penting kerana melalui program ini,
banyak input yang berguna dapat dipelajari oleh para guru pelatih untuk menjadi
seorang guru yang cemerlang.
Isi kandungan
Pengenalan

Laporan reflektif

i. Aktiviti kembara
ii. Aktiviti air
iii. Pidato spontan
iv. Tazkirah
v. Latihan dalam kumpulan (LDK)

Penilaian kendiri

Lampiran

i. Gambar aktiviti
ii. Buku program
iii. Jadual program

También podría gustarte