Está en la página 1de 8

MALAYSIA 52 TAHUN MERDEKA

Oleh Hafizahril Hamid

TUNKU Abdul Rahman menerima watikah kemerdekaan daripada wakil Ratu Elizabeth II di Stadium Merdeka,
Kuala Lumpur pada 31 Ogos 1957.

Tunku Abdul Rahman bersama delegasi ke London untuk


membincangkan tentang kemerdekaan Tanah Melayu.

1
PERARAKAN menentang komunis yang di ketuai oleh Tuanku
Abdul Rahman.

Dalam usaha mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah, semua negara di dunia


mempunyai pelbagai kisah dan pengalaman tersendiri dalam memperjuangkan
kemerdekaan. Ada yang berjuang sehingga mengorbankan banyak nyawa, ada yang
terpaksa bersekongkol dengan militan dan gerakan bawah tanah. Pada masa yang sama
ada juga yang percaya pada perjuangan tanpa keganasan.
Dalam konteks kemerdekaan negara ini, ia dicapai melalui cara yang berhemah iaitu melalui
rundingan tanpa perlu menumpahkan darah. Inilah perkara paling unik yang membezakan
Malaysia dan negara-negara lain dalam perjuangan kemerdekaan. Tarikh keramat 31 Ogos
1957 terus terpahat dalam sejarah sebagai hari negara ini bebas dari cengkaman penjajah
yang senantiasa menjadi petualang demi untuk kepentingan mereka.
Namun begitu ini tidak bermakna kita memperoleh kemerdekaan dengan mudah. Sejak
negara ini dijajah pada 24 Ogos 1511 dengan runtuhnya Kesultanan Melayu Melaka kepada
Portugis, telah berlaku banyak peperangan dan pertempuran terhadap penjajah bagi
menyatakan kebencian penduduk negara ini terhadap penjajah.
Kemudian dengan bermulanya campur tangan British di Tanah Melayu pada 1874, ini mula
menimbulkan kebencian terhadap penjajah, yang akhirnya mendorong orang Melayu untuk
bangkit menentang British.
Nama-nama seperti Datuk Bahaman, Datuk Maharajalela, Haji Abdul Rahman Limbung dan
Mat Salleh di Sabah, hanya menyebut beberapa nama merupakan antara tokoh pejuang
awal yang sanggup mengorbankan diri demi memperjuangkan kebebasan dengan
menghalau penjajah. Walaupun penentangan yang dilakukan ini tidak memperoleh apa-apa
kemenangan tetapi semangat perjuangan inilah yang telah memercikkan api nasionalisme
untuk memperoleh kemerdekaan.
Nasionalisme

2
Gerakan nasionalisme untuk memperoleh kemerdekaan mula timbul berikutan semangat
penduduknya yang inginkan sebuah negara bangsa yang merdeka, bebas dari penjajah dan
mentadbir negara sendiri dengan corak kepimpinan sendiri.
Langkah paling berkesan dalam menyemarakkan semangat nasionalisme di kalangan
masyarakat ialah melalui akhbar yang mana ia telah berjaya meniupkan semangat anti
penjajah. Terdapat beberapa golongan yang cerdik pandai yang berjuang dengan
menggunakan mata pena untuk menanamkan semangat perjuangan. Antara mereka ialah
golongan berpendidikan agama yang mendapat pendidikan di Al Azhar, Mesir. Golongan
kedua adalah golongan berpendidikan sekular Inggeris dan golongan ketiga ialah golongan
sekular berpendidikan Melayu.
Mereka menggunakan teknik penulisan untuk menentang penjajah dan dalam masa yang
sama menanamkan semangat nasionalisme.
Namun penjajahan Jepun pada 1942-1945 adalah punca sebenar yang telah membuka
mata masyarakat bahawa penjajahan boleh dihapuskan. Keupayaan Jepun menundukkan
penjajah British sekali gus membuktikan bahawa penduduk negara ini boleh membebaskan
diri dan berdikari.
Selepas pendudukan Jepun, orang Melayu telah sedar bahawa pihak British tidaklah sekuat
yang di sangka, ditambah pula oleh semangat untuk merdeka yang bertiup kencang di
Indonesia yang sedikit sebanyak mempengaruhi penduduk di sini.
Namun begitu Tanah Melayu sekali lagi dijajah oleh British, dan malangnya penjajah melihat
kemerdekaan bukanlah perkara utama bagi mereka malah mengumumkan cadangan
penubuhan Malayan Union .
Sir Harold MacMichael telah dihantar ke Tanah Melayu untuk mendapatkan tandatangan
daripada Raja-raja Melayu. Beliau telah bertindak memaksa Sultan-sultan Melayu untuk
menerima cadangan-cadangan pihak British. Malah Sultan yang enggan menandatangani
perjanjian tersebut diugut akan digantikan dengan sultan yang lain atas tuduhan
bekerjasama dengan Jepun
Malayan Union juga mencadangkan undang-undang baru yang memberikan
kewarganegaraan kepada semua orang yang dilahirkan di Tanah Melayu dan Singapura,
serta pendatang yang tinggal sekurang-kurang 10 tahun sebelum 15 Februari 1942. Semua
warganegara Malayan Union yang baru itu akan mempunyai hak-hak yang sama, termasuk
penerimaan masuk untuk perkhidmatan awam yang juga dikenali sebagai 'jus soli'.
Tergugat dengan keadaan ini orang Melayu yang selama ini dilihat lemah oleh penjajah
telah bangkit membantah. Komuniti Cina dan India juga tidak ghairah dan telah mengkritik
sesetengah peruntukan yang terdapat di dalam kertas putih Malayan Union. Pesara-pesara
British dalam Perkhidmatan Awam seperti Frank Swettenham, George Maxwell, R. O. W.
Winstedt, Cecil Clementi dan Laurence Guillemardt turut membantah rancangan Malayan
Union.
Dari sudut pandangan orang Melayu, penentangan ini telah disampaikan dengan lebih
berkesan selepas penubuhan UMNO atau Pekembar yang muncul untuk menyuarakan
bantahan Melayu terhadap Malayan Union.

3
Pada 1 Mac 1946, sebuah Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu (Pan-Malayan Malay
Congress) diadakan di di Kelab Sultan Suleiman, Kuala Lumpur yang disertai kira-kira 200
orang wakil Melayu daripada 41 buah persatuan.
Pada 1 Mei 1946, Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu Ke-2 diadakan di Johor Bahru.
Dalam kongres itu, pembentukan UMNO diisytiharkan dan Dato Onn Jaafar, Menteri Besar
Johor, dilantik sebagai presiden pertama. Kongres itu turut mendesak Malayan Union
dimansuhkan. Pihak British sangat terkejut dengan perubahan sikap masyarakat Melayu.
Negeri-negeri Melayu yang selama ini terpisah dan tidak bersatu telah bangun bersama-
sama,
Perubahan
Malah Sultan di negeri-negeri Melayu turut bersama berganding bahu menentang Malayan
Union dan semua ini berjaya dicapai melalui usaha tersusun yang dilakukan UMNO.
Meskipun penentangan orang Melayu begitu hebat, kerajaan British enggan menarik balik
pelaksanaan Malayan Union. Sebaliknya, Malayan Union telah diisytiharkan pada 1 April
1946 dengan Edward Gent dilantik Gabenor pertama. Bagaimanapun, penentangan
terhadap Malayan Union begitu kuat sehingga rancangan itu tidak dapat dikuatkuasa
sepenuhnya. Malah pada majlis pelantikan Edward Gent, majlis tersebut telah dipulau oleh
Sultan-sultan Melayu. Akhirnya, Malayan Union dibatalkan pada 1 Februari 1948 dan ia
telah digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu dan bermulalah episod untuk
mendapatkan kemerdekaan.
Percubaan pertama untuk mendapatkan kemerdekaan berlaku pada 1954, di mana Tunku
Abdul Rahman mengetuai sekumpulan perwakilan ke London untuk memperoleh
kemerdekaan Malaya. Bagaimanapun, percubaan tersebut gagal.
Pada tahun yang berikut, Pilihan Raya Persekutuan yang pertama diadakan. Parti Perikatan
yang ketika itu merupakan gabungan UMNO dengan MCA memenangi 51 daripada 52
kerusi yang ditandingi. Tunku dilantik sebagai Ketua Menteri Malaya yang pertama dan MIC
yang mewakili kaum India menyertai parti tersebut pada tahun 1955.
Pada tahun 1955, Tunku sekali lagi pergi ke London untuk berunding tentang kemerdekaan
Malaya. Pada kali ini, beliau berjaya dan tarikh 31 Ogos 1957 diputuskan sebagai tarikh
kemerdekaan. Laungan "merdeka" yang bergema di Stadium Merdeka turut sama dilaung
dan dikongsi bersama di seluruh negara.
Sejak itu, tanah air ini telah berjaya melakar pelbagai kejayaan dan kemakmuran yang
membanggakan selama 52 tahun untuk dikongsi bersama setiap warganya tanpa mengira
kaum, agama dan kedudukan.
Mingguan Malaysia, Ahad 30 Ogos 2009

APA NASIB KITA 52 TAHUN LAGI?

4
ESOK 31 Ogos 2009 Malaysia akan menyambut hari kemerdekaan ke-52. Ia bermakna
sudah 52 tahun kita mentadbir dan memerintah tanah air ini dengan cara kita sendiri.

Kita menempuh segala cabaran dengan tabah bersandarkan kekukuhan perpaduan


pelbagai kaum yang selama ini dikagumi oleh dunia. Tetapi persoalannya apakah
yang akan berlaku 52 tahun lagi? Apakah yang akan menjadi faktor penentu bagi
memastikan kemerdekaan negara ini yang dicapai melalui titisan keringat, air mata
dan darah berkekalan? Berikut kami paparkan pandangan tiga penulis dari tiga
generasi berbeza mengenai perkara itu.

LAHIR GENERASI BERILMU


Oleh NIEZAM ABDULLAH

Dalam melangkah ke era 50-tahun akan datang, kita seharusnya tidak lupa kepada sejarah
silam bagaimana kemerdekaan dicapai hasil titisan darah dan air mata orang terdahulu.

Hari ini golongan belia semakin terhakis pengetahuan itu. Mereka lebih tertumpu kepada
aspek hiburan. Pemikiran intelektual mereka didedahkan kepada faktor-faktor terhadap
keseronokan semata-mata. Maka lahirlah belia yang ingin menjadi penyanyi dan pelakon,
mahu mencari kekayaan di pentas Akademi Fantasia daripada mereka yang bercita-cita
untuk bergelar saintis ataupun professional lain.

Seandainya perkara ini tidak diambil berat, 50 tahun akan datang lahirlah golongan belia
yang ketandusan ilmu sehingga boleh menyumbang kepada kemusnahan bangsa dan
negara.

Jika ia berlaku, kita akan mewarisi satu masyarakat baru yang hilang adab sopan, lebih
malang akan lahirlah pemimpin atau golongan intelektual yang akan mencorakkan elemen
itu di dalam sistem pendidikan sehingga boleh mengakibatkan pemikiran masyarakat
Malaysia kembali dijajah. Dari sudut agama amat merisaukan apabila keruntuhan akhlak
dan gejala sosial itu menjadi penyakit yang merebak dengan pantas ke dalam jiwa golongan
muda-mudi. Apa akan jadi kepada masyarakat kita jika bilangan samseng jalanan, anak luar
nikah dan bohsia itu bertambah?

Maka satu formula baru perlu dilakukan bagi memastikan gejala berkenaan tidak terus
menyumbang terhadap pembentukan Malaysia dalam mencapai status negara maju
berteraskan peradaban yang tinggi.

Dalam masa yang sama aspek pendidikan hari ini harus memberi penekanan mendalam
untuk menanam ciri-ciri Islam ke dalam jiwa generasi baru supaya masyarakat yang lahir
nanti masih mengutamakan kepentingan budaya dan saling hormat menghormati. Ini kerana
agama itu sebenarnya menjadi penentu dalam mencorakkan kemajuan terhadap sistem
politik, ekonomi dan juga sosial. Sistem pendidikan yang masih berkecamuk dan tidak
konsisten dengan apa yang dihasratkan amat berbahaya kerana ia tidak mampu untuk
mewujudkan masyarakat yang berdaya maju pada masa akan datang.

Aspek-aspek perpaduan dalam pendidikan harus diberi perhatian serius termasuklah soal
memartabatkan bahasa Melayu agar suatu hari nanti identiti budaya Malaysia yang terkenal
dengan sikap toleransi itu terhapus. Kita juga tidak mahu orang Cina dan India semakin
pelat untuk bercakap bahasa Melayu sedangkan kita semua lahir di negara yang
mengangkat bahasa Melayu itu sebagai bahasa rasmi. Keadaan politik yang tidak stabil jika
tidak ditangani dengan berkesan ia akan membuatkan keadaan menjadi bertambah parah

5
dan usaha melahirkan masyarakat berjiwa besar, mengutamakan kasih sayang tidak akan
terhasil.

Apa yang membimbangkan, jika perkara itu tidak diambil berat maka, kita akan melahirkan
masyarakat "kau, kau... aku, aku" suatu hari nanti.

MENYEDIAKAN PEWARIS
Oleh Zin Mahmud

Generasi yang lahir dari tahun 1957 hingga 1963 adalah anak merdeka ketika Tanah Melayu
belum menjadi Malaysia. Tempoh dari 1957 hingga 1963, Tanah Melayu sedang
mengukuhkan diri sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat.

Tentu bagi generasi ini, mereka dibesarkan dengan suasana negara yang masih kuat
dipengaruhi dan dikuasai oleh penjajah. Tentera British masih banyak. Darurat hanya
berakhir tahun 1960. Walaupun merdeka, tahun-tahun itu kuasa penjajah masih kental.
Tentera dan ekonomi kuat dipegang British. Dasar luar masih dipengaruhi kuat dari London.
Lebih tepat Malaya ketika itu adalah dalam bentuk neo-kolonial.

Britain mahu memerdekakan Tanah Melayu dengan syarat kepentingan ekonominya tidak
terjejas.

Justeru generasi yang lahir pada akhir 50-an dan awal 60-an membesar dalam keadaan
negara yang belum benar-benar merdeka. Keadaan negara masih susah. Ibu bapa generasi
ini menanggung penderitaan Darurat. Masih kelihatan kesusahan di merata-rata tempat.

Dalam suasana terancam, London menggesa penubuhan Malaysia merangkumi semua


tanah jajahannya di Asia Tenggara. Keadaan tidak stabil terus berlaku. Pemberontakan
Brunei membawa negara itu enggan menyertai Malaysia. Konfrontasi dilancarkan Indonesia
ekoran penubuhan Malaysia, diikuti terkeluarnya Singapura pada tahun 1965. Hanya
selepas peristiwa 13 Mei dengan pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar
Pelajaran Kebangsaan, keadaan menjadi stabil dan mengukuh.

Tahun-tahun 1970-an merupakan tempoh di mana generasi awal merdeka diberi


tanggungjawab. Setelah mengalami kesusahan dan penderitaan, maka tahun-tahun itu
merupakan masa bagi pendidikan dan pembangunan pesat bagi membina Malaysia berjaya.

Pada tahun 70-an, Malaysia baru muncul sebagai negara yang benar-benar merdeka dan
berdaulat.

Tentera asing diundurkan. Syarikat-syarikat asing milik penjajah berjaya dibeli dan kini
merupakan tonggak kepada ekonomi negara. Sementara generasi awal merdeka pula diberi
sokongan dan dokongan menjadi anak merdeka yang akhir¬nya pada tahun 80-an
memasuki pasaran pekerjaan untuk memberi sumbangan kepada negara merdeka.

Antara mereka telah berjaya mencapai kecemerlangan dalam pendidikan dan dibantu oleh
kerajaan untuk menuntut ilmu di luar negara. Mereka pulang sebagai pemimpin dalam
pelbagai sektor, awam dan swasta, akademik dan korporat yang mencorak Malaysia baru.
Mereka ini kemudiannya muncul sebagai pelapis pemimpin politik. Generasi inilah yang
membawa dan menerapkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sekali gus
merupakan pendokong kepada Wawasan 2020.

6
Tahun-tahun 80-an di mana generasi awal merdeka ini memberi sumbangan telah
memantapkan Malaysia sebagai negara berjaya yang sedang menghala untuk menjadi
negara perindustrian yang maju.

Aspirasi generasi awal merdeka jelas. Mereka mahu meninggalkan warisan kepada anak
cucu mereka sebuah negara yang mapan dan mantap. Bukan saja dari segi pembangunan
tetapi juga jati diri sebagai bangsa merdeka.

Maka pada 2009, generasi kelahiran 1957 hingga. 1963, sudah mencapai usia antara 46
hingga 52 tahun dapat berasa bangga bahawa sumbangan mereka kepada negara di
bawah pimpinan generasi lepas Perang Dunia Kedua telah menampakkan hasilnya.

Generasi ini terus memberi sumbangan untuk beberapa tahun lagi, antara tiga hingga
sembilan tahun sebelum bersara. Apa yang hendak ditinggalkan wajar diperkemaskan bagi
diserahkan kepada generasi berikutnya, dikenali sebagai generasi X, Y dan Z.

Tetapi generasi ini pula sudah mula hendak mencuba model lain untuk negara. Iaitu lebih
terbuka, demokratik dan berdaya saing. . Untuk inilah generasi awal merdeka mahu
membimbing supaya aspirasi generasi X, Y dan Z ini tidak akan menghancurkan apa yang
telah dicapai dan dikecapi selama ini. Kemajuan hendaklah dicapai tetapi janganlah berlaku
apa yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.

KESTABILAN POLITIK PENENTU


Oleh Zulkiflee Bakar

DUA tahun lalu, kita menyambut Hari Kemerdekaan Ke-50. Ketika itu rakyat Malaysia begitu
bangga kerana kononnya mereka merasai kebebasan sebenar-benarnya. Mereka bebas
dalam semua perkara termasuklah dalam penyebaran maklumat tanpa sekatan. Internet
digunakan sepenuhnya bagi melahirkan pandangan mereka.

Parti-parti politik pembangkang pula semakin lantang dan membangkitkan apa juga isu demi
meraih sokongan politik. Akhirnya, pada tahun 2008, Malaysia menyambut kemerdekaan ke-
51 dalam keadaan yang agak muram.

Kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dan terlepas kekuasaan di beberapa buah
negeri yang dialami oleh Barisan Nasional (BN) telah mengubah senario politik negara.
Akibat kerapuhan itu, BN yang dilihat tonggak kestabilan politik negara tergugat. Kebebasan
yang kononnya diberikan atas nama demokrasi akhirnya memakan diri.

Penulis membangkitkan soal kestabilan politik BN kerana parti itulah selama ini menjadi
tonggak Malaysia terus mengecap kemerdekaan dan ketenteraman. Tiada siapapun yang
dapat menafikan bahawa BN yang bertanggungjawab memerdekakan negara ini.

Oleh itu jika BN menjadi lemah, kestabilan politik negara juga akan tergugat dan apabila itu
berlaku maka Malaysia berada dalam bahaya. Kita mungkin boleh berhujah bahawa
sekarang kononnya sudah ada alternatif berikutan kewujudan apa yang dipanggil Pakatan
Rakyat (PR).

Pakatan itu yang disertai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas telah berjaya
menggugat BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-12. Mereka berjaya bukan kerana mereka
kuat tetapi akibat `senjata' yang diberikan oleh pemimpin BN sendiri.

7
Kebebasan yang diberikan oleh kerajaan pimpinan BN ketika itu telah membolehkan
pembangkang bercakap apa sahaja dan memainkan apa juga sentimen termasuk
perkauman bagi meraih populariti politik.

Kini BN cuba bangkit semula melalui kepimpinan yang diterajui oleh Datuk Seri Najib Tun
Razak. pelbagai kemelut yang turut melanda pentadbiran kerajaan pakatan pembangkang
mampu memberikan mesej yang jelas kepada rakyat siapa sebenarnya lebih layak
mentadbir. Tetapi dalam masa yang sama BN juga berhadapan dengan masalah dalaman di
kalangan parti komponennya. termasuk MCA, MIC dan Parti Progresif Penduduk (PPP).

Semua ini meresahkan kita kerana kemerdekaan yang dikecapi oleh Malaysia yang kini
memasuki 52 tahun bergantung sepenuhnya kepada kestabilan politik.

Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti akan menjadi penentu corak politik Malaysia di masa
depan. Apakah BN akan terus diberi mandat untuk mentadbir negara ini atau rakyat
Malaysia akan merubah pendirian politik mereka bagi memberi peluang kepada pakatan
pembangkang membuktikan kewibawaan mereka pula.

Tergugat

Tetapi apa yang jelas sama ada hendak diakui atau tidak, biarpun selama ini Malaysia
menempuh pelbagai cabaran dan dugaan dalam semua bidang termasuk krisis politik dan
ekonomi, namun kehidupan rakyat tidak pernah tergugat. Mereka masih boleh hidup dengan
aman dan damai dalam masyarakat pelbagai kaum. Oleh itu sementara demokrasi
membenarkan kita menentukan pendirian politik kita tetapi dalam masa yang sama masa
depan negara juga harus difikirkan.

Oleh itu, rakyat Malaysia tidak harus membenarkan sebarang corak pendekatan politik yang
meniupkan api perkauman kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada kestabilan
negara.

Malah mereka tidak boleh menjadikan pilihan raya sebagai medan untuk menguji
keupayaan mana-mana parti.

Jika itu dilakukan ia ibarat memperjudikan nasib masa depan negara. Ini kerana apabila
kestabilan politik negara tergugat maka tidak mustahil kemerdekaan yang kita kecapi juga
akan terjejas.

Mingguan Malaysia,Ahad 30 Ogos 2009

También podría gustarte