Está en la página 1de 4

Agama Boleh Bendung Cubaan Bunuh Diri

18 Mac, 2009 12:26 PM

Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Krisis bunuh diri mungkin menimpa individu
yang mengalami penderitaan emosi atau fizikal.

Bagi golongan ini, mereka tidak lagi sanggup menanggung penderitaan atau yakin tidak
ada lagi jalan penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapi. Mereka juga mungkin
merasakan masalah itu tidak akan berakhir.

Demikian pandangan Dr Nor Hayati Ali, penyiasat utama Daftar Bunuh Diri Kebangsaan
Malaysia (NSRM). Beliau juga merupakan pakar perunding dan ketua Jabatan Psikiatri
dan Kesihatan Mental, Hospital Kajang.

Dr Nor Hayati menjelaskan bahawa individu yang sudah tidak sanggup menanggung
penderitaan berada dalam situasi di mana penderitaan emosi atau fizikal sudah sampai
kepada paras yang dia tidak lagi sanggup menahannya.

"Bagi golongan ini mereka percaya tidak ada jalan penyelesaian bagi derita emosi atau
fizikal yang dialami, mereka sudah tidak nampak jalan keluar untuk merungkai masalah
yang mendatangkan penderitaan kepada mereka.

"Individu yang mengalami derita emosi atau fizikal yang agak lama pula menjangka
keadaan yang mendatangkan penderitaan tidak akan berubah dengan sendiri.

"Ini mencerminkan rasa putus asa yang juga pencetus risiko bunuh diri," kata Dr Nor
Hayati dalam wawancara dengan Bernama di pejabatnya di Hospital Kajang baru-baru
ini.

PERANAN AGAMA

Pakar psikiatri ini berpendapat pegangan agama dan keimanan individu boleh melindungi
seseorang itu daripada terdorong untuk membunuh diri.

"Agama menekankan tingkah laku yang soleh dengan kepercayaan bahawa Tuhan akan
sentiasa bersama kita dalam apa jua keadaan. Ini sudah tentunya menjadi penawar kepada
sebarang perasaan kecewa atau putus asa.

"Bagaimanapun, sekiranya seseorang pesakit itu mengalami kecelaruan mental atau satu
kejadian kehidupan yang amat hebat, ini mungkin akan menjejaskan kemampuannya
untuk membuat pilihan," jelasnya.

Pada peringkat ini, kata Dr Nor Hayati, anggota keluarga, kawan rapat serta masyarakat
mempunyai peranan utama untuk memastikan individu berkenaan tidak merasa terpinggir
atau disisih.

"Individu ini amat memerlukan perhatian dan bantuan segera," katanya.

MENCEGAH BUNUH DIRI

Dr Nor Hayati menjelaskan seterusnya bahawa kajian telah menunjukkan satu daripada
kaedah pencegahan bunuh diri yang berpotensi yang boleh diketengahkan dikenali
sebagai latihan 'gatekeeper'.

'Gatekeepers', katanya adalah mereka yang mungkin bertembung atau bersemuka dengan
individu yang mahu membunuh diri, dalam urusan kerja mereka seharian seperti pegawai
polis, guru agama, pegawai penjara, guru dan kakitangan sekolah, pekerja kebajikan dan
doktor.

Sering kali, individu berkenaan menerima latihan yang sedikit atau tidak mendapat
sebarang latihan khusus dalam mengenal pasti risiko bunuh diri dan bagaimana mereka
boleh membantu individu tertentu.

"Latihan Gatekeeper ini bukan sahaja membabitkan maklumat mengenai cara menilai
risiko serta pengendalian segera individu yang mempunyai naluri bunuh diri.

"Ia juga secara umumnya menyediakan maklumat mengenai perujukan serta bantuan
yang boleh diperoleh daripada perkhidmatan lain dalam kalangan masyarakat mereka,
termasuk rawatan untuk kemurungan, ketagihan arak dan penyalahgunaan najis dadah,"
katanya.

Dr Nor Hayati turut memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan telah mengambil


langkah-langkah perlu ke arah pencegahan bunuh diri, satu daripadanya ialah dengan
menggalakkan pihak media supaya menyiarkan laporan yang lebih bertanggungjawab.

"Individu yang mungkin terdahulunya pernah menyimpan niat untuk membunuh diri
tetapi menukar fikiran apabila memikirkan kesan negatifnya, boleh terpengaruh apabila
melihat satu-satu kes bunuh diri yang dipaparkan oleh media dengan begitu hebat,
seolah-olah tindakan membunuh diri itu diterima media," katanya.

Fenomena ini dipanggil sebagai "peniru bunuh diri" atau "kesan berjangkit".

Oleh itu adalah amat penting bagi akhbar tidak menjadikan bunuh diri sebagai satu berita
sensasi atau menyiarkan laporan yang terlalu terperinci mengenai kes cubaan bunuh diri
atau kes bunuh diri, katanya.

MINDA ANDA KESIHATAN ANDA

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendefinisikan kesihatan sebagai keadaan


lengkap fizikal, mental dan kesejahteraan sosial dan bukan semata-mata tiada penyakit.

Justeru, menurut Dr Nor Hayati, kesihatan mental yang merujuk kepada fungsi minda
adalah komponen penting kesihatan seseorang individu.

"Individu yang mempunyai kesihatan mental yang baik sering merasa seronok dengan
dirinya. Mereka juga merasa senang dengan orang lain termasuk dalam jalinan hubungan
peribadi serta mampu memenuhi tuntutan hidup," jelasnya.

Beliau berkata individu yang mempunyai kesihatan mental yang tidak memuaskan
biasanya merasa tidak gembira, berada dalam keadaan lemah dan sangsi dengan
kehidupan semasa juga masa depan mereka.

Katanya individu itu juga mempunyai rasa harga diri yang rendah di samping merasa diri
terpinggir daripada masyarakat.

Individu-individu berkenaan juga merasa terhimpit dengan kejadian kehidupan yang


buruk dan sering merasa tekanan hidup yang tidak dapat dikawal.

"Kemurungan adalah penyakit fizikal yang menjejaskan otak, menyebabkan


ketidakseimbangan kimia di kawasan yang mengawal fungsi biologikal dan sosial,"
katanya.

Menurut beliau, kajian dalam "kualiti kehidupan" menunjukkan kemurungan mempunyai


impak yang lebih serius ke atas kemampuan seseorang untuk berfungsi, seperti
mengingati sesuatu, membuat keputusan atau pergi bekerja apabila dibandingkan dengan
penyakit kronik yang lain.

Dr Nor Hayati berkata jika seseorang itu terlalu uzur untuk mengenal pasti kesulitan yang
dialaminya, keluarga dan rakan individu itu disarankan agar membantu beliau
mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

DAPATKAN RAWATAN

Dr Nor Hayati juga mengakui bahawa persepsi negatif terhadap orang yang mengalami
kesukaran kesihatan mental mungkin menyebabkan orang berkenaan enggan tampil
mendapatkan bantuan.

Bagaimanapun, keadaan itu dijangka beransur-ansur berubah kerana lebih banyak bukti
saintifik menunjukkan kecelaruan mental mempunyai asas biologikal di dalam otak, dan
ia bukan setakat 'kelemahan kerohanian'.

"Dalam kebanyakan kes, mereka boleh didiagnos dan dirawat. Kebanyakan kemudahan
kesihatan di Malaysia mempunyai pelbagai jenis ubatan yang boleh digunakan untuk
merawat kemurungan. Jika dibiarkan tanpa rawatan, ia boleh mendatangkan penderitaan
bukan sahaja kepada individu berkenaan tetapi juga keluarga dan masyarakat," katanya.
Dr Nor Hayati menasihatkan: "Sekiranya orang yang berhasrat mahu membunuh diri
datang kepada anda untuk mendapatkan bantuan, kemungkinannya individu itu percaya
anda adalah lebih penyayang dan anda lebih mengetahui bagaimana cara untuk
menghadapi kesukaran hidup.

"Mereka juga mungkin menjangkakan bahawa anda mampu untuk merahsiakan apa yang
mereka ingin kongsikan. Walaupun apa yang diluahkan kepada anda mungkin begitu
teruk dan negatif, individu itu tetap mempunyai pandangan yang positif terhadap anda."

Menurut beliau terdapat banyak langkah kecil yang dapat kita lakukan untuk membantu
mereka yang mahu membunuh diri dan untuk memudahkan mereka mendapatkan
bantuan.

"Biarpun kecil, langkah-langkah ini boleh menyelamatkan banyak nyawa dan


mengurangkan penderitaan manusia," kata Dr Nor Hayati.

MASING-MASING BERPERANAN

Dalam menangani isu bunuh diri, Dr Nor Hayati percaya setiap orang mempunyai
peranan untuk dimainkan.

Beliau turut menyokong usaha Kementerian Kesihatan yang menjalin kerjasama dengan
agensi-agensi lain yang menawarkan bantuan kepada mereka yang mahu membunuh diri
seperti pertubuhan bukan kerajaan 'The Befrienders'.

"Dengan lebih banyak data dihasilkan oleh NSRM, diharapkan kita dapat menyebarkan
pemahaman asas terhadap faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko seseorang sakit
mental.

"Maklumat itu juga boleh membantu memahami faktor yang menyebabkan meningkatnya
risiko untuk seseorang itu membunuh diri di Malaysia," katanya.

Menurut Dr Nor Hayati, pengetahuan tertentu perlu juga disediakan mengenai ke mana
orang yang berisiko tinggi perlu dihantar untuk mendapatkan penilaian dan rawatan
lanjut serta pentingnya menjalani rawatan susulan.

"Membantu orang untuk mempelajari kemahiran menyelesaikan masalah dan konflik


serta mengendalikan pertelingkahan tanpa membabitkan sebarang unsur ganas juga
menyumbang kepada pencegahan bunuh diri," jelas beliau.

-- BERNAMA

También podría gustarte