Está en la página 1de 14

1

PROF HAMKA DAN CABARAN PEMBAHARUAN


Prof Madya Dato Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin
Kehendak kepada pembaharuan atau tajdid merupakan satu fonomena biasa
dalam kehidupan manusia. Ia berlaku terutama apabila sesuatu keadaan menjadi
tepu, atau keadaan yang sedia ada sudah tidak sesuai, atau keadaan yang ada itu
salah atau tersasar dari landasan yang sepatutnya.
Pembaharuan adalah proses yang sentiasa berterusan dalam kehidupan
manusia. Ia berlaku dalam pelbagai bidang kehidupan, dari jenis makanan, pakaian,
tempat tinggal, muzik, teknologi dan sebagainya. Manusia sama suka atau tidak,
sedar atau tidak, rela atau tidak pembaharuan akan terus berlaku. Ia berlaku dalam
urusan kehidupan harian (daily life) dan juga dalam urusan keagamaan. Ia tidak
terbatas kepada sempadan bangsa atau agama tertentu sahaja, tetapi adalah yang
rentas sempadan bangsa, agama dan tempat.
Maka proses pembaharuan, biasanya tidak dapat dihalang. Cumanya, proses
itu kadang-kala mengambil masa yang singkat, kadang kala mengambil yang lama. Di
sinilah datang peranan golongan mujaddid atau revivalist dalam menyegerakan dan
memimpin proses pembaruan dalam pelbagai bidang.
Cabaran
Antara perkara yang paling buruk yang getir dalam perbaharuan ataupun
tajdid dalam agama ini ialah wujudnya sesetengah golongan agama itu sendiri yang
menghalang orang lain berfikir atau memahami agama selain dari apa yang mereka
fahami. Jika fikiran mereka itu lemah, mereka bimbang orang lain berfikir lebih baik
nanti akan dianggap mencabar fikiran mereka. Jika fikiran baik, mereka pula enggan
jika wujud keperbagaian fikiran yang baik dalam kalangan umat Islam nanti akan
dianggap orang lain pun setaraf mereka. Ini mempunyai kaitan dengan persoalan
kuasa agama seperti yang saya sebutkan dalam beberapa artikel saya. Segala usaha
dan percubaan kepada pembaharuan (renewal) akan dianggap sebagai musuh,
kurang ajar, biadap, tidak hormat orang tua-tua dan seumpamanya. Atau, mereka
mungkin melebel pihak yang cuba memberikan pandangan yang berbeza dengan
mereka dengan berbagai-bagai istilah. Ramai mereka yang cuba melakukan
pembaharuan dalam sejarah melayu dimusuhi dan diberikan berbagai tuduhan.
Inilah yang menimpa tokoh-tokoh pembaharuan Nusantara termasuk Prof Hamka
yang terkenal dengan sumbangan kesarjanaannya, Zaba yang dianggap sebagai
Bapa Persuratan Melayu, Syeikh Tahir Jalaluddin tokoh reformis progresif dan ahli
falak, Syed Syeikh al-Hadi tokoh moderate muslim yang berjasa memajukan
pendidikan orang melayu, begitu juga muridnya Dr Burhanudin al-Helmi yang
menjadi tokoh politik tanahair dan lain-lain.
2

Dicop
Nama-nama yang disebutkan itu pada zaman mereka menghadapi tuduhan
yang berbagai terutama dicop sebagai kaum muda atau wahabi atau sesat atau
menentang mazhab. Usaha-usaha pembaharuan mereka ditentang. Pendeta Zaba
hari ini disanjung sebagai tokoh cendiakawan melayu tapi pada hayat diharamkan
tulisan ucapan dan tulisan di banyak negeri. Tokoh-tokoh traditionalis Perak pernah
menggunakan Sultan Perak untuk mengharamkan tulisan beliau. Zaba pernah
menyebut: Maka hanyalah pada zaman-zaman yang akhir semenjak beberapa ratus
tahun yang lalu ini sahaja orang-orang alim Islam hampir-hampir semuanya di serata
dunia tidak lagi mempunyai semangat kesendirian kebolehan dan kelayakan untuk
berbuat seperti pelopor-pelopor mereka yang dahulu kala itu. Ya, jika dicari sangat
sedikit boleh didapati yang tahu dan boleh bersendiri, atau berani bersendiri;
melainkan di mana-mana pun akan didapati mereka itu hanya biasa tertaklid sahaja
dan kebanyakan daripada itu pula ialah bertaklid buta! Malangnya jika ada siapa-
siapa yang mencuba berbuat seperti pakar-pakar Islam dahulu kala itu - iaitu
melepaskan diri daripada kongkong taklid dan balik kepada Quran dan Hadis dengan
kehendak-kehendak zaman dan hal-hal keadaan yang telah berubah sekarang - maka
terus dilempar mereka akan dia dengan kata-kata yang tidak selayaknya seperti
sesat dan menyesatkan, memandai-mandai, membawa bidaah, mengubah-ngubah
daripada jalan yang telah diatur oleh pakar-pakar dahulu kala itu (nenek moyang),
tidak ada rupa hendak melebih daripada orang dahulu-dahulu dan berbagai-bagai
lagi. Yang betulnya duduklah juga membeku di tempat yang ada itu!! Mungkin juga
kerana mereka sendiri tiada upaya membuatnya maka mereka tiada suka kalau ada
orang lain pula dapat berbuat
1
.
Dua Pembaharuan Yang Sukar
Setiap pembaharuan biasa mendapat tentangan dari pengamal tradisi atau
pegangan yang sedia wujud dalam sesuatu masyarakat. Namun, dalam urusan
kehidupan biasa tidaklah begitu ditentang kerana biasanya ia tidak banyak mencabar
kepentingan pihak lain. Pembaharuan dalam reka bentuk pakaian (fashion design)
umpamanya, tidak akan mendapat tentang yang banyak. Ia lebih kepada soal pilihan
peribadi yang bukan bersifat prinsip. Cumanya, samada reka bentuk yang baru itu
mendapat tempat atau tidak, ia membabitkan soal kehendak pelanggan atau
market-demand. Ini selagi mana ia tidak membabit soal pengaruh dan kuasa politik
pihak lain.
Namun perubahan yang paling sukar adalah dalam dua bidang; pertama,
dalam bidang keagamaan. Kedua, dalam bidang politik. Ini kerana kedua bidang ini

1
Zaba, Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri, m.s 33, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka
2005
3

membabitkan kepentingan pihak yang berkuasa dan mempunyai kedudukan
istimewa dalam masyarakat yang sukar untuk dipisahkan.
Sebab itu dalam sejarah semua bangsa dan agama, usaha pembaharuan
dalam dua bidang ini sering memakan korban yang banyak. Jika kita baca cabaran
usaha pembaharuan yang dilakukan oleh Martin Luther (1482-1546M)
2
yang
mengasaskan Mazhab Protestan dalam Kristian, amat besar dan hebat. Kebangkitan
beliau mencabar ajaran dan kuasa Pope atau Katholik mendapat tidak balas yang
menakutkan. Gerakan pembaharuan yang dikenali sebagai Protestant Reform
dianggap sebagai Christian Reform Movement yang terbesar dalam sejarah Kristian
dan Eropah. Ramai yang menjadi korban dan Martin Luther sendiri hampir dibunuh.
Demikian juga pembaharuan dalam politik. Ramai yang menjadi mangsa atau
terkorban. Mereka itu sekalipun bukan muslim, tetapi terpaksa juga membayar
harga pembaharuan dengan bayaran yang mahal. Pengorbanan hidup dan keperitan
perjuangan terpaksa direntasi. Orang yang seperti Nelson Mandela sanggup
dipenjarakan demikian lama untuk mengubah lanskap politik negaranya. Dalam
bukunya Long Walk to Freedom
3
beliau mencatatkan misi dan kepayahan
perjuangannya.
Ramai lagi mereka yang bukan muslim sanggup berkorban atas prinsip-
prinsip kemanusiaan yang mereka yakin. Maka, apakah wajar kita yang muslim tidak
menyumbang kea rah tajdid atau pembaharuan yang sememangnya merupakan
titah Allah dan rasulNya.
Gabungan Kuasa Agama Dan Politik

2
Beliau adalah theologian Kristian di German. Professor theology di Wittenberg. Bangkit menentang
apa yang disifatkan penyelewengan, bidah, salahguna kuasa dan pelbagai kesalahan lain yang
merebak dalam ajaran Kristian ketika zamannya. Sehingga akhirnya, terasasnya Mazhab Protestan.
3
Antara yang menarik beliau sebut: It was during those long and lonely years that my hunger for the
freedom of my own people became a hunger for the freedom of all people, white and black. I knew as
well as I knew anything that the oppressor must be liberated just as surely as the oppressed. A man
who takes away another man's freedom is a prisoner of hatred, he is locked behind the bars of
prejudice and narrow-mindedness. I am not truly free if I am taking away someone else's freedom,
just as surely as I am not free when my freedom is taken from me. The oppressed and the oppressor
alike are robbed of their humanity. (Mandela, Long Walk to Freedom, 617. South Africa: Macdonald
Purnell).

4

Untuk menahan arus perubahan atau reform yang boleh menjejaskan
kepentingan kuasa dan pengaruh yang dimiliki, maka dalam sepanjang sejarah
golongan agama dan politik saling bergantung antara satu sama lain dalam
memastikan survival kuasa dan aliran yang dipegang. Maka, sering kali orang politik
menggunakan orang agama untuk mengukuhkan kuasa mereka, dan golongan
agama pula menggunakan orang politik untuk mengukuhkan pengaruh, kedudukan
dan sekaligus aliran kefahaman yang dipegang.
Saya pernah jelaskan, politik adalah penguasaan terhadap rakyat.
Penguasaan yang paling kuat adalah apabila seseorang pemimpin berjaya menguasai
kepercayaan, jiwa dan perasaan rakyat. Sehinggalah apabila iman rakyat dikuasai
olehnya, dia bererti benar-benar menguasai rakyat. Mengaitkan diri pemimpin
dengan Tuhan atau pegangan agama adalah faktor terkuat untuk rakyat taat dan
setia tanpa berbelah bahagi terhadap seseorang pemimpin. Sebab itu, ramai
pemimpin tanpa mengira agama akan mengaitkan dirinya dengan agama tertentu
apabila dia dapati pengaruhi agama tersebut kuat menguasai rakyatnya. Dakwaan
diri sebagai tuhan atau jelmaan Tuhan adalah termasuk dalam usaha menguasai
jiwa dan perasaan rakyat atau menguasai iman rakyat. Begitulah juga penonjolan
ciri-ciri agama seperti membawa orang agama menyokong atau berdoa atau
berdampingan dengan sesebuah kepimpinan politik itu kadang-kala atas tujuan
sedemikian.
Maka, sikap pemimpin atau raja menonjolkan unsur-unsur agama atau
hubungannya dengan ahli-ahli agama mempunyai berbagai andaian; boleh jadi atas
kesedaran dan kecintaan serta ikhlas kepada agama atau Tuhan, tetapi boleh jadi
juga ada tujuan yang membabitkan agenda penguasaan politiknya.
Rentetan dari itu, kita hendaklah sedar bahawa seseorang yang diberikan
kepercayaan oleh orang ramai disebabkan faktor agama, dia sebenarnya telah
memiliki sebahagian dari kuasa penguasaan terhadap orang lain. Ertinya, dia
mempunyai sebahagian penguasaan politik atau kuasa yang menyebabkan orang
lain hormat, patuh dan menurut arahannya. Maka jangan hairan jika ada orang
agama yang bersaing antara satu sama lain seperti mana orang politik bersaing.
Jangan hairan jika ada imam yang senior tidak mahu memberi laluan kepada imam
junior di sesebuah masjid yang hanya berada di hulu kampong. Walaupun kadang-
kala tiada elaun yang tinggi yang dibayar, namun pengaruh politik agama amat
besar harganya bagi seseorang yang terbiasa dengan kuasa penguasaan ke atas
orang lain. Itu jika di hulu kampong, bagaimana pulak jika membabitkan tempat,
atau wilayah yang lebih besar?! Maka janganlah hairan, jika tanpa keikhlasan iman
golongan agama juga akan bertarung dan jatuh menjatuh sama seperti orang politik.
Bukan kerana perbezaan idea atau pemikiran semata, tetapi kerana kemaruk kuasa
seperti mana yang berlaku kepada ramai orang politik yang tidak bersandarkan
5

wahyu. Mereka pun akan menghapuskan apa sahaja yang boleh mengikis
penguasaan mereka. Kata Sufyan al-Thauri (meninggal 161H):


Aku tidak melihat kezuhudan itu paling kurang melainkan dalam perkara
kepimpinan (kuasa). Engkau akan dapati seseorang yang zuhud dalam makanan,
minuman, harta dan pakaian tetapi apabila tiba soal kuasa maka dia akan
mempertahan dan bermusuhan kerananya
4
.
Justeru itu juga, kita melihat bukan sedikit golongan agama yang cuba
mendampingi pemerintah atau raja. Perdampingan mereka itu boleh jadi kerana
keikhlasan untuk menerapkan nilai-nilai agama dan keadilan demi kebaikan rakyat,
tetapi boleh jadi juga kerana tujuan untuk menguatkan penguasaan mereka
terhadap masyarakat dan rakyat.

Hamka
Hamka ataupun nama penuhnya Haji Abdul Malik bin Abdul Karim bin Amrullah lahir
di Sumatera Barat pada 17 Februari 1908. Beliau kembali ke rahmatullah pada 24
Julai 1981 di Jakarta.
Nama asal ayahnya ialah Rasul namun setelah pulang dari Mekah ditukar
kepada Haji Abdul Karim kerana menurut adat yang dipakai ketika itu apabila
seseorang sudah menunaikan haji diberikan nama baru
5
.
Ayahanda beliau seorang ulama yang belajar di Mekah, kemudian pulang ke
Sumatera menjadi pejuang islah di tanahairnya.

Anak Seorang Pejuang
Ayah Hamka, Tuan Rasul
6
yang kemudian memakai nama Haji Abdul Karim
itu bangkit membantah amalan Tarikat Naqsyabandiyah di tempat. Sekalipun
ayahnya sendiri (datuk Hamka) merupakan antara tokoh tarikat berkenaan
7
.

4
Al-Zahabi, Siyar Alam al-Nubala, 7/262, Beirut : Muassasah al-Risalah.
5
Lihat: Prof Hamka, Ayahku, m/s 104. Selangor: Pustaka Dini 2007.
6
Gelaran masyarakat kepada beliau.
7
Ibid, m/s 108.
6

Hamka meriwayatkan kisah debat ayahnya dengan ulama-ulama tua Padang seperti
yang diceritakan kepada Hamka murid ayahnya Tuanku Syeikh Abbas:
Setelah dimesyuaratkan dengan secara halus, diadakanlah oleh Haji Jamil Kampung
Pondok Padang, suatu jamuan makan di rumahnya. Dipanggillah ulama-ulama
Padang yang ternama, iaitu Tuan Syeikh Khatib Ali, Khatib Sayidina, Tuanku Syeikh
Bayang, Tuanku Syeikh Seberang Padang dan Imam Masjid Ganting. Dari pihak kami
hadir Ammi Daud, saya sendiri (Tuanku Syeikh Abbas), Haji Abdullah Ahmad dan Haji
Abdulkarim Amrullah. Sehabis makan bersuka-suka, barulah Haji Jamil meminta
fatwa kepada ulama yang hadir untuk menjadi pegangan hidupnya iaitu tentang
Tariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah yang sekarang banyak menjadi perbincangan.
Kerana ulama-ulama telah lengkap hadir dia meminta fatwa daripada mereka
tentang boleh atau tidaknya Tariqat itu.
Semua ulama yang hadir saling memandang hendak menjawab. Kami golongan yang
telah berpegang dengan pendirian Syeikh Ahmad Khathib berdebar-debar menanti
pendirian dari 'Tuan Rasul' (panggilan kepada ayah Hamka). Akhirnya kerana masih
bertolak-tolakkan hendak menjawab itu, beliau pun tidak sabar lagi. Beliaulah yang
terlebih dahulu menyatakan pendirian bahawasanya merabithahkan guru dalam
melakukan suluk itu tidak ada asal pada Syariat. Kaifiat-kaifiat yang dibuat penganut-
penganut Tariqat itu tidak ada yang berasal dari Nabi Muhammad (s.a.w). Suaranya
lantang dan tegas. Bukan main gembira kami mendengar keterangannya itu. Haji
Jamil selalu pula mengemukakan bantahan seakan-akan mempertahankan Tariqat.
Tetapi setiap bantahan yang didatangkan ditolaknya pula dengan hujah yang tegas.
Akhirnya ulama-ulama tua tadi tidak dapat menahan hatinya, lalu tampil
mempertahankan Tariqat. Satu demi satu mereka itu ditentang oleh Tuan Rasul
dengan hujahnya yang kuat dan suaranya yang lantang, apatah lagi kalau beliau
tersinggung, beliau lekas marah. Tetapi marahnya itu bukanlah menghilangkan
akalnya, melainkan penambah kuat hujahnya dan hebat tangkisannya apabila
diserang.
Kira-kira pukul 12 tengah malam terlanjurlah dari mulutnya perkataan : "Anak kecil
yang baru belajar alif-ba-ta pun dapat memahami keterangan saya itu".
Perkataan yang agak kasar ini amat menyinggung ulama-ulama tua tadi. Sampai
salah seorang di antara mereka berkata : "Sedangkan saya yang telah tua ini lagi
tidak dapat mengerti apa yang Haji katakan itu, apatah lagi anak kecil".
Lantaran perang mulut yang demikian, suasana sudah menjadi amat panas dan telah
berkisar dari pertukaran fikiran ilmiah menjadi kemarahan. Ulama-ulama tua tidak
lagi mempunyai hujah yang kuat untuk mempertahankan Tariqat. Kami yang
membantah Tariqat hanya sedikit-sedikit sahaja lagi yang bicara. Yang banyak
7

mengeluarkan alasan ialah Tuan Rasul. Kami merasa gembira benar malam itu.
Tetapi melihat mereka sudah panas, seorang yang hadir mengusulkan supaya
pertukaran fikiran ditangguhkan pada pukul 9 pagi esok, di rumah Haji Jamil di
Pondok itu juga. Kedua belah pihak bersetuju dan majlis pun bersurai dalam suasana
yang kurang jernih.
Tetapi rupanya pada malam itu juga, ulama-ulama tua di Padang tadi sudah
membuat cara yang lain. Dikatakan bahawa ulama-ulama muda dari Darat hendak
mengacau di Padang dan mencuba hendak mengalahkan ulama Padang. Orang-
orang parewa anak Padang disuruh berkumpul dan kalau perlu ulama-ulama muda
dari Darat itu diberi ajaran yang setimpal!
8

Ini bukan bererti Hamka ataupun ayahnya menolak Tasawuf, namun ilmu
tasawuf yang diterima ialah yang berteraskan al-Quran dan as-Sunnah yang bebas
dari karut marut yang tiada asalnya dari dua sumber yang agung itu. Hal ini disebut
oleh Hamka: ..yang penting ertinya untuk menentukan persimpangan jalan di
antara tasawuf yang asli menurut sunah, dengan tasawuf yang sudah bercampur
aduk dengan perbuatan yang membawa kepada wasilah, iaitu mengadakan
perantaraan di antara seorang hamba dengan Tuhannya, dengan tasawuf yang tetap
berpegang pada pengkalan Tauhid, iaitu mengadap Tuhan secara langsung, tidak
melalui perantaraan
9

Prof Hamka menceritakan pendirian ayahnya ketika kematian atuknya yang
terpaksa menghadapi adat yang tidak berasal dari ajaran Islam. Kata Prof Hamka:
Sebagai anak yang mencintai ayah, beliau turut bersama saudara-saudaranya yang
lain memandikan ayahnya, bersama-sama juga adik ayahnya (amminya). Tetapi
setelah penghulu-penghulu dan ulama-ulama, tuanku-tuanku dan lebai-lebai di
seluruh Danau memutuskan hendak mengadakan kenduri kerana kematian itu,
beliau menyatakan pendirian yang tegas, bahawa kenduri kerana kematian adalah
haram dalam agama, wahsyah namanya. Sama hukum dengan meratap. Yang
berasal dari agama hanyalah jika orang pergi menjenguk kematian membawa
makanan untuk orang yang tengah ditimpa dukacita itu, sebaiknya makanan
dimasak. Fatwa ini dilancarkannya disuraunya di Muara Pauh
10
.
Dalam suasana yang penuh semangat dan melalui pelbagai rintangan, Hamba
membesar sebagai anak seorang dai yang berusaha melakukan islah dalam
masyarakatnya.


8
Ibid m/s 110-112.
9
Ibid m/s 114.
10
Ibid m/s 117.
8

Semangat Ayah
Semangat perjuangan ayahnya menyerap masuk ke dalam jiwanya. Ini dapat
kita lihat apabila Prof Hamka menceritakan pengalaman ayahnya dengan penuh
semangat.
Umpamanya, ketika Prof Hamka mencerita bagaimana ulama-ulama tua
(istilah digunakan Hamka) menentang kedatangan ayahnya ke Tanah Melayu pada
tahun 1916. Kedatangan ayahnya ditentang oleh mufti-mufti Tanah Melayu. Hamka
memetik kata-kata ayahnya: Menjadi mufti dalam kerajaan-kerajaan melayu itu
sangatlah megahnya. Memakai pakaian rasmi yang pakai polet, berpisang sesikat di
bahu, jubah berukir-ukir benang emas, dan serban dari sutera dan berkereta sendiri.
Rakyat pun sangat takut dan taat, sisanya dimakan, sepah sirihnya dikunyah, dan
kalau beliau ingin hendak kahwin bismillah.
Seterusnya Prof Hamka mengulas: Sebelum beliau datang telah keluar fatwa
Syeikhul Islam (gelaran mufti-pen) itu menyatakan bahawa akan datang ke mari
seorang ulama yang sesat lagi menyesatkan, wahabi, kaum muda, tidak percaya
kepada ulama-ulama dan keluar dari mazhab SyafiI
11
.
Prof Hamka juga menceritakan bagaimana beliau nekad seperti ayahnya:
Bahkan seketika terjadi pertemuan ulama Sumatera-Malaya yang diadakan Jepun
pada tahun 1943 di Singapura, sengaja beberapa orang ulama Singapura menemui
kami sebelum ke perjumpaan di mulai, menyatakan bahawa sekali-kali jangan
dibawa ke mari fahaman-fahaman yang keluar dari Mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah
dan keluar dari Mazhab Syafii. Ketika ada kawan-kawan yang nakal memberitahu
bahawa saya anak Haji Rasul, mata ulama itu melotot serupa biji rambutan melihat
saya dan saya pun jadi nekad pula sebagai mana nekadnya ayah saya. Takut benar
ulama-ulama di sana pada waktu itu bahawa Mazhab Syafii akan berubah lantaran
Kaum Muda Sumatera atau Muhammadiyyah di Jawa...alangkah sempitnya, perkara
pakaian pun mereka kaitkan dengan mempertahankan berfikir dalam satu
mazhabtidak hairan, sebab feudalisme raja-raja di sana sebagai raja Islam,
bersandar kepada ulama kolot yang mengutamakan taklid kepada ulama supaya
rakyat taat kepada ulama, ertinya kepada raja, erti kepada Inggeris!
12

Rintangan Fitnah
Memang apabila orang kehabisan hujah dan alasan, mereka pun kembali memakai
perkakas fitnah. Dan inilah yang menyebabkan pecah belah umat Islam, berkaum
tuan berkaum muda. Bagi kami yang dikatakan kaum muda itu tidaklah keberatan
jika dituduhkan Wahabi. Kalau 20 atau 30 tahun yang lalu semasa pengetahuan

11
Ibid m/s 160
12
Ibid m/s 162.
9

agama hanya boleh dipercayai oleh mufti-mufti sahaja, mungkin orang takut
dikatakan Wahabi. Tetapi sekarang orang telah tahu bahawa Wahabi tidak lain
adalah daripada penganut Mazhab Hanbali dan memang mazhab Hanbali terkenal
mazhab yang keras mempertahankan sunah. Dan yang berpengaruh memperbaharui
faham Mazhab Hanbali itu ialah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah dan Ibnu Qayyim. Oleh
sebab itu bagi kami dituduh Wahabi bukanlah satu penghinaan.
13

Prof Hamka menceritakan bagaimana strategi fitnah yang dilalui oleh gerakan
pembaharuan yang didokong oleh beliau dan mereka yang lain.
Bersama dengan penghinaan kepada Wahabi, diperbuat pula buku-buku yang
memburukkan as-Sayyid Jamaluddin al-Afghani, dan as-Syeikh Muhammad Abduh,
dan al-Sayyid Rasyid Ridha. Yang sangat bersemangat membuat buku demikian ialah
al-Syeikh Yusuf bin Ismail al-Nabahani yang menjadi kadi di mahkamah Beirut dalam
Kerajaan Turki. Bukunya Shawahidul haq penuh dengan kata-kata yang penuh
dengan fitnah dan penghinaankitab-kitab seperti inilah yang sampai ke tangan
kaum-tua. Oleh kerana mereka biasa dengan taklid tidaklah mereka mahu membaca
pula kitab-kitab lain yang menerangkan pokok-pokok pendirian yang sebenar
daripada orang yang dihina dan dicela itu. Syeikh Yusuf al-Nabahani menyatakan
bahawa as-Sayyid Jamaluddin dan Syeikh Muhammad Abduh tatkala mati terjulur
lidah! Maka lekatlah kata-kata ini pada seluruh pembaca kitabnya. Syeikh Nabhani
tidak sanggup menerangkan apakah kesalahan beliau-beliau itu, melainkan
membuat fitnah yang tidak-tidak. Sampai as-Sayyid Rasyid Ridha dikatakan sama
dengan Abu Jahal. Sehingga orang yang otaknya telah beku dan fikirannya tidak
jalan, telah percaya kepada fitnah yang dibawa oleh al-Nabhani itu. Oleh kerana
ulama yang mula-mula melepaskan tauhid Islam yang suci daripada khurafat dan
bidaah mutasawwifin (kelompok sufi-pen) ialah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dan
muridnya-muridnya Ibnu Qayyim maka beliau-beliau inipun tidak pula lepas daripada
serangan. Segala kata yang bukan-bukan pula yang diperbuat atas diri beliau-beliau
itu. Memang apabila orang kehabisan hujah dan alasan, mereka pun kembali
memakai perkakas fitnah. Dan inilah yang menyebabkan berpecah-belah umat Islam,
berkaum tua berkaum muda
14
.
Isu Kaum Tua-Kaum Muda
Prof Hamka mengkritik gelaran Kaum Muda kepada golongan pembaharuan. Kata
Hamka: Menurut lughah yang dipakai dalam bahasa Arab dinamai Mazhab Salaf
dan salaf itu ertinya nenek moyang yang dahulu-dahulu. Lawannya ialah al-khalaf. Di
Mesir golongan Muhammad Abduh dinamai mazhab al-salaf, orang Wahabi di Tanah
Arab supaya dirinya juga Mazhab Salaf: ertinya semuanya Kaum Tua. Inilah suatu

13
Prof Hamka, Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor, 76-77. Selangor: Pustaka Dini 2009.
14
Ibid, m/s 76
10

pengertian yang salah yang berlaku di negeri kita selama 50 tahun. Maka tukang-
tukang bidaah, tukang khurafat, tukang menambah-nambah tiang agama atas
tiangnya yang asli sepatutnyalah digelarkan Kaum Muda. Dan yang hendak langsung
berpegang dengan asal dan hulu agama, sepatutnya bergelar Kaum Tua! Dan Kaum
Tua dan Kaum Muda di Indonesia dan Malaya dan Siam sudah taqlid saja erti yang
salah 50 tahun lamanya
15
.
Kata Hamka segala gelaran itu bukan sesuatu yang terbaik:
Adapun saya sendiri tidaklah keberatan didakwa (sebagai) Kaum Tua sebab yang
paling tua di dalam Islam ialah al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. yang muthiah
dikatakan Kaum Muda pun boleh sebab telah terbiasa begitu. Tetapi, jika saya
dikatakan (sebagai) orang Islam saja, tidak Kaum Tua, tidak Kaum Muda, itulah yang
lebih baik. Saya sefahaman dengan pangkal kata mufti (bahawa) tidak ada berkaum-
kaum seperti itu di dalam asal Islam.

Kata Hamka lagi: Kaum Muda (dan) Kaum Tua pun tidak dapat diukur pada umur.
Ada seorang tua yang umurnya telah 90 tahun dan wafat di dalam usia lebih 90
tahun. Di dalam usia setua itu, dia masih mengeluarkan Risalah Penebas Ke Atas
Bidah-Bidah Di Kepala Batas yang isinya menegakkan Sunnah Rasulullah s.a.w.
Dialah asy-Syaikh Tahir Jalaluddin. Ada (pula) seorang pemuda di bawah umur 20
tahun, padahal dia tidak mahu berpegang kepada Sunnah Rasulullah s.a.w.! Dia
hanya berkeras mempertahankan apa yang telah diterima daripada nenek
moyangnya! Tak mahu berganjak!
Siapakah antara kedua-duanya yang Kaum Tua? (Dan) siapa (pula) yang Kaum
Muda? Oleh sebab itu, pada hakikatnya, tidaklah ada faedahnya kita memakai segala
gelaran atau nama yang akan mendatangkan ragu-ragu atau perpecahan,
sebagaiman sabda Tuhan di dalam al-Quran, wala tanabazu bi-l-alqab, ertinya
janganlah kamu bersenda-senda pada gelaran-gelaran
16
.

Membela Perjuangan
Berkaitan dengan tajuk ini, ingin disentuh sepucuk surat Hamka yang panjang
lebar kepada Mufti Johor ketika itu, iaitu al-Sayyid Alwi bin Tahir al-Haddad. Surat itu
dinamakan Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor, sekarang telah dijadikan
sebuah buku yang dijual di pasaran. Surat ini sekalipun membabitkan persoalan yang
kadang-kala menyentuh soal sikap dan peribadi individu, namun ia penting untuk
dibaca sebagai pengajaran kepada mereka yang ingin membangunkan Islam.
Mempelajari sejarah lepas adalah panduan penting bagi kehidupan insan di hari ini

15
Ibid m/s 98
16
Ibid m/s 99.
11

dan akan datang. Sejarah jika tidak diingati untuk pengiktibran bak kata Winston
Churchill: History repeats itself because no one was listening the first time.
Membaca sejarah bukan bertujuan untuk mengungkit kesalahan orang yang lepas
atau sudah tiada, tetapi panduan dan juga peringatan untuk mereka yang masih
hidup kerana para pelakon di pentas sejarah itu datang dan pergi, tetapi watak yang
diwarisi tetap seiras. Al-Quran menceritakan sejarah penentang Nabi Musa a.s. dan
kerakusan Firaun, bukan untuk kita pergi Mesir menyokong Nabi Musa, atau bersiap
menentang Firaun Mesir. Mereka semua sudah tiada lagi dan hanya tinggal dalam
lembaran, tetapi watak perjuangan Musa dan kerakusan Firaun terus diwarisi zaman
berzaman. Maka kita wajib bersama dengan perjuangan ala Musa, dan menentang
kerakusan watak ala Firaun. Demikian al-Quran menceritakan tentang kisah Nabi
Yusuf a.s. dan adik-beradiknya, bukan untuk kita mengungkit kesalahan adik-beradik
Yusuf, tetapi pengajaran dan panduan untuk kita yang masih hidup.
Berbalik kepada surat Prof Hamka, dalam menghadapi pemikiran
pembaharuan pada zaman tersebut, Mufti Johor berkenaan telah mengeluarkan
kenyataan yang bercampur fitnah kononnya kelompok pembaharuan yang dituduh
sebagai kaum muda atau pun wahabi penyebab orang jadi sesat, anti-mazhab,
menolak ulama, terpengaruh dengan musuh Islam dan berbagai lagi. Kenyataan itu
dibuat menerusi akhbar pada 14 Julai 1958. Prof Hamka sekalipun dari Indonesia
mengambil tanggungjawab menjawab fitnah-fitnah tersebut. Kata Prof Hamka:
Melihat cara-caranya samahah al-mufti sebagai pembela kaum-tua di dalam
menghentam kaum-muda bagi beliau rupanya tidaklah mengapa memukul kaum-
muda dengan membuat fitnahsekarang samahah al-mufti rupanya memakai cara-
cara pula: matlamat menghalalkan cara. Asal saja kaum-muda dapat dipukul hancur
tidaklah mengapa berdusta..
17

Kata Hamka juga dalam surat tersebut: Maka orang tua yang dahulunya
berusaha keras mempertahankan gelaran itu dengan segala daya upaya, menuduh
sesat, zindiq, Wahabi, mulhid, orang tua itu sekarang masih hidup untuk
menyaksikan dengan kepalanya sendiri kemenangan yang sekian kalinya dari
gerakan kaum-muda! Akhirnya, semua orang hendak dikafirkannya
18

Katanya juga: Maka pengalaman kita sejak 50 tahun patutlah mennjadi
ikhtibar kita sekarang, banyak isi kitab yang tersembunyi dikeluarkan. Dan banyak
tumbuh masalah baru yang hendak kita kiasi dan kita tapis! Jangan marah tetapi
telek baik-baik, bicara dengan tenang. Kerana kalau disambut hanya dengan marah,
tentu yang mengeluarkan pendapat itu marah campur pula orang awam. Maka
bahas berganti jadi jidal, tumbuhlah permusuhan! Pengalaman 50 tahun jadi
pelajaran bagi kita. Hanya kucing saja yang tidak berubah kerana pengalaman

17
Ibid m/s 85.
18
Ibid m/s 48.
12

walaupun bermukim di Mekah 20 tahun. Memang ada juga orang yang tidak suka
berebut-rebut. Jangan buka-buka masalah baru. Biarkan orang tinggal bodoh seperti
dahulu dan kalau adapun fatwa dari mufti, hendaklah terima dengan: Naam! Tetapi
orang itu sudah sangat jauh ditinggalkan keretapi!
19


Dakwaan Tidak Hormat Ulama
Antara perkara yang sering dibangkit ketika itu ialah Kaum Muda tidak
menghormati ulama. Prof Hamka menjawab tuduhan ini dengan berkata: Kadang-
kala dikatakan Kaum Muda tidak hormat kepada ulama. Padahal yang mereka
katakan ulama itu bukanlah Imam Malik atau Imam Syafie, tetapi beberapa pegawai
kerajaan yang memakai serban dan jubah. Dan beliau pun merasakan dirinya ulama
kerana pada tangannya sudah ada surat tauliah
20

Seperti biasa, golongan yang tidak puas hati dengan gerakan pembaharuan
sering memutar belit maksud kelompok tajdid yang menyatakan tidak salah kita
melihat hukum dari berbagai mazhab dan tokoh. Mereka yang membantah itu
menganggap mengkritik pandangan itu sebagai menghina tokoh. Ini kerana sikap
kelompok agama berkenaan yang pantang dikritik dan menganggap seakan
pandangan tokoh agama kesemuanya mesti ditelan. Hal ini kita dapat lihat
kelangsungannya sehingga hari ini. Di mana akan ada kelompok yang menghalang
umat Islam untuk melihat sendiri teks asal perkataan-perkataan imam-imam
berkenaan bagi mengetahui apakah yang dikatakan pendapat mazhab itu benar-
benar dari imam berkenaan atau andaian semata. Juga untuk sendiri
membandingkan pandangan-pandangan mereka secara ilmiah dan membuat pilihan
yang terbaik. Kelompok ini akan membantah dengan seakan berkata: terima sahaja
apa yang kami beritahu, jangan sibuk yang menyemak yang asal! Jangan hendak
dibuat kajian perbandingan, terima sahaja apa yang kami cakap. Prof Hamka
menjawab hal ini dengan katanya:
Kedua, kata orang kami tidak menghormati ulama. Sebab mereka pun telah
memasukkan pula sebuah lagi tiang baru ke dalam Islam, iaitu wajib menghormati
ulama. Wajib taklid kepada ulama! Wajib taat kepada guru. Hal ini saya huraikan
dengan saksama, kaum muda amat hormat kepada: ulama. Kaum-muda insaf
bahawa pengetahuan yang kita dapat sekarang ini, manakan sampaikan ke tangan
kita kalau bukan lantaran ulama. Kami sangat patuh kepada ulama ikutan kita
keempat-empatnya: Imam Malik, Imam Syafie, Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad bin
Hanbal. Demikian cinta hormati kami kepada beliau-beliau sehingga kalau ada ulama

19
Ibid m/s 49.
20
Ibid m/s 66.
13

yang menjadi pengawal di luar yang mencuba-cuba menghalangi kami buat bertemu
dengan pendapat-pendapat beliau-beliau, kami sirwak (memalukan) apa ulama lain
itu, dan kami berkata kepinggirlah engkau! Kami hendak bertemu dengan beliau
keempat-empatnya (imam empat) menyuruh kami meneruskan perjalanan ke atas,
ke hulu agama: kepada al-Kitab dan as-sunnah dan keterangan-keterangan yang
diberikan oleh orang yang terdekat kepadanya, iaitu sahabat-sahabat Rasulullah.
Padahal tatkala kami masih di muara-muara, banyak benar yang menghalangi.
Datang syeikh fulan dan sudah jauh di bawah mutaakhirin (kebelakang), bahkan
mutaakhiril mutaakhirin (kebelakang dari yang belakang) melarang keras! Jangan
pergi ke hulu. Jangan! Haram! Padahal kami tidak mahu dihalang-halangi lagi. Maka
dituduhlah kami sesat, siapa kita yang sesat?
21

Berikut Prof Hamka menjawab tuduhan kononnya kelompok pembaharuan
tidak menghormati guru-guru agama yang sedia ada. Kata Hamka: Alhasil bagi kami
ijtihad itu harus digalakkan dan bagi kaum tua pula taklid dijadikan tiang agama
dan kalau kami bantah taklid, dikatakan kami merosakkan tiang agama. Kadang-
kadang dituduh kaum-muda tidak hormat kepada guru. Lantaran itu dikata pula
merosak tiang-tiang agama. Yang sebenarnya kami hormat kepada guru dan hormat
kepada ibubapa. Sebagai juga saudara-saudara muslimin yang lain. kedudukan guru
sama dengan kedudukan ibubapa wajib dihormati dan dimuliakan. Tetapi kalau guru
itu silap jalannya, maka sebagai tanda kami hormat ialah kami tegur, dan jika
dibawanya dengan sengaja atau tidak dengan sengaja kepada yang salah, kami tidak
akan menurut.
22

Tidak Hormat Kaum Sayyid
Kata Hamka: Disiarkan berita bahawa Kaum Muda membenci ahlu bait, tidak
hormat kepada kaum sayyid, zuriat Rasul
23

Berkaitan kaum sayyid, Prof Hamka mengkritik keras dakwaan Ibn Arabi iaitu tokoh
rujukan sebahagian besar golongan tarekat yang menyatakan kita hendaklah
menerima apa sahaja yang dilakukan oleh mereka yang berketurunan Nabi s.a.w.
atau kaum sayyid kepada kita. Kata Prof Hamka: Tegasnya menurut fatwa Ibn Arabi
ini kalau bangsa sayyid atau habib mengambil harta-benda kita hendaklah redha,
hendaklah serahkan, hendaklah sabar, kalau diganggunya diri kita ditamparnya,
dipukulnya hendak redha, hendaklah menyerah, hendaklah sabar. Sebab beliau cucu
nabi kita dan kalau diganggunya kehormatan kita sehingga kita jadi malu, hendaklah
redha, hendaklah menyerah, hendaklah sabar, kalau diganggu anak isteri kita dan
kaum keluarga kita, hendaklah terima dan redha dengan menyerah dan sabarmaka

21
Ibid m/s 63.
22
Ibid m/s 65.
23
Ibid m/s 67
14

perkataan Ibn Arabi ini ditanamkanlah kepada orang awam. Padahal sangat
membawa hinanya sesetengah manusia di hadapan yang setengahnya, sehingga
lebih hina mereka daripada budak yang telah sepuluh kali dijual dan sepuluh kali
berganti tuan. Walaupun hartanya atau dirinya bahkan walaupun anak gadisnya
diganggu oleh ahli bait, zuriat Rasul, dia menyerah saja dan wajib memandang itu
sebagai nikmat sesudah iktisadnya dann hidupnya dijajah oleh British dan Belanda
dan Cina, maka jiwanya pula wajib dijadikannya sebagai budak dan jajahan kepada
kaum sayyid
24


Penutup
Kertas ini hanya menyebut secebis dari pengalaman Prof Hamka dalam melayari
perjuangan pembaharuan di Indonesia dan Nusantara. Sesiapa yang membaca
tulisan dan karya beliau akan terasa bahang semangat pembaharuan itu dalam jiwa
Prof Hamka. Tanpa mengetahui latar fikir Hamka, seseorang mungkin tidak
memahami apa yang tersirat dan tersurat dalam karya-karya beliau.



24
Ibid m/s 72.

También podría gustarte