Está en la página 1de 2

Saya dimaklumkan bahawa program Pesta Pantun adalah program yang dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Selangor

dengan kerjasama PPD. Sesungguhnya saya berasa program sebegini memang seharusnya menjadi acaran yang penting demi kesinambungan budaya untuk generasi masa depan. Saya juga amat berbangga kerana mendapat makluman semua daerah di negeri Selangor menyertainya. Ini menunjukkan masih banyak generasi muda hari ini yang masih menghargai tinggalan warisan budaya terdahulu. Seperti yang telah sedia maklum, bahawa zaman ini terlalu banyak cabaran dan pancaroba yang melanda arus kebudayaan masyarakat kita. Anak-anak muda mudah sekali terikut-ikut dengan budaya negatif yang dibawa masuk melalui kesan globalisasi yang tiada sempadan. Amalanamalan kesantunan serta tata susila semakin terhakis daripada jiwa generasi muda ekoran terlalu mengagungkan budaya negatif barat. Amalan berpantun sebenarnya adalah tinggalan warisan nenek moyang kita yang melambangkan sifat bersopan santun dan berbudi bahasa generasi terdahulu. Bahasa yang indah yang menjadi ungkapan susunan ayat pantun serta rima yang serasi dapat membayangkan kelembutan dan keindahan budi bahasa masyarakat kita. Namun semua itu semakin pudar dalam masyarakat kita di kalangan majoriti anak-anak muda hari ini. Kita masih bernasib baik kerana masih ada anak-anak muda seperti para peserta Pesta Pantun yang mewakili golongan generasi muda yang masih menghargai khazanah budaya bangsa ini. Setinggi pujian dan penghargaan seharusnya diberikan kepada mereka. Seperti yang kita sedia maklum pembentukan budaya murni sesebuah masyarakat tidak hanya bergantung kepada segelintir golongan sahaja tetapi memerlukan usaha penyatuan dan muafakat di kalangan setiap lapisan masyarakat itu sendiri. Negara kita Malaysia adalah sebuah negara berbilang bangsa dan mempunyai profail masyarakat majmuk. Budaya dan adat resam itulah satu ciri kekuatan dan perlambangan bagi kita masyarakat di Timur. Seharusnya elemen-elemen kebudayaan seperti inilah yang menjadikan rakyat dan setiap bangsa kita bersatu dan saling menghormati. Budaya berpantun ini misalnya seharusnya dihayati oleh setiap daripada kita tanpa mengira keturunan dan bangsa. Nilai nilai positif dapat diserapkan dalam kehidupan melalui amalan budaya bersahsiah murni seperti ini. Kita berasa bertuah kerana menjadi rakyat Malaysia, sebuah negara yang aman serta makmur walaupun penduduknya terdiri daripada pelbagai keturunan bangsa, bahasa dan agama. Kita seharusnya merasa bangga kerana dalam acara sebegini pengisian elemen kebudayaan turut kita kongsi bersama tanpa sebarang rasa prasangka. Sejajar dengan peranan Bahasa Melayu yang dijadikan bahasa kebangsaan, seni kesusasteraan bahasa Melayu seperti pantun sepatutnya dijadikan wadah sebagai pemangkin kepada perpaduan rakyat. Bahasa kebangsaan ini seharusnya diperhalusi dari segi kepenggunaannya kepada pelbagai ragam dan cara supaya ia dapat menjadi medium pertemuan dan penyatuan semangat perpaduan rakyat. Dalam kehidupan kita sehari-hari, didikan kepada anak-anak sangat penting. Semaikan minat dan kecintaan mereka kepada budaya timur melalui elemen kebudayaan dan kesenian. Dengan cara sebegini jati diri mereka dapat ditingkatkan. Oleh itu generasi timur yang berakhlak dan berbudi tinggi dapat dizahirkan.

Generasi terdahulu kaya dengan pelbagai khazanah warisan kesenian dan kebudayaan yang menjadi asas pembentukan keperibadian. Adat resam, tutur bicara, pernah menjadi kebanggaan kita dahulu dengan tersusun indah kata, kias bermadah melalui seni berpantun, gurindam, syair, madah seloka, bersimpulan dan berpribahasa, mantera, teromba dan sebagainya yang mempamerkan keindahan susunan bahasa. Pantun pula terdiri daripada pelbagai jenis dengan pantun dua kerat hinggalah ke berbelas kerat. Marilah kita samasama menanamkan semangat untuk menghargai dan seterusnya mencintai budaya warisan yang menjadi identiti kita selama ini. Usahlah dipinggirkan usaha-usaha sebegini apatah lagi serangan intipati dan propaganda budaya negatif barat yang tidak akan pernah padam dengan penjajahan bentuk baru iaitu penjajahan minda. Anak-anak kitalah seharusnya diberikan tumpuan dalam usaha mendidik dan mengasuh mereka agar terus mengekalkan semangat jati diri yang tinggi terutamanya apabila negara ini diwariskan kepada mereka kelak. Identiti murni dan ketinggian budi pekerti sabagai unsur ketamadunan timur harus dipertahankan. Program seumpama ini yang menggalakkan kecintaan warisan adat dan budaya seharusnya ditingkatkan. Adalah menjadi harapan saya semoga program ini dapat diteruskan pada masamasa akan datang bagi memperolehi kesan dan faedah jangka panjang kepada masyarakat. Sebelum mengakhiri ucapan ini ingin saya ungkapkan beberapa buah pantun:Ke Pulau Angsa mencari ikan Ikan dijala bersama udang Budaya bangsa dilupa jangan Maruah terbela rakyat terbilang Anak Sembilang di dalam kolam Berenang-renang mencari makan Usah dibuang khazanah silam Baik dikenang pantun warisan Maka dengan itu, saya dengan lafaz Bismillah menutup program Pesta Pantun Negeri Selangor dengan rasminya. Sekian terima kasih.

También podría gustarte